BAB 27
“Memberikan Kesaksian yang Menyeluruh”
Walaupun dipenjarakan di Roma, Paulus terus menginjil
Berdasarkan Kisah 28:11-31
1. Apakah yang diketahui Paulus, Lukas, dan Aristarkhus yang memberi mereka keyakinan?
KIRA-KIRA pada tahun 59 M, kapal yang mempunyai lambang “Anak Kembar Zeus” sedang berlayar dari Pulau Malta di Laut Mediterranean. Kapal yang barangkali membawa muatan bijirin yang besar itu sedang menuju ke Italia. Kapal itu dinaiki oleh Rasul Paulus, yang merupakan tahanan yang diiringi oleh seorang pengawal. Dia juga ditemani oleh dua orang rakan Kristiannya, iaitu Lukas dan Aristarkhus. (Kis. 27:2) Tidak seperti anak-anak kapal, para penginjil ini tidak mencari perlindungan daripada anak kembar dewa Yunani Zeus, yang bernama Castor dan Pollux. (Kis. 28:11) Sebaliknya, Paulus dan rakan-rakannya menyembah Yehuwa, Tuhan yang menyingkapkan kepada Paulus bahawa dia akan memberikan kesaksian tentang kebenaran di Roma dan di hadapan Kaisar.—Kis. 23:11; 27:24.
2, 3. Laluan manakah yang diambil oleh kapal yang dinaiki Paulus? Siapakah yang menyokong Paulus sejak permulaan perjalanannya ini?
2 Selama tiga hari, kapal itu berlabuh di Sirakusa, sebuah kota yang indah di Sisilia dan yang hampir sama penting dengan Atena dan Roma. Selepas itu, kapal mereka berlayar ke Regium, yang terletak di selatan Italia. Kemudian, dengan bantuan tiupan angin selatan, kapal mereka membuat perjalanan sejauh 320 km ke pelabuhan Putioli di Italia (berdekatan dengan Naples pada zaman moden). Hasilnya, perjalanan mereka hanya memerlukan masa selama dua hari.—Kis. 28:12, 13.
3 Kini, Paulus sedang dalam bahagian terakhir perjalanannya ke Roma. Dia bakal menghadap Maharaja Nero. Sejak permulaan perjalanannya, ‘Tuhan yang melegakan hati dalam apa jua situasi’ sentiasa menyertai Paulus. (2 Kor. 1:3) Seperti yang kita akan lihat, Yehuwa tidak pernah berhenti menyokong Paulus. Semangat Paulus dalam kerja mubalighnya juga tidak pernah pudar.
‘Paulus Mengucapkan Syukur kepada Tuhan dan Menjadi Lebih Tabah’ (Kis. 28:14, 15)
4, 5. (a) Bagaimanakah Paulus dan rakan-rakannya disambut semasa di Putioli? Mengapakah dia mendapat begitu banyak kebebasan? (b) Meskipun dipenjarakan, bagaimanakah kelakuan baik orang Kristian membawa manfaat?
4 Di Putioli, Paulus dan rakan-rakannya ‘berjumpa dengan saudara-saudara yang mendesak mereka untuk tinggal di sana selama tujuh hari.’ (Kis. 28:14) Sememangnya, rakan seiman di situ menetapkan teladan yang baik dalam menunjukkan kemurahan hati! Sudah tentu, mereka meraih manfaat yang berlipat ganda melalui galakan rohani yang diberikan oleh Paulus dan rakan-rakannya. Namun, mengapakah tahanan yang di bawah pengawasan ini mendapat begitu banyak kebebasan? Barangkali kerana kelakuan rasul ini telah memenangi kepercayaan pengawal Roma yang mengawasinya.
5 Begitu juga dengan hari ini. Hamba-hamba Yehuwa yang berada di penjara dan kem konsentrasi sering kali diberi kebebasan dan layanan yang istimewa kerana kelakuan mereka yang baik sebagai orang Kristian. Sebagai contoh, seorang lelaki di Romania telah dijatuhkan hukuman penjara selama 75 tahun kerana merompak. Dia mula belajar Bible dan membuat perubahan yang drastik dalam keperibadiannya. Oleh itu, pegawai penjara menugaskannya pergi ke bandar tanpa diiringi pengawal untuk membeli barang-barang kegunaan penjara. Namun yang terpenting, kelakuan yang baik dapat memuliakan Yehuwa.—1 Ptr. 2:12.
6, 7. Bagaimanakah saudara-saudara dari Roma menunjukkan kasih yang luar biasa?
6 Dari Putioli, Paulus dan rakan-rakannya kemungkinan besar telah berjalan sehingga kira-kira 50 km ke Capua melalui Jalan Apia. Jalan Apia yang menuju ke Roma ini diturap dengan batu lava yang besar dan rata. Orang yang menggunakan laluan terkenal ini dapat menikmati pemandangan desa yang indah di Italia, dan mereka juga berpeluang melihat Laut Mediterranean di sesetengah tempat. Pengembara yang melalui jalan ini juga akan merentasi kawasan berpaya di Pontine yang terletak kira-kira 60 km dari Roma. Di sinilah terletaknya Pasar Apius. Lukas menulis, semasa saudara-saudara dari Roma “mendengar bahawa kami dalam perjalanan ke sana,” ada antara mereka pergi sehingga ke Pasar Apius, manakala yang lain menunggu di Penginapan Tiga, sebuah tempat berehat yang terletak kira-kira 50 km dari Roma. Ya, mereka menunjukkan kasih yang luar biasa!—Kis. 28:15.
7 Pasar Apius bukanlah tempat rehat yang selesa bagi pengembara yang mengadakan perjalanan jauh. Horace, seorang penyair dan penulis Roma, menggambarkan tempat itu “sesak dengan anak kapal dan pemilik penginapan yang panas baran.” Dia menulis bahawa “air di sana sangat menjijikkan.” Horace bahkan enggan makan di sana! Biarpun keadaan sangat teruk, saudara-saudara gembira menantikan Paulus dan rakan-rakannya supaya dapat menemani mereka untuk pergi ke Roma.
8. Mengapakah Paulus bersyukur kepada Tuhan ‘apabila melihat’ saudara-saudaranya?
8 Bible berkata, ‘Apabila Paulus melihat saudara-saudaranya, dia mengucapkan syukur kepada Tuhan dan menjadi lebih tabah.’ (Kis. 28:15) Ada antara mereka mungkin dikenalinya secara peribadi. Ya, sekadar melihat saudara-saudara yang dikasihinya, Paulus dikuatkan dan dilegakan. Mengapakah Paulus bersyukur kepada Tuhan? Dia tahu bahawa kasih mereka yang tidak mementingkan diri ialah sebahagian daripada buah kuasa suci Tuhan. (Gal. 5:22) Hari ini, kuasa suci Tuhan juga mendorong saudara saudari membuat pengorbanan demi satu sama lain dan melegakan hati mereka yang memerlukan bantuan.—1 Tes. 5:11, 14.
9. Bagaimanakah kita dapat meniru sikap saudara-saudara yang berjumpa dengan Paulus?
9 Sebagai contoh, kuasa suci Tuhan mendorong saudara saudari untuk menunjukkan kemurahan hati kepada penyelia litar, para mubaligh, dan pekhidmat sepenuh masa yang lain. Mereka telah membuat banyak pengorbanan agar dapat meluangkan lebih banyak masa untuk berkhidmat kepada Yehuwa. Tanyalah diri, “Dapatkah saya beri lebih banyak sokongan semasa kunjungan penyelia litar, mungkin dengan menunjukkan kemurahan hati kepadanya dan isterinya, jika dia sudah berkahwin? Dapatkah saya buat rancangan untuk bekerja bersama mereka dalam kerja penyebaran?” Dengan berbuat demikian, anda dapat meraih berkat yang berlimpah-limpah. Misalnya, bayangkan betapa bersukacitanya saudara-saudara dari Roma itu semasa mendengar pengalaman yang menggalakkan daripada Paulus dan rakan-rakannya.—Kis. 15:3, 4.
Kis. 28:16-22)
“Dicela di Mana-Mana Sahaja” (10. Apakah situasi Paulus di Roma? Apakah yang dilakukannya tidak lama selepas dia tiba di sana?
10 Apabila rombongan itu akhirnya tiba di Roma, “Paulus dibenarkan tinggal seorang diri di bawah kawalan seorang askar.” (Kis. 28:16) Bagi tahanan yang ditahan di rumah, mereka biasanya akan dibelenggu rantai dengan seorang pengawal agar mereka tidak dapat melarikan diri. Meskipun begitu, rantai sedemikian tidak dapat membungkam Paulus yang merupakan seorang pemberita Kerajaan Tuhan. Maka selepas berehat hanya tiga hari daripada perjalanannya, Paulus memanggil para pemimpin orang Yahudi di Roma untuk berkumpul. Kemudian, dia memperkenalkan diri dan memberikan kesaksian.
11, 12. Semasa bercakap dengan orang Yahudi di Roma, bagaimanakah Paulus cuba merobohkan sikap prasangka mereka?
11 Paulus berkata, “Saudara-saudara, walaupun aku tidak bersalah terhadap bangsa kita dan tidak melakukan apa-apa yang bertentangan dengan adat istiadat nenek moyang kita, aku telah ditahan di Yerusalem dan diserahkan ke dalam tangan orang Roma. Selepas aku disoal siasat, mereka mahu membebaskan aku kerana mereka mendapati bahawa aku tidak melakukan apa-apa yang menyebabkan aku harus dihukum bunuh. Tetapi orang Yahudi membantah keputusan itu, maka aku terpaksa meminta agar diadili oleh Kaisar. Namun aku berbuat demikian bukanlah kerana aku mempunyai apa-apa tuduhan terhadap bangsaku.”—Kis. 28:17-19.
12 Dengan memanggil orang Yahudi di Roma sebagai “saudara-saudara,” Paulus cuba mencari titik persamaan dengan mereka dan merobohkan sikap prasangka mereka. (1 Kor. 9:20) Dia juga menjelaskan bahawa kedatangannya bukan untuk menuduh orang Yahudi, tetapi untuk membuat rayuan kepada Kaisar. Namun, orang Yahudi di sana belum tahu tentang rayuan Paulus ini. (Kis. 28:21) Nampaknya, orang Yahudi di Yudea belum lagi menyampaikan laporan tentang Paulus kepada orang Yahudi di Roma. Mengapa? Menurut sebuah rujukan, “Kapal yang dinaiki Paulus kemungkinan besar merupakan antara kapal yang pertama tiba di Italia selepas musim sejuk. Jadi, utusan Yahudi dari Yerusalem atau surat tentang kes Paulus masih belum tiba.”
13, 14. Bagaimanakah Paulus memperkenalkan mesej tentang Kerajaan Tuhan? Bagaimanakah kita dapat meniru teladannya?
13 Sekarang, Paulus memperkenalkan mesej tentang Kerajaan Tuhan dengan menggunakan pernyataan yang pasti membangkitkan minat orang Yahudi. Dia berkata, “Itulah sebabnya aku meminta supaya dapat berjumpa dan bercakap dengan kamu. Aku dibelenggu dengan rantai ini kerana dia yang diharapkan oleh orang Israel.” (Kis. 28:20) Apa yang diharapkan oleh orang Israel adalah berkaitan dengan Mesias dan Kerajaannya. Itulah yang disebarkan oleh sidang Kristian. Maka, para pemimpin orang Yahudi berkata, “Kami berasa bahawa kami patut mendengar pendapat kamu, kerana kami tahu bahawa kumpulan agama ini dicela di mana-mana sahaja.”—Kis. 28:22.
14 Apabila kita ada peluang untuk mengongsi berita baik, kita dapat meniru Paulus dengan menggunakan pernyataan atau soalan-soalan yang membangkitkan minat pendengar kita. Cadangan-cadangan yang efektif terdapat dalam bahan bacaan seperti Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita dan Curahkan Usaha untuk Membaca dan Mengajar. Adakah anda memanfaatkan alat bantu pembelajaran Bible seperti ini dengan sebaik-baiknya?
Teladan dalam “Memberikan Kesaksian yang Menyeluruh” (Kis. 28:23-29)
15. Apakah empat pengajaran yang kita peroleh daripada kesaksian Paulus?
15 Pada hari yang sudah ditetapkan, ‘lebih ramai orang Yahudi datang’ ke tempat penginapan Paulus. “Dari pagi sampai malam, dia menggunakan Hukum Musa dan Ajaran Para Nabi untuk memberikan kesaksian yang menyeluruh tentang Kerajaan Tuhan. Dia menjelaskan hal itu untuk meyakinkan mereka tentang Yesus.” (Kis. 28:23) Perhatikan empat pengajaran yang kita peroleh daripada kesaksian Paulus. Pertama, dia bertumpu kepada Kerajaan Tuhan. Kedua, dia cuba mencapai hati pendengarnya dengan meyakinkan mereka. Ketiga, dia memberikan penjelasan berdasarkan Ayat-Ayat Suci. Keempat, dia menunjukkan sikap rela berkorban dengan menginjil “dari pagi sampai malam.” Sememangnya, Paulus merupakan teladan yang baik bagi kita! Apakah hasil daripada kesaksian Paulus? “Sesetengah orang mempercayai kata-kata Paulus, tetapi yang lain enggan percaya.” Lukas melaporkan bahawa terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan hadirin dan mereka “mula beredar.”—Kis. 28:24, 25a.
16-18. Mengapakah Paulus tidak berasa hairan dengan sambutan negatif orang Yahudi di Roma? Apakah sepatutnya reaksi kita jika orang menolak mesej kita?
16 Paulus tidak berasa hairan dengan reaksi mereka kerana dia pernah melihat reaksi sebegitu, dan sikap itu sudah dinubuatkan dalam Bible. (Kis. 13:42-47; 18:5, 6; 19:8, 9) Maka Paulus memberitahu hadirinnya yang enggan mendengar dan yang mula beredar, “Memang tepat apa yang dikatakan oleh kuasa suci Tuhan melalui Nabi Yesaya kepada nenek moyang kamu: ‘Pergilah kepada bangsa ini dan katakanlah, “Kamu memang akan mendengar, tetapi tidak akan faham. Kamu memang akan melihat, tetapi tidak akan nampak. Hati umat ini sudah menjadi tidak peka.”’” (Kis. 28:25b-27) Dalam bahasa asal, ungkapan “tidak peka” menunjukkan keadaan hati yang “tebal” atau “berlemak” sehingga mesej Kerajaan Tuhan tidak dapat menembusinya. (Kis. 28:27) Sungguh menyedihkan!
17 Tidak seperti pendengarnya yang berbangsa Yahudi, ‘bangsa-bangsa lain pasti akan mendengar,’ kata Paulus semasa mengakhiri ucapannya. (Kis. 28:28; Mzm. 67:2; Yes. 11:10) Ya, Paulus dapat bercakap dengan yakin tentang hal itu kerana dia sendiri melihat bahawa banyak orang bukan Yahudi menerima mesej Kerajaan Tuhan!—Kis. 13:48; 14:27.
18 Seperti Paulus, janganlah kita tersinggung apabila orang menolak berita baik. Lagipun, kita tahu bahawa hanya sedikit orang akan menempuh jalan yang menuju kehidupan. (Mat. 7:13, 14) Maka, apabila orang yang berhati jujur menyertai kita dalam ibadat sejati, kita tentu ingin bersukacita dan menyambut mereka dengan hati yang terbuka.—Luk. 15:7.
“Menyebarkan Berita Baik tentang Kerajaan Tuhan” (Kis. 28:30, 31)
19. Bagaimanakah Paulus memanfaatkan keadaannya dengan sebaik-baiknya?
19 Lukas mengakhiri catatannya dengan nada yang positif dan hangat ini: “Paulus tinggal di rumah yang disewanya selama dua tahun, dan dengan ramah dia menyambut semua orang yang datang kepadanya. Dia menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan dan mengajar mereka tentang Tuan Yesus Kristus dengan berani dan tanpa halangan.” (Kis. 28:30, 31) Ya, Paulus ialah teladan yang sangat baik dalam menunjukkan keramahan, iman, dan semangat yang berkobar-kobar!
20, 21. Sebutkan beberapa contoh orang yang meraih manfaat daripada kerja penyebaran Paulus di Roma.
20 Salah seorang yang dialu-alukan oleh Paulus ialah lelaki yang bernama Onesimus, seorang hamba yang melarikan diri dari Kolose. Paulus membantu Onesimus menjadi seorang Kristian, dan Onesimus pula menjadi ‘saudara yang setia dan yang dikasihi’ Paulus. Paulus bahkan memanggil Onesimus sebagai ‘anaknya.’ Dia berkata, “Aku telah menjadi seperti seorang bapa kepadanya.” (Kol. 4:9; Flm. 10-12) Ya, Onesimus pasti telah memberikan semangat kepada Paulus! a
21 Orang lain juga meraih manfaat daripada teladan baik Paulus. Dia menulis kepada sidang Filipi, “Keadaanku sebenarnya telah menyebabkan kerja penyebaran berita baik menjadi semakin maju. Para Pengawal Maharaja dan semua orang yang lain tahu bahawa aku dibelenggu di dalam penjara demi Kristus. Oleh sebab aku dibelenggu di dalam penjara, kebanyakan saudara yang berkhidmat kepada Tuan kita digalakkan, dan mereka menjadi lebih berani untuk mengkhabarkan firman Tuhan tanpa rasa takut.”—Flp. 1:12-14.
22. Apa lagi yang dilakukan oleh Paulus semasa ditahan di Roma?
22 Paulus memanfaatkan situasinya semasa ditahan di Roma dengan menulis surat-surat penting yang kini menjadi sebahagian daripada Kitab Yunani Kristian. b Surat-surat ini ditujukan kepada orang Kristian abad pertama dan membawa manfaat kepada mereka. Kita juga dapat meraih manfaat daripada surat-surat Paulus yang diilhami oleh Tuhan kerana nasihatnya masih praktikal sampai sekarang.—2 Tim. 3:16, 17.
23, 24. Seperti Paulus, bagaimanakah banyak orang Kristian zaman moden bersikap positif meskipun dipenjarakan dengan tidak adil?
23 Buku Kisah tidak sebut bila Paulus dibebaskan. Dia telah ditahan kira-kira empat tahun, dua tahun di Kaisarea dan dua tahun di Roma. c (Kis. 23:35; 24:27) Meskipun demikian, dia mengekalkan sikap positif dan melakukan apa yang terdaya dalam khidmat Tuhan. Begitu juga, meskipun banyak hamba Yehuwa hari ini dipenjarakan dengan tidak adil demi iman, mereka mengekalkan sukacita dan terus menginjil. Perhatikan contoh Adolfo yang dipenjarakan di Sepanyol kerana keneutralannya. Seorang pegawai berkata, “Kami sangat kagum dengan kamu. Kami buat hidup kamu sangat susah. Tapi semakin teruk kami layan kamu, semakin lebar senyuman kamu dan kamu bercakap dengan baik.”
24 Belakangan Adolfo sangat dipercayai sehingga pintu penjaranya dibiarkan terbuka. Askar-askar akan datang untuk menanya dia tentang Bible. Salah seorang pengawal bahkan masuk ke dalam sel Adolfo untuk membaca Bible, manakala Adolfo akan bantu mengawasi sekiranya ada askar lain yang lalu di situ. Ya, banduanlah yang “mengawasi” pengawal itu! Semoga teladan baik para Saksi yang setia mendorong kita “menjadi lebih berani untuk mengkhabarkan firman Tuhan tanpa rasa takut” meskipun dalam keadaan yang susah.
25, 26. Dalam masa kurang daripada 30 tahun, Paulus telah melihat nubuat apa menjadi kenyataan? Apakah persamaannya dengan zaman kita?
25 Meskipun ditahan di rumah, seorang rasul Kristus “menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan” kepada semua orang yang melawatnya. Sesungguhnya, kata-kata yang menggalakkan ini menutup tirai buku Kisah yang penuh dengan peristiwa yang menakjubkan! Dalam bab yang pertama, kita belajar bahawa Yesus memberi para pengikutnya tugasan ini dengan berkata, “Kamu akan mendapat kekuatan apabila kuasa suci Tuhan datang ke atas kamu, dan kamu akan menjadi saksi-saksiku di Yerusalem, di seluruh Yudea, di Samaria, dan sampai ke hujung bumi.” (Kis. 1:8) Kurang daripada 30 tahun kemudian, mesej Kerajaan Tuhan “sudah disebarkan kepada semua ciptaan di bawah langit.” d (Kol. 1:23) Ya, hal ini menunjukkan betapa hebatnya kuasa suci Tuhan!—Za. 4:6.
26 Hari ini, kuasa suci Tuhan juga menguatkan saudara-saudara Kristus yang masih hidup di bumi, serta rakan-rakan mereka, iaitu “biri-biri lain,” untuk terus “memberikan kesaksian yang menyeluruh tentang Kerajaan Tuhan” di 240 negara dan kawasan. (Yoh. 10:16; Kis. 28:23) Adakah anda juga menyertai kerja ini dengan sepenuhnya?
a Paulus ingin Onesimus tetap berada di sisinya, tetapi hal ini akan melanggar hukum Roma dan mencabuli hak tuan Onesimus, iaitu seorang Kristian bernama Filemon. Oleh itu, Onesimus kembali kepada Filemon dan membawa sepucuk surat daripada Paulus. Dalam surat itu, Paulus menggalakkan Filemon untuk menyambut hambanya ini dengan baik hati sebagai seorang saudara rohaninya.—Flm. 13-19.
b Lihat kotak “ Lima Surat Paulus semasa Pertama Kali Ditahan di Roma.”
c Lihat kotak “ Kehidupan Paulus selepas 61 M.”
d Lihat kotak “ Berita Baik ‘Disebarkan kepada Semua Ciptaan.’”