Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 15

“Menguatkan Sidang-Sidang”

“Menguatkan Sidang-Sidang”

Penyelia lawatan membantu menguatkan iman sidang-sidang

Berdasarkan Kisah 15:36–16:5

1-3. (a) Siapakah rakan perjalanan Paulus yang baharu, dan apakah yang kita tahu tentangnya? (b) Apakah yang akan kita belajar dalam bab ini?

 SERAYA mereka melalui jalan yang berbatu dari pekan ke pekan, Rasul Paulus memikirkan masa depan pemuda yang sedang berjalan di sebelahnya. Dia ialah Timotius, seorang pemuda yang penuh dengan semangat. Timotius mungkin berumur sekitar 20 tahun. Perjalanan ini akan membawanya jauh daripada kampung halamannya. Semakin lama mereka berjalan, Listra dan Ikonium kelihatan semakin jauh. Apakah yang menantikan mereka? Oleh sebab ini merupakan perjalanan mubaligh Paulus yang kedua, dia tahu mereka akan menghadapi banyak bahaya dan masalah. Adakah Timotius yang masih muda dapat bertabah menghadapi semua itu?

2 Timotius mungkin kurang keyakinan diri, namun Paulus mempunyai kepercayaan yang teguh padanya. Peristiwa yang berlaku baru-baru ini membuat Paulus lebih yakin bahawa dia memerlukan rakan perjalanan yang sesuai. Paulus tahu bahawa para penyelia lawatan yang mengunjungi dan menguatkan sidang-sidang haruslah sefikiran dan mempunyai tekad yang tidak berbelah bahagi. Mengapakah Paulus berasa demikian? Satu sebab mungkin kerana perselisihan yang menyebabkan dia dan Barnabas berpisah.

3 Dalam bab ini, kita akan belajar cara terbaik untuk menangani perselisihan. Kita juga akan belajar mengapa Paulus memilih Timotius sebagai rakan perjalanannya, dan kita akan memahami tugasan penting saudara yang berkhidmat sebagai penyelia litar hari ini.

‘Marilah Kita Kembali Sekarang untuk Melihat Keadaan Saudara-Saudara’ (Kis. 15:36)

4. Apakah yang ingin dilakukan oleh Paulus semasa perjalanan mubalighnya yang kedua?

4 Dalam bab yang sebelumnya, kita telah melihat bagaimana empat saudara, iaitu Paulus, Barnabas, Yudas, dan Silas menguatkan sidang di Antiokhia semasa mereka menyampaikan keputusan badan pimpinan berkenaan isu sunat. Apakah yang ingin dilakukan Paulus seterusnya? Dia memberitahu Barnabas tentang suatu rancangan perjalanan yang baharu. Dia berkata, “Marilah kita kembali sekarang ke setiap kota di mana kita sudah menyampaikan firman Yehuwa, untuk melihat keadaan saudara-saudara di situ.” (Kis. 15:36) Paulus bukan sekadar bercakap tentang kunjungan biasa bagi orang yang baru memeluk agama Kristian di sana. Buku Kisah menyingkapkan tujuan utama perjalanan mubaligh Paulus yang kedua. Pertama, dia mahu terus menyampaikan perintah daripada badan pimpinan. (Kis. 16:4) Kedua, sebagai penyelia lawatan, Paulus bertekad untuk menguatkan sidang secara rohani dan meneguhkan iman mereka. (Rm. 1:11, 12) Bagaimanakah organisasi Saksi-Saksi Yehuwa zaman moden meniru contoh yang ditetapkan oleh para rasul?

5. Bagaimanakah Badan Pimpinan zaman moden memberikan arahan dan galakan kepada sidang-sidang?

5 Hari ini, Kristus menggunakan Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa untuk membimbing sidangnya. Saudara-saudara terurap ini memberikan bimbingan dan galakan kepada sidang di serata dunia melalui surat, bahan-bahan dalam bentuk elektronik dan bercetak, perjumpaan, serta alat komunikasi yang lain. Badan Pimpinan juga berusaha untuk mengekalkan hubungan yang akrab dengan setiap sidang. Mereka berbuat demikian melalui aturan penyelia lawatan. Badan Pimpinan telah melantik ribuan penatua yang layak di serata dunia untuk berkhidmat sebagai penyelia litar.

6, 7. Apakah sesetengah tanggungjawab penyelia litar?

6 Penyelia lawatan zaman moden bertumpu untuk memberikan perhatian dan galakan rohani kepada semua orang dalam sidang yang mereka kunjungi. Bagaimana? Dengan mengikuti contoh yang ditetapkan oleh orang Kristian abad pertama, seperti Paulus. Dia menggesa rakan penyelianya, Timotius, dengan berkata, ‘Khabarkan firman Tuhan tanpa berlengah-lengah, baik pada masa yang senang mahupun pada masa yang susah. Berikanlah teguran, amaran tegas, dan nasihat dengan penuh kesabaran dan dengan menggunakan seni mengajar. Lakukanlah kerja seorang penginjil.’​—2 Tim. 4:2, 5.

7 Selaras dengan kata-kata itu, penyelia litar akan menyertai penyiar tempatan dalam pelbagai aspek kerja penyebaran. Jika dia sudah berkahwin, isterinya juga akan ikut serta. Penyelia litar sangat bersemangat dalam kerja menginjil dan merupakan guru yang mahir. Maka, mereka dapat meninggalkan kesan positif terhadap kawanan Tuhan. (Rm. 12:11; 2 Tim. 2:15) Mereka juga menunjukkan kasih yang rela berkorban. Mereka berkhidmat bagi orang lain dengan sudi meredah cuaca yang buruk dan bahkan pergi ke kawasan yang bahaya. (Flp. 2:3, 4) Selain itu, mereka menggalakkan, mengajar, dan memberikan nasihat kepada sidang melalui ceramah yang berdasarkan Bible. Sememangnya, semua ahli sidang mendapat manfaat dengan memperhatikan teladan penyelia litar dan meniru iman mereka.​—Ibr. 13:7.

“Tercetuslah Pertengkaran yang Sengit” (Kis. 15:37-41)

8. Apakah reaksi Barnabas terhadap jemputan Paulus?

8 Barnabas setuju dengan rancangan Paulus untuk “melihat keadaan saudara-saudara.” (Kis. 15:36) Selama ini, mereka telah bekerjasama dengan baik, dan mereka mengenali kawasan serta orang yang akan dikunjungi mereka. (Kis. 13:2–14:28) Jadi, rancangan ini nampaknya memang munasabah dan praktikal. Tetapi masalah timbul. Kisah 15:37 melaporkan, “Barnabas berkeras hendak membawa Yohanes, yang juga dipanggil Markus.” Barnabas bukannya memberikan cadangan, sebaliknya dia “berkeras” untuk membawa sepupunya Markus dalam perjalanan mubaligh ini.

9. Mengapakah Paulus tidak setuju dengan Barnabas?

9 Paulus tidak setuju. Mengapa? Bible menyatakan, “Paulus berpendapat bahawa mereka tidak patut membawa [Markus], kerana dia telah meninggalkan mereka semasa di Pamfilia dan tidak menjalankan tugas bersama-sama mereka.” (Kis. 15:38) Markus telah menyertai Paulus dan Barnabas semasa perjalanan mubaligh mereka yang pertama, tetapi dia tidak meneruskan perjalanan itu sampai akhir. (Kis. 12:25; 13:13) Di awal perjalanan, semasa mereka masih berada di Pamfilia, Markus meninggalkan tugasannya dan pulang ke Yerusalem. Bible tidak menyatakan sebabnya, tetapi nampaknya Rasul Paulus menganggap tindakan Markus itu tidak bertanggungjawab dan dia mungkin tidak boleh diharapkan.

10. Apakah yang berlaku kerana perselisihan faham antara Paulus dengan Barnabas?

10 Namun, Barnabas bertekad untuk membawa Markus bersamanya. Paulus pula berkeras dengan pendapatnya. “Maka tercetuslah pertengkaran yang sengit antara Paulus dengan Barnabas, lalu mereka berpisah,” menurut Kisah 15:39. Barnabas berlayar ke kampung halamannya di Pulau Siprus bersama Markus, manakala Paulus meneruskan rancangannya. Bible berkata, “Paulus pula memilih Silas. Mereka bertolak setelah saudara-saudara berdoa supaya Yehuwa mengurniakan kebaikan hati-Nya yang unggul kepada Paulus.” (Kis. 15:40) Mereka bersama-sama menjelajah “seluruh Siria dan Kilikia untuk menguatkan sidang-sidang di situ.”​—Kis. 15:41.

11. Apakah sifat-sifat penting yang dapat membantu kita agar konflik yang timbul tidak berterusan?

11 Kisah ini mungkin mengingatkan kita tentang ketidaksempurnaan sendiri. Paulus dan Barnabas telah dilantik sebagai wakil khas badan pimpinan. Paulus sendiri kemungkinan besar telah menjadi seorang ahli badan pimpinan. Namun, semasa peristiwa ini, Paulus dan Barnabas telah membiarkan ketidaksempurnaan manusia mempengaruhi mereka. Adakah mereka mengizinkan konflik ini berterusan? Walaupun tidak sempurna, Paulus dan Barnabas merupakan orang yang rendah hati dan mempunyai fikiran Kristus. Sudah pasti, pada kemudian hari mereka telah menunjukkan kasih persaudaraan dan rela mengampuni. (Ef. 4:1-3) Belakangan, Paulus dan Markus juga bekerjasama dalam tugasan teokratik yang lain. a​—Kol. 4:10.

12. Seperti Paulus dan Barnabas, apakah sifat yang harus ditunjukkan oleh penyelia zaman moden?

12 Pertengkaran yang sengit ini tidak mencerminkan keperibadian sebenar Barnabas atau Paulus. Barnabas dikenali sebagai seorang yang pengasih dan murah hati, sehingga para rasul memanggilnya sebagai Barnabas, yang bermaksud “Orang yang Membawa Kelegaan Hati,” dan bukannya menggunakan nama asalnya, iaitu Yusuf. (Kis. 4:36) Paulus juga dikenali sebagai seorang yang lemah lembut. (1 Tes. 2:7, 8) Seperti Paulus dan Barnabas, semua penyelia Kristian hari ini, termasuk penyelia litar, harus berusaha untuk menunjukkan kerendahan hati dan melayan penatua lain serta seluruh kawanan Tuhan dengan lemah lembut.​—1 Ptr. 5:2, 3.

“Timotius Dipuji” (Kis. 16:1-3)

13, 14. (a) Siapakah Timotius, dan bagaimanakah Paulus mungkin berjumpa dengannya? (b) Apakah yang menarik perhatian Paulus mengenai Timotius? (c) Apakah tugas yang diterima oleh Timotius?

13 Semasa perjalanan mubaligh Paulus yang kedua, dia pergi ke Galatia, iaitu sebuah wilayah Roma. Di situ, terdapat beberapa sidang yang telah ditubuhkan. Belakangan, “Paulus tiba di Derbe dan kemudian dia pergi ke Listra. Di sana ada seorang murid yang bernama Timotius. Ibunya berbangsa Yahudi dan percaya kepada Yesus, tetapi bapanya berbangsa Yunani.”​—Kis. 16:1. b

14 Nampaknya, semasa Paulus melawat kawasan itu buat kali pertama kira-kira pada tahun 47 M, dia bertemu dengan keluarga Timotius. Dua atau tiga tahun kemudian, semasa kunjungannya yang kedua, pemuda yang bernama Timotius menarik perhatian Paulus. Mengapa? Kerana Timotius “dipuji oleh saudara-saudara.” Dia bukan sahaja disukai oleh saudara-saudara di kampung halamannya di Listra, tetapi dia juga memiliki reputasi yang baik di sidang-sidang lain seperti Ikonium, yang terletak sejauh 30 km. (Kis. 16:2) Atas bimbingan kuasa suci Tuhan, para penatua mengamanahkan tanggungjawab yang berat kepada Timotius yang muda, iaitu membantu Paulus dan Silas dalam kerja lawatan.​—Kis. 16:3.

15, 16. Mengapakah Timotius mempunyai reputasi yang baik?

15 Bagaimanakah Timotius membina reputasi yang baik pada usia yang muda? Adakah disebabkan kebijaksanaan, penampilan fizikal, atau bakatnya? Manusia sering kali tertarik dengan hal-hal sebegitu. Nabi Samuel juga bahkan pernah menilai seseorang berdasarkan rupa luaran. Namun, Yehuwa mengingatkannya, “Pandangan Tuhan bukanlah seperti pandangan manusia, kerana manusia melihat rupa luaran sedangkan Yehuwa melihat hati orang.” (1 Sam. 16:7) Jadi, Timotius mendapat reputasi yang baik dalam kalangan rakan seiman bukan kerana bakat yang dimilikinya, tetapi kerana dia mempunyai sifat-sifat Kristian yang baik.

16 Beberapa tahun kemudian, Rasul Paulus menyebut beberapa sifat Timotius. Paulus berkata bahawa Timotius memiliki keperibadian yang baik, kasih yang rela berkorban, dan tekun melaksanakan tanggungjawab rohani. (Flp. 2:20-22) Timotius juga dikenali kerana ‘imannya yang tulus.’​—2 Tim. 1:5.

17. Bagaimanakah kaum muda dapat meniru Timotius?

17 Hari ini, banyak orang muda meniru Timotius dengan memupuk sifat-sifat yang menyenangkan Tuhan. Maka, mereka dapat membina nama yang baik di mata Yehuwa dan umat-Nya biarpun pada usia yang masih muda. (Ams. 22:1; 1 Tim. 4:15) Mereka menunjukkan iman yang tulus dan tidak menjalani hidup yang bermuka dua. (Mzm. 26:4) Hasilnya, seperti Timotius, mereka dapat memainkan peranan yang penting dalam sidang. Umat Tuhan pasti sangat digalakkan semasa melihat mereka melayakkan diri untuk menjadi penyiar dan kemudian membaktikan diri kepada Yehuwa lalu dibaptis!

‘Iman Semakin Teguh’ (Kis. 16:4, 5)

18. (a) Apakah tugasan istimewa yang dinikmati oleh Paulus dan Timotius sebagai penyelia lawatan? (b) Apakah manfaat yang diraih oleh sidang-sidang?

18 Paulus dan Timotius telah bekerjasama selama bertahun-tahun. Sebagai penyelia lawatan, mereka mewakili badan pimpinan untuk melaksanakan banyak tugas. Bible berkata, “Semasa mereka pergi dari kota ke kota, mereka menyampaikan perintah para rasul dan para penatua di Yerusalem kepada saudara-saudara di situ agar mereka menurut perintah itu.” (Kis. 16:4) Sidang-sidang memang mentaati arahan daripada para rasul dan para penatua di Yerusalem. Hasilnya, “iman orang di sidang-sidang itu semakin teguh, dan setiap hari, bilangan mereka semakin bertambah.”​—Kis. 16:5.

19, 20. Mengapakah orang Kristian perlu mentaati “mereka yang mengambil pimpinan”?

19 Hari ini, Saksi-Saksi Yehuwa juga menikmati banyak berkat kerana tunduk kepada arahan daripada “mereka yang mengambil pimpinan.” (Ibr. 13:17) Oleh sebab keadaan dunia sering berubah, adalah penting bagi orang Kristian untuk segera mengikut bimbingan dan arahan terkini daripada “hamba yang setia dan bijaksana.” (Mat. 24:45; 1 Kor. 7:29-31) Dengan berbuat demikian, kita dapat mengelak daripada beransur-ansur meninggalkan kebenaran dan tidak dicemari oleh dunia ini.​—Yak. 1:27.

20 Memang, para penyelia hari ini, termasuk Badan Pimpinan, juga tidak sempurna seperti Paulus, Barnabas, Markus, dan penatua terurap abad pertama yang lain. (Rm. 5:12; Yak. 3:2) Namun, oleh sebab Badan Pimpinan mengikut bimbingan Firman Tuhan dengan teliti dan meniru teladan yang ditetapkan oleh para rasul, mereka terbukti dapat dipercayai. (2 Tim. 1:13, 14) Hasilnya, sidang-sidang dapat dikuatkan dan iman saudara saudari semakin teguh.