BAB 1
“Pergilah . . . dan Jadikanlah Mereka Pengikutku”
Gambaran buku Kisah Para Rasul dan kaitannya dengan zaman kita
1-6. Ceritakan pengalaman Saksi-Saksi Yehuwa yang menginjil dalam pelbagai situasi.
REBECCA, seorang Saksi muda di Ghana, menganggap sekolahnya sebagai kawasan penyebaran peribadi. Dia selalu membawa bahan bacaan Bible dalam beg sekolahnya. Sewaktu rehat, dia mencari peluang untuk memberikan kesaksian kepada rakan sekolahnya. Rebecca telah memulakan pembelajaran Bible dengan beberapa orang rakan sekelasnya.
2 Di pulau Madagascar, berhampiran pantai timur di Afrika, sepasang suami isteri perintis selalu membuat perjalanan sejauh 25 km. Dalam keadaan cuaca yang panas, mereka pergi ke kawasan kampung yang terpencil. Di sana, mereka mengendalikan beberapa pembelajaran Bible dengan orang yang berminat.
3 Para Saksi di Paraguay ingin mencapai orang yang tinggal di sepanjang Sungai Paraguay dan Sungai Paraná. Maka mereka bekerjasama dengan para sukarelawan dari 15 negara untuk membina sebuah bot. Bot itu seberat 45 tan dan 12 orang dapat tinggal di dalamnya. Dengan menggunakan bot itu, para penginjil yang bersemangat dapat menyebarkan berita baik ke kawasan yang hanya dapat dicapai melalui sungai.
4 Jauh di utara, Saksi-Saksi Yehuwa di Alaska menggunakan peluang semasa musim panas untuk menginjil kepada para pelancong. Semasa cuaca panas, kapal persiaran akan membawa banyak pelancong dari pelbagai negara. Jadi para Saksi tempatan memaparkan bahan bacaan Bible yang menarik dalam pelbagai bahasa di pelabuhan. Selain itu, kapal terbang digunakan untuk mencapai kawasan perkampungan yang terpencil agar berita baik dapat disebarkan ke komuniti Aleut, Athabascan, Tsimshian, dan Tlingit.
5 Larry, dari Texas, A.S., mempunyai kawasan penyebaran yang istimewa. Dia tinggal di rumah penjagaan. Walaupun dia perlu menggunakan kerusi roda akibat kemalangan, dia terus bergiat untuk mengongsi berita tentang Kerajaan Tuhan, termasuk juga janji Bible bahawa suatu hari nanti dia dapat berjalan semula.—Yes. 35:5, 6.
6 Untuk menghadiri sebuah perhimpunan di bahagian utara Myanmar, sekumpulan Saksi mengadakan perjalanan selama tiga hari dengan menggunakan feri dari Mandalay. Saksi-Saksi yang bersemangat ini membawa bahan bacaan Bible agar dapat menawarkannya kepada para penumpang yang lain. Setiap kali feri itu berhenti di sebuah pekan atau kampung, mereka akan segera turun dari feri dan menawarkan bahan bacaan di kawasan tersebut. Selain itu, apabila ada penumpang baharu yang naik feri itu, para penyiar seolah-olah mendapat “kawasan penyebaran yang baharu.”
7. Apakah kaedah yang digunakan oleh para penyembah Yehuwa untuk menginjil, dan apakah matlamat mereka?
7 Seperti saudara saudari yang disebutkan tadi, para penyembah Yehuwa yang bersemangat di seluas dunia “memberikan kesaksian yang menyeluruh tentang Kerajaan Tuhan.” (Kis. 28:23) Mereka melakukan kerja penyebaran dari rumah ke rumah, mengongsi berita baik kepada orang di tepi jalan, menulis surat, dan menginjil menerusi telefon. Tidak kira semasa menaiki bas, bersiar-siar di taman, atau semasa berehat di tempat kerja, mereka berusaha mencari peluang untuk mengongsi mesej tentang Kerajaan Tuhan. Walaupun cara menginjil berbeza-beza, matlamat mereka adalah sama, iaitu menyebarkan berita baik di mana sahaja orang berada.—Mat. 10:11.
8, 9. (a) Mengapakah kemajuan kerja penyebaran merupakan mukjizat? (b) Apakah soalan menarik yang timbul, dan apakah yang perlu kita lakukan untuk mencari jawapannya?
8 Adakah anda merupakan salah seorang daripada penginjil Kerajaan Tuhan yang aktif di lebih daripada 235 negara dan kawasan? Jika ya, anda memainkan peranan dalam kemajuan kerja penyebaran ini! Pencapaian yang berlaku di seluas dunia memang suatu mukjizat. Saksi-Saksi Yehuwa menghadapi tentangan dan cabaran, termasuk larangan daripada pihak kerajaan dan penganiayaan yang teruk. Namun, mereka terus memberikan kesaksian yang menyeluruh tentang Kerajaan Tuhan kepada orang daripada segala bangsa.
9 Jadi, kita mungkin terfikir tentang soalan yang menarik ini: Mengapakah tiada halangan, bahkan tentangan daripada Syaitan, dapat menghentikan kerja penyebaran? Untuk mendapatkan jawapannya, kita perlu melihat kembali apa yang berlaku pada abad pertama M. Hal ini kerana Saksi-Saksi Yehuwa pada zaman moden sedang meneruskan kerja yang telah dimulakan pada zaman dahulu.
Tugas yang Berat
10. Apakah kerja utama dalam kehidupan Yesus? Apakah yang dia sedar tentang kerja itu?
10 Sebagai Pengasas sidang Kristian, Yesus Kristus mengutamakan kerja untuk menyebarkan berita tentang Kerajaan Tuhan. Itulah hal yang terpenting dalam hidupnya. Dia pernah berkata, “Berita baik tentang Kerajaan Tuhan harus aku khabarkan juga di kota-kota lain, kerana untuk tugas itulah aku diutus.” (Luk. 4:43) Yesus sedar bahawa dia tidak dapat menyelesaikan kerja yang dimulakannya. Sebelum kematiannya, dia bernubuat bahawa berita tentang Kerajaan Tuhan akan disebarkan kepada “semua bangsa.” (Mrk. 13:10) Namun bagaimanakah hal ini dapat dilakukan, dan oleh siapa?
11. Apakah tugas penting yang diberikan Yesus kepada pengikutnya, dan apakah yang akan membantu mereka semasa menjalankan tugas itu?
11 Selepas kematian dan pembangkitan Yesus, dia menampakkan diri di hadapan para pengikutnya dan memberi mereka tugas yang penting ini: “Maka, pergilah kepada semua bangsa dan jadikanlah mereka pengikutku. Baptislah mereka atas nama Bapa, Anak, dan kuasa suci Tuhan. Ajarlah mereka mentaati segala yang telah aku perintahkan kepada kamu. Ingatlah, aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga penghujung sistem ini.” (Mat. 28:19, 20) Kata-kata “aku akan sentiasa menyertai kamu” menunjukkan bahawa para pengikutnya akan mendapat sokongan daripada Yesus semasa menjalankan kerja penyebaran dan menjadikan orang pengikutnya. Mereka memerlukan sokongan sebegitu kerana Yesus telah menubuatkan bahawa mereka akan “dibenci oleh semua bangsa.” (Mat. 24:9) Para pengikutnya juga akan mendapat bantuan lain. Sebelum Yesus naik ke syurga, dia memberitahu para pengikutnya bahawa mereka akan mendapat kekuatan daripada kuasa suci Tuhan untuk menjadi saksinya “sampai ke hujung bumi.”—Kis. 1:8.
12. Apakah soalan-soalan penting yang timbul, dan mengapakah kita perlu mencari jawapannya?
12 Inilah soalan penting yang timbul: Adakah para rasul Yesus dan murid-muridnya pada abad pertama memandang serius tugas mereka? Adakah kumpulan Kristian yang agak kecil ini memberikan kesaksian yang menyeluruh tentang Kerajaan Tuhan meskipun menghadapi penganiayaan yang teruk? Adakah mereka benar-benar menerima bantuan dari syurga dan kuasa suci Yehuwa semasa menjalankan tugas ini? Soalan ini dan soalan-soalan lain yang berkaitan akan dijawab dalam buku Kisah. Adalah penting untuk kita mengetahui jawapannya. Mengapa? Kerana Yesus berjanji bahawa kerja yang diberikannya akan diteruskan “sehingga penghujung sistem ini.” Jadi tugas ini ditujukan kepada semua orang Kristian sejati, termasuk kita yang hidup pada hari-hari terakhir ini. Maka, kita sangat berminat untuk mengetahui catatan bersejarah yang terdapat dalam buku Kisah.
Gambaran Keseluruhan Buku Kisah
13, 14. (a) Siapakah penulis buku Kisah, dan bagaimanakah dia mendapatkan maklumat untuk buku ini? (b) Apakah maklumat yang terdapat dalam buku Kisah?
13 Siapakah penulis buku Kisah? Buku Kisah tidak menyatakan nama penulisnya, tetapi kata-kata pembukaannya jelas menunjukkan bahawa penulis buku Kisah juga merupakan penulis buku Lukas. (Luk. 1:1-4; Kis. 1:1, 2) Oleh itu sejak awal lagi, Lukas, iaitu ‘doktor yang dikasihi’ dan sejarawan yang sangat teliti, telah dianggap sebagai penulis buku Kisah. (Kol. 4:14) Buku itu meliputi jangka masa sekitar 28 tahun, iaitu sejak Yesus kembali ke syurga pada tahun 33 M sehingga Rasul Paulus dipenjarakan di Roma sekitar tahun 61 M. Dalam tulisannya, kadangkala Lukas mengubah perkataan “mereka” kepada “kami” untuk menunjukkan bahawa dia juga hadir semasa peristiwa itu. (Kis. 16:8-10; 20:5; 27:1) Sebagai seorang yang sangat teliti, Lukas tentu mendapatkan maklumat daripada Paulus, Barnabas, Filipus, dan orang lain yang disebutkan dalam peristiwa yang ditulisnya.
14 Apakah maklumat yang terdapat dalam buku Kisah? Dalam buku Lukas, dia menulis tentang apa yang dikatakan dan dilakukan oleh Yesus. Dalam buku Kisah pula, Lukas melaporkan apa yang dikatakan dan dilakukan oleh pengikut Yesus. Mereka melakukan kerja-kerja yang menakjubkan meskipun kebanyakan antara mereka dianggap sebagai “orang biasa yang tidak berpendidikan.” (Kis. 4:13) Secara ringkas, buku yang diilhami ini memberitahu kita bagaimana sidang Kristian ditubuhkan dan berkembang. Selain itu, buku ini juga memberitahu kita kaedah menginjil yang digunakan oleh orang Kristian pada abad pertama dan sikap mereka terhadap kerja itu. (Kis. 4:31; 5:42) Kita juga akan belajar peranan kuasa suci Tuhan dalam membantu menyebarkan berita baik. (Kis. 8:29, 39, 40; 13:1-3; 16:6; 18:24, 25) Buku Kisah menonjolkan tema Bible, yang merangkumi penyucian nama Tuhan melalui Kerajaan-Nya yang dipimpin Kristus, dan betapa meluasnya kerja penyebaran dilakukan meskipun mengalami tentangan yang teruk.—Kis. 8:12; 19:8; 28:30, 31.
15. Apakah manfaatnya apabila kita mengkaji buku Kisah?
15 Iman kita diteguhkan apabila kita mengkaji buku Kisah! Hati kita tersentuh semasa merenungkan keberanian dan semangat yang ditunjukkan oleh para pengikut Kristus pada abad pertama. Kita juga akan terdorong untuk meniru iman mereka. Dengan itu, kita akan dilengkapi untuk ‘pergi dan jadikan orang pengikut Yesus.’ Buku yang anda baca ini direka untuk membantu anda mengkaji buku Kisah dengan teliti.
Alat Bantuan Pembelajaran Bible untuk Kita
16. Apakah tiga matlamat buku ini?
16 Apakah matlamat buku ini? Terdapat tiga matlamat: (1) Untuk menguatkan keyakinan kita bahawa Yehuwa menggunakan kuasa suci-Nya untuk menyokong kerja menginjil dan menjadikan orang murid Yesus, (2) menyemarakkan semangat kita dalam kerja penyebaran dengan mengkaji contoh pengikut Yesus abad pertama, serta (3) memperdalam rasa hormat kita terhadap organisasi Yehuwa dan mereka yang mengambil pimpinan dalam kerja penyebaran dan menyelia dalam sidang.
17, 18. Bagaimanakah buku ini disediakan, dan apakah ciri-ciri yang dapat membantu anda semasa pembelajaran peribadi?
17 Bagaimanakah buku ini disediakan? Buku ini dibahagikan kepada lapan bahagian, setiap satunya akan membincangkan sebahagian daripada buku Kisah. Tujuan bab-bab dalam setiap bahagian bukan untuk membincangkan ayat demi ayat dalam buku Kisah. Sebaliknya, kita akan dibantu untuk mendapat pengajaran daripada peristiwa dalam buku Kisah dan cara kita dapat menerapkannya dalam kehidupan peribadi. Pada awal setiap bab, ada poin utama dan ayat Bible yang menunjukkan bahagian daripada buku Kisah yang akan dibincangkan.
18 Terdapat ciri lain dalam buku ini yang dapat membantu anda semasa pembelajaran peribadi. Gambar-gambar menarik yang menunjukkan peristiwa dalam buku Kisah akan membantu anda membayangkan apa yang sedang berlaku. Banyak bab juga ada kotak-kotak yang mengandungi maklumat tambahan yang berguna. Sesetengah kotak memberikan maklumat tentang watak Bible yang merupakan teladan baik bagi kita. Ada juga kotak yang memberikan maklumat tentang tempat, peristiwa, budaya, atau watak-watak lain yang disebut dalam buku Kisah.
19. Dari masa ke masa, apakah yang perlu kita buat?
19 Buku ini dapat membantu anda untuk memeriksa diri dengan jujur. Tidak kira berapa lama anda sudah menjadi penginjil, adalah baik untuk berhenti sejenak dari masa ke masa untuk memeriksa keutamaan hidup anda dan pandangan anda terhadap kerja penyebaran. (2 Kor. 13:5) Tanyalah diri: “Adakah saya masih melakukan kerja penyebaran dengan perasaan mendesak? (1 Kor. 7:29-31) Adakah saya menginjil tentang berita baik dengan bersemangat dan penuh yakin? (1 Tes. 1:5, 6) Adakah saya berusaha menggunakan setiap peluang untuk menginjil dan menjadikan orang murid Yesus?”—Kol. 3:23.
20, 21. Mengapakah tugasan kita sangat mendesak, dan apakah seharusnya tekad kita?
20 Marilah kita sentiasa ingat bahawa kita telah diberikan tugas yang penting, iaitu untuk menginjil dan menjadikan orang murid Yesus. Setiap hari, tugasan kita menjadi semakin mendesak kerana akhir sistem ini semakin dekat. Sememangnya nyawa banyak orang terlibat. Kita tidak tahu berapa ramai orang yang berhati jujur yang belum mendengar mesej kita. (Kis. 13:48) Jadi, kita bertanggungjawab untuk membantu mereka sebelum terlambat.—1 Tim. 4:16.
21 Oleh itu, adalah penting kita meniru teladan penginjil Kerajaan Tuhan yang bersemangat pada abad pertama. Semasa anda mengkaji buku ini dengan teliti, semoga anda didorong untuk menginjil dengan penuh semangat dan keberanian. Kami juga berharap agar anda semakin bertekad untuk terus “memberikan kesaksian yang menyeluruh tentang Kerajaan Tuhan.”—Kis. 28:23.