Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 6

Stefanus “Penuh dengan Kuasa Tuhan dan Sangat Diperkenankan-Nya”

Stefanus “Penuh dengan Kuasa Tuhan dan Sangat Diperkenankan-Nya”

Pengajaran daripada kesaksian Stefanus yang berani di hadapan Majlis Orang Yahudi

Berdasarkan Kisah 6:8–8:3

1-3. (a) Apakah situasi menakutkan yang dihadapi oleh Stefanus, namun apakah reaksinya? (b) Apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan?

 STEFANUS dihadapkan ke mahkamah yang kemungkinannya terletak berdekatan dengan Rumah Tuhan di Yerusalem. Seramai 71 orang lelaki, yang menganggotai Majlis Orang Yahudi, duduk mengelilingi Stefanus untuk menghakiminya. Para hakim itu berkuasa dan berpengaruh. Kebanyakan antara mereka tidak menghormati murid Yesus ini. Sebenarnya, orang yang mengaturkan persidangan ini ialah Imam Agung Kayafas. Beberapa bulan yang lalu, dia juga mengetuai persidangan Majlis Orang Yahudi yang menjatuhkan hukuman mati terhadap Yesus Kristus. Adakah Stefanus menjadi takut?

2 Pada masa itu, raut wajah Stefanus sangat luar biasa. Para hakim menatapnya dan nampak wajahnya “kelihatan seperti wajah malaikat.” (Kis. 6:15) Oleh sebab para malaikat membawa mesej daripada Tuhan Yehuwa, mereka berasa tenang dan tidak ada sebab untuk menjadi takut. Itulah yang dirasai oleh Stefanus. Para hakim yang penuh dengan kebencian pun dapat melihat hal itu. Apakah yang membantu Stefanus menjadi begitu tenang?

3 Jawapan kepada soalan itu dapat memberikan pengajaran kepada orang Kristian hari ini. Kita juga perlu tahu sebabnya Stefanus berada dalam situasi yang genting itu. Bagaimanakah dia mempertahankan imannya sebelum itu? Bagaimanakah kita dapat menirunya?

‘Mereka Menghasut Orang Ramai’ (Kis. 6:8-15)

4, 5. (a) Mengapakah Stefanus sangat bernilai bagi sidang? (b) Apakah maksud bahawa Stefanus “penuh dengan kuasa Tuhan dan sangat diperkenankan-Nya”?

4 Kita sudah belajar bahawa Stefanus sangat bernilai bagi sidang Kristian yang baru ditubuhkan. Dalam bab yang sebelumnya, kita melihat bahawa Stefanus merupakan salah seorang daripada tujuh lelaki yang dengan rendah hati membantu para rasul. Kerendahan hatinya membuat kita berasa lebih kagum apabila kita merenungkan kurniaan yang diberikan Tuhan kepadanya. Di Kisah 6:8, kita membaca bahawa dia dapat melakukan “mukjizat dan keajaiban,” seperti sesetengah rasul yang lain. Dia juga “penuh dengan kuasa Tuhan dan sangat diperkenankan-Nya.” Apakah maksudnya?

5 Perkataan Yunani bagi “diperkenankan-Nya” juga boleh diterjemahkan sebagai “menyenangkan.” Jelaslah, Stefanus seorang yang baik hati dan lemah lembut sehingga membuat orang tertarik dengannya. Dia bercakap dalam cara yang menyentuh hati pendengarnya. Stefanus meyakinkan mereka bahawa dia ikhlas ingin membantu mereka dan ajarannya adalah demi manfaat mereka. Dia penuh dengan kuasa Tuhan kerana dia dengan rendah hati membenarkan kuasa suci Tuhan bekerja dalam dirinya dan membimbingnya. Dia tidak menjadi bangga dengan kurniaan dan kebolehan yang dimilikinya. Sebaliknya, dia mengalihkan semua pujian kepada Yehuwa dan menunjukkan bahawa dia mengambil berat terhadap para pendengarnya. Maka, tidak hairanlah para penentang menganggapnya sebagai ancaman!

6-8. (a) Apakah dua tuduhan yang dilontarkan oleh para penentang Stefanus, dan mengapa? (b) Mengapakah teladan Stefanus bermanfaat bagi orang Kristian hari ini?

6 Beberapa orang tampil untuk berdebat dengan Stefanus, tetapi “mereka tidak dapat menyangkal kata-katanya kerana dia didorong oleh kuasa suci Tuhan dan bercakap dengan bijaksana.” a Mereka berasa sangat geram. Maka “secara rahsia, mereka menyuruh” orang untuk melontarkan tuduhan terhadap pengikut Kristus yang tidak bersalah ini. Mereka juga “menghasut orang ramai, para pemimpin orang Yahudi, dan jurutulis hukum,” supaya Stefanus ditangkap dan dibawa untuk menghadap Majlis Orang Yahudi. (Kis. 6:9-12) Para penentang melontarkan dua tuduhan terhadapnya, iaitu dia mengutuk Tuhan dan Musa. Bagaimana?

7 Para penentang menuduh Stefanus mengutuk Tuhan dengan mengucapkan kata-kata hinaan terhadap “tempat suci ini,” iaitu Rumah Tuhan di Yerusalem. (Kis. 6:13) Mereka juga menuduh dia mengubah adat istiadat yang diturunkan Musa. Dengan itu, dia dikatakan mengutuk Musa dan Hukum itu. Tuduhan ini sangat serius kerana orang Yahudi pada masa itu amat mementingkan Rumah Tuhan, butiran dalam Hukum Musa, dan banyak tradisi lisan yang ditambahkan mereka dalam Hukum Musa. Oleh itu, semua tuduhan ini menunjukkan bahawa Stefanus ialah orang yang berbahaya dan patut dihukum mati!

8 Sedihnya, penganut agama biasanya menggunakan taktik seperti ini atas umat Tuhan. Sehingga hari ini, penentang ada kalanya menghasut pihak berkuasa untuk menganiaya Saksi-Saksi Yehuwa. Apakah sepatutnya reaksi kita semasa berdepan dengan tuduhan yang palsu atau yang diputarbelitkan? Kita dapat belajar banyak daripada teladan Stefanus.

Berani Memberikan Kesaksian tentang ‘Tuhan yang Mulia’ (Kis. 7:1-53)

9, 10. Apakah yang dikatakan para pengkritik tentang ucapan Stefanus di hadapan Majlis Orang Yahudi? Apakah yang perlu kita ingat?

9 Seperti yang disebut tadi, semasa Stefanus mendengar tuduhan terhadapnya, mukanya kelihatan tenang dan seperti malaikat. Selepas itu, Kayafas memandangnya dan bertanya, “Adakah hal-hal ini benar?” (Kis. 7:1) Sekarang, tibalah giliran Stefanus untuk bercakap, dan itulah yang dilakukannya!

10 Sesetengah pengkritik mengatakan bahawa walaupun ucapan Stefanus panjang, dia langsung tidak menjawab tuduhan yang dilontarkan terhadapnya. Tetapi sebenarnya, Stefanus telah menetapkan teladan baik bagi kita tentang cara “membela” berita baik. (1 Ptr. 3:15) Ingatlah bahawa Stefanus dituduh mengutuk Tuhan dengan menghina Rumah Tuhan dan dia mengutuk Musa kerana menentang Hukum Musa. Stefanus menjawab dengan memberikan ringkasan tentang tiga era dalam sejarah orang Israel, dan menekankan sesetengah poin dengan cermat. Sekarang, mari kita bincangkan tiga era ini satu demi satu.

11, 12. (a) Bagaimanakah Stefanus menggunakan contoh Abraham dengan mahir? (b) Mengapakah Stefanus menyebut tentang Yusuf dalam ucapannya?

11 Era nenek moyang bangsa Israel. (Kis. 7:1-16) Stefanus memulakan ucapannya dengan menyebut tentang Abraham, iaitu lelaki yang sangat dihormati oleh orang Yahudi kerana imannya. Maka, Stefanus menggunakan topik yang disetujui mereka semua. Dia menekankan bahawa Yehuwa, ‘Tuhan yang mulia,’ telah mula-mula menampakkan diri-Nya kepada Abraham di Mesopotamia. (Kis. 7:2) Sebenarnya, Abraham ialah orang asing di Tanah yang Dijanjikan. Dia tidak mempunyai Rumah Tuhan atau Hukum Musa. Namun, sudah pasti tiada orang yang berani mempersoalkan bahawa kesetiaan kepada Tuhan harus bergantung pada aturan sebegitu.

12 Keturunan Abraham, iaitu Yusuf, juga sangat dihormati oleh pendengar Stefanus. Tetapi Stefanus mengingatkan mereka bahawa abang-abang Yusuf, iaitu moyang-moyang bangsa Israel, telah menganiaya dan menjualnya sebagai hamba. Walaupun begitu, Tuhan telah menggunakannya untuk menyelamatkan orang Israel daripada kebuluran. Stefanus sudah pasti dapat melihat persamaan antara Yusuf dengan Yesus Kristus. Tetapi, dia menahan diri daripada membuat perbandingan itu supaya pendengarnya akan terus mendengar ucapannya.

13. Bagaimanakah perbincangan tentang Musa menjawab tuduhan yang dilontarkan terhadap Stefanus? Apakah tema yang dikembangkannya?

13 Era Musa. (Kis. 7:17-43) Stefanus bercakap banyak tentang Musa. Tindakannya bijak kerana kebanyakan ahli Majlis Orang Yahudi ialah golongan Saduki. Mereka menolak semua buku Bible kecuali yang ditulis oleh Musa. Ingatlah bahawa mereka menuduh Stefanus menghina Musa. Namun, kata-kata Stefanus dengan jelas menjawab tuduhan itu kerana dia menunjukkan dia sangat menghormati Musa dan Hukum Musa. (Kis. 7:38) Selain itu, dia mengatakan bahawa Musa juga ditolak oleh orang yang ingin diselamatkannya. Mereka menolak Musa semasa dia berumur 40 tahun. Lebih daripada 40 tahun kemudian, mereka berulang kali mencabar kepimpinannya. b Maka, Stefanus secara bertahap-tahap mengembangkan tema utama ini: Umat Yehuwa berulang kali menolak orang yang dilantik oleh-Nya untuk memimpin mereka.

14. Melalui contoh Musa, apakah poin-poin yang ditekankan dalam ucapan Stefanus?

14 Stefanus mengingatkan hadirin tentang poin ini: Musa menubuatkan bahawa seorang nabi sepertinya akan bangkit dalam kalangan orang Israel. Siapakah nabi itu, dan bagaimanakah orang akan menyambutnya? Soalan itu akan dijawab pada akhir ucapannya. Kemudian, Stefanus menyatakan satu lagi poin yang penting: Musa belajar bahawa mana-mana tempat dapat menjadi suci. Contohnya semasa Yehuwa bercakap kepada Musa, tanah di sekeliling pokok kecil yang bernyala telah menjadi suci. Maka, adakah ibadat kepada Yehuwa hanya boleh dijalankan di satu bangunan, seperti Rumah Tuhan di Yerusalem? Mari kita lihat jawapannya.

15, 16. (a) Mengapakah khemah suci penting dalam hujah Stefanus? (b) Bagaimanakah Stefanus menggunakan contoh Rumah Tuhan yang dibina oleh Salomo dalam perbincangannya?

15 Khemah suci dan Rumah Tuhan. (Kis. 7:44-50) Stefanus mengingatkan ahli mahkamah bahawa sebelum adanya Rumah Tuhan di Yerusalem, Tuhan telah memerintahkan Musa untuk membina sebuah khemah suci, iaitu tempat beribadat yang boleh dipindahkan. Jadi, siapakah yang berani berkata bahawa Rumah Tuhan lebih unggul daripada khemah suci, sedangkan Musa sendiri beribadat di khemah suci?

16 Kemudian semasa Salomo membina Rumah Tuhan di Yerusalem, dia telah diilhami untuk menyampaikan satu pengajaran penting dalam doanya. Itulah yang disebut oleh Stefanus: “Tuhan Yang Maha Tinggi tidak tinggal di dalam rumah buatan tangan manusia.” (Kis. 7:48; 2 Taw. 6:18) Yehuwa mungkin menggunakan Rumah Tuhan untuk melaksanakan tujuan-Nya, tetapi Dia tidak dibatasi oleh tempat itu. Jadi, patutkah penyembah-Nya berasa bahawa ibadat sejati bergantung pada satu bangunan yang dibuat dengan tangan manusia? Stefanus mengakhiri hujahnya dengan membuat kesimpulan yang terus terang. Dia memetik buku Yesaya yang menyatakan, “Yehuwa berfirman, ‘Syurga ialah takhta-Ku dan bumi ialah alas kaki-Ku. Rumah seperti apa yang akan engkau dirikan bagi-Ku? Di manakah tempat istirahat-Ku? Bukankah tangan-Ku yang membuat segala sesuatu?’”​—Kis. 7:49, 50; Yes. 66:1, 2.

17. Bagaimanakah ucapan Stefanus (a) menyingkapkan sikap pendengarnya (b) menjawab tuduhan yang dilontarkan terhadapnya?

17 Seraya anda mengkaji ucapan Stefanus kepada Majlis Orang Yahudi, tidakkah anda setuju bahawa dia dengan mahir telah menyingkapkan sikap orang yang menuduhnya? Dia menunjukkan bahawa tujuan Tuhan sentiasa bergerak maju dan tidak terikat dengan tradisi. Orang yang terlalu mementingkan bangunan Rumah Tuhan yang indah di Yerusalem dan adat istiadat yang ditambahkan kepada Hukum Musa sebenarnya telah mengabaikan tujuan Hukum itu dan Rumah Tuhan! Secara tidak langsung, ucapan Stefanus membangkitkan soalan penting ini: Bukankah cara terbaik untuk menghormati Hukum Musa dan Rumah Tuhan adalah dengan mentaati Yehuwa? Sebenarnya, kata-kata Stefanus mempertahankan tindakannya kerana dia telah berusaha sedaya upaya untuk mentaati Yehuwa.

18. Bagaimanakah kita dapat meniru contoh Stefanus?

18 Apakah yang dapat kita belajar daripada ucapan Stefanus? Dia mengenali Firman Tuhan dengan baik. Begitu juga, kita harus mengkaji Firman Tuhan dengan tekun supaya kita dapat menjelaskan “firman yang benar dengan baik.” (2 Tim. 2:15) Teladan Stefanus juga mengajar kita cara bercakap yang menyenangkan dan yang tidak menyinggung perasaan orang lain. Para pendengarnya sangat membencinya! Tetapi, dia sedaya upaya menggunakan titik persamaan dengan bercakap tentang perkara-perkara yang dihormati oleh mereka. Dia juga menunjukkan hormat dengan memanggil orang yang berkuasa atau yang lebih tua sebagai “bapa-bapaku.” (Kis. 7:2) Kita juga harus menyampaikan kebenaran Firman Tuhan dengan “lemah lembut dan hormat yang mendalam.”​—1 Ptr. 3:15.

19. Bagaimanakah Stefanus dengan berani menyampaikan mesej penghakiman Yehuwa kepada Majlis Orang Yahudi?

19 Namun, kita tidak menahan diri daripada menyampaikan kebenaran Firman Tuhan kerana takut menyinggung orang lain, dan kita juga tidak melembutkan mesej penghakiman Yehuwa. Stefanus menetapkan teladan yang baik. Dia sedar bahawa semua bukti yang dikemukakannya kepada Majlis Orang Yahudi tidak mengubah pandangan hakim-hakim yang berhati batu itu. Jadi semasa mengakhiri ucapannya, Stefanus yang dibimbing kuasa suci Tuhan dengan berani mengatakan bahawa mereka sama seperti nenek moyang mereka yang menolak Yusuf, Musa, dan semua nabi. (Kis. 7:51-53) Sebenarnya, hakim-hakim Majlis Orang Yahudi telah membunuh Mesias, yang dinubuatkan oleh Musa dan semua nabi yang lain. Ya, mereka telah melanggar Hukum Musa dalam cara yang paling teruk!

“Tuan Yesus, Aku Menyerahkan Nyawaku Ke Dalam Tanganmu” (Kis. 7:54–8:3)

“Apabila mereka mendengar hal-hal itu, mereka menjadi sangat marah sehingga menggertakkan gigi sambil memandang Stefanus.”​—Kisah 7:54, nota kaki

20, 21. Apakah reaksi Majlis Orang Yahudi terhadap kata-kata Stefanus? Bagaimanakah Yehuwa menguatkannya?

20 Kata-kata Stefanus yang tidak dapat disangkal membuat para hakim itu naik berang. Tanpa rasa malu, mereka menggertakkan gigi semasa memandang Stefanus. Lelaki yang setia ini pasti dapat lihat bahawa mahkamah tidak akan menunjukkan belas kasihan kepadanya, sama seperti yang dialami Tuannya, Yesus.

21 Stefanus memerlukan keberanian untuk menghadapi apa yang bakal berlaku, dan Yehuwa telah menggalakkannya melalui sebuah penglihatan. Dia nampak kemuliaan Tuhan dan Yesus yang berdiri di sebelah kanan Yehuwa! Semasa Stefanus menggambarkan penglihatan itu, para hakim menutupi telinga dengan tangan mereka. Mengapa? Sebelum ini, Yesus telah memberitahu mahkamah yang sama bahawa dialah Mesias dan dia akan berada di sebelah kanan Bapanya tidak lama lagi. (Mrk. 14:62) Penglihatan Stefanus membuktikan kata-kata Yesus. Majlis Orang Yahudi sebenarnya telah mengkhianati dan membunuh Mesias! Dengan sebulat suara, mereka segera membuat keputusan agar Stefanus direjam sampai mati. c

22, 23. Bagaimanakah kematian Stefanus serupa dengan Tuannya? Bagaimanakah orang Kristian hari ini dapat menunjukkan keyakinan seperti Stefanus?

22 Stefanus mati dalam cara yang serupa dengan Tuannya. Semasa kematiannya, dia memiliki ketenangan, dia percaya sepenuhnya kepada Yehuwa, dan dia telah memaafkan orang yang membunuhnya. Ketika dia berkata, “Tuan Yesus, aku menyerahkan nyawaku ke dalam tanganmu,” dia mungkin masih dapat melihat Anak Manusia dan Yehuwa dalam penglihatan itu. Sudah pasti Stefanus tahu kata-kata Yesus yang menggalakkan ini: “Akulah pembangkitan dan kehidupan.” (Yoh. 11:25) Akhirnya, Stefanus dengan suara yang lantang berdoa kepada Tuhan, “Ya Yehuwa, janganlah menghukum mereka atas dosa ini.” Setelah berkata demikian, dia pun tidur dalam kematian.​—Kis. 7:59, 60.

23 Maka, Stefanus menjadi murid Kristus yang pertama mati demi imannya, yang dipanggil marʹtys dalam bahasa Yunani. (Lihat kotak “ Apakah Maksud ‘Marʹtys’?) Sedihnya, dia bukanlah orang yang terakhir. Sehingga hari ini, ada sesetengah hamba Yehuwa yang setia dibunuh oleh penganut agama yang fanatik, penyokong politik yang ekstremis, dan penentang yang kejam. Namun, kita mempunyai sebab untuk menunjukkan keyakinan seperti Stefanus. Yesus kini memerintah sebagai Raja, dan Bapanya telah memberinya kuasa yang luar biasa. Tiada apa-apa yang dapat menghalang Yesus daripada membangkitkan pengikutnya yang setia.​—Yoh. 5:28, 29.

24. Bagaimanakah Saulus juga bertanggungjawab terhadap kematian Stefanus? Apakah kesan jangka panjang kematian lelaki yang setia ini?

24 Semasa peristiwa ini berlaku, seorang lelaki yang muda bernama Saulus sedang memerhatikannya. Dia menyokong pembunuhan Stefanus, dan bahkan menjaga jubah luar orang yang merejam Stefanus. Tidak lama selepas itu, dia mengetuai serangan kejam yang meningkat secara mendadak terhadap pengikut Kristus. Tetapi, kematian Stefanus membawa kesan positif untuk jangka masa yang panjang. Teladannya menguatkan orang Kristian yang lain untuk tetap setia dan mendapat kejayaan yang sama. Selain itu, Saulus yang kemudiannya dikenali sebagai Paulus, sedar bahawa dia juga bertanggungjawab atas kematian Stefanus dan dia menyesali perbuatannya. (Kis. 22:20) Dia berkata bahawa dia telah “menghina Tuhan, menganiaya umat-Nya, dan bersikap biadab.” (1 Tim. 1:13) Jelaslah, Paulus tidak melupakan Stefanus serta ucapannya pada hari itu. Sebenarnya, sesetengah kata-kata dan catatan Paulus mengembangkan tema daripada ucapan Stefanus. (Kis. 7:48; 17:24; Ibr. 9:24) Seraya masa berlalu, Paulus belajar untuk meniru iman dan keberanian Stefanus, seorang lelaki yang “penuh dengan kuasa Tuhan dan sangat diperkenankan-Nya.” Adakah kita juga akan meniru Stefanus?

a Sesetengah penentang berasal daripada “Rumah Ibadat Orang Bebas.” Mereka mungkin pernah ditawan oleh orang Roma dan kemudian dibebaskan, atau mereka mungkin hamba yang dibebaskan yang menjadi pemeluk agama Yahudi. Sesetengah antara mereka berasal dari Kilikia. Saulus dari Tarsus juga berasal dari kawasan yang sama. Tetapi, kisah ini tidak menyatakan jika Saulus merupakan salah seorang daripada orang Kilikia yang tidak dapat menyangkal kata-kata Stefanus.

b Ucapan Stefanus mengandungi maklumat yang tidak dijumpai dalam buku Bible lain. Contohnya mengenai pendidikan Musa di Mesir, umurnya semasa dia melarikan diri dari Mesir, dan berapa lama dia tinggal di Midian.

c Majlis Orang Yahudi kemungkinan tidak mempunyai kuasa di bawah hukum Roma untuk menjatuhkan hukuman mati. (Yoh. 18:31) Maka, pembunuhan Stefanus nampaknya merupakan tindakan perusuh yang marah, dan bukannya tindakan yang berdasarkan undang-undang.