Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 26

‘Tiada Seorang pun yang Akan Kehilangan Nyawa’

‘Tiada Seorang pun yang Akan Kehilangan Nyawa’

Paulus mengalami nahas kapal laut, namun dia menunjukkan kasih kepada orang dan iman yang besar

Berdasarkan Kisah 27:1–28:10

1, 2. Apakah perjalanan yang menantikan Paulus, dan apakah yang mungkin dirisaukannya?

 GABENOR FESTUS telah berkata kepada Paulus, “Kamu akan pergi kepada Kaisar.” Kata-kata itu terus bermain di minda Paulus kerana hal itu akan memberikan kesan besar kepada masa depannya. Paulus telah meringkuk di penjara selama dua tahun, jadi perjalanan yang panjang ke Roma akan membolehkannya melihat pemandangan yang berbeza. (Kis. 25:12) Paulus memang ada banyak kenangan tentang pengembaraannya di laut. Namun, dia tahu perjalanan sebegitu bukan hanya untuk menikmati angin sepoi-sepoi dan pemandangan indah. Kali ini, dia mungkin mempunyai beberapa kerisauan kerana dia akan berhadapan dengan Kaisar.

2 Paulus telah banyak kali ‘menghadapi bahaya di laut.’ Dia pernah menghadapi tiga nahas kapal laut, bahkan pernah terapung-apung di laut selama satu hari dan satu malam. (2 Kor. 11:25, 26) Selain itu, perjalanan kali ini sangat berbeza dengan perjalanan mubalighnya dahulu sebagai orang bebas. Sekarang, Paulus akan berlayar sebagai seorang tahanan, dan akan mengambil perjalanan yang sangat panjang, iaitu lebih daripada 3,000 km dari Kaisarea ke Roma. Adakah dia akan selamat dalam perjalanan ini? Walaupun dia mungkin akan selamat sampai, adakah perjalanannya akan berakhir dengan hukuman mati? Ingatlah, dia akan dihakimi oleh pemerintah dunia yang paling berkuasa pada zaman itu.

3. Apakah tekad Paulus? Apakah yang akan kita bincangkan dalam bab ini?

3 Setelah membaca banyak tentang kisah Paulus, adakah anda rasa dia akan putus asa dan tawar hati kerana apa yang bakal dialaminya? Tidak sama sekali! Dia sedar bahawa dia akan menghadapi cabaran, tetapi dia tidak tahu apa bentuk kesusahan itu. Sudah tentu, dia tidak mahu hilang sukacita dalam kerja penyebarannya hanya kerana berasa risau tentang hal-hal yang di luar kawalannya. (Mat. 6:27, 34) Paulus tahu bahawa Yehuwa menghendakinya mengambil setiap peluang untuk menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan, bahkan kepada para pemerintah. (Kis. 9:15) Maka, Paulus bertekad untuk melaksanakan tugas itu tidak kira apa pun yang berlaku. Bukankah itu juga tekad kita? Jadi, marilah kita menyertai Paulus dalam perjalanannya yang penting ini sambil memikirkan manfaat yang dapat kita raih daripada teladannya.

‘Angin Bertiup dari Arah Bertentangan’ (Kis. 27:1-7a)

4. Semasa Paulus memulakan perjalanannya, apakah jenis kapal yang dinaikinya, dan siapakah rakan perjalanannya?

4 Paulus dan beberapa orang tahanan dijaga oleh seorang pegawai Roma yang bernama Yulius. Pegawai itu memutuskan untuk menaiki kapal dagang yang telah tiba di Kaisarea. Kapal itu telah datang dari Adramitium, sebuah pelabuhan di pantai barat Asia Kecil yang berhadapan dengan kota Metilene di Pulau Lesbos. Kapal itu akan berlayar ke arah utara dan kemudiannya ke arah barat, dan akan berhenti di beberapa tempat untuk menurunkan dan menaikkan muatan. Kapal sebegitu tidak direka untuk membawa penumpang, apatah lagi membawa tahanan. (Lihat kotak “ Perjalanan Laut dan Laluan Dagang.”) Syukurlah, Paulus bukanlah satu-satunya orang Kristian dalam kalangan penjenayah di situ. Sekurang-kurangnya, ada dua rakan seiman yang menemaninya, iaitu Aristarkhus dan Lukas. Sudah pasti, Lukaslah yang mencatatkan kisah ini. Kita tidak pasti sama ada dua sahabat Paulus yang setia ini membayar tambang mereka sendiri atau menjadi pembantu Paulus.​—Kis. 27:1, 2.

5. Apakah pergaulan yang dapat dinikmati oleh Paulus di Sidon? Apakah yang dapat kita pelajari?

5 Setelah berlayar selama sehari dan menempuh perjalanan kira-kira 110 km ke arah utara, kapal itu berlabuh di Sidon, iaitu di persisiran Siria. Nampaknya Yulius tidak melayan Paulus seperti penjenayah lain, mungkin kerana Paulus ialah rakyat Roma dan belum lagi didapati bersalah. (Kis. 22:27, 28; 26:31, 32) Yulius mengizinkan Paulus turun dari kapal untuk berjumpa dengan rakan Kristian yang lain. Bayangkanlah sukacita yang dinikmati oleh saudara saudari semasa mereka menjaga Paulus yang telah lama dipenjarakan! Dapatkah anda fikirkan peluang serupa yang terbuka bagi anda untuk menunjukkan kasih dan kemurahan hati? Pernahkah anda rasa digalakkan kerana berbuat demikian?​—Kis. 27:3.

6-8. Bagaimanakah perjalanan Paulus dari Sidon ke Knidus? Apakah peluang menginjil yang dapat dimanfaatkan oleh Paulus?

6 Kapal itu meninggalkan Sidon, kemudian terus belayar menyusuri pantai dan melintasi Kilikia, berhampiran dengan kampung halaman Paulus, di Tarsus. Lukas tidak menyebut bahawa kapal itu berhenti di tempat lain, namun dia menyatakan butiran yang merisaukan semasa dia menulis bahawa ada “angin yang bertiup dari arah yang bertentangan.” (Kis. 27:4, 5) Walaupun begitu, kita dapat bayangkan Paulus mengambil setiap peluang untuk mengongsi tentang berita baik. Sudah tentu, dia menginjil kepada tahanan dan orang lain dalam kapal, termasuk anak kapal dan askar, serta orang yang ditemuinya semasa berhenti di pelabuhan-pelabuhan. Hari ini, adakah kita memanfaatkan peluang menginjil yang terbuka bagi kita?

7 Kemudian, kapal itu tiba di Mira, sebuah pelabuhan di persisiran pantai di selatan Asia Kecil. Di sana, Paulus dan penumpang lain harus menaiki kapal lain yang akan membawa mereka ke destinasi terakhir mereka, iaitu ke Roma. (Kis. 27:6) Pada zaman itu, Roma mendapatkan sebahagian besar bekalan bijirin dari Mesir, dan kapal Mesir yang membawa bekalan itu akan berlabuh di Mira. Yulius menjumpai kapal sebegitu dan menyuruh para askar serta tahanan untuk menaikinya. Kapal itu pasti lebih besar daripada kapal yang sebelumnya. Kapal itu membawa muatan gandum yang bernilai serta 276 orang, iaitu anak kapal, askar, para tahanan, dan orang lain yang juga sedang menuju ke Roma. Setelah menaiki kapal itu, Paulus pasti dapat menginjil kepada lebih banyak orang dan dia menggunakan peluang itu dengan sebaik-baiknya.

8 Perhentian seterusnya ialah Knidus, yang terletak di hujung barat daya Asia Kecil. Jika cuaca baik, kapal dapat belayar dari Mira ke Knidus dalam satu hari. Namun, Lukas melaporkan, “Selama berhari-hari, kami belayar dengan perlahan. Dengan susah payah, kami akhirnya tiba di Knidus.” (Kis. 27:7a) Ya, cuaca pada masa itu semakin teruk. (Lihat kotak “ Angin dari Arah Bertentangan di Laut Mediterranean.”) Bayangkanlah keadaan para penumpang apabila kapal itu cuba mengharungi angin kuat dan laut yang bergelora.

“Diumbang-Ambingkan Ribut” (Kis. 27:7b-26)

9, 10. Apakah kesusahan yang timbul berdekatan dengan Kreta?

9 Kapten kapal bercadang untuk meneruskan perjalanan ke arah barat dari Knidus. Namun, Lukas yang menyaksikan peristiwa itu menyatakan bahawa “angin bertiup dari arah yang bertentangan.” (Kis. 27:7b) Apabila kapal semakin jauh dari darat, tiada lagi arus di pesisir yang dapat membantu kapal untuk berlayar. Kemudian, angin yang kencang dari barat laut telah menolak kapal itu ke arah selatan, mungkin dengan kelajuan yang sangat tinggi. Sebelum ini, Pulau Siprus telah melindungi kapal yang dinaiki Paulus daripada angin yang bertiup dari arah bertentangan. Itulah yang berlaku kali ini di Pulau Kreta. Apabila kapal melalui Tanjung Salmone di timur Kreta, keadaan menjadi semakin baik. Mengapa? Kapal itu berada di bahagian selatan pulau itu, dan tempat itu terlindung daripada angin kencang. Bayangkanlah betapa leganya penumpang dalam kapal! Namun selagi kapal itu berada di laut, anak kapal harus memikirkan musim sejuk yang bakal tiba. Itu memang menimbulkan kerisauan.

10 Lukas dengan tepat mengatakan, “Dengan susah payah kami belayar menyusur pantai [Kreta] dan tiba di sebuah tempat . . . yang bernama Pelabuhan Indah.” Walaupun terdapat sedikit perlindungan, kapal masih susah dikawal. Namun, akhirnya mereka menjumpai tempat untuk berlabuh di sebuah teluk kecil. Tempat itu dikatakan terletak di kawasan sebelum garis pantai membelok ke utara. Berapa lamakah mereka berada di sana? Lukas menyatakan bahawa mereka berada di sana buat “suatu jangka masa.” Namun, mereka kesuntukan waktu kerana berlayar pada bulan September/Oktober adalah sangat bahaya.​—Kis. 27:8, 9.

11. Apakah nasihat yang Paulus berikan kepada orang dalam kapal? Namun, apakah keputusan yang dibuat?

11 Oleh sebab Paulus mempunyai pengalaman mengembara di Mediterranean, sesetengah penumpang mungkin telah meminta nasihatnya. Dia mencadangkan agar kapal mereka tidak terus belayar. Jika mereka berlayar, kapal itu akan mengalami “kerosakan dan kerugian yang besar,” dan penumpang bahkan mungkin kehilangan nyawa. Namun, kapten kapal dan pemilik kapal mahu meneruskan perjalanan, mungkin mereka rasa terdesak untuk mencari lokasi yang lebih selamat. Mereka meyakinkan Yulius, dan kebanyakan orang berasa bahawa mereka harus cuba untuk tiba di Feniks, sebuah pelabuhan yang agak jauh dari tempat mereka berada. Tempat itu mungkin mempunyai pelabuhan yang lebih besar dan lebih baik untuk menghabiskan musim sejuk. Jadi apabila angin selatan nampaknya bertiup dengan lembut, kapal itu pun berlayar.​—Kis. 27:10-13.

12. Setelah meninggalkan Kreta, apakah bahaya yang dihadapi oleh kapal itu? Bagaimanakah anak kapal cuba mengelakkan nahas?

12 Kemudian kapal itu menghadapi masalah: “Angin yang sangat kencang” melanda dari timur laut. Buat seketika, mereka berlindung di sebalik “sebuah pulau kecil yang bernama Kauda,” yang terletak kira-kira 65 km dari Pelabuhan Indah. Namun, kapal itu masih dalam bahaya kerana mungkin akan dihanyutkan ke arah selatan dan melanggar tebing pasir di pinggir laut Afrika. Untuk mengelakkan hal itu daripada berlaku, anak kapal dengan tergesa-gesa menaikkan perahu kecil. Tetapi, hal itu tidak mudah kerana perahu kecil itu mungkin telah dipenuhi air. Selepas itu, mereka memperkuat papan-papan di bahagian bawah kapal besar itu dengan mengikatnya menggunakan tali atau rantai. Kemudian, mereka melonggarkan tali yang mengikat layar utama dan membiarkan kapal ditiup mengikut angin ribut. Bayangkanlah betapa menakutkan pengalaman itu! Walaupun mereka sudah mengambil langkah-langkah tersebut, kapal itu terus “diumbang-ambingkan ribut.” Pada hari ketiga, mereka membuang sebahagian daripada alat-alat kapal, barangkali untuk meringankan kapal.​—Kis. 27:14-19.

13. Semasa ribut itu, bagaimanakah keadaan dalam kapal yang dinaiki Paulus?

13 Semua orang diselubungi ketakutan. Namun, Paulus dan rakan-rakannya yakin bahawa mereka akan selamat. Sebelum ini, Tuan Yesus telah meyakinkan Paulus bahawa rasul itu akan memberikan kesaksian di Roma, kemudian malaikat juga mengesahkan janji itu. (Kis. 19:21; 23:11) Namun, siang dan malam ribut badai terus melanda selama dua minggu. Oleh sebab hujan tidak henti-henti dan awan tebal menutupi matahari dan bintang, kapten kapal tidak dapat menentukan lokasi dan arah tuju kapal. Para penumpang bahkan langsung tidak dapat makan. Mana mungkin orang terfikir untuk makan semasa sejuk, hujan, mabuk laut, dan takut!

14, 15. (a) Semasa bercakap dengan orang dalam kapal, mengapakah Paulus menyebut semula tentang amarannya? (b) Apakah yang dapat kita pelajari daripada mesej yang membawa harapan yang disampaikan oleh Paulus?

14 Kemudian Paulus berdiri lalu menyebut tentang amaran yang diberikannya sebelum itu. Dia bukannya berniat untuk berkata, “Kan saya sudah beritahu kamu.” Sebaliknya, peristiwa yang baru sahaja berlaku membuktikan bahawa kata-katanya memang patut diberi perhatian. Selepas itu, dia berkata, “Dengarlah nasihatku: Teguhkanlah hati kamu, kerana tiada seorang pun antara kamu yang akan kehilangan nyawa. Hanya kapal ini yang tidak dapat diselamatkan.” (Kis. 27:21, 22) Kata-katanya pasti melegakan hati para pendengarnya! Sudah tentu, Paulus juga senang hati kerana Yehuwa telah memberinya mesej yang membawa harapan untuk dikongsikan kepada orang di situ. Ingatlah, Yehuwa menghargai nyawa setiap orang. Bagi-Nya setiap orang sangat penting. Rasul Petrus menulis, ‘Yehuwa tidak ingin seorang pun dibinasakan. Dia ingin agar semua orang berpeluang untuk bertaubat.’ (2 Ptr. 3:9) Maka, kita mahu berusaha untuk menyampaikan mesej yang membawa harapan kepada sebanyak orang yang mungkin. Kerja ini mendesak kerana nyawa banyak orang dalam bahaya.

15 Kemungkinan besar, Paulus telah menginjil kepada banyak orang dalam kapal itu mengenai ‘harapan tentang janji yang diberikan oleh Tuhan.’ (Kis. 26:6; Kol. 1:5) Sekarang dalam keadaan kapal yang bakal mengalami nahas, Paulus dapat memberi mereka sebab yang lebih kukuh bahawa mereka akan selamat. Dia berkata, ‘Malam tadi, malaikat daripada Tuhan, iaitu Tuhan yang memiliki aku, berdiri di sisiku dan berkata, “Janganlah takut, Paulus. Kamu mesti berdiri di hadapan Kaisar. Lihatlah! Oleh sebab kebaikan hati Tuhan, semua orang yang belayar dengan kamu akan diselamatkan.”’ Kemudian Paulus menggesa mereka, “Oleh itu, wahai sahabat-sahabatku, tabahkanlah hati kamu! Aku percaya bahawa Tuhan akan melakukan perkara-perkara itu tepat seperti yang dikatakan oleh malaikat itu kepadaku. Tetapi, kita akan terkandas di sebuah pulau.”​—Kis. 27:23-26.

“Semua Orang sampai ke Darat dengan Selamat” (Kis. 27:27-44)

Dia mengucapkan syukur kepada Tuhan di depan mereka semua.’​—Kisah 27:35

16, 17. (a) Apakah kesempatan yang dimanfaatkan oleh Paulus untuk berdoa, dan apakah kesannya? (b) Bagaimanakah amaran Paulus telah menjadi kenyataan?

16 Sepanjang dua minggu yang menakutkan itu, kapal telah dibawa angin sehingga kira-kira 870 km. Kemudian anak kapal sedar akan suatu perubahan, mungkin mereka mendengar pukulan ombak di pantai. Maka, mereka menurunkan sauh-sauh dari belakang kapal untuk mengelakkan kapal daripada hanyut dan menghalakan bahagian depan kapal ke arah pantai supaya mereka dapat mendarat. Pada saat itu, anak kapal cuba melarikan diri tapi dihalang oleh para askar. Paulus memberitahu pegawai tentera dan para askar, “Kamu tidak boleh diselamatkan jika anak-anak kapal tidak terus berada di dalam kapal.” Apabila kapal lebih stabil, Paulus menyuruh semua orang untuk makan dan meyakinkan mereka sekali lagi bahawa mereka akan selamat. Selepas itu, Paulus “mengucapkan syukur kepada Tuhan di depan mereka semua.” (Kis. 27:31, 35) Dengan mengucapkan doa kesyukuran, Paulus telah menetapkan teladan baik bagi Lukas, Aristarkhus, dan orang Kristian hari ini. Adakah doa yang anda ucapkan di hadapan umum juga menjadi sumber galakan dan kelegaan kepada orang lain?

17 Selepas mendengar doa Paulus, ‘semangat semua orang pulih, dan mereka pun mula makan.’ (Kis. 27:36) Kemudian mereka cuba meringankan kapal dengan membuang muatan gandum. Dengan itu, kapal dapat terapung lebih tinggi semasa menghampiri pantai. Apabila hari sudah siang, anak kapal memotong tali sauh, membuka tali yang mengikat kemudi, dan menaikkan layar yang kecil di hadapan kapal supaya dapat mengawal kapal. Selepas itu, bahagian depan kapal itu tersangkut di tebing pasir dan bahagian belakang kapal pula mula hancur dipukul ombak. Sesetengah askar mahu membunuh para tahanan supaya tiada antara mereka yang terlepas, tetapi Yulius menghalang hal itu daripada berlaku. Dia menyuruh semua orang untuk berenang atau bergayut pada sesuatu untuk sampai ke tepi pantai. Apa yang Paulus katakan telah menjadi kenyataan kerana 276 orang itu terselamat. Ya, “semua orang sampai ke darat dengan selamat.” Tetapi, mereka berada di mana?​—Kis. 27:44.

“Sangat Baik Hati” (Kis. 28:1-10)

18-20. Bagaimanakah penduduk Malta menunjukkan sikap yang “sangat baik hati,” dan apakah mukjizat yang dilakukan oleh Tuhan melalui Paulus?

18 Nampaknya, mereka berada di Pulau Malta, di selatan Sisilia. (Lihat kotak “ Di Manakah Malta?”) Walaupun penduduk di pulau itu menuturkan bahasa asing, mereka “sangat baik hati” terhadap orang yang terkandas itu. (Kis. 28:2) Penduduk di Malta menyalakan api untuk orang yang basah kuyup dan menggigil kesejukan. Walaupun hujan dan sejuk, api itu telah membantu menghangatkan mereka. Pada masa itu, suatu mukjizat juga telah berlaku.

19 Paulus menghulurkan bantuan untuk mengumpulkan kayu dan meletakkan kayu itu di atas api. Semasa dia berbuat demikian, seekor ular berbisa keluar dan memagut tangannya. Penduduk Malta menganggap hal itu sebagai hukuman daripada dewa dewi. a

20 Penduduk tempatan yang melihat Paulus dipatuk ular menyangka bahawa “tangannya akan bengkak.” Menurut satu bahan rujukan, dalam bahasa asal, perkataan yang digunakan di ayat ini merupakan “suatu istilah perubatan.” Tidaklah menghairankan bahawa ungkapan sebegitu diketahui oleh “Lukas, doktor yang kita kasihi.” (Kis. 28:6; Kol. 4:14) Tetapi yang menakjubkan, Paulus mengibaskan ular itu daripada tangannya dan dia tidak tercedera.

21. (a) Apakah beberapa contoh butiran tepat yang dicatatkan oleh Lukas dalam kisah ini? (b) Apakah mukjizat yang dilakukan oleh Paulus, dan apakah kesannya terhadap orang Malta?

21 Seorang pemilik ladang yang kaya, yang bernama Publius, tinggal di kawasan itu. Dia mungkin ialah pegawai Roma yang tertinggi di Malta. Lukas menyebutnya sebagai “pemimpin pulau tersebut,” dan gelaran yang sama terdapat dalam dua ukiran kuno yang dijumpai di Malta. Dia dengan murah hati menerima Paulus dan rakan-rakannya sebagai tetamu selama tiga hari. Namun, bapa Publius telah jatuh sakit. Lukas mencatatkan dengan tepat penyakit yang dihidapi lelaki itu. Dia menulis bahawa lelaki itu “berbaring di katil kerana dia demam dan menderita penyakit perut yang parah.” Semasa melihat keadaan itu, Paulus berdoa dan meletakkan tangannya ke atas lelaki itu, lalu menyembuhkannya. Orang tempatan kagum dengan mukjizat itu. Jadi, mereka mula membawa orang sakit yang lain kepada Paulus untuk disembuhkan. Selain itu, mereka membawa banyak hadiah untuk memenuhi keperluan Paulus dan rakan-rakannya.​—Kis. 28:7-10.

22. (a) Bagaimanakah seorang profesor memuji catatan Lukas mengenai perjalanan ke Roma? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam bab seterusnya?

22 Catatan tentang kisah perjalanan Paulus yang telah kita bincangkan setakat ini sememangnya tepat. Seorang profesor berkata, “Catatan Lukas . . . merupakan salah satu tulisan yang paling terperinci dan nyata dalam seluruh Bible. Catatannya berkenaan pelayaran laut pada abad pertama sangat teliti dan dia menggambarkan keadaan di timur Mediterranean dengan sangat tepat . . . catatan itu barangkali berdasarkan diari perjalanan yang ditulis oleh Lukas.” Lukas mungkin membuat catatan sebegitu semasa dia mengadakan perjalanan dengan Rasul Paulus. Jika begitu, ada banyak yang dapat ditulisnya semasa mereka meneruskan perjalanan ke Roma. Apakah yang akan berlaku kepada Paulus apabila mereka akhirnya tiba di sana? Mari kita lihat.

a Penduduk Malta tahu tentang ular sebegitu, yang merujuk kepada ular kapak. Hal ini menunjukkan bahawa ular sebegitu pernah wujud di sana. Pada zaman moden, ular kapak tidak lagi wujud di Malta. Hal ini mungkin disebabkan perubahan habitat yang berlaku selama berabad-abad, atau populasi manusia yang semakin meningkat telah menyebabkan ular kapak pupus di pulau itu.