BAB 28
“Sampai ke Hujung Bumi”
Saksi-Saksi Yehuwa meneruskan kerja yang dimulakan oleh pengikut Yesus pada abad pertama Masihi
1. Apakah persamaan antara orang Kristian masa awal dengan Saksi-Saksi Yehuwa hari ini?
MEREKA menginjil dengan bersemangat. Hati mereka terdorong untuk menerima bantuan dan bimbingan kuasa suci Tuhan. Penganiayaan tidak dapat membungkam mereka. Tuhan juga memberkati mereka dengan berlimpah-limpah. Itulah yang berlaku kepada orang Kristian masa awal dan juga Saksi-Saksi Yehuwa hari ini.
2, 3. Mengapakah buku Kisah sangat istimewa?
2 Sudah pasti iman anda dikuatkan setelah mengkaji banyak peristiwa yang menakjubkan dalam buku Kisah Para Rasul! Buku ini unik kerana inilah satu-satunya buku terilham yang mengandungi catatan tentang sejarah orang Kristian masa awal.
3 Buku Kisah mengandungi nama 95 orang dari 32 kawasan, 54 kota, dan 9 pulau. Buku ini mengandungi kisah yang mendebarkan tentang orang biasa, penganut agama yang angkuh, ahli politik yang bongkak, dan penganiaya yang fanatik. Tetapi yang terpenting, buku ini mengisahkan tentang saudara saudari kita pada abad pertama. Mereka menghadapi cabaran biasa dalam hidup tetapi menyebarkan berita baik dengan bersemangat.
4. Mengapakah kita berasa akrab dengan Rasul Paulus, Tabita, dan saksi setia yang lain pada zaman dahulu?
4 Kita sudah belajar tentang Petrus dan Paulus yang bersemangat, Lukas yang merupakan doktor yang dikasihi, Barnabas yang murah hati, Stefanus yang berani, Tabita yang baik hati, Lidia yang ramah, dan banyak lagi saksi yang setia. Mereka hidup kira-kira 2,000 tahun yang lalu, namun kita berasa akrab dengan mereka. Mengapa? Kerana kita mempunyai tugas yang sama, iaitu untuk menjadikan orang murid Yesus. (Mat. 28:19, 20) Ya, kita memang berbesar hati untuk menyertai kerja ini!
5. Di manakah pengikut Yesus masa awal mula menginjil?
5 Fikirkan tugasan yang diberikan Yesus kepada para pengikutnya. Dia berkata, “Kamu akan mendapat kekuatan apabila kuasa suci Tuhan datang ke atas kamu, dan kamu akan menjadi saksi-saksiku di Yerusalem, di seluruh Yudea, di Samaria, dan sampai ke hujung bumi.” (Kis. 1:8) Mula-mula, kuasa suci Tuhan menguatkan murid-murid untuk menginjil “di Yerusalem.” (Kis. 1:1–8:3) Kemudian atas bimbingan kuasa suci Tuhan, mereka menginjil ‘di seluruh Yudea dan di Samaria.’ (Kis. 8:4–13:3) Selepas itu, mereka mula menginjil “sampai ke hujung bumi.”—Kis. 13:4–28:31.
6, 7. Semasa menginjil, apakah kelebihan yang kita miliki berbanding rakan seiman abad pertama?
6 Rakan seiman kita pada abad pertama tidak mempunyai Bible yang lengkap untuk digunakan semasa menginjil. Buku Matius bahkan hanya tersedia sekurang-kurangnya pada 41 M. Selain itu, hanya beberapa surat Paulus ditulis sebelum buku Kisah disiapkan pada sekitar 61 M. Oleh itu, orang Kristian masa awal tidak mempunyai salinan peribadi Ayat-Ayat Suci yang lengkap atau bahan bacaan untuk diberikan kepada orang yang berminat. Sebelum menjadi murid Yesus, orang Kristian berbangsa Yahudi pernah mendengar Kitab Ibrani dibacakan di rumah ibadat. (2 Kor. 3:14-16) Meskipun demikian, mereka juga perlu memberikan perhatian sepenuhnya untuk mengingati Ayat-Ayat Suci supaya dapat digunakan semasa menginjil.
7 Hari ini, kebanyakan daripada kita mempunyai salinan Bible dan bahan bacaan Bible yang berlimpah-limpah. Kita menjadikan orang murid Yesus dengan mengkhabarkan berita baik di 240 negara dan kawasan serta dalam banyak bahasa.
Dikuatkan oleh Kuasa Suci Tuhan
8, 9. (a) Kuasa suci Tuhan membolehkan murid-murid Yesus melakukan apa? (b) Apakah yang dihasilkan oleh hamba yang setia dengan bantuan kuasa suci Tuhan?
8 Apabila Yesus memberikan amanah kepada murid-muridnya untuk menjadi saksi, dia memberitahu mereka, “Kamu akan mendapat kekuatan apabila kuasa suci Tuhan datang ke atas kamu.” Dengan bimbingan kuasa suci Tuhan, pengikut Yesus dapat memberikan kesaksian ke serata dunia. Dengan bantuan kuasa suci Tuhan, Petrus dan Paulus menyembuhkan orang yang sakit, mengusir roh jahat, dan bahkan membangkitkan orang yang mati! Namun yang lebih penting, kuasa suci Tuhan membolehkan para rasul dan murid-murid yang lain mengongsi pengetahuan yang tepat yang membawa kehidupan kekal.—Yoh. 17:3.
9 Pada Pentakosta 33 M, murid-murid Yesus “bercakap dalam pelbagai bahasa, menurut apa yang diberikan oleh kuasa suci itu kepada mereka untuk diucapkan.” Maka, mereka memberikan kesaksian tentang “perkara-perkara menakjubkan yang dilakukan oleh Tuhan.” (Kis. 2:1-4, 11) Hari ini, kita tidak bercakap dalam pelbagai bahasa secara mukjizat. Namun dengan bantuan kuasa suci Tuhan, hamba yang setia sedang menghasilkan bahan bacaan Bible dalam banyak bahasa. Contohnya, jutaan salinan majalah Menara Pengawal dan Sedarlah! dicetak setiap bulan. Laman web kita, jw.org, juga menyediakan bahan bacaan Bible dan video dalam lebih daripada 1,000 bahasa. Semua ini membolehkan kita mengisytiharkan “perkara-perkara menakjubkan yang dilakukan oleh Tuhan” kepada semua bangsa, suku, dan bahasa.—Why. 7:9.
10. Sejak 1989, apakah perkembangan dalam kerja menterjemahkan Bible?
10 Sejak 1989, hamba yang setia telah mengutamakan kerja menterjemah Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu ke dalam pelbagai bahasa. Bible ini sudah pun diterjemahkan ke dalam lebih daripada 200 bahasa, puluhan juta salinannya telah dicetak, dan jumlahnya terus meningkat. Semua ini dapat dicapai hanya kerana bantuan Tuhan dan kuasa suci-Nya.
11. Apakah kemajuan dalam kerja menterjemahkan bahan bacaan para Saksi?
11 Kerja penterjemahan sedang dilakukan oleh ribuan sukarelawan Kristian di lebih dari 150 negara dan kawasan. Hal ini tidaklah menghairankan kerana tiada organisasi lain di bumi yang dibimbing oleh kuasa suci Tuhan untuk “memberikan kesaksian yang menyeluruh” di serata dunia tentang Tuhan Yehuwa, Raja Mesias, dan Kerajaan di syurga!—Kis. 28:23.
12. Apakah yang membantu Paulus dan orang Kristian yang lain untuk memberikan kesaksian?
12 Apabila Paulus memberikan kesaksian kepada orang Yahudi dan orang bukan Yahudi di Antiokhia, Pisidia, “orang yang memiliki sikap yang diperlukan untuk menerima kehidupan kekal mula menjadi pengikut Yesus.” (Kis. 13:48) Seperti kesimpulan Lukas dalam buku Kisah, Paulus “menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan . . . dengan berani dan tanpa halangan.” (Kis. 28:31) Di manakah rasul itu menginjil? Di ibu kota sebuah kuasa dunia, iaitu Roma! Tidak kira dengan memberikan ceramah atau dalam cara yang lain, pengikut Yesus masa awal dapat menjalankan kerja menginjil dengan bantuan dan bimbingan kuasa suci Tuhan.
Bertabah meskipun Dianiaya
13. Mengapakah kita harus berdoa semasa dianiaya?
13 Semasa murid Yesus masa awal menghadapi penganiayaan, mereka merayu kepada Yehuwa untuk keberanian. Apakah hasilnya? Mereka dipenuhi kuasa suci Tuhan dan dikuatkan untuk memberitakan firman Tuhan dengan berani. (Kis. 4:18-31) Kita juga berdoa untuk kebijaksanaan dan kekuatan supaya dapat terus menginjil semasa dianiaya. (Yak. 1:2-8) Kita dapat terus berkhidmat kepada Tuhan kerana kita diberkati oleh-Nya dan dibantu oleh kuasa suci-Nya. Tiada apa-apa yang dapat menghentikan kerja ini, baik tentangan yang hebat mahupun penganiayaan yang kejam. Apabila kita dianiaya, kita perlu berdoa memohon kuasa suci Tuhan serta kebijaksanaan dan keberanian untuk mengisytiharkan berita baik.—Luk. 11:13.
14, 15. (a) ‘Penganiayaan yang menimpa murid-murid Yesus selepas kematian Stefanus’ membawa hasil apa? (b) Pada zaman moden, bagaimanakah banyak orang di Siberia mendapat kebenaran?
14 Stefanus memberikan kesaksian yang berani sebelum dia dibunuh oleh musuhnya. (Kis. 6:5; 7:54-60) Selepas itu, “penganiayaan yang sangat teruk” menimpa pengikut Kristus. Oleh itu semua murid Yesus, kecuali para rasul, tercerai-berai ke seluruh kawasan Yudea dan Samaria. Tetapi mereka tidak berhenti menginjil. Filipus telah pergi ke kota Samaria untuk “memberitahu orang di situ tentang Kristus” dan kerjanya membuahkan hasil yang sangat baik. (Kis. 8:1-8, 14, 15, 25) Selain itu, Bible berkata, “Selepas kematian Stefanus, penganiayaan yang menimpa murid-murid Yesus menyebabkan mereka tercerai-berai. Ada dalam kalangan mereka yang melarikan diri sejauh Fenisia, Siprus, dan Antiokhia, tetapi mereka hanya mengkhabarkan firman Tuhan kepada orang Yahudi. Namun beberapa orang dalam kalangan mereka yang berasal dari Siprus dan Kirene datang ke Antiokhia. Mereka mengkhabarkan berita baik tentang Tuan Yesus kepada orang yang bertutur dalam bahasa Yunani.” (Kis. 11:19, 20) Pada masa itu, penganiayaan menyebabkan mesej Kerajaan Tuhan tersebar luas.
15 Pada zaman moden, peristiwa yang serupa juga berlaku di bekas Kesatuan Soviet. Ribuan Saksi-Saksi Yehuwa dibuang negeri ke Siberia, terutamanya pada tahun 1950-an. Oleh sebab mereka tercerai-berai ke serata tempat, berita baik sentiasa tersebar di banyak kawasan. Para Saksi tidak mungkin mempunyai cukup wang untuk membuat perjalanan sejauh kira-kira 10,000 km untuk mengkhabarkan berita baik. Namun, kerajaanlah yang telah menghantar mereka ke sana! “Hasilnya, pihak berkuasa sendiri telah membolehkan ribuan orang yang berhati jujur di Siberia untuk mendapat kebenaran,” kata seorang saudara.
Diberkati oleh Yehuwa dengan Berlimpah-Limpah
16, 17. Apakah bukti dalam buku Kisah yang menunjukkan bahawa Yehuwa memberkati kerja memberikan kesaksian?
16 Yehuwa sememangnya memberkati orang Kristian masa awal. Paulus dan penginjil lain menanam dan menyiram, “tetapi Tuhanlah yang menyebabkannya terus bertumbuh.” (1 Kor. 3:5, 6) Laporan dalam buku Kisah memberikan bukti bahawa pertumbuhan sedemikian adalah kerana Yehuwa memberkati kerja memberikan kesaksian. Contohnya, buku Kisah mencatatkan bahawa “firman Tuhan terus tersebar, dan bilangan murid Yesus di Yerusalem bertambah secara mendadak.” (Kis. 6:7) Seraya kerja menginjil berkembang, Bible menyatakan bahawa “untuk suatu jangka masa, sidang di seluruh Yudea, Galilea, dan Samaria, menikmati ketenteraman dan menjadi kukuh. Selain itu, bilangan murid terus bertambah kerana mereka sentiasa takut akan Yehuwa dan hidup selaras dengan galakan yang diterima menerusi kuasa suci Tuhan.”—Kis. 9:31.
17 Di Antiokhia, Siria, penginjil yang berani telah menyebarkan kebenaran kepada orang Yahudi dan orang yang berbahasa Yunani. Catatan itu menyatakan, “Yehuwa menyertai mereka dan banyak orang percaya lalu menjadi murid Tuan Yesus.” (Kis. 11:21) Mengenai kemajuan yang berlaku di kota itu, Bible berkata, “Firman Yehuwa terus tersebar dan semakin ramai orang yang menjadi murid Yesus.” (Kis. 12:24) Selain itu, oleh sebab Paulus dan penginjil lain telah memberikan kesaksian yang menyeluruh kepada orang bukan Yahudi, ‘firman Yehuwa terus tersebar dan menjadi semakin berkuasa dengan cara yang luar biasa.’—Kis. 19:20.
18, 19. (a) Bagaimanakah kita tahu bahawa “Yehuwa menyertai” kita? (b) Berikan contoh yang menunjukkan bahawa Yehuwa menyokong umat-Nya.
18 Dewasa ini, bukti bahawa “Yehuwa menyertai” kita dapat dilihat dengan jelas. Itulah sebabnya banyak orang menerima kebenaran dan melambangkan pembaktian mereka kepada Tuhan melalui pembaptisan. Tambahan lagi, hanya dengan bantuan Tuhan dan berkat-Nya, kita dapat menghadapi tentangan yang hebat atau penganiayaan yang teruk serta terus menginjil seperti Paulus dan orang Kristian masa awal. (Kis. 14:19-21) Tuhan Yehuwa selalu membantu kita. ‘Tangan-Nya akan sentiasa menyokong kita’ semasa menghadapi segala cubaan. (Ul. 33:27) Ingatlah juga bahawa demi nama-Nya yang agung, Yehuwa tidak akan meninggalkan umat-Nya.—1 Sam. 12:22; Mzm. 94:14.
19 Perhatikan contoh berikut: Semasa Perang Dunia Kedua, Saudara Harald Abt terus memberikan kesaksian. Oleh itu, Nazi menghantarnya ke kem konsentrasi Sachsenhausen. Pada Mei 1942, Gestapo pergi ke tempat tinggal isterinya Elsa, menahan isterinya, dan mengambil anak perempuan mereka yang masih kecil. Elsa dibawa ke banyak kem. Saudari Elsa berkata, “Selama bertahun-tahun di kem konsentrasi Jerman, saya belajar satu pengajaran penting ini: Kuasa suci Yehuwa dapat menguatkan anda semasa menghadapi cubaan yang sangat teruk! Sebelum saya ditangkap, saya ada baca surat seorang saudari yang berkata bahawa semasa menghadapi cubaan yang teruk, kuasa suci Yehuwa akan bantu kita tetap tenang. Saya fikir dia membesar-besarkan perasaannya. Tetapi apabila saya sendiri menghadapi cubaan, saya sedar bahawa apa yang dikatakannya memang betul. Itulah yang berlaku. Jika anda tidak pernah mengalaminya, memang susah untuk membayangkannya. Namun, itulah yang saya rasakan.”
Terus Memberikan Kesaksian yang Menyeluruh!
20. Apakah yang dilakukan oleh Paulus semasa ditahan di rumah? Bagaimanakah teladannya menggalakkan sesetengah saudara saudari kita?
20 Buku Kisah diakhiri dengan catatan bahawa Paulus “menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan” dengan bersemangat. (Kis. 28:31) Oleh sebab dia ditahan di rumah, dia tidak dapat menginjil dari rumah ke rumah di Roma. Namun, dia tetap menginjil kepada semua orang yang datang kepadanya. Hari ini, sesetengah saudara saudari kita yang dikasihi tidak dapat keluar dari rumah, mungkin mereka terlantar di katil atau tinggal di rumah penjagaan kerana usia tua, penyakit, atau keterbatasan tertentu. Namun, kasih mereka kepada Tuhan dan keinginan mereka untuk memberikan kesaksian sentiasa membara. Kita berdoa untuk mereka dan merayu agar Bapa kita yang di syurga membantu mereka berjumpa dengan orang yang ingin mempelajari tentang-Nya dan kehendak-Nya yang menakjubkan.
21. Mengapakah kita harus memberikan kesaksian dengan perasaan mendesak?
21 Kebanyakan daripada kita dapat memberikan kesaksian dari rumah ke rumah dan menyertai kaedah menginjil yang lain. Maka, marilah kita melakukan yang terbaik untuk melaksanakan tugas kita sebagai seorang penginjil dengan memberikan kesaksian “sampai ke hujung bumi.” Kerja ini mesti dilakukan dengan perasaan mendesak kerana “tanda” kehadiran Kristus jelas kelihatan hari ini. (Mat. 24:3-14) Maka, gunakanlah masa anda dengan sebaik-baiknya sekarang dan “sentiasa sibuk dalam khidmat Tuan kita.”—1 Kor. 15:58.
22. Seraya kita menantikan hari Yehuwa, apakah sepatutnya tekad kita?
22 Sementara menantikan “hari Yehuwa yang hebat dan menakutkan itu datang,” bertekadlah untuk menginjil dengan berani dan setia. (Yl. 2:31) Barangkali, kita akan menemui individu seperti orang di Berea yang “sangat sudi menerima firman Tuhan.” (Kis. 17:10, 11) Maka, marilah kita terus memberikan kesaksian sehingga kita seolah-olah mendengar kata-kata ini: “Bagus, hamba yang baik dan setia!” (Mat. 25:23) Jika kita menginjil dengan bersemangat dan tetap setia kepada Yehuwa, kita pasti akan bersukacita buat selama-lamanya kerana kita telah mendapat penghormatan untuk “memberikan kesaksian yang menyeluruh” tentang Kerajaan Tuhan!