Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 2

“Kamu Akan Menjadi Saksi-Saksiku”

“Kamu Akan Menjadi Saksi-Saksiku”

Bagaimana Yesus mempersiapkan para rasulnya untuk memimpin kerja penyebaran

Berdasarkan Kisah 1:1-26

1-3. Bagaimanakah Yesus berpisah dengan para rasulnya, dan apakah soalan-soalan yang timbul?

 SELAMA beberapa minggu ini, para rasul rasa sangat teruja! Apabila mereka lihat bahawa Yesus telah dibangkitkan, mereka dipenuhi dengan sukacita. Selama 40 hari, Yesus berulang kali menampakkan diri di hadapan mereka, mengajar, dan menggalakkan mereka. Namun, ini merupakan kali terakhir dia menampakkan dirinya.

2 Pada masa itu, Yesus dan para rasul sedang berkumpul di Gunung Zaitun. Mereka mendengar dengan teliti segala yang dikatakan oleh Yesus. Kemudian, Yesus mengangkat tangannya dan memberkati mereka. Selepas itu, Yesus diangkat ke syurga. Murid-muridnya memandang semasa Yesus diangkat ke langit. Akhirnya, sekepul awan menutupinya dan mereka tidak dapat melihatnya lagi. Dia sudah pergi, tetapi mereka terus memandang ke arah langit.​—Luk. 24:50; Kis. 1:9, 10.

3 Peristiwa itu merupakan titik perubahan dalam kehidupan para rasul Yesus. Oleh sebab Yesus Kristus, Tuan mereka, telah naik ke syurga, apakah yang akan mereka lakukan sekarang? Tuan mereka telah mempersiapkan mereka untuk meneruskan kerja yang telah dimulakannya. Bagaimanakah dia melengkapi mereka untuk melakukan tugasan yang penting itu, dan apakah reaksi mereka? Apakah kaitannya dengan orang Kristian hari ini? Bab pertama dalam buku Kisah mengandungi jawapan yang menggalakkan.

“Banyak Bukti yang Kukuh” (Kis. 1:1-5)

4. Bagaimanakah Lukas memulakan catatannya dalam buku Kisah?

4 Lukas memulakan catatannya di Kisah dengan menyapa Teofilus. Catatannya yang pertama, iaitu buku Lukas, juga ditujukan kepada Teofilus. a Untuk menunjukkan bahawa buku Kisah ialah sambungan daripada catatannya yang pertama, Lukas memberikan ringkasan tentang peristiwa-peristiwa yang berlaku pada akhir buku Lukas. Dia menggunakan kata-kata yang berbeza dan memberikan beberapa maklumat yang baharu.

5, 6. (a) Apakah yang akan membantu pengikut Yesus untuk mengekalkan iman yang kuat? (b) Bagaimanakah iman orang Kristian hari ini adalah berdasarkan “banyak bukti yang kukuh”?

5 Apakah yang akan membantu para pengikut Yesus mengekalkan iman yang kuat? Mengenai Yesus, Kisah 1:3 menyatakan, “Dia memberikan banyak bukti yang kukuh kepada mereka untuk menunjukkan bahawa dia sudah hidup.” Dalam ayat ini, Lukas, iaitu ‘doktor yang dikasihi,’ menggunakan ungkapan yang diterjemahkan sebagai “bukti yang kukuh.” (Kol. 4:14) Ungkapan ini digunakan dalam istilah perubatan pada masa itu, dan menunjukkan bahawa bukti itu jelas, meyakinkan, dan dapat dipercayai. Sememangnya, Yesus memberikan bukti sebegitu. Dia menampakkan diri di hadapan para pengikutnya banyak kali, ada kalanya di hadapan satu atau dua orang, di hadapan semua rasulnya, dan dalam satu peristiwa di hadapan lebih daripada 500 orang pengikut. (1 Kor. 15:3-6) Bukti yang kukuh, bukan?

6 Iman orang Kristian sejati hari ini juga adalah berdasarkan “banyak bukti yang kukuh.” Adakah terdapat bukti yang menunjukkan bahawa Yesus pernah hidup di bumi, mati untuk menebus dosa kita, dan kemudian dibangkitkan? Sudah pasti! Dalam Firman Tuhan, ada banyak catatan daripada saksi yang boleh dipercayai yang memberi kita bukti yang meyakinkan. Jika kita mengkaji catatan ini, iman kita akan dikuatkan. Ingatlah, iman sejati adalah berdasarkan bukti yang kukuh, dan bukannya sekadar percaya membabi buta. Ya, iman yang sejati penting untuk memperoleh kehidupan kekal.​—Yoh. 3:16.

7. Apakah teladan yang ditetapkan oleh Yesus bagi para pengikutnya dalam soal mengajar dan menginjil?

7 Yesus juga “bercakap tentang Kerajaan Tuhan.” Contohnya, dia menjelaskan nubuat-nubuat yang menunjukkan bahawa Mesias harus menderita dan mati. (Luk. 24:13-32, 46, 47) Semasa Yesus menjelaskan peranannya sebagai Mesias, dia menonjolkan tema tentang Kerajaan Tuhan, kerana dialah Raja yang dilantik oleh Yehuwa. Dalam kerja penyebaran, mesej utama yang sering disebarkan oleh Yesus juga adalah tentang Kerajaan Tuhan. Para pengikutnya hari ini pun menyebarkan mesej yang sama.​—Mat. 24:14; Luk. 4:43.

“Sampai ke Hujung Bumi” (Kis. 1:6-12)

8, 9. (a) Apakah dua pandangan salah yang dimiliki oleh rasul-rasul Yesus? (b) Bagaimanakah Yesus membetulkan pandangan mereka, dan apakah pengajarannya bagi orang Kristian hari ini?

8 Semasa para rasul berkumpul di Gunung Zaitun, itulah kali terakhir mereka akan berjumpa dengan Yesus di bumi. Dengan bersemangat, mereka bertanya, “Tuan, adakah Tuan akan memulihkan pemerintahan Tuhan bagi bangsa Israel pada masa sekarang?” (Kis. 1:6) Soalan ini menunjukkan bahawa para rasul mempunyai dua pandangan yang salah. Pertama, mereka berfikir bahawa Kerajaan Tuhan akan dipulihkan bagi orang Israel jasmani. Kedua, mereka berharap bahawa Kerajaan yang dijanjikan akan mula memerintah “pada masa sekarang,” iaitu dengan serta-merta. Bagaimanakah Yesus membetulkan pandangan mereka?

9 Kemungkinan Yesus tahu bahawa pandangan yang pertama akan dibetulkan tidak lama lagi. Sebenarnya hanya 10 hari kemudian, para pengikutnya akan menyaksikan kelahiran bangsa yang baharu, Israel rohani! Hubungan istimewa Tuhan dengan bangsa Israel jasmani akan berakhir tidak lama lagi. Mengenai pandangan yang kedua, Yesus dengan sabar mengingatkan mereka: “Hanya Bapa yang berhak menentukan masa dan waktunya. Kamu tidak perlu mengetahuinya.” (Kis. 1:7) Yehuwa ialah Penjaga Masa yang Agung. Sebelum Yesus mati, dia berkata bahawa bahkan Anak tidak tahu “hari atau waktunya” akhir akan datang. “Hanya Bapa yang tahu.” (Mat. 24:36) Begitu juga hari ini, jika orang Kristian menjadi terlalu risau tentang bila akhir sistem ini akan datang, mereka sebenarnya risau tentang perkara yang tidak perlu diketahui oleh mereka.

10. Apakah sikap para rasul yang harus kita contohi, dan mengapa?

10 Namun begitu, kita tidak harus memandang rendah para rasul Yesus kerana mereka sebenarnya mempunyai iman yang kuat. Dengan rendah hati, mereka menerima teguran. Walaupun soalan mereka menunjukkan bahawa mereka mempunyai fikiran yang salah, mereka memiliki sikap yang baik. Yesus telah berulang kali menggesa pengikutnya: “Teruslah berjaga-jaga.” (Mat. 24:42; 25:13; 26:41) Ya, mereka berjaga-jaga secara rohani dan sangat berminat untuk lihat bukti bahawa Yehuwa akan bertindak. Inilah sikap yang harus kita pupuk hari ini, lebih-lebih lagi kerana kita hidup pada “hari-hari terakhir.”​—2 Tim. 3:1-5.

11, 12. (a) Apakah tugas yang diberikan oleh Yesus kepada pengikutnya? (b) Mengapakah Yesus menyebut tentang kuasa suci Tuhan sebelum memberikan tugas untuk menginjil?

11 Yesus mengingatkan para rasul apa yang sepatutnya menjadi tumpuan utama mereka. Dia berkata, “Kamu akan mendapat kekuatan apabila kuasa suci Tuhan datang ke atas kamu, dan kamu akan menjadi saksi-saksiku di Yerusalem, di seluruh Yudea, di Samaria, dan sampai ke hujung bumi.” (Kis 1:8) Oleh itu, berita tentang pembangkitan Yesus akan dikhabarkan di Yerusalem dahulu, tempat Yesus dibunuh. Dari sana, mesej ini akan disebarkan ke seluruh Yudea, Samaria, dan ke merata tempat.

12 Maka, sebelum Yesus memberikan tugas untuk menginjil, dia mengulangi janjinya untuk menyalurkan kuasa suci Tuhan kepada para rasul. Ungkapan “kuasa suci” muncul lebih daripada 40 kali dalam teks asal buku Kisah. Buku Bible ini berulang kali menunjukkan bahawa kita tidak dapat melaksanakan kehendak Yehuwa tanpa bantuan kuasa suci-Nya. Maka, kita perlu sentiasa berdoa untuk memohon kuasa suci Tuhan! (Luk. 11:13) Kita sangat memerlukannya lebih-lebih lagi pada masa sekarang.

13. Seberapa meluaskah tugasan menginjil yang perlu dijalankan oleh umat Tuhan hari ini? Mengapakah kita harus melakukannya dengan bersemangat?

13 Bagi para rasul, menginjil “sampai ke hujung bumi” terhad kepada beberapa kawasan. Tetapi hari ini, kita menginjil ke seluruh bumi. Seperti yang dibincangkan dalam bab sebelumnya, Saksi-Saksi Yehuwa menerima tugasan untuk menginjil dengan sepenuh hati. Mereka tahu bahawa Tuhan mahu segala macam orang mendengar berita tentang Kerajaan-Nya. (1 Tim. 2:3, 4) Adakah anda tetap sibuk dalam kerja yang menyelamatkan nyawa ini? Anda tidak akan menjumpai kerja yang lebih memuaskan daripada tugasan ini! Yehuwa akan memberikan anda kuasa yang diperlukan. Buku Kisah akan memberitahu kita tentang kaedah menginjil yang betul dan sikap yang perlu kita pupuk untuk menjadi penginjil yang mahir.

14, 15. (a) Apakah yang dikatakan dua malaikat sejurus selepas Yesus diangkat ke langit, dan apakah maksudnya? (Lihat juga nota kaki.) (b) Mengapakah kita yakin bahawa Yesus kembali “dengan cara yang sama” seperti dia meninggalkan bumi?

14 Seperti yang dibincangkan di awal bab ini, apabila Yesus diangkat ke langit, dia hilang daripada pandangan orang. Namun, 11 orang rasul Yesus terus berdiri di sana dan memandang ke langit. Kemudian, dua malaikat muncul dan berkata kepada mereka, “Orang Galilea, mengapakah kamu berdiri sambil memandang ke langit? Yesus, yang telah diangkat ke langit, akan datang dengan cara yang sama seperti yang kamu lihat semasa dia naik ke langit.” (Kis. 1:11) Adakah para malaikat bermaksud bahawa Yesus akan kembali dalam tubuh yang sama, seperti yang diajarkan oleh sesetengah agama? Tidak. Bagaimanakah kita tahu?

15 Malaikat kata bahawa Yesus akan kembali, bukan dalam tubuh yang sama, tetapi “dengan cara yang sama.” b Apakah caranya Yesus meninggalkan bumi? Apabila malaikat sedang bercakap, Yesus tidak lagi kelihatan. Hanya beberapa orang, iaitu para rasul, yang memahami bahawa Yesus telah meninggalkan bumi dan sedang menuju kepada Bapanya di syurga. Cara Yesus kembali juga adalah sama. Hari ini, hanya orang yang memiliki pemahaman rohani memahami bahawa Yesus sudah hadir sebagai Raja yang berkuasa. (Luk. 17:20) Kita perlu memahami bukti kehadiran Yesus dan mengongsikannya kepada orang lain supaya mereka faham betapa mendesaknya zaman kita ini.

“Tunjukkanlah Siapa . . . yang Telah Engkau Pilih” (Kis. 1:13-26)

16-18. (a) Dari Kisah 1:13, 14, apakah yang kita belajar tentang perjumpaan orang Kristian? (b) Apakah yang kita belajar daripada teladan ibu Yesus, iaitu Maria? (c) Mengapakah perjumpaan Kristian sangat penting hari ini?

16 Bible kata bahawa para rasul “kembali ke Yerusalem dengan penuh sukacita.” (Luk. 24:52) Namun, apakah reaksi mereka terhadap bimbingan dan arahan daripada Yesus? Di Kisah 1:13, 14, kita membaca bahawa mereka berkumpul di “bilik di tingkat atas,” dan kita juga belajar maklumat yang menarik tentang perjumpaan sebegitu. Rumah di Palestin pada masa itu biasanya mempunyai bilik di tingkat atas, yang dapat dilalui menggunakan tangga di luar rumah. Mungkinkah “bilik di tingkat atas” ini milik ibu Markus yang disebut di Kisah 12:12? Tidak kira bilik itu milik siapa, kita dapat menyimpulkan bilik untuk perjumpaan itu sederhana dan sesuai bagi para pengikut Yesus untuk berkumpul. Tetapi siapakah yang berkumpul di sana, dan apakah yang mereka lakukan?

17 Perhatikan semasa perjumpaan itu bukan para rasul atau lelaki saja yang hadir. “Beberapa orang wanita” juga berada di sana, termasuk ibu Yesus, Maria. Inilah kali terakhir nama Maria disebut secara spesifik dalam Bible. Kita boleh bayangkan semasa Maria berada di situ, dia tidak mencari kemuliaan tetapi dengan rendah hati berkumpul untuk beribadat bersama rakan seiman. Sudah pasti Maria sangat dilegakan apabila melihat empat orang anaknya, yang dahulu tidak mempercayai Yesus, kini menyertainya. (Mat. 13:55; Yoh. 7:5) Sejak abang mereka mati dan dibangkitkan, sikap mereka telah berubah.​—1 Kor. 15:7.

18 Perhatikan juga mengapa murid Yesus berkumpul: “Dengan sehati, mereka berdoa dengan tekun.” (Kis. 1:14) Ya, berkumpul bersama sangat penting dalam ibadat orang Kristian. Kita berkumpul untuk menggalakkan satu sama lain, menerima arahan dan nasihat, dan terutama sekali untuk menyembah Bapa kita yang di syurga, Yehuwa. Semasa perjumpaan, doa dan lagu pujian sangat menyenangkan hati Yehuwa dan penting bagi kita. Semoga kita tidak mengabaikan perjumpaan yang suci dan menggalakkan ini!​—Ibr. 10:24, 25.

19-21. (a) Apakah yang dapat kita belajar daripada peranan penting yang diberikan kepada Petrus dalam sidang? (b) Mengapakah Yudas perlu digantikan, dan apakah yang kita belajar daripada cara hal itu ditangani?

19 Para pengikut Kristus itu kini berdepan dengan satu isu yang penting, dan Rasul Petrus telah mengambil pimpinan untuk menanganinya. (Ayat 15-26) Beberapa minggu sebelumnya, Petrus telah menyangkal Tuannya sebanyak tiga kali. Sudah pasti kita dilegakan melihat perubahan dalam diri Petrus. (Mrk. 14:72) Apakah yang kita belajar? Kita semua cenderung berbuat dosa, dan kita perlu diingatkan bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang “baik dan suka mengampuni” orang yang benar-benar bertaubat.​—Mzm. 86:5.

20 Petrus sedar bahawa Yudas, iaitu rasul yang telah mengkhianati Yesus, patut digantikan. Tetapi, oleh siapa? Rasul baharu itu haruslah orang yang telah mengikut Yesus sepanjang kerja penyebarannya dan telah menyaksikan pembangkitannya. (Kis. 1:21, 22) Hal itu selaras dengan janji yang diucapkan oleh Yesus: “Kamu yang telah mengikut aku juga akan duduk di atas 12 takhta dan menghakimi 12 suku Israel.” (Mat. 19:28) Nampaknya, Yehuwa juga mahu 12 rasul yang telah mengikuti Yesus sepanjang kerja penyebarannya di bumi membentuk “12 batu asas” bagi Yerusalem Baharu pada masa depan. (Why. 21:2, 14) Maka, Tuhan membenarkan Petrus untuk memahami nubuat bahawa “orang lain mengambil alih tugasnya sebagai penyelia” sebenarnya ditujukan kepada Yudas.​—Mzm. 109:8.

21 Bagaimanakah pemilihan itu dibuat? Dengan membuang undi, iaitu cara yang biasa digunakan pada zaman Bible. (Ams. 16:33) Namun, ini merupakan kali terakhir Bible menunjukkan bahawa membuang undi digunakan untuk tujuan sebegini. Nampaknya, cara ini tidak lagi berguna apabila kuasa suci Tuhan dicurahkan pada kemudian hari. Namun, perhatikan mengapa undi digunakan pada peristiwa ini. Para rasul berdoa, “Ya Yehuwa, Engkaulah yang mengetahui isi hati semua orang. Tunjukkanlah siapa antara dua orang lelaki ini yang telah Engkau pilih.” (Kis. 1:23, 24) Ya, mereka mahu Yehuwalah yang membuat pemilihan itu. Kemungkinan besar, Matias ialah salah seorang daripada 70 orang murid yang pernah diutus oleh Yesus untuk menginjil. Oleh itu, Matias telah dipilih untuk menjadi salah seorang daripada “12 orang rasul itu.” c​—Kis. 6:2.

22, 23. Mengapakah kita harus tunduk dan taat kepada mereka yang mengambil pimpinan dalam sidang hari ini?

22 Kisah ini mengingatkan kita pentingnya aturan dalam kalangan umat Tuhan. Sehingga hari ini, lelaki yang bertanggungjawab telah dipilih untuk berkhidmat sebagai penyelia dalam sidang. Para penatua mempertimbangkan dengan teliti syarat Bible bagi para penyelia, dan mereka berdoa memohon bimbingan kuasa suci Tuhan. Maka, sidang menganggap para saudara sebegitu dilantik oleh kuasa suci Tuhan. Sudah pasti kita ingin tunduk dan taat pada bimbingan mereka, dengan demikian kita dapat menggalakkan sikap kerjasama dalam sidang.​—Ibr. 13:17.

Kita tetap tunduk dan taat kepada para penyelia yang dilantik

23 Para pengikut Yesus telah dikuatkan apabila melihat Yesus yang telah dibangkitkan, dan perubahan dalam cara sidang diaturkan. Kini, mereka bersedia sepenuhnya untuk menghadapi apa yang bakal berlaku. Bab seterusnya akan membincangkan peristiwa yang penting itu.

a Dalam buku Lukas, dia memanggil lelaki ini sebagai “Tuan Teofilus yang terhormat.” Sesetengah orang berpendapat bahawa Teofilus ialah seorang lelaki yang terkemuka tetapi belum lagi menjadi pengikut Yesus. (Luk. 1:3) Namun di buku Kisah, Lukas hanya memanggilnya “Teofilus yang dikasihi.” Sesetengah cendekiawan beranggapan bahawa Teofilus mungkin menjadi pengikut Yesus selepas membaca buku Lukas. Itulah sebabnya mereka kata bahawa dalam catatannya, Lukas tidak lagi menggunakan gelaran terhormat tetapi memanggilnya sebagai rakan seiman.

b Di ayat ini, Bible menggunakan perkataan Yunani troʹpos, yang bermaksud “cara,” dan bukannya mor·pheʹ, yang bermaksud “bentuk.”

c Paulus kemudiannya dilantik sebagai “rasul yang diutus kepada bangsa-bangsa lain,” tetapi dia tidak pernah dianggap sebahagian daripada 12 orang rasul. (Rm. 11:13; 1 Kor. 15:4-8) Dia tidak layak mendapat peluang istimewa itu kerana dia tidak pernah mengikut Yesus semasa kerja penyebarannya di bumi.