BAB 7
Mengisytiharkan “Berita Baik tentang Yesus”
Filipus menjadi teladan sebagai seorang penginjil
Berdasarkan Kisah 8:4-40
1, 2. Bagaimanakah usaha untuk menghentikan kerja menginjil membawa hasil yang tidak dijangkakan pada abad pertama?
SERANGAN kejam yang meningkat secara mendadak telah bermula, dan Saulus “berusaha untuk membinasakan” sidang. Ungkapan ini dalam bahasa asal membawa erti perbuatan yang sangat kejam. (Kis. 8:3) Para pengikut Yesus melarikan diri, dan ada yang mungkin berfikir bahawa matlamat Saulus untuk menghapuskan orang Kristian akan tercapai. Namun, sesuatu yang tidak dijangkakan telah berlaku. Apakah itu?
2 Murid-murid Yesus yang tercerai-berai mula “mengisytiharkan berita baik tentang firman Tuhan” ke tempat yang mereka pergi. (Kis. 8:4) Bayangkan, penganiayaan bukan hanya gagal menghalang umat Tuhan daripada menginjil, tetapi telah menyebabkan berita baik disebarkan! Para penentang yang mencerai-beraikan murid-murid Yesus secara tidak langsung telah menyebabkan kerja penyebaran tersebar luas. Seperti yang kita akan lihat, sesuatu yang hampir sama berlaku pada zaman moden.
“Murid-Murid yang Tercerai-Berai” (Kis. 8:4-8)
3. (a) Siapakah Filipus? (b) Mengapakah banyak orang Samaria belum mendengar berita baik? Namun, apakah yang dinubuatkan Yesus tentang mereka?
3 Antara “murid-murid yang tercerai-berai” ialah Filipus. a (Kis. 8:4; lihat kotak “ Filipus—‘Seorang Penginjil.’”) Dia telah pergi ke Samaria. Banyak orang di kota itu belum mendengar berita baik kerana sebelum ini Yesus telah memberikan arahan kepada para rasulnya: “Janganlah pergi kepada bangsa-bangsa lain atau ke kota orang Samaria. Tetapi pergilah kepada orang Israel sahaja yang bagaikan biri-biri yang sesat.” (Mat. 10:5, 6) Namun Yesus tahu seraya masa berlalu, orang Samaria akan menerima kesaksian yang menyeluruh. Hal ini kerana sebelum Yesus kembali ke syurga, dia berkata, “Kamu akan menjadi saksi-saksiku di Yerusalem, di seluruh Yudea, di Samaria, dan sampai ke hujung bumi.”—Kis. 1:8.
4. Apakah reaksi orang Samaria terhadap mesej yang dibawa oleh Filipus, dan apakah faktor yang mungkin menyumbang kepada reaksi mereka?
4 Filipus mendapati bahawa kawasan Samaria “sudah menguning dan siap untuk dituai.” (Yoh. 4:35) Mesejnya menyegarkan orang yang tinggal di situ. Mengapa? Orang Yahudi tidak akan berurusan dengan orang Samaria dan banyak antara mereka tidak menyukai orang Samaria. Tetapi, orang Samaria mendapati bahawa mesej berita baik menawarkan harapan kepada semua tanpa mengira latar belakang. Berita baik sangat berbeza dengan ajaran daripada orang Farisi yang bersikap prasangka. Filipus menginjil dengan bersemangat dan tanpa berat sebelah kepada orang Samaria, dan dia menunjukkan bahawa dia tidak terpengaruh oleh sikap prasangka. Maka, tidak hairanlah banyak orang “menumpukan sepenuh perhatian” kepada apa yang dikatakan oleh Filipus.—Kis. 8:6.
5-7. Berikan contoh bagaimana orang Kristian yang tercerai-berai menyebabkan berita baik tersebar luas.
5 Seperti abad pertama, penganiayaan gagal menghentikan kerja penyebaran umat Tuhan dewasa ini. Berulang kali orang Kristian terpaksa meninggalkan tempat mereka, sama ada dimasukkan ke penjara atau berpindah ke negara lain. Namun, hal ini telah membantu menyebarkan berita Kerajaan kepada orang di kawasan baharu. Contohnya semasa Perang Dunia Kedua, Saksi-Saksi Yehuwa telah memberikan kesaksian yang luar biasa di kem konsentrasi Nazi. Seorang Yahudi yang berjumpa dengan Saksi-Saksi di sana berkata, “Ketabahan Saksi-Saksi Yehuwa yang dipenjarakan meyakinkan saya bahawa iman mereka berdasarkan Firman Tuhan, dan saya sendiri menjadi seorang Saksi.”
6 Ada juga penentang yang telah mendapat kesaksian lalu menerima kebenaran. Contohnya, seorang Saksi yang bernama Franz Desch dipindahkan ke kem konsentrasi Gusen di Austria. Di sana, dia mengajarkan Bible kepada salah seorang pegawai. Bayangkan betapa bersukacitanya mereka apabila bertahun-tahun kemudian, mereka berjumpa di konvensyen Saksi-Saksi Yehuwa, dan kedua-duanya ialah penginjil berita baik!
7 Hal yang serupa berlaku apabila penganiayaan menyebabkan orang Kristian melarikan diri ke negara lain. Contohnya pada tahun 1970-an, Saksi-Saksi di Malawi terpaksa melarikan diri ke Mozambique dan mereka dapat menginjil kepada orang di sana. Belakangan apabila tentangan timbul di Mozambique, kerja penyebaran masih dijalankan. Francisco Coana berkata, “Ada antara kami memang ditahan dan dipenjarakan beberapa kali kerana kami menginjil. Namun banyak orang telah menerima berita Kerajaan, maka kami yakin Tuhan sedang menolong kami, sepertimana Dia membantu orang Kristian abad pertama.”
8. Bagaimanakah perubahan politik dan ekonomi mempengaruhi kerja penyebaran?
8 Sudah tentu, penganiayaan bukanlah satu-satunya sebab peningkatan orang Kristian di pelbagai tempat. Puluhan tahun belakangan ini, perubahan politik dan ekonomi telah membuka peluang agar berita Kerajaan disebarkan kepada orang daripada pelbagai bahasa dan negara. Sesetengah tempat mengalami peperangan atau kemiskinan, maka orang dari situ melarikan diri ke tempat yang lebih stabil dan mula belajar Bible di tempat baharu. Selain itu, jumlah pelarian yang semakin meningkat telah membuka peluang untuk menginjil kepada orang yang bertutur dalam bahasa asing. Adakah anda berusaha untuk menginjil kepada orang daripada “semua bangsa, suku, kaum, dan bahasa”?—Why. 7:9.
Kis. 8:9-25)
“Berikanlah Kebolehan Ini kepadaku Juga” (9. Siapakah Simon, dan apakah yang membuatnya tertarik kepada Filipus?
9 Filipus melakukan banyak mukjizat di Samaria. Contohnya, dia menyembuhkan orang yang kurang upaya dan bahkan mengusir roh-roh jahat. (Kis. 8:6-8) Terdapat seorang lelaki yang sangat kagum dengan kurniaan Filipus itu. Dia ialah Simon, seorang ahli sihir yang amat dihormati ramai sehingga mereka berkata, “Lelaki ini menerima kuasa yang besar daripada Tuhan.” Tetapi, apabila Simon menyaksikan mukjizat yang dilakukan oleh Filipus, Simon dapat melihat sendiri kuasa sebenar Tuhan. Selepas itu, Simon menjadi seorang pengikut Kristus. (Kis. 8:9-13) Namun, niat hati Simon bakal diuji. Bagaimana?
10. (a) Apakah yang dilakukan oleh Petrus dan Yohanes di Samaria? (b) Apakah yang dilakukan oleh Simon apabila melihat murid-murid baharu menerima kuasa suci Tuhan?
10 Apabila para rasul sedar kemajuan yang berlaku di Samaria, mereka mengutus Petrus dan Yohanes ke sana. (Lihat kotak “ Petrus Menggunakan ‘Kunci-Kunci Kerajaan.’”) Setibanya di sana, dua rasul ini meletakkan tangan ke atas murid baharu di situ, dan mereka pun menerima kuasa suci Tuhan. b Semasa Simon melihat hal ini, dia terpesona lalu berkata, “Berikanlah kebolehan ini kepadaku juga, supaya orang lain menerima kuasa suci Tuhan apabila aku meletakkan tanganku ke atas mereka.” Simon bahkan menawarkan wang dan berharap untuk membeli kurniaan Tuhan ini!—Kis. 8:14-19.
11. Apakah nasihat tegas yang diberikan oleh Petrus kepada Simon, dan apakah reaksinya?
11 Petrus memberikan jawapan yang tegas kepada Simon. Dia berkata, “Binasalah kamu bersama-sama wang perakmu! Kamu menyangka bahawa kamu boleh menggunakan wang untuk membeli kurniaan Tuhan yang diberikan secara percuma. Kamu tiada bahagian dalam hal ini, kerana hatimu tidak tulus di mata Tuhan.” Kemudian, Petrus menggesa Simon untuk bertaubat dan berdoa untuk pengampunan. Petrus berkata, “Hendaklah kamu merayu kepada Yehuwa, mudah-mudahan Dia akan mengampunkan niat jahat dalam hatimu.” Simon bukanlah orang yang jahat. Dia mahu melakukan apa yang betul, tetapi buat seketika dia memiliki pandangan yang salah. Jadi dia memohon para rasul, “Tolonglah merayu kepada Yehuwa bagiku, supaya apa yang kamu katakan itu tidak menimpa aku.”—Kis. 8:20-24.
12. Seberapa kerapkah amalan menjual beli kedudukan dalam gereja Kristian?
12 Sebenarnya dalam beberapa bahasa, perkataan untuk amalan menjual beli kedudukan, terutamanya yang berkaitan dengan agama, wujud kerana kisah Simon ini. Sejarah membuktikan bahawa gereja Kristian yang murtad banyak terlibat dalam amalan ini. Menurut edisi kesembilan The Encyclopædia Britannica (1878), “Sebuah kajian mengenai sejarah pemilihan Paus meyakinkan para penyelidik bahawa pemilihan tersebut tidak pernah bebas daripada amalan menjual beli kedudukan. Sering kali, amalan ini dilakukan secara terang-terangan dan tanpa rasa malu.”
13. Bagaimanakah orang Kristian menghindari amalan menjual beli kedudukan?
13 Orang Kristian harus menjauhi amalan berdosa yang melibatkan menjual beli kedudukan atau peluang khidmat di sidang. Contohnya, mereka tidak patut cuba mendapatkan layanan istimewa dengan memberikan hadiah atau pujian yang keterlaluan kepada orang yang nampaknya dapat memberikan peluang khidmat di sidang. Orang yang dianggap dapat memberikan peluang sebegitu juga harus berjaga-jaga agar tidak bersikap pilih kasih terhadap orang yang kaya. Jika seseorang melakukan hal-hal tersebut, dia sedang menjual beli kedudukan. Sememangnya, semua hamba Tuhan harus berkelakuan seperti “orang yang berkedudukan rendah” dan menunggu agar kuasa suci Tuhan melantik mereka untuk memikul peluang khidmat tertentu. (Luk. 9:48) Orang yang mencari “kemuliaan sendiri” tidak boleh menjadi sebahagian daripada organisasi Tuhan.—Ams. 25:27.
“Adakah Tuan Memahami Apa yang Tuan Baca?” (Kis. 8:26-40)
14, 15. (a) Siapakah “sida-sida dari Etiopia” itu, dan bagaimanakah Filipus menjumpainya? (b) Apakah reaksi lelaki Etiopia itu terhadap mesej Filipus, dan mengapakah pembaptisannya bukanlah tindakan yang terburu-buru? (Lihat nota kaki.)
14 Kini malaikat Yehuwa menyuruh Filipus untuk pergi ke jalan yang menghubungkan Yerusalem dengan Gaza. Filipus mungkin tertanya-tanya mengapa dia harus pergi ke sana. Tetapi tidak lama kemudian, dia tahu sebabnya kerana di sana dia berjumpa dengan sida-sida dari Etiopia yang sedang “membaca kitab Nabi Yesaya dengan suara yang lantang.” (Lihat kotak “ ‘Sida-Sida’ dalam Erti Apa?”) Kuasa suci Yehuwa mendorong Filipus untuk menghampiri kereta kuda lelaki itu. Sambil berlari di sebelah kereta kuda itu, Filipus bertanya, “Adakah tuan memahami apa yang tuan baca?” Lelaki Etiopia itu menjawab, “Bagaimana mungkin aku memahaminya jika tiada orang yang mengajar aku?”—Kis. 8:26-31.
15 Jadi, lelaki Etiopia itu menjemput Filipus untuk naik ke kereta kudanya. Bayangkan perbincangan yang menarik antara mereka berdua! Banyak orang sudah lama tertanya-tanya tentang identiti “bebiri” atau “hamba” dalam nubuat Yesaya. (Yes. 53:1-12) Namun dalam perjalanan mereka, Filipus menjelaskan kepadanya bahawa Yesus Kristus telah memenuhi nubuat itu. Kemudian seperti orang yang dibaptis pada Pentakosta 33 M, lelaki Etiopia itu yang merupakan pemeluk agama Yahudi segera tahu apa yang harus dilakukannya. Dia berkata kepada Filipus, “Lihat, di sini ada air! Apakah yang menghalang aku daripada dibaptis?” Dengan segera, Filipus membaptis lelaki Etiopia itu! c (Lihat kotak “ Dibaptis ‘di Tempat yang Banyak Air.’”) Kemudian, Filipus dipimpin oleh kuasa suci Tuhan ke tugasan baharu di Asdod. Di sana, dia terus menyebarkan berita baik.—Kis. 8:32-40.
16, 17. Bagaimanakah para malaikat terlibat dalam kerja penyebaran hari ini?
16 Orang Kristian hari ini berpeluang untuk mengambil bahagian dalam kerja yang dilakukan oleh Filipus. Biasanya, mereka dapat mengongsi berita tentang Kerajaan Tuhan secara tidak formal, contohnya semasa membuat perjalanan. Dalam kebanyakan situasi, apabila mereka berjumpa dengan orang yang menunjukkan minat, itu bukanlah suatu kebetulan. Hal ini tidak menghairankan kerana Bible menunjukkan bahawa para malaikat sedang membimbing kerja penyebaran agar mesej Bible dapat disebarkan kepada “setiap bangsa, suku, bahasa, dan kaum.” (Why. 14:6) Bimbingan para malaikat dalam kerja penyebaran adalah tepat seperti yang dinubuatkan oleh Yesus. Dalam perumpamaannya tentang gandum dan lalang, Yesus berkata bahawa pada musim menuai, iaitu penghujung sistem dunia ini, “penuai ialah para malaikat.” Dia berkata bahawa para malaikat akan “mengumpulkan mereka yang menyebabkan orang lain tersandung dan mereka yang mengamalkan perbuatan jahat. Semua orang ini akan dikeluarkan daripada Kerajaan Tuhan.” (Mat. 13:37-41) Pada masa yang sama, para malaikat akan mengumpulkan orang yang ingin dipimpin oleh Yehuwa ke dalam organisasi-Nya. Ini termasuk orang yang memiliki harapan untuk memerintah dalam Kerajaan Tuhan dan kemudian “kumpulan besar manusia” yang merupakan “biri-biri lain.”—Why. 7:9; Yoh. 6:44, 65; 10:16.
17 Kita dapat lihat bukti bahawa hal ini sedang berlaku. Dalam kerja penyebaran, ada kalanya kita berjumpa dengan orang yang berkata bahawa mereka telah berdoa untuk memohon bantuan Tuhan. Fikirkan pengalaman ini: Dua orang penyiar sedang menginjil bersama seorang anak kecil. Apabila mereka ingin berhenti menginjil pada pagi itu, anak itu sangat bersemangat untuk pergi ke rumah yang seterusnya. Dia bahkan pergi seorang diri dan mengetuk pintu rumah itu! Apabila seorang wanita muda membuka pintu, dua Saksi itu menghampirinya dan bercakap dengannya. Mereka terkejut kerana wanita itu menjelaskan bahawa dia baru berdoa agar seseorang datang untuk membantunya memahami Bible. Maka, pembelajaran Bible pun dimulakan!
18. Mengapakah kita tidak patut memandang remeh kerja penyebaran kita?
18 Sebagai ahli sidang Kristian, anda mempunyai penghormatan untuk bekerja bersama malaikat dalam kerja penyebaran yang dilakukan dalam skala yang besar hari ini. Janganlah meremehkan peluang ini. Dengan terus mencurahkan usaha untuk mengongsi “berita baik tentang Yesus,” anda akan meraih sukacita yang besar.—Kis. 8:35.
a Dia bukanlah Rasul Filipus. Sebaliknya, dia ialah Filipus yang diceritakan dalam Bab 5 buku ini. Dia dilantik untuk membahagikan makanan kepada balu-balu yang bertutur dalam bahasa Yunani dan Ibrani di Yerusalem.—Kis. 6:1-6.
b Nampaknya pada masa itu, murid-murid baharu biasanya diurapi atau menerima kuasa suci Tuhan semasa mereka dibaptis. Ini membolehkan mereka menerima harapan untuk memerintah sebagai raja dan imam bersama Yesus di syurga. (2 Kor. 1:21, 22; Why. 5:9, 10; 20:6) Namun dalam kisah ini, murid baharu tidak diurapi semasa dibaptis. Mereka mendapat kuasa suci Tuhan dan menerima kurniaan Tuhan hanya selepas Petrus dan Yohanes meletakkan tangan ke atas mereka.
c Keputusan ini bukanlah tindakan yang terburu-buru. Oleh sebab dia merupakan seorang pemeluk agama Yahudi, dia memang memiliki pengetahuan tentang Ayat-Ayat Suci, termasuk nubuat tentang Mesias. Kini dia ada maklumat tentang peranan Yesus dalam tujuan Tuhan, jadi dia dapat terus dibaptis.