BAB 23
‘Dengarlah Aku Membela Diri’
Paulus mempertahankan kebenaran di hadapan kumpulan perusuh dan Majlis Orang Yahudi
Berdasarkan Kisah 21:18–23:10
1, 2. Mengapakah Rasul Paulus pergi ke Yerusalem, dan apakah cabaran yang menantikannya?
YERUSALEM! Sekali lagi, Paulus melalui jalan yang sempit dan sibuk. Kota ini ialah kota yang paling istimewa di bumi dalam sejarah umat Yehuwa. Kebanyakan penduduknya bermegah dengan sejarah mereka itu. Paulus tahu bahawa banyak orang Kristian di sini terlalu menitikberatkan masa lampau sehingga gagal membuat kemajuan selaras dengan kehendak Yehuwa. Maka semasa Paulus berada di Efesus, dia sedar bahawa mereka bukan sahaja memerlukan bantuan fizikal tetapi juga bantuan rohani. Inilah sebab-sebab yang mendorongnya untuk kembali ke kota ini. (Kis. 19:21) Walaupun menghadapi bahaya, Paulus tetap meneruskan perjalanannya.
2 Apakah cabaran yang menantikan Paulus di Yerusalem? Salah satu cabarannya datang daripada sesetengah pengikut Kristus yang terganggu dengan khabar angin tentang Paulus. Cabaran yang lebih besar datang daripada musuh Kristus. Mereka akan melontarkan tuduhan palsu terhadap Paulus, memukulnya, dan mengancam untuk membunuhnya. Namun, keadaan ini juga memberikan kesempatan kepada Paulus untuk membela diri. Kerendahan hatinya, keberaniannya, dan imannya dalam menangani situasi sebegini menjadi teladan yang baik bagi orang Kristian hari ini. Bagaimana?
“Mereka Memuliakan Tuhan” (Kis. 21:18-20a)
3-5. (a) Paulus berjumpa dengan siapa di Yerusalem, dan apakah yang dibincangkan? (b) Apakah yang kita dapat pelajari daripada perjumpaan Paulus bersama para penatua di Yerusalem?
3 Sehari selepas tiba di Yerusalem, Paulus dan rakan-rakannya berjumpa dengan para penatua sidang di situ. Para rasul yang masih hidup tidak disebut dalam kisah ini. Mereka mungkin telah meninggalkan Yerusalem untuk berkhidmat di tempat lain. Namun Yakobus, adik Yesus, masih di sana. (Gal. 2:9) Kemungkinan besar, Yakobus menjadi pengerusi perjumpaan tersebut semasa “semua penatua pun ada di situ” bersama Paulus.—Kis. 21:18.
4 Paulus memberikan salam kepada para penatua “dan memberitahu mereka secara terperinci apa yang telah dilakukan oleh Tuhan dalam kalangan bangsa-bangsa lain melalui kerja penyebarannya.” (Kis. 21:19) Laporan itu pasti sangat menggalakkan mereka. Hari ini, kita juga teruja mendengar kemajuan rohani yang sedang berlaku di tempat lain.—Ams. 25:25.
5 Semasa perjumpaan itu, Paulus kemungkinan besar menyebut tentang sumbangan yang dibawanya dari Eropah. Keprihatinan rakan seiman dari tempat yang jauh pasti menyentuh hati para penatua. Selepas mendengar laporannya, “mereka memuliakan Tuhan”! (Kis. 21:20a) Begitu juga, banyak saudara saudari hari ini, yang menghadapi bencana atau penyakit yang serius, tersentuh apabila rakan seiman mereka memberikan bantuan dan kata-kata galakan tepat pada masanya.
Ramai yang Masih “Mematuhi Hukum dengan Bersungguh-Sungguh” (Kis. 21:20b, 21)
6. Apakah masalah yang disampaikan kepada Paulus?
6 Kemudian, para penatua memberitahu Paulus tentang masalah di Yudea yang melibatkannya. Mereka berkata, “Saudara, lihatlah! Ada beribu-ribu pengikut Yesus dalam kalangan orang Yahudi. Mereka semua mematuhi Hukum dengan bersungguh-sungguh. Tetapi mereka mendengar khabar angin bahawa kamu mengajar semua orang Yahudi yang tinggal dalam kalangan bangsa-bangsa lain agar meninggalkan Hukum Musa, kerana kamu menyuruh mereka agar tidak menyunat anak-anak mereka dan tidak mengikut adat istiadat mereka.” a—Kis. 21:20b, 21.
7, 8. (a) Apakah pandangan salah yang dimiliki oleh banyak orang Kristian di Yudea? (b) Mengapakah pandangan salah beberapa orang Kristian itu tidak bermaksud bahawa mereka murtad?
7 Mengapakah begitu banyak orang Kristian berkeras untuk mematuhi Hukum Musa, sedangkan Hukum itu telah dimansuhkan lebih daripada 20 tahun yang lalu? (Kol. 2:14) Pada 49 M, para rasul dan penatua yang bermesyuarat di Yerusalem telah menghantar sepucuk surat kepada sidang-sidang. Surat itu menjelaskan bahawa pengikut Kristus daripada bangsa lain tidak perlu disunat dan mematuhi Hukum Musa. (Kis. 15:23-29) Namun, surat itu tidak menyebut tentang orang Kristian berbangsa Yahudi, dan banyak antara mereka tidak memahami bahawa Hukum Musa sudah dimansuhkan.
8 Adakah pandangan salah orang Kristian berbangsa Yahudi bermaksud bahawa mereka tidak layak menjadi orang Kristian? Tidak. Mereka bukannya pernah menyembah dewa dewi kafir dan kemudiannya terus mengamalkan adat agama yang dianuti dahulu. Hukum Musa begitu penting bagi orang Kristian berbangsa Yahudi kerana Hukum itu diberikan oleh Yehuwa. Jadi, Hukum itu memang tidak salah dan tidak dipengaruhi roh-roh jahat. Namun, Hukum Musa melibatkan perjanjian lama, manakala orang Kristian kini berada di bawah perjanjian baharu. Maka, mematuhi Hukum Musa tidak lagi diperlukan dalam ibadat sejati. Orang Kristian berbangsa Yahudi yang berkeras untuk mematuhi Hukum Musa tidak memahami perubahan ini, dan kurang yakin kepada sidang Kristian. Mereka perlu menyelaraskan fikiran mereka dengan kebenaran yang disingkapkan. b—Yer. 31:31-34; Luk. 22:20.
‘Khabar Angin Itu Tidak Berasas’ (Kis. 21:22-26)
9. Apakah yang diajar oleh Paulus mengenai Hukum Musa?
9 Bagaimana pula dengan khabar angin bahawa Paulus sedang mengajar orang Yahudi dalam kalangan bangsa-bangsa lain “agar tidak menyunat anak-anak mereka dan tidak mengikut adat istiadat mereka”? Paulus ialah rasul kepada orang bukan Yahudi, dan dia menyokong keputusan bahawa orang bukan Yahudi tidak perlu mentaati Hukum Musa. Dia juga mendedahkan bahawa sesiapa yang mendesak orang Kristian bukan Yahudi untuk bersunat dan mentaati Hukum Musa adalah salah. (Gal. 5:1-7) Selain itu, Paulus menyebarkan berita baik kepada orang Yahudi di kota-kota yang dilawatinya. Dia pastinya menjelaskan kepada sesiapa yang sudi mendengar bahawa kematian Yesus telah memansuhkan Hukum Musa dan seseorang mendapat perkenan Tuhan melalui iman, bukannya dengan mematuhi Hukum.—Rm. 2:28, 29; 3:21-26.
10. Bagaimanakah Paulus menunjukkan sikap yang seimbang dalam soal Hukum dan sunat?
10 Namun begitu, Paulus bertimbang rasa terhadap orang yang sudah biasa dengan sesetengah amalan Yahudi, seperti tidak bekerja pada hari Sabat atau menjauhi makanan tertentu. (Rm. 14:1-6) Dia juga tidak menetapkan peraturan mengenai isu sunat. Sebenarnya, Paulus membawa Timotius untuk disunat supaya orang Yahudi tidak tersinggung dengan Timotius, yang bapanya berbangsa Yunani. (Kis. 16:3) Keputusan untuk disunat ialah keputusan peribadi. Paulus memberitahu sidang di Galatia, “Bersunat atau tidak bersunat tidak ada nilainya. Sebaliknya, yang bernilai ialah iman yang membuahkan hasil melalui kasih.” (Gal. 5:6) Namun, adalah salah bersunat atas tujuan mentaati Hukum atau mendapatkan perkenan Yehuwa. Tindakan sedemikian menunjukkan kurangnya iman.
11. Apakah arahan yang diberikan oleh para penatua kepada Paulus, tetapi apakah yang tidak akan dilakukannya? (Lihat juga nota kaki.)
11 Walaupun khabar angin itu langsung tidak benar, orang Kristian berbangsa Yahudi masih rasa terganggu. Maka, para penatua memberikan arahan berikut kepada Paulus: “Ada empat orang lelaki di sini yang sudah berikrar kepada Tuhan. Bawalah mereka bersamamu dan jalankanlah upacara penyucian bersama mereka. Hendaklah kamu membayar perbelanjaan mereka juga, supaya mereka boleh mencukur rambut. Dengan demikian, semua orang akan tahu bahawa khabar angin tentang kamu itu tidak berasas, kerana kamu mematuhi dan hidup selaras dengan Hukum.” c—Kis. 21:23, 24.
12. Apakah yang menunjukkan Paulus sudi membuat penyesuaian dan bekerjasama dengan para penatua di Yerusalem?
12 Paulus boleh berkeras bahawa masalah sebenar bukannya khabar angin tentang dia, melainkan sikap orang Kristian berbangsa Yahudi yang terlalu mementingkan Hukum Musa. Tetapi, dia sudi membuat penyesuaian selagi dia tidak melanggar prinsip Tuhan. Sebelum ini, dia pernah menulis, “Walaupun aku tidak berada di bawah hukum, aku menjadi seperti orang yang berada di bawah hukum semasa aku bersama dengan orang yang berada di bawah hukum, supaya aku dapat memimpin mereka ke haluan Kristus.” (1 Kor. 9:20) Dalam peristiwa ini, Paulus bekerjasama dengan para penatua di Yerusalem dan menjadi “seperti orang yang berada di bawah hukum.” Dengan berbuat demikian, dia menjadi teladan yang baik bagi kita. Kita juga harus bekerjasama dengan para penatua dan tidak berkeras dengan cara sendiri.—Ibr. 13:17.
“Dia Tidak Layak Hidup!” (Kis. 21:27–22:30)
13. (a) Mengapakah sesetengah orang Yahudi menyebabkan kacau-bilau di Rumah Tuhan? (b) Bagaimanakah nyawa Paulus diselamatkan?
13 Keadaan di Rumah Tuhan kacau-bilau. Apabila upacara penyucian itu hampir berakhir, orang Yahudi dari Asia nampak Paulus. Mereka menuduh dia membawa orang bukan Yahudi ke dalam Rumah Tuhan, kemudian mereka memulakan rusuhan. Jika ketua pasukan tentera Roma tidak masuk campur, Paulus mungkin telah dipukul sampai mati. Biarpun begitu, ketua pasukan tentera Roma itu kemudiannya menangkap Paulus. Sejak hari itu, Paulus telah ditahan selama lebih daripada empat tahun. Namun, nyawa Paulus masih dalam bahaya. Apabila ketua itu menanya orang Yahudi mengapa mereka menyerang Paulus, mereka melontarkan pelbagai tuduhan. Dalam keadaan yang huru-hara itu, ketua itu langsung tidak faham apa yang mereka katakan. Akhirnya, Paulus terpaksa diangkat dari situ. Apabila Paulus dan askar Roma hampir tiba di tempat tinggal askar, Paulus berkata kepada ketua pasukan tentera itu, “Tolong izinkan aku bercakap kepada orang ramai ini.” (Kis. 21:39) Ketua itu memberi Paulus keizinan, dan Paulus pun pergi untuk mempertahankan imannya dengan berani.
14, 15. (a) Apakah yang dikatakan Paulus kepada orang Yahudi? (b) Apakah yang dilakukan oleh ketua pasukan tentera Roma itu untuk mengetahui sebabnya orang Yahudi berasa marah?
14 Paulus memulakan ucapannya dengan berkata, “Dengarlah apa yang akan aku katakan untuk membela diri.” (Kis. 22:1) Paulus bercakap kepada orang ramai itu dalam bahasa Ibrani, dan itu telah membuat mereka mendengarnya dengan lebih tenang. Dia memberikan penjelasan terus terang tentang sebabnya dia menjadi pengikut Kristus. Semasa berbuat demikian, Paulus dengan bijak menyebut hal-hal yang dapat dipastikan sendiri oleh orang Yahudi. Seperti yang diketahui sesetengah hadirin di situ, Paulus pernah diajar oleh guru yang terkenal, Gamaliel, dan dia pernah menganiaya pengikut Kristus. Namun semasa dalam perjalanan ke Damsyik, dia telah mendapat satu penglihatan tentang Kristus yang telah dibangkitkan dan yang bercakap kepadanya. Rakan perjalanan Paulus nampak cahaya yang terang dan mendengar satu suara, tetapi mereka tidak memahami kata-kata yang diucapkan. (Kis. 9:7; 22:9) Kemudian, Paulus tidak dapat melihat. Maka rakan-rakan perjalanan Paulus telah memimpin Paulus ke Damsyik. Di sana, seorang lelaki bernama Ananias yang dikenali oleh orang Yahudi di kawasan itu, telah menyembuhkan penglihatan Paulus secara mukjizat.
15 Paulus kemudiannya menceritakan bahawa selepas dia kembali ke Yerusalem, Yesus menampakkan diri kepadanya di Rumah Tuhan. Setelah mendengar hal ini, orang Yahudi menjadi sangat geram dan mereka berteriak, “Bunuhlah dia! Dia tidak layak hidup di muka bumi ini!” (Kis. 22:22) Untuk menyelamatkan Paulus, ketua tentera itu telah membawanya ke tempat tinggal askar. Ketua itu bertekad untuk mengetahui sebabnya orang Yahudi marah terhadap Paulus. Maka, dia memerintahkan supaya Paulus dicambuk dan disoal siasat. Namun, Paulus memanfaatkan perlindungan di sisi undang-undang dan mendedahkan bahawa dia sebenarnya seorang warganegara Roma. Hari ini, penyembah Yehuwa juga menggunakan undang-undang untuk mendapatkan perlindungan demi mempertahankan iman mereka. (Lihat kotak “ Hukum Roma dan Rakyatnya,” dan “ Memperjuangkan Hak di Mahkamah pada Zaman Moden.”) Setelah mendengar bahawa Paulus merupakan warganegara Roma, ketua itu sedar bahawa dia harus mencari cara lain untuk mendapatkan maklumat. Keesokan harinya, dia mengaturkan sebuah mesyuarat khas bersama Majlis Orang Yahudi, iaitu mahkamah agung orang Yahudi, dan membawa Paulus menghadap mereka.
“Aku Orang Farisi” (Kis. 23:1-10)
16, 17. (a) Ceritakan apa yang berlaku semasa Paulus berucap di hadapan Majlis Orang Yahudi. (b) Semasa Paulus dipukul, bagaimanakah dia menunjukkan kerendahan hati?
16 Semasa Paulus mula membela diri di hadapan Majlis Orang Yahudi, dia berkata, “Saudara-saudara, sehingga hari ini, aku melakukan segala sesuatu dengan hati nurani yang bersih sepenuhnya di hadapan Tuhan.” (Kis. 23:1) Sebelum dia meneruskan kata-katanya, Bible menyatakan, “Imam Agung Ananias memerintahkan orang yang berdiri dekat Paulus untuk menampar mulut Paulus.” (Kis. 23:2) Memang suatu penghinaan! Mereka juga menunjukkan sikap prasangka kerana menganggap Paulus sebagai penipu bahkan sebelum mendengar bukti yang dikemukakan! Tidak hairanlah Paulus berkata, “Tuhan akan menghukum kamu, hai kamu yang bagaikan tembok bercat putih! Adakah kamu duduk untuk menghakimi aku menurut Hukum, tetapi pada masa yang sama kamu melanggar Hukum itu dengan menyuruh orang untuk memukul aku?”—Kis. 23:3.
17 Sesetengah orang yang berdiri di situ berasa terkejut bukan kerana orang yang memukul Paulus, tetapi kerana reaksi Paulus! Mereka berkata, “Berani kamu mencaci imam agung Tuhan!” Jawapan Paulus yang seterusnya membantu mereka sedar tentang pentingnya kerendahan hati dan hormat terhadap Hukum Musa. Dia berkata, “Saudara-saudara, aku tidak tahu bahawa dia imam agung. Memang ada tertulis, ‘Kamu tidak boleh menghina pemerintah bangsa kamu.’” d (Kis. 23:4, 5; Kel. 22:28) Selepas itu, Paulus mengubah cara dia berbincang dengan mereka. Dengan mengingat bahawa Majlis Orang Yahudi terdiri daripada orang Farisi dan Saduki, dia berkata, “Saudara-saudara, aku orang Farisi, dan nenek moyang aku juga orang Farisi. Aku dihakimi kerana aku percaya bahawa orang mati akan dibangkitkan.”—Kis. 23:6.
18. Mengapakah Paulus memanggil dirinya orang Farisi? Bagaimanakah kita dapat menggunakan cara yang sama dalam sesetengah situasi?
18 Mengapakah Paulus memanggil dirinya orang Farisi? Hal ini kerana ‘nenek moyangnya juga orang Farisi.’ Maka, banyak orang mungkin masih memandangnya sebagai orang Farisi. e Namun, mengapakah Paulus dapat mengaitkan dirinya dengan kepercayaan orang Farisi tentang pembangkitan? Orang Farisi dikatakan percaya bahawa terdapat bahagian daripada tubuh manusia yang akan terus hidup selepas mati, dan bahawa jiwa orang yang berbuat benar akan hidup semula dalam tubuh manusia. Paulus memang tidak mempercayai ajaran sebegitu. Dia mempercayai ajaran pembangkitan yang diajarkan oleh Yesus. (Yoh. 5:25-29) Namun, Paulus setuju dengan orang Farisi bahawa orang mati ada harapan. Hal ini bertentangan dengan orang Saduki yang tidak mempercayai kehidupan pada masa depan. Kita juga boleh menggunakan cara yang sama semasa berbincang dengan orang yang mempercayai Tuhan. Memang, mereka percaya kepada tuhan sendiri, manakala kita pula percaya kepada Tuhan yang disebut dalam Bible. Namun, kita masih mempunyai persamaan dengan mereka bahawa Tuhan memang wujud.
19. Mengapakah mesyuarat Majlis Orang Yahudi menjadi kacau-bilau?
19 Kata-kata Paulus menyebabkan mesyuarat Majlis Orang Yahudi menjadi kacau-bilau. Bible menyatakan, “Lalu keadaan di situ menjadi sangat huru-hara. Beberapa orang jurutulis hukum daripada golongan Farisi bangun dan mula membantah dengan keras, ‘Kami mendapati orang ini langsung tidak bersalah. Lagipun makhluk roh atau malaikat mungkin telah bercakap kepadanya.’” (Kis. 23:9) Pandangan bahawa malaikat mungkin telah bercakap kepada Paulus langsung tidak boleh diterima oleh orang Saduki yang tidak mempercayai malaikat. (Lihat kotak “ Orang Saduki dan Orang Farisi.”) Keadaan di situ menjadi begitu teruk sehingga ketua pasukan tentera Roma itu perlu menyelamatkan Paulus sekali lagi. (Kis. 23:10) Namun, Paulus masih dalam bahaya. Apakah yang akan berlaku kepada rasul itu sekarang? Kita akan belajar lebih banyak di bab seterusnya.
a Memandangkan jumlah orang Kristian berbangsa Yahudi begitu besar, kemungkinan banyak perjumpaan sidang diadakan di rumah.
b Beberapa tahun kemudian, Rasul Paulus menulis surat kepada orang Ibrani dan membuktikan bahawa perjanjian baharu lebih unggul. Dalam surat itu, dia menjelaskan bahawa perjanjian baharu telah memansuhkan perjanjian lama. Dia memberikan penjelasan yang meyakinkan yang boleh digunakan orang Kristian Yahudi untuk menjawab orang yang berkeras dengan Hukum Musa. Sememangnya, hujah-hujah Paulus menguatkan iman sesetengah orang Kristian yang terlalu menitikberatkan Hukum Musa.—Ibr. 8:7-13.
c Cendekiawan berpendapat bahawa lelaki-lelaki itu telah membuat ikrar orang Nazir. (Bil. 6:1-21) Memang, ikrar itu dibuat di bawah aturan Hukum Musa yang kini sudah dimansuhkan. Namun, Paulus mungkin berfikir bahawa tidaklah salah bagi lelaki-lelaki itu untuk menunaikan ikrar kepada Yehuwa. Maka, tidaklah salah baginya untuk menanggung perbelanjaan dan menemani mereka. Kita tidak tahu dengan tepat apa jenis ikrar yang dibuat, namun Paulus kemungkinan besar tidak menyokong perbuatan mempersembahkan korban binatang (seperti orang Nazir) yang dipercayai dapat menyucikan orang daripada dosa. Korban Yesus yang sempurna telah dipersembahkan, maka korban binatang tidak lagi diperlukan. Tidak kira apa yang dilakukan Paulus, kita yakin dia tidak akan menyokong apa-apa yang mengganggu hati nuraninya.
d Sesetengah orang beranggapan bahawa penglihatan Paulus mungkin kurang baik sehingga dia tidak dapat mengenal imam agung. Atau dia mungkin sudah lama tidak berada di Yerusalem sehingga dia tidak mengetahui siapa imam agung pada masa itu. Atau Paulus mungkin tidak dapat melihat siapa yang memberikan arahan agar dia dipukul kerana terdapat begitu banyak orang di situ.
e Pada 49 M, para rasul dan para penatua telah membincangkan sama ada orang bukan Yahudi patut mematuhi Hukum Musa atau tidak. Ada antara orang Kristian yang hadir pada masa itu disebut sebagai “orang daripada golongan Farisi yang sudah menjadi murid Yesus.” (Kis. 15:5) Nampaknya, mereka masih dikenali sebagai orang Farisi kerana itulah latar belakang mereka.