Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 4

“Orang Biasa yang Tidak Berpendidikan”

“Orang Biasa yang Tidak Berpendidikan”

Para rasul menunjukkan keberanian, dan Yehuwa memberkati mereka

Berdasarkan Kisah 3:1–5:11

1, 2. Apakah mukjizat yang dilakukan oleh Petrus dan Yohanes berdekatan pintu Rumah Tuhan?

 PADA waktu petang, penganut agama Yahudi dan murid-murid Yesus sedang memenuhi kawasan Rumah Tuhan. Tidak lama lagi akan bermulanya “masa untuk berdoa.” a (Kis. 2:46; 3:1) Dalam kalangan orang ramai itu, Petrus dan Yohanes sedang menuju ke arah pintu Rumah Tuhan yang disebut Pintu Indah. Dalam suasana yang riuh-rendah, kedengaran suara orang meminta sedekah. Dia seorang lelaki yang berumur lebih daripada 40 tahun, dan kakinya lumpuh sejak lahir.​—Kis. 3:2; 4:22.

2 Semasa Petrus dan Yohanes semakin dekat, pengemis itu mengulangi rayuannya untuk meminta sedekah. Apabila para rasul berhenti, dia menatap mereka dengan penuh harapan. Petrus berkata, “Aku tidak mempunyai perak ataupun emas. Tetapi apa yang aku miliki akan aku berikan kepadamu: Dengan nama Yesus Kristus, orang Nasaret itu, berjalanlah!” Bayangkanlah betapa terkejutnya orang ramai apabila Petrus memegang tangan lelaki itu dan lelaki itu berdiri buat pertama kali dalam hidupnya! (Kis. 3:6, 7) Lelaki itu tentu sangat gembira apabila melihat kakinya yang sudah sembuh dan dia dapat mula melangkah. Tidak hairanlah dia melompat-lompat sambil memuji Tuhan!

3. Apakah kurniaan unggul yang dapat diterima oleh lelaki yang baru sembuh itu dan orang ramai?

3 Orang ramai yang teruja berlari ke arah Petrus dan Yohanes di Serambi Salomo, iaitu tempat Yesus pernah berdiri dan mengajar. Di situ, Petrus memberitahu mereka apa yang sebenarnya baru berlaku. (Yoh. 10:23) Dia menawarkan kepada orang ramai dan lelaki yang baru sembuh itu kurniaan yang jauh lebih berharga daripada perak atau emas. Kurniaan ini bukan sekadar penyembuhan jasmani. Tetapi mereka juga berpeluang untuk bertaubat, menerima pengampunan atas dosa mereka, dan menjadi pengikut Yesus Kristus, iaitu “Pemimpin Utama yang dilantik untuk memberikan kehidupan.”​—Kis. 3:15.

4. (a) Selepas mukjizat penyembuhan itu, murid-murid Yesus perlu berdepan dengan apa? (b) Apakah dua soalan yang akan kita jawab?

4 Peristiwa yang amat mengagumkan! Seorang lelaki telah disembuhkan dan kini dapat berjalan. Ribuan orang pula berpeluang untuk disembuhkan secara rohani agar mereka dapat menempuh jalan yang menyenangkan hati Tuhan. (Kol. 1:9, 10) Namun sejak peristiwa hari itu, para pengikut Yesus yang setia terpaksa berdepan dengan pihak berkuasa yang cuba menghalang mereka daripada mentaati perintah Yesus untuk menginjil. (Kis. 1:8) Apakah yang dapat kita belajar daripada cara yang digunakan dan sikap yang ditunjukkan oleh Petrus dan Yohanes, iaitu “orang biasa yang tidak berpendidikan,” semasa mereka mengajar orang ramai? b (Kis. 4:13) Bagaimanakah kita dapat meniru teladan mereka dan pengikut lain semasa menghadapi tentangan?

Bukan “dengan Kuasa Sendiri” (Kis. 3:11-26)

5. Apakah yang kita belajar daripada cara Petrus bercakap kepada orang ramai?

5 Semasa Petrus dan Yohanes berdiri di hadapan orang ramai, mereka tahu mungkin ada antara hadirin itu telah mendesak agar Yesus dibunuh sebelum ini. (Mrk. 15:8-15; Kis. 3:13-15) Fikirkan keberanian Petrus semasa dia memberitahu bahawa lelaki yang lumpuh itu disembuhkan atas nama Yesus. Petrus tidak menyembunyikan kebenaran. Dia dengan terus terang beritahu mereka bahawa orang ramai juga bertanggungjawab atas kematian Kristus. Tetapi, Petrus tidak membenci mereka kerana mereka ‘tidak sedar akan apa yang telah mereka lakukan.’ (Kis. 3:17) Dia memanggil mereka sebagai saudara-saudaranya dan berfokus kepada aspek positif mesej Kerajaan Tuhan. Jika mereka bertaubat dan beriman kepada Kristus, Yehuwa akan “menyegarkan” mereka. (Kis. 3:19) Kita juga harus berani dan berterus terang semasa menyampaikan mesej penghakiman Tuhan yang bakal tiba. Pada masa yang sama, kita tidak patut bersikap kasar atau menghakimi orang lain. Sebaliknya, kita memandang mereka sebagai orang yang berpotensi menjadi rakan seiman kita. Seperti Petrus, kita juga berfokus kepada aspek positif mesej Kerajaan Tuhan.

6. Bagaimanakah Petrus dan Yohanes menunjukkan kerendahan hati?

6 Para rasul ialah lelaki yang rendah hati. Mereka tidak mahu menerima pujian atas mukjizat yang dilakukan oleh mereka. Petrus berkata kepada orang ramai, “Mengapakah kamu memandang kami seolah-olah kami menggunakan kuasa sendiri untuk membuat orang ini berjalan? Adakah kamu menyangka bahawa kami dapat berbuat demikian kerana kami mengabdikan diri kepada Tuhan?” (Kis. 3:12) Petrus dan rasul-rasul lain tahu bahawa apa sahaja hasil baik dalam kerja menginjil adalah kerana kuasa Tuhan dan bukannya kuasa sendiri. Oleh itu, dengan rendah hati mereka menghalakan semua pujian kepada Yehuwa dan Yesus.

7, 8. (a) Apakah kurniaan yang boleh kita tawarkan kepada orang? (b) Bagaimanakah janji Yehuwa untuk “memulihkan semua perkara” sedang menjadi kenyataan hari ini?

7 Kita juga harus menunjukkan kerendahan hati semasa melakukan kerja penyebaran. Memang, kuasa suci Tuhan tidak memberikan kebolehan kepada orang Kristian zaman moden untuk menyembuhkan orang secara mukjizat. Walaupun begitu, kita dapat membantu orang beriman kepada Tuhan dan Kristus, serta menerima kurniaan seperti yang ditawarkan oleh Petrus, iaitu peluang untuk menerima pengampunan atas dosa mereka dan disegarkan oleh Yehuwa. Setiap tahun, ratusan ribu orang menerima kurniaan ini dan dibaptis sebagai murid Kristus.

8 Sememangnya, kita sedang hidup pada masa Tuhan “memulihkan semua perkara,” seperti yang dikatakan oleh Petrus. Selaras dengan apa yang “difirmankan oleh Tuhan menerusi mulut nabi-nabi suci dahulukala,” Kerajaan Tuhan telah didirikan di syurga pada tahun 1914. (Kis. 3:21; Mzm. 110:1-3; Dan. 4:16, 17) Tidak lama selepas itu, Kristus mula menyelia kerja pemulihan ibadat sejati di bumi. Hasilnya, jutaan orang dikumpulkan dalam firdaus rohani dan menjadi rakyat Kerajaan Tuhan. Mereka menanggalkan keperibadian lama dan “mengenakan keperibadian baharu yang diciptakan menurut kehendak Tuhan.” (Ef. 4:22-24) Sama seperti penyembuhan lelaki yang lumpuh itu, kerja ini dilakukan bukan dengan usaha manusia tetapi dengan kuasa suci Tuhan. Seperti Petrus, kita harus berani dan mahir menggunakan Firman Tuhan semasa mengajar orang lain. Apa sahaja kejayaan yang kita peroleh semasa membantu orang menjadi murid Kristus adalah kerana kuasa Tuhan dan bukannya kuasa sendiri.

“Kami Tidak Dapat Berhenti Bercakap” (Kis. 4:1-22)

9-11. (a) Apakah reaksi pemimpin Yahudi terhadap mesej Petrus dan Yohanes? (b) Apakah tekad para rasul?

9 Keadaan menjadi riuh-rendah selepas orang ramai mendengar ucapan Petrus dan melihat lelaki lumpuh yang disembuhkan itu melompat-lompat sambil memuji Tuhan. Oleh itu, ketua pengawal Rumah Tuhan yang dilantik untuk menjaga keselamatan Rumah Tuhan dan ketua-ketua imam bergegas ke sana. Mereka mungkin ialah orang Saduki, iaitu kumpulan agama yang kaya dan mempunyai pengaruh politik yang kuat. Mereka menggalakkan hubungan damai dengan orang Roma, menolak hukum lisan orang Farisi, dan tidak mempercayai harapan pembangkitan. c Jadi, mereka sangat marah apabila melihat Petrus dan Yohanes berani mengajar di Rumah Tuhan bahawa Yesus telah dibangkitkan!

10 Para penentang yang marah itu memenjarakan Petrus dan Yohanes. Pada keesokan hari, mereka diheret ke mahkamah tinggi Orang Yahudi. Para pemimpin yang menganggap diri lebih unggul daripada orang lain memandang Petrus dan Yohanes sebagai “orang biasa yang tidak berpendidikan” dan tidak layak untuk mengajar di Rumah Tuhan. Para rasul itu tidak pernah belajar di mana-mana sekolah agama yang terkemuka. Namun, sikap mereka yang berani dan terus terang membuat orang di mahkamah hairan. Mengapakah Petrus dan Yohanes begitu mahir? Salah satu sebabnya adalah kerana ‘mereka dahulunya bersama Yesus.’ (Kis. 4:13) Tuan yang mengajar mereka ialah seorang yang berwibawa dan bukan seperti jurutulis hukum.​—Mat. 7:28, 29.

11 Mahkamah itu mengarahkan agar para rasul berhenti menginjil. Dalam masyarakat Yahudi, perintah mahkamah dipandang sangat serius. Hanya beberapa minggu sebelum itu, semasa Yesus dihadapkan ke mahkamah ini, ahli-ahlinya berkata, “Dia patut mati.” (Mat. 26:59-66) Meskipun demikian, Petrus dan Yohanes tidak gentar. Walaupun berdiri di hadapan orang yang kaya, berpendidikan tinggi, dan berpengaruh, mereka dengan berani tetapi hormat mengatakan, “Dalam pandangan Tuhan, wajarkah kami mendengar cakap tuan dan bukannya Tuhan? Pertimbangkanlah sendiri hal itu. Namun bagi kami, kami tidak dapat berhenti bercakap tentang apa yang sudah kami lihat dan dengar.”​—Kis. 4:19, 20.

12. Bagaimanakah kita dapat menjadi lebih yakin dan berani?

12 Dapatkah anda menunjukkan keberanian yang sama? Apakah perasaan anda jika anda berpeluang untuk memberikan kesaksian kepada orang kaya, berpendidikan tinggi, atau berpengaruh dalam komuniti anda? Jika ahli keluarga, rakan sekolah, atau rakan sekerja mengejek kepercayaan anda, adakah anda rasa takut? Jika ya, anda dapat mengatasi perasaan sebegitu. Semasa di bumi, Yesus mengajar para rasulnya cara untuk mempertahankan kepercayaan mereka dengan yakin dan hormat. (Mat. 10:11-18) Selepas pembangkitannya, Yesus berjanji bahawa dia akan terus bersama murid-muridnya “sehingga penghujung sistem ini.” (Mat. 28:20) Di bawah arahan Yesus, “hamba yang setia dan bijaksana” mengajar kita cara untuk mempertahankan kepercayaan kita. (Mat. 24:45-47; 1 Ptr. 3:15) Kita mendapat arahan melalui perjumpaan sidang, seperti Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita. Arahan juga tersedia melalui bahan yang berdasarkan Bible, seperti rencana-rencana dalam bahagian “Jawapan kepada Soalan Bible” di jw.org. Adakah anda memanfaatkan persediaan-persediaan ini? Jika anda berbuat demikian, anda akan menjadi lebih berani dan yakin. Seperti para rasul, tiada apa-apa yang dapat menghentikan anda daripada bercakap tentang kebenaran Bible yang telah anda pelajari.

Jangan biarkan apa-apa pun menghentikan anda daripada mengongsi kebenaran Bible yang anda pelajari

“Mereka Berseru kepada Tuhan” (Kis. 4:23-31)

13, 14. Apakah yang harus kita lakukan semasa menghadapi tentangan, dan mengapa?

13 Selepas dibebaskan, Petrus dan Yohanes segera pergi berjumpa dengan ahli sidang lain. Kemudian, mereka bersama-sama “berseru kepada Tuhan” dan berdoa memohon keberanian agar dapat terus menginjil. (Kis. 4:24) Petrus tahu bahawa bergantung pada diri sendiri semasa menjalankan kehendak Tuhan ialah tindakan yang bodoh. Beberapa minggu yang lalu, dia dengan yakin memberitahu Yesus, “Walaupun mereka semua tersandung kerana apa yang bakal menimpa guru, aku sama sekali tidak akan tersandung!” Tetapi seperti yang dinubuatkan Yesus, Petrus menyerah pada rasa takut akan manusia dan menyangkal kawannya dan gurunya. Walaupun begitu, Petrus belajar daripada kesilapannya.​—Mat. 26:33, 34, 69-75.

14 Sememangnya, tekad sahaja tidak cukup untuk melaksanakan tugas kita sebagai saksi kepada Kristus. Semasa penentang cuba mematahkan iman anda atau ingin membuat anda berhenti menginjil, ikutlah teladan Petrus dan Yohanes. Berdoalah untuk memohon kekuatan daripada Yehuwa. Dapatkan sokongan daripada sidang. Beritahulah para penatua dan rakan seiman yang matang tentang kesusahan yang anda hadapi. Apabila orang lain berdoa untuk anda, Yehuwa mendengar doa mereka dan Dia akan menguatkan anda.​—Ef. 6:18; Yak. 5:16.

15. Mengapakah orang yang pernah berhenti menginjil buat seketika tidak perlu berasa tawar hati?

15 Jika anda pernah menyerah kepada tekanan dan berhenti menginjil buat seketika, janganlah tawar hati. Ingatlah, semua rasul Yesus juga berhenti menginjil buat seketika selepas Yesus meninggal. Tetapi tidak lama kemudian, mereka bergiat semula. (Mat. 26:56; 28:10, 16-20) Jadi, janganlah biarkan kesilapan lampau melemahkan anda. Sebaliknya, belajarlah daripada pengalaman itu dan gunakanlah pengajaran yang anda peroleh untuk menguatkan orang lain.

16, 17. Apakah yang kita belajar daripada doa yang diucapkan oleh murid-murid Yesus di Yerusalem?

16 Apakah yang harus kita doakan apabila pihak berkuasa menentang kita? Perhatikan, murid-murid Yesus tidak berdoa untuk memohon agar cabaran mereka dilenyapkan. Murid-murid Yesus ingat kata-katanya ini: “Jika mereka telah menganiaya aku, mereka akan menganiaya kamu juga.” (Yoh. 15:20) Maka, murid-murid Yesus berdoa agar Yehuwa ‘mendengar’ ancaman para penentang. (Kis. 4:29) Jelaslah, mereka bertumpu kepada isu yang lebih penting dan sedar bahawa penganiayaan yang mereka hadapi adalah selaras dengan nubuat Bible. Seperti doa yang diajarkan oleh Yesus, mereka tahu bahawa kehendak Tuhan akan “terlaksana di bumi” tidak kira apa pun yang dikatakan oleh pemerintah manusia.​—Mat. 6:9, 10.

17 Untuk melaksanakan kehendak Tuhan, murid-murid Yesus berdoa kepada Yehuwa, “Bantulah hamba-Mu supaya terus memberitakan firman-Mu dengan penuh keberanian.” Bagaimanakah Yehuwa segera menjawab doa mereka? “Tempat mereka berkumpul itu bergoncang. Mereka semua dipenuhi kuasa suci Tuhan dan mula memberitakan firman Tuhan dengan berani.” (Kis. 4:29-31) Tiada apa pun yang dapat menghalang kehendak Tuhan daripada terlaksana. (Yes. 55:11) Walaupun situasi nampaknya mustahil dihadapi dan para penentang amat kuat, jika kita berdoa kepada Tuhan, kita dapat yakin bahawa Dia akan memberi kita kekuatan untuk memberitakan firman-Nya dengan berani.

Bertanggungjawab ‘Bukan kepada Manusia, tetapi kepada Tuhan’ (Kis. 4:32–5:11)

18. Bagaimanakah ahli sidang di Yerusalem menyokong satu sama lain?

18 Sidang di Yerusalem yang baru ditubuhkan terus berkembang sehingga mempunyai lebih daripada 5,000 ahli. d Meskipun terdiri daripada pelbagai latar belakang, murid-murid Yesus “hidup sehati sejiwa.” Mereka bersatu padu, sefikiran, dan sependapat. (Kis. 4:32; 1 Kor. 1:10) Mereka bukan sahaja berdoa kepada Yehuwa untuk memberkati usaha mereka, tetapi mereka juga menyokong satu sama lain secara rohani, dan jika perlu, dari segi kewangan atau harta benda. (1 Yoh. 3:16-18) Misalnya Yusuf, yang juga dipanggil Barnabas, menjual tanahnya. Kemudian, dia menyumbangkan seluruh wang itu untuk menyokong orang yang datang dari jauh ke Yerusalem. Dengan itu, mereka dapat tinggal lebih lama dan belajar lebih banyak tentang kepercayaan baharu mereka.

19. Mengapakah Yehuwa menghukum Ananias dan Safira?

19 Sepasang suami isteri yang bernama Ananias dan Safira juga menjual tanah mereka dan memberikan sumbangan. Mereka berpura-pura memberikan seluruh wang itu, padahal mereka sebenarnya “menyimpan sebahagian daripada hasil penjualan itu.” (Kis. 5:2) Yehuwa menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka bukan kerana wang yang disumbangkan tidak cukup, tetapi kerana mereka licik dan motif mereka jahat. Mereka “tidak berdusta kepada manusia, tetapi kepada Tuhan.” (Kis. 5:4) Seperti orang bermuka dua yang dikutuk oleh Yesus, Ananias dan Safira lebih mementingkan kemuliaan daripada manusia berbanding mendapat perkenan Tuhan.​—Mat. 6:1-3.

20. Apakah yang kita pelajari mengenai memberi kepada Yehuwa?

20 Seperti murid-murid Yesus pada abad pertama di Yerusalem yang murah hati, jutaan Saksi-Saksi hari ini juga menyokong kerja penyebaran sedunia dengan memberikan sumbangan. Tiada seorang pun yang dipaksa memberikan masa dan wang untuk menyokong kerja ini. Yehuwa tidak mahu kita menyembah-Nya dengan berat hati atau secara terpaksa. (2 Kor. 9:7) Yang terpenting bagi Yehuwa ialah motif kita, bukannya jumlah yang kita berikan. (Mrk. 12:41-44) Kita tidak mahu menjadi seperti Ananias dan Safira yang berkhidmat kepada Tuhan demi kepentingan diri atau mendapatkan kemuliaan. Sebaliknya seperti Petrus, Yohanes, dan Barnabas, semoga khidmat kita kepada Yehuwa sentiasa didorong oleh kasih yang tulus kepada Tuhan dan orang lain.​—Mat. 22:37-40.

a Doa diucapkan di Rumah Tuhan semasa orang mempersembahkan korban pada waktu pagi dan petang. Korban pada waktu petang dipersembahkan kira-kira pada jam tiga petang.

c Lihat kotak “ Imam Agung dan Ketua-Ketua Imam.”

d Kemungkinan besar hanya terdapat sekitar 6,000 orang Farisi dan sekumpulan kecil orang Saduki di Yerusalem pada 33 M. Hal ini mungkin menjadi penyebab lain mengapa dua kumpulan ini berasa bahawa ajaran Yesus membawa ancaman.