BAB 24
“Tabahkanlah Hatimu!”
Paulus terselamat daripada orang Yahudi yang mahu membunuhnya, dan dia membela diri di hadapan Feliks
Berdasarkan Kisah 23:11–24:27
1, 2. Mengapakah Paulus tidak hairan dengan penganiayaan yang dihadapinya di Yerusalem?
SELEPAS Paulus diselamatkan daripada perusuh yang marah di Yerusalem, dia dipenjarakan sekali lagi. Rasul yang bersemangat ini tidak hairan dengan penganiayaan yang dihadapinya di Yerusalem. Dia telah diberitahu bahawa dia akan “dipenjarakan dan mengalami kesengsaraan” di kota ini. (Kis. 20:22, 23) Walaupun Paulus tidak pasti dengan sepenuhnya apa yang akan berlaku kepadanya, dia tahu dia akan terus menderita demi nama Yesus.—Kis. 9:16.
2 Nabi-nabi Kristian bahkan pernah memberi Paulus amaran bahawa dia akan diikat dan diserahkan “ke dalam tangan orang bangsa asing.” (Kis. 21:4, 10, 11) Baru-baru ini, sekumpulan orang Yahudi cuba membunuhnya. Tidak lama kemudian, ahli Majlis Orang Yahudi nampaknya “akan membunuh” Paulus semasa mereka bertengkar tentang apa yang diucapkannya. Sekarang, Paulus dipenjarakan oleh tentera Roma dan akan menghadapi lebih banyak perbicaraan dan tuduhan. (Kis. 21:31; 23:10) Sememangnya, Rasul Paulus memerlukan galakan!
3. Dari manakah kita memperoleh galakan untuk terus melakukan kerja menginjil?
3 Pada hari-hari terakhir ini, kita tahu bahawa “semua orang yang mahu mengabdikan diri kepada Tuhan dan hidup bersatu dengan Kristus Yesus juga akan dianiaya.” (2 Tim. 3:12) Dari masa ke masa, kita juga memerlukan galakan untuk terus melakukan kerja penyebaran. Betapa bersyukurnya kita kerana “hamba yang setia dan bijaksana” memberikan kata-kata yang melegakan tepat pada masanya melalui bahan bacaan dan perjumpaan kita! (Mat. 24:45) Yehuwa telah meyakinkan kita bahawa musuh yang menentang berita baik tidak akan berjaya. Mereka tidak dapat menghapuskan hamba Tuhan sebagai sebuah kumpulan atau menghentikan kerja penyebaran. (Yes. 54:17; Yer. 1:19) Bagaimana pula dengan Rasul Paulus? Adakah dia menerima galakan untuk terus memberikan kesaksian yang menyeluruh meskipun menghadapi tentangan? Jika ada, siapakah yang menggalakkan Paulus, dan apakah galakan yang diterimanya? Apakah reaksinya?
Kis. 23:11-34)
Mereka “Berkomplot dan Bersumpah,” tetapi Gagal (4, 5. Siapakah yang menggalakkan Paulus, dan apakah galakan yang diterimanya? Mengapakah galakan itu tepat pada masanya?
4 Selepas diselamatkan daripada Majlis Orang Yahudi, Rasul Paulus menerima galakan yang diperlukannya pada malam itu. Bible berkata, “Tuan Yesus berdiri di sisi Paulus dan berkata, ‘Tabahkanlah hatimu! Sepertimana kamu telah memberikan kesaksian yang menyeluruh tentang aku di Yerusalem, kamu juga mesti memberikan kesaksian tentang aku di Roma.’” (Kis. 23:11) Dengan kata-kata galakan daripada Yesus ini, Paulus yakin bahawa dia akan diselamatkan. Dia tahu bahawa dia akan tiba di Roma dengan selamat dan berpeluang untuk memberikan kesaksian tentang Yesus di sana.
5 Galakan yang diterima Paulus tepat pada masanya. Pada keesokan harinya, lebih daripada 40 orang Yahudi “berkomplot dan bersumpah tidak akan makan atau minum sehingga mereka membunuh Paulus.” ‘Sumpah’ mereka menunjukkan betapa kuatnya tekad mereka untuk membunuhnya. Jika mereka gagal melaksanakan komplot itu, mereka percaya bahawa mereka akan menjadi orang yang terkutuk. (Kis. 23:12-15, nota kaki) Mereka merancang untuk membawa Paulus kepada Majlis Orang Yahudi untuk disoal siasat dengan lebih lanjut, seolah-olah untuk mendapatkan maklumat yang lebih tepat. Rancangan itu disokong oleh ketua-ketua imam dan para pemimpin. Namun semasa dalam perjalanan, mereka akan menyerang hendap Paulus dan membunuhnya.
6. Bagaimanakah rancangan untuk membunuh Paulus terbongkar? Bagaimanakah kaum muda dapat meniru teladan anak saudara Paulus?
6 Namun, anak saudara Paulus mendapat tahu rancangan ini dan melaporkannya kepada Paulus. Kemudian, Paulus menyuruh pemuda ini melaporkan hal itu kepada Klaudius Lisias, ketua angkatan tentera Roma. (Kis. 23:16-22) Seperti anak saudara Paulus, yang namanya tidak disebutkan, kaum muda hari ini dengan berani mengutamakan kepentingan umat Tuhan dan bukannya diri sendiri. Mereka dengan setia melakukan apa sahaja untuk memajukan kepentingan Kerajaan Tuhan. Sudah pasti, Yehuwa mengasihi kaum muda seperti itu.
7, 8. Apakah aturan yang dibuat oleh Klaudius Lisias untuk menjaga keselamatan Paulus?
7 Klaudius Lisias, yang mengetuai 1,000 orang tentera, segera bertindak setelah mengetahui rancangan untuk membunuh Paulus. Dia mengarahkan 470 pegawai tentera yang terdiri daripada askar berjalan kaki, askar berkuda, dan askar bertombak untuk meninggalkan Yerusalem pada malam itu dan membawa Paulus ke Kaisarea dengan selamat. Setibanya di sana, Paulus diserahkan kepada Gabenor Feliks. a Kaisarea merupakan ibu kota bagi pentadbiran Roma di Yudea. Meskipun kota ini memiliki banyak orang Yahudi, majoriti penduduknya ialah orang bukan Yahudi. Suasana di kota itu aman dan teratur. Keadaan itu berbeza dengan Yerusalem yang mempunyai ramai orang yang menunjukkan sikap prasangka terhadap agama lain dan menimbulkan rusuhan. Kaisarea juga merupakan ibu pejabat tentera Roma di Yudea.
8 Selaras dengan hukum Roma, Lisias mengirim sepucuk surat kepada Feliks untuk menjelaskan kes Paulus. Lisias menyatakan bahawa setelah mendapat tahu Paulus ialah warganegara Roma, dia menyelamatkan Paulus daripada “nyaris dibunuh” oleh orang Yahudi. Lisias berkata bahawa dia mendapati Paulus tidak melakukan apa-apa kesalahan “yang membuatnya patut dijatuhi hukuman mati atau hukuman penjara.” Namun, oleh sebab terdapat komplot untuk membunuh Paulus, dia menyerahkan Paulus kepada Gabenor Feliks untuk mendengar tuduhan para penentang dan menghakimi kes tersebut.—Kis. 23:25-30.
9. (a) Bagaimanakah hak Paulus sebagai warganegara Roma dicabuli? (b) Mengapakah kita mungkin perlu memanfaatkan hak kita sebagai rakyat sebuah negara?
9 Adakah Lisias jujur semasa menulis surat itu? Tidak sepenuhnya. Nampaknya, dia cuba memberikan tanggapan yang baik tentang dirinya di hadapan gabenor. Sebenarnya, dia menyelamatkan Paulus bukan kerana dia mendapati bahawa Paulus ialah seorang warganegara Roma. Tambahan lagi, Lisias tidak menyebut bahawa dia “membelenggu Paulus dengan dua rantai” dan kemudian mengarahkan agar Paulus “dicambuk dan disoal siasat.” (Kis. 21:30-34; 22:24-29) Maka, Lisias sudah mencabuli hak Paulus sebagai warganegara Roma. Hari ini, Syaitan menggunakan penentang yang fanatik untuk membangkitkan penganiayaan. Mereka mungkin cuba mengganggu kebebasan kita untuk beribadat kepada Yehuwa. Namun seperti Paulus, umat Tuhan biasanya dapat memanfaatkan hak mereka sebagai rakyat sebuah negara dan mendapatkan perlindungan di sisi undang-undang.
“Aku Senang Hati untuk Membela Diri” (Kis. 23:35–24:21)
10. Apakah tuduhan serius yang dilontarkan terhadap Paulus?
10 Di Kaisarea, Paulus “ditahan di istana Herodes” sambil menunggu para penentang tiba dari Yerusalem. (Kis. 23:35) Lima hari kemudian, mereka pun tiba, iaitu Imam Agung Ananias, seorang peguam yang bernama Tertulus, dan beberapa orang pemimpin masyarakat Yahudi. Mula-mula, Tertulus memuji Feliks atas apa yang dilakukannya bagi orang Yahudi. Nampaknya, dia ingin mengampu dan mengambil hati Feliks. b Kemudian, Tertulus mula melontarkan tuduhan terhadap Paulus. Dia berkata, “Lelaki ini membawa masalah dan menghasut orang Yahudi di seluruh bumi agar memberontak. Selain itu, dia merupakan pemimpin kumpulan agama orang Nasaret. Dia juga mencuba untuk menajiskan Rumah Tuhan, maka kami menangkapnya.” Orang Yahudi di situ “turut melontarkan tuduhan terhadap Paulus dan menegaskan bahawa perkara-perkara itu memang benar.” (Kis. 24:5, 6, 9) Tuduhan-tuduhan serius seperti menghasut orang agar memberontak, memimpin sebuah kumpulan agama yang berbahaya, dan menajiskan Rumah Tuhan dapat membawa hukuman mati.
11, 12. Bagaimanakah Paulus menyangkal tuduhan-tuduhan yang dilontarkan kepadanya?
11 Kemudian Paulus dibenarkan untuk bercakap. Dia bermula dengan berkata, “Aku senang hati untuk membela diri.” Dia dengan jelas menyangkal semua tuduhan itu. Paulus tidak menajiskan Rumah Tuhan atau menghasut orang. Dia menyatakan bahawa sebenarnya sudah “bertahun-tahun” dia tiada di Yerusalem, dan dia kembali ke sana untuk membawa “sumbangan” bagi orang Kristian yang miskin akibat kebuluran dan penganiayaan. Paulus menekankan bahawa sebelum dia memasuki Rumah Tuhan, dia sudah menjalankan “upacara penyucian diri,” dan bahawa dia sentiasa berusaha “untuk memiliki hati nurani yang bersih di hadapan Tuhan dan di hadapan manusia.”—Kis. 24:10-13, 16-18.
12 Namun, Paulus mengakui bahawa dia memberikan khidmat suci kepada Tuhan nenek moyangnya ‘mengikut ajaran “kumpulan agama” yang disebut oleh mereka.’ Tetapi dia menekankan bahawa dia percaya akan “semua yang tertulis dalam Hukum dan Ajaran Para Nabi.” Seperti sesetengah penentangnya, dia berpegang pada “harapan bahawa Tuhan akan membangkitkan orang yang baik dan orang yang tidak baik.” Kemudian, Paulus mencabar penentangnya dengan berkata, “Suruhlah mereka yang berada di sini untuk memberitahu tuan kesalahanku yang dilihat oleh mereka semasa aku dihadapkan kepada Majlis Orang Yahudi. Andai kata aku bersalah, mereka boleh menuduh aku atas satu alasan sahaja: Semasa aku diadili oleh Majlis Orang Yahudi, aku telah berseru, ‘Hari ini aku diadili di hadapan kamu semua kerana aku percaya bahawa orang mati akan dibangkitkan!’”—Kis. 24:14, 15, 20, 21.
13-15. Mengapakah Paulus merupakan teladan yang baik dalam memberikan kesaksian dengan berani di hadapan pihak berkuasa?
13 Kita mungkin dihadapkan kepada pihak berkuasa kerana ibadat kita. Selain itu, kita mungkin dituduh menghasut orang melakukan keganasan atau memberontak terhadap kerajaan dan menjadi ahli kumpulan agama yang berbahaya. Jika begitu, teladan Paulus dapat membantu kita. Paulus tidak mengampu gabenor seperti yang dilakukan Tertulus. Paulus tetap tenang dan menunjukkan hormat. Dia dengan bijak menyampaikan bukti yang jelas dan benar. Paulus menyatakan bahawa “orang Yahudi dari daerah Asia” yang menuduhnya menajiskan Rumah Tuhan tidak hadir perbicaraan itu. Menurut undang-undang, dia sepatutnya boleh berdepan dengan mereka dan mendengar tuduhan mereka.—Kis. 24:18, 19.
14 Yang terpenting, Paulus tidak menahan diri daripada memberikan kesaksian tentang kepercayaannya. Dia dengan berani menyebut semula kepercayaannya tentang pembangkitan, meskipun topik ini telah menimbulkan kekecohan semasa dia di hadapan Majlis Orang Yahudi. (Kis. 23:6-10) Semasa membela diri, Paulus menekankan harapan pembangkitan. Mengapa? Hal ini kerana Paulus ingin memberikan kesaksian tentang Yesus dan pembangkitannya. Inilah kebenaran yang enggan diterima oleh para penentangnya. (Kis. 26:6-8, 22, 23) Ya, isu utama adalah berkaitan dengan pembangkitan, dan yang lebih tepat lagi, adalah tentang kepercayaan kepada Yesus dan pembangkitannya.
15 Seperti Paulus, kita dapat memberikan kesaksian dengan berani dan mendapat kekuatan daripada kata-kata Yesus kepada murid-muridnya: “Kamu akan dibenci oleh semua orang kerana namaku. Tetapi orang yang bertahan sehingga akhir akan diselamatkan.” Perlukah kita risau tentang apa yang akan kita katakan? Tidak, kerana Yesus memberi kita keyakinan ini: “Apabila kamu ditangkap dan dibawa ke mahkamah, janganlah khuatir tentang apa yang hendak kamu katakan. Katakanlah apa sahaja yang diberitahu oleh kuasa suci Tuhan kepada kamu pada waktu itu, kerana yang berkata-kata itu bukan kamu, tetapi kuasa suci Tuhan.”—Mrk. 13:9-13.
“Feliks Menjadi Takut” (Kis. 24:22-27)
16, 17. (a) Apakah yang dikatakan dan dilakukan Feliks semasa perbicaraan Paulus? (b) Mengapakah Feliks mungkin menjadi takut? Namun, mengapakah dia terus berjumpa dengan Paulus?
16 Sebelum ini, Gabenor Feliks pernah mendengar tentang kepercayaan orang Kristian. Bible berkata, “Feliks, yang mempunyai banyak pengetahuan tentang Haluan Tuan [gelaran untuk orang Kristian masa awal], menangguhkan perbicaraan itu dengan berkata, ‘Apabila ketua pasukan tentera yang bernama Lisias datang, aku akan membuat keputusan tentang perkara-perkara ini.’ Kemudian dia memberikan arahan kepada pegawai tentera supaya menahan Paulus. Namun, Paulus diberi sedikit kebebasan, dan sahabat-sahabatnya tidak dilarang daripada memberikan apa yang diperlukannya.”—Kis. 24:22, 23.
17 Beberapa hari kemudian, Feliks dan isterinya yang berbangsa Yahudi, iaitu Drusila, memanggil Paulus dan “mendengarkan Paulus berkata-kata tentang kepercayaan kepada Kristus Yesus.” (Kis. 24:24) Namun, semasa Paulus bercakap tentang “tingkah laku yang benar, sikap mengawal diri, dan penghakiman yang bakal tiba, Feliks menjadi takut.” Barangkali, hal itu mengganggu hati nuraninya kerana dia telah melakukan banyak perbuatan jahat dalam hidupnya. Maka, dia berkata, “Kamu boleh pergi sekarang. Apabila ada peluang, aku akan menyuruh orang untuk memanggilmu lagi.” Selepas itu, Feliks memang berjumpa dengan Paulus banyak kali, bukan kerana ingin belajar tentang kebenaran, tetapi kerana dia berharap Paulus memberinya rasuah.—Kis. 24:25, 26.
18. Mengapakah Paulus bercakap tentang “tingkah laku yang benar, sikap mengawal diri, dan penghakiman yang bakal tiba” kepada Feliks dan isterinya?
18 Mengapakah Paulus bercakap tentang “tingkah laku yang benar, sikap mengawal diri, dan penghakiman yang bakal tiba” kepada Feliks dan isterinya? Ingatlah bahawa mereka ingin mengetahui apa yang terlibat dalam “kepercayaan kepada Kristus Yesus.” Paulus tahu bahawa mereka sangat tidak bermoral, kejam, dan tidak adil. Maka, dia dengan terus terang memberitahu mereka apa yang perlu dilakukan oleh semua orang yang ingin menjadi pengikut Yesus. Kata-kata Paulus menunjukkan perbezaan besar antara standard Tuhan yang benar dengan cara hidup yang dikejar oleh Feliks dan isterinya. Hal ini sepatutnya membantu mereka memahami bahawa setiap orang bertanggungjawab kepada Tuhan atas apa yang difikirkan, dikatakan, dan dilakukan mereka. Paulus juga menunjukkan bahawa penghakiman yang akan diberikan Tuhan kepada mereka jauh lebih penting daripada penghakiman yang diberikan Feliks kepadanya. Maka tidak hairanlah, Feliks “menjadi takut”!
19, 20. (a) Semasa kerja penyebaran, apakah yang patut kita lakukan jika berjumpa dengan orang yang kelihatan berminat, tetapi sebenarnya tidak sudi mengubah hidup mereka? (b) Bagaimanakah kita tahu bahawa Feliks bukan sahabat Paulus?
19 Dalam kerja penyebaran, kita mungkin berjumpa dengan orang yang seperti Feliks. Pada mulanya, mereka mungkin kelihatan berminat terhadap kebenaran, tetapi mereka tidak mahu mengubah hidup mereka menurut kebenaran Bible. Kita perlu berhati-hati semasa membantu orang sebegini. Namun seperti Paulus, kita mahu memilih kata-kata dengan bijak semasa memberitahu mereka tentang standard Tuhan yang benar. Barangkali, kebenaran Bible akan menyentuh hati mereka. Tetapi, jika mereka dengan jelas menunjukkan bahawa mereka tidak berniat untuk meninggalkan haluan hidup yang berdosa, kita tidak mahu memaksa mereka untuk membuat perubahan. Sebaliknya, kita mahu mencari orang yang benar-benar menginginkan kebenaran.
20 Mengenai Feliks, kata-kata berikut mendedahkan niat hatinya: “Setelah dua tahun berlalu, Perkius Festus menggantikan Feliks sebagai gabenor. Pada masa itu, Paulus masih dipenjarakan kerana Feliks ingin mengambil hati orang Yahudi.” (Kis. 24:27) Feliks sememangnya bukan sahabat Paulus. Feliks tahu bahawa pengikut “Haluan Tuan” bukan penghasut atau pemberontak. (Kis. 19:23) Dia juga tahu bahawa Paulus tidak melanggar mana-mana hukum Roma. Namun, Feliks tetap memenjarakan Paulus kerana ingin “mengambil hati orang Yahudi.”
21. Apakah yang berlaku kepada Paulus selepas Perkius Festus menjadi gabenor? Apakah yang terus menguatkan Paulus?
21 Seperti yang dinyatakan dalam ayat terakhir di Kisah bab 24, Paulus masih dipenjarakan semasa Perkius Festus menggantikan Feliks sebagai gabenor. Maka, bermulalah perbicaraan yang berterusan, dan Paulus perlu bercakap dengan pegawai yang berbeza-beza. Ya, rasul yang berani ini “dihadapkan kepada raja-raja dan gabenor.” (Luk. 21:12) Seperti yang kita akan lihat, dia kemudiannya memberikan kesaksian kepada pemerintah yang paling berkuasa pada zamannya. Seraya Paulus mengharungi semua ini, imannya tetap teguh. Sudah tentu, dia terus mendapat kekuatan daripada kata-kata Yesus ini: “Tabahkanlah hatimu!”
a Lihat kotak “ Feliks—Gabenor Yudea.”
b Tertulus berterima kasih kepada Feliks kerana membawa “kesejahteraan yang melimpah” kepada bangsa mereka. Namun hakikatnya, keadaan di Yudea lebih teruk semasa Feliks menjadi gabenor berbanding mana-mana gabenor sebelum atau selepasnya. Selain itu, kata-katanya bahawa orang Yahudi “sangat menghargai” perubahan yang dibawa oleh Feliks adalah palsu belaka. Sebenarnya, kebanyakan orang Yahudi membenci Feliks kerana dia telah menindas mereka. Selain itu, Feliks bertindak dengan kejam untuk menghentikan pemberontakan mereka.—Kis. 24:2, 3.