BAB 8
Sidang “Menikmati Ketenteraman”
Saulus, penentang yang kejam, menjadi penginjil yang bersemangat
Berdasarkan Kisah 9:1-43
1, 2. Apakah yang ingin dilakukan oleh Saulus di Damsyik?
SEKUMPULAN orang yang penuh dengan kemarahan sedang menuju ke Damsyik untuk melaksanakan rancangan yang jahat. Mereka mahu memaksa pengikut Kristus untuk keluar dari rumah masing-masing, mengikat, menghina, dan menyeret mereka ke Yerusalem untuk dihukum oleh Majlis Orang Yahudi.
2 Ketua kumpulan perusuh ini yang bernama Saulus sudah pun terlibat dalam pembunuhan Stefanus. a Baru-baru ini, dia telah melihat dan menyetujui rakan-rakannya yang merejam murid Yesus yang setia ini sampai mati. (Kis. 7:57–8:1) Saulus bukan sahaja ingin menganiaya pengikut Kristus di Yerusalem, tetapi dia bersedia untuk mencetuskan lebih banyak penganiayaan di tempat lain. Dia ingin membasmi kumpulan agama ini yang dikenali sebagai “Haluan Tuan,” yang dianggapnya bagaikan wabak.—Kis. 9:1, 2; lihat kotak “ Kuasa Saulus di Damsyik.”
3, 4. (a) Apakah yang berlaku kepada Saulus? (b) Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan?
3 Tiba-tiba, cahaya yang terang memancar di sekeliling Saulus. Rakan-rakan yang bersamanya tergamam melihat apa yang berlaku. Saulus menjadi buta dan rebah ke tanah. Kemudian, Saulus mendengar suara dari syurga yang berkata, “Saulus, Saulus, mengapakah kamu menganiaya aku?” Saulus bertanya, “Tuan, siapakah kamu?” Saulus pasti sangat terkejut semasa mendengar jawapan ini: “Akulah Yesus, yang kamu aniaya.”—Kis. 9:3-5; 22:9.
4 Apakah yang dapat kita pelajari daripada kata-kata Yesus kepada Saulus? Apakah manfaatnya jika kita mengkaji peristiwa yang berlaku semasa Saulus menjadi pengikut Kristus? Apakah pengajaran yang dapat kita peroleh daripada cara sidang memanfaatkan tempoh ketenteraman selepas Saulus berubah?
Kis. 9:1-5)
“Mengapakah Kamu Menganiaya Aku?” (5, 6. Apakah yang dapat kita pelajari daripada kata-kata Yesus kepada Saulus?
5 Semasa Yesus menghentikan Saulus yang sedang menuju ke Damsyik, dia tidak bertanya, “Mengapakah kamu menganiaya pengikutku?” Sebaliknya, dia berkata, “Mengapakah kamu menganiaya aku?” (Kis. 9:4) Ya, Yesus sendiri merasai penderitaan yang dialami oleh para pengikutnya.—Mat. 25:34-40, 45.
6 Jika anda ditentang kerana beriman kepada Kristus, yakinlah bahawa Yehuwa dan Yesus sedar apa yang anda alami. (Mat. 10:22, 28-31) Buat masa ini, Yehuwa mungkin tidak menyingkirkan cabaran yang anda hadapi. Ingatlah, Yesus memerhatikan Saulus yang terlibat dalam pembunuhan Stefanus dan semasa Saulus menyeret pengikut Kristus dari rumah mereka di Yerusalem. (Kis. 8:3) Namun, Yesus tidak campur tangan pada masa itu. Meskipun demikian, menerusi Kristus, Yehuwa memberi Stefanus dan pengikut Kristus yang lain kekuatan agar tetap setia.
7. Apakah yang perlu anda buat agar dapat tetap tabah semasa dianiaya?
7 Anda juga dapat bertabah semasa dianiaya jika anda: (1) Bertekad untuk tetap setia tidak kira apa yang berlaku. (2) Memohon bantuan Yehuwa. (Flp. 4:6, 7) (3) Biarkan Yehuwa menuntut pembalasan bagi anda. (Rm. 12:17-21) (4) Percaya bahawa Yehuwa akan memberi anda kekuatan untuk bertabah sehingga tiba masanya Dia menyingkirkan cabaran anda.—Flp. 4:12, 13.
‘Saulus, Saudaraku, Tuan Telah Mengutus Aku kepadamu’ (Kis. 9:6-17)
8, 9. Apakah perasaan Ananias terhadap tugasannya?
8 Selepas Yesus menyatakan identitinya, dia berkata kepada Saulus, “Bangunlah dan masuklah ke dalam kota. Di situ, kamu akan diberitahu apa yang mesti kamu lakukan.” (Kis. 9:6) Maka, Saulus yang buta dipimpin ke tempat penginapannya di Damsyik. Di sana, dia berpuasa dan berdoa selama tiga hari. Sementara itu, Yesus memberitahu Ananias, seorang muridnya yang tinggal di kota itu, tentang Saulus. Ananias ialah seorang lelaki yang “dipuji oleh semua penduduk Yahudi” di Damsyik.—Kis. 22:12.
9 Perasaan Ananias pasti bercampur baur! Fikirkan, Yesus Kristus yang telah dibangkitkan sedang bercakap dengannya secara peribadi. Yesus, yang merupakan Kepala sidang, telah memilihnya untuk melakukan suatu tugasan yang istimewa. Sememangnya suatu penghormatan yang besar! Namun, tugasan ini mencabar kerana dia disuruh untuk bercakap dengan Saulus. Maka tidak hairanlah Ananias berkata, “Tuan, aku sudah mendengar daripada ramai orang tentang lelaki ini dan semua perbuatan kejam yang dilakukannya terhadap umat suci di Yerusalem. Ketua-ketua imam sudah memberinya kuasa untuk menangkap semua orang di sini yang menyeru nama Tuan.”—Kis. 9:13, 14.
10. Apakah yang dapat kita pelajari daripada cara Yesus melayan Ananias?
10 Yesus tidak menegur Ananias kerana meluahkan kerisauannya. Namun, Yesus memberikan arahan yang jelas. Dia juga bertimbang rasa terhadap Ananias dengan menjelaskan sebabnya dia ingin Ananias melakukan tugasan ini. Mengenai Saulus, Yesus berkata, “Aku sudah memilih lelaki ini untuk memberitakan namaku kepada raja-raja, umat Israel, dan bangsa-bangsa lain. Aku akan menunjukkan kepadanya semua penderitaan yang mesti ditanggungnya demi namaku.” (Kis. 9:15, 16) Ananias segera mentaati Yesus. Dia pergi berjumpa dengan Saulus dan berkata kepadanya, “Saulus, saudaraku, Tuan Yesus yang menampakkan diri kepada kamu semasa kamu dalam perjalanan ke sini, telah mengutus aku kepadamu agar kamu dapat melihat semula dan dipenuhi kuasa suci Tuhan.”—Kis. 9:17.
11, 12. Apakah yang kita pelajari daripada peristiwa-peristiwa yang melibatkan Yesus, Ananias, dan Saulus?
11 Kita dapat lebih memahami beberapa fakta melalui peristiwa yang melibatkan Yesus, Ananias, dan Saulus. Misalnya, Yesus memainkan peranan yang aktif untuk membimbing kerja penyebaran, seperti yang dijanjikannya. (Mat. 28:20) Hari ini, Yesus tidak bercakap dengan seseorang secara langsung. Namun, dia membimbing kerja penyebaran menerusi hamba yang setia, yang dilantiknya untuk menjaga hamba-hambanya yang lain. (Mat. 24:45-47) Badan Pimpinan memberikan arahan dan mengutus penyiar dan perintis untuk mencari orang yang ingin mengetahui lebih banyak tentang Kristus. Seperti yang disebutkan dalam bab sebelumnya, ramai orang telah berdoa untuk meminta bimbingan dan kemudiannya mereka telah dikunjungi oleh Saksi-Saksi Yehuwa.—Kis. 9:11.
12 Ananias mentaati Yesus dan menerima tugasan itu, lalu diberkati. Adakah anda mentaati arahan untuk memberikan kesaksian yang menyeluruh, meskipun tugasan itu menyebabkan anda berasa risau? Bagi sesetengah orang, menginjil dari rumah ke rumah dan berjumpa dengan orang yang tidak dikenali dapat membuat mereka berasa takut. Yang lain pula berasa susah untuk menginjil kepada orang di kawasan perniagaan, di jalanan, dan melalui telefon atau surat. Ingatlah, Ananias mengatasi perasaan takutnya, maka dia mempunyai penghormatan untuk membantu Saulus menerima kuasa suci Tuhan. b Ananias berjaya kerana dia percaya kepada Yesus dan menganggap Saulus sebagai saudaranya. Seperti Ananias, kita dapat mengatasi perasaan takut kita. Bagaimana? Percayalah bahawa kerja penyebaran kita sedang dibimbing oleh Yesus, tunjukkan empati terhadap orang, dan anggaplah orang yang menakutkan sebagai individu yang berpotensi untuk menjadi saudara kita.—Mat. 9:36.
‘Dia Pergi Menyebarkan Berita tentang Yesus’ (Kis. 9:18-30)
13, 14. Jika anda sedang belajar Bible tetapi belum dibaptis, apakah yang dapat anda pelajari daripada teladan Saulus?
13 Saulus dengan segera bertindak selaras dengan apa yang dipelajarinya. Selepas dia disembuhkan, dia dibaptis dan mula bergaul rapat dengan para pengikut Kristus di Damsyik. Namun bukan itu sahaja, “Tanpa berlengah-lengah, dia pergi ke rumah-rumah ibadat dan menyebarkan berita bahawa Yesus ialah Anak Tuhan.”—Kis. 9:20.
14 Jika anda sedang belajar Bible tetapi belum dibaptis, adakah anda akan meniru Saulus dengan bertindak tanpa berlengah-lengah selaras dengan apa yang anda pelajari? Memang, Saulus menyaksikan sendiri mukjizat yang dilakukan oleh Kristus, dan hal ini pasti telah mendorongnya untuk bertindak. Tetapi, orang lain juga menyaksikan mukjizat daripada Yesus. Misalnya, sekumpulan orang Farisi melihat Yesus menyembuhkan seorang lelaki yang sebelah tangannya lumpuh, dan sekumpulan besar orang Yahudi tahu bahawa Yesus telah membangkitkan Lazarus daripada kematian. Meskipun demikian, banyak antara mereka bersikap acuh tak acuh, dan sesetengah orang bahkan menentang Yesus. (Mrk. 3:1-6; Yoh. 12:9, 10) Saulus pula berbeza. Sikapnya berubah sama sekali! Mengapakah dia membuat perubahan itu sedangkan yang lain tidak? Kerana dia lebih takut kepada Tuhan berbanding manusia dan dia sangat menghargai belas kasihan yang ditunjukkan Kristus kepadanya. (Flp. 3:8) Jika anda meniru Saulus, anda tidak akan membiarkan apa-apa pun menghalang anda daripada menyertai kerja menginjil dan melayakkan diri untuk dibaptis.
15, 16. Apakah yang dilakukan oleh Saulus di rumah-rumah ibadat? Apakah reaksi orang Yahudi di Damsyik?
15 Bayangkan betapa terkejut dan marahnya orang ramai semasa Saulus mula menginjil tentang Yesus di rumah-rumah ibadat! Mereka berkata, “Bukankah dia lelaki yang bertindak dengan kejam dan menganiaya orang di Yerusalem yang menyeru nama itu?” (Kis. 9:21) Semasa Saulus menjelaskan sebab sikapnya terhadap Yesus berubah, dia “membuktikan secara logik bahawa Yesus ialah Kristus.” (Kis. 9:22) Namun, penjelasan yang logik tidak dapat meyakinkan semua orang. Hal itu tidak dapat mengubah minda orang yang dibelenggu dengan tradisi atau hati yang dikuasai keangkuhan. Meskipun begitu, Saulus tidak berputus asa.
16 Tiga tahun kemudian, orang Yahudi di Damsyik masih menentang Saulus. Akhirnya, mereka bertekad untuk membunuhnya. (Kis. 9:23; 2 Kor. 11:32, 33; Gal. 1:13-18) Apabila Saulus mengetahui rancangan mereka, dia membuat keputusan yang bijak untuk meninggalkan kota itu. Menurut catatan Lukas, pada malam itu, “murid-murid Saulus” membawanya ke sebuah tingkap di tembok kota lalu menurunkannya di dalam sebuah bakul. (Kis. 9:25) Ungkapan “murid-murid Saulus” menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya terdapat beberapa orang yang menerima berita yang disampaikan Saulus di Damsyik dan menjadi pengikut Kristus.
17. (a) Apakah reaksi orang terhadap kebenaran Bible? (b) Kita perlu terus melakukan apa, dan mengapa?
17 Semasa anda memberitahu hal-hal yang anda telah pelajari kepada keluarga, sahabat, dan orang lain, anda mungkin berharap semua orang akan menerima kebenaran Bible yang logik. Ada yang mungkin mendengarkan anda, manakala kebanyakannya mungkin tidak. Ahli keluarga anda sendiri mungkin melayan anda sebagai musuh. (Mat. 10:32-38) Namun, jika anda terus meningkatkan kemahiran untuk menerangkan Firman Tuhan dan mengekalkan tingkah laku Kristian yang baik, bahkan orang yang menentang anda mungkin akan berubah.—Kis. 17:2; 1 Ptr. 2:12; 3:1, 2, 7.
18, 19. (a) Apakah kesannya semasa Barnabas mengesahkan bahawa Saulus sudah berubah? (b) Bagaimanakah kita dapat meniru Barnabas dan Saulus?
18 Semasa Saulus tiba di Yerusalem, tidaklah menghairankan bahawa para pengikut Kristus enggan percaya Saulus sudah berubah. Namun, selepas Barnabas mengesahkan bahawa Saulus sudah menjadi murid Yesus, para rasul pun menerimanya dan Saulus tinggal bersama mereka buat suatu ketika. (Kis. 9:26-28) Saulus bertindak dengan berhati-hati, tetapi dia tidak berasa malu untuk mengongsi berita baik. (Rm. 1:16) Dia dengan berani menginjil di Yerusalem, padahal di sanalah dia pernah melancarkan penganiayaan yang kejam terhadap pengikut Yesus Kristus. Orang Yahudi di Yerusalem sangat terkejut semasa mendapati bahawa Saulus, orang yang diharapkan mereka, telah menyertai orang Kristian. Kini, mereka bertekad untuk membunuhnya. Bible berkata, “Apabila saudara-saudara mengetahui hal ini, mereka membawa Saulus ke Kaisarea dan menghantarnya ke Tarsus.” (Kis. 9:30) Saulus mentaati arahan Yesus yang disampaikan melalui sidang. Hasilnya, Saulus dan ahli sidang meraih manfaat.
19 Perhatikan bahawa Barnabas mengambil inisiatif untuk membantu Saulus. Sudah pasti kebaikan hati yang ditunjukkan itu menguatkan persahabatan antara dua hamba Yehuwa yang bersemangat ini. Seperti Barnabas, adakah anda sudi membantu penyiar baharu di sidang, bekerja bersama mereka dalam kerja penyebaran, dan membantu mereka membuat kemajuan rohani? Dengan berbuat demikian, anda akan menerima berkat yang berlimpah-limpah. Jika anda ialah penyiar baharu, adakah anda meniru Saulus dengan menerima bantuan yang diberikan? Apabila anda bekerja bersama penyiar yang berpengalaman, anda akan menjadi lebih mahir dalam kerja menginjil, sukacita anda akan bertambah, dan anda dapat memupuk persahabatan yang berkekalan.
“Ramai Orang Mula Percaya” (Kis. 9:31-43)
20, 21. Bagaimanakah umat Tuhan pada masa lampau dan hari ini menggunakan masa “ketenteraman” dengan sebaik-baiknya?
20 Selepas Saulus menjadi pengikut Kristus dan meninggalkan Yerusalem dengan selamat, “untuk suatu jangka masa, sidang di seluruh Yudea, Galilea, dan Samaria, menikmati ketenteraman.” (Kis. 9:31) Bagaimanakah pengikut Kristus memanfaatkan masa yang senang ini? (2 Tim. 4:2) Bible menyatakan bahawa mereka “menjadi kukuh.” Para rasul dan saudara-saudara yang mengambil pimpinan menguatkan iman pengikut Kristus. Mereka membantu ahli sidang “sentiasa takut akan Yehuwa dan hidup selaras dengan galakan yang diterima menerusi kuasa suci Tuhan.” Misalnya, Petrus meluangkan masa untuk menguatkan pengikut Kristus di Lida, yang terletak di Dataran Saron. Usahanya telah membantu banyak orang yang tinggal di sekitar kawasan itu untuk “percaya kepada Tuan Yesus.” (Kis. 9:32-35) Pengikut Kristus tidak tersimpang dengan kepentingan diri, sebaliknya mereka bekerja keras untuk membantu satu sama lain dan menyebarkan berita baik. Hasilnya, bilangan ahli sidang “terus bertambah.”
21 Pada penghujung abad ke-20, Saksi-Saksi Yehuwa di pelbagai negara juga menikmati “ketenteraman” yang serupa. Rejim-rejim yang menentang umat Tuhan selama puluhan tahun tiba-tiba berakhir, dan sesetengah larangan terhadap kerja penyebaran telah dikurangkan atau dimansuhkan. Puluhan ribu Saksi mengambil peluang ini untuk menginjil secara terbuka, dan mereka meraih hasil yang sangat menakjubkan.
22. Bagaimanakah anda dapat menggunakan kebebasan yang anda miliki dengan sebaik-baiknya?
22 Adakah anda menggunakan kebebasan yang anda miliki dengan sebaik-baiknya? Jika anda tinggal di negara yang mempunyai kebebasan beragama, Syaitan sudah pasti ingin menggoda anda untuk mengejar kekayaan, dan bukannya mengutamakan Kerajaan Tuhan. (Mat. 13:22) Janganlah tersimpang. Selagi anda menikmati masa yang tenteram, gunakanlah masa itu dengan sebaik-baiknya. Anggaplah itu sebagai peluang untuk memberikan kesaksian yang menyeluruh dan untuk menguatkan sidang. Ingatlah, situasi anda dapat berubah dalam sekelip mata.
23, 24. (a) Apakah yang kita belajar daripada kisah Tabita? (b) Apakah sepatutnya tekad kita?
23 Perhatikan apa yang berlaku kepada seorang murid Yesus yang bernama Tabita, atau Dorkas. c Dia tinggal di Yope, sebuah kota tidak jauh dari Lida. Saudari yang setia ini menggunakan masanya dan harta bendanya dengan bijak untuk “melakukan banyak perkara baik dan selalu membantu orang yang miskin.” Namun secara tiba-tiba, dia jatuh sakit dan mati. Hal itu telah menyebabkan murid-murid di Yope berasa sangat sedih, terutamanya para balu yang pernah merasai kebaikannya. Apabila Petrus tiba di rumah tempat mayat Tabita sedang disediakan untuk dikebumikan, dia telah melakukan suatu mukjizat yang belum pernah dilakukan oleh rasul-rasul Yesus yang lain. Petrus berdoa lalu membangkitkan Tabita! Dapatkah anda bayangkan sukacita para balu dan murid-murid lain apabila Petrus memanggil mereka ke dalam bilik dan menunjukkan Tabita yang hidup semula? Sudah pasti peristiwa ini telah menguatkan mereka untuk menghadapi cabaran yang bakal berlaku! Tidak hairanlah berita tentang mukjizat ini “tersebar di seluruh Yope, dan ramai orang mula percaya kepada Tuan Yesus.”—Kis. 9:36-42.
24 Kita belajar dua poin penting daripada kisah Tabita yang menyentuh hati. (1) Kehidupan kita singkat. Jadi selagi ada peluang, amatlah penting untuk kita mengukir nama yang baik di hadapan Tuhan! (Pkh. 7:1) (2) Pembangkitan ialah harapan yang nyata. Yehuwa memperhatikan semua kebaikan yang ditunjukkan oleh Tabita, dan Dia memberkatinya. Maka, Yehuwa juga pasti ingat akan kerja keras kita, dan jika kita mati sebelum Armagedon, Dia pasti akan membangkitkan kita. (Ibr. 6:10) Oleh itu, tidak kira kita sedang menghadapi “masa yang susah” atau menikmati “ketenteraman,” marilah kita terus berusaha sedaya upaya untuk memberikan kesaksian yang menyeluruh tentang Kristus.—2 Tim. 4:2.
a Lihat kotak “ Saulus—Seorang Farisi.”
b Biasanya, kurniaan kuasa suci Tuhan disalurkan menerusi para rasul. Namun dalam situasi yang unik ini, Yesus nampaknya menggunakan Ananias untuk memberikan kurniaan kuasa suci Tuhan kepada Saulus. Selepas Saulus menjadi pengikut Kristus, dia belum pernah berjumpa dengan seorang pun daripada 12 para rasul buat suatu jangka masa yang panjang. Namun sepanjang masa itu, kemungkinan besar dia tetap aktif dalam kerja penyebaran. Jadi, nampaknya Yesus memastikan Saulus memiliki kuasa yang diperlukan agar dia dapat terus melaksanakan tugasan itu.
c Lihat kotak “ Tabita—‘Melakukan Banyak Perkara Baik.’”