BAB 5
“Kami Mesti Patuh kepada Tuhan sebagai Pemerintah”
Pendirian para rasul menetapkan teladan bagi semua orang Kristian sejati
Berdasarkan Kisah 5:12–6:7
1-3. (a) Mengapakah para rasul dibawa menghadap Majlis Orang Yahudi? Apakah isu yang timbul? (b) Mengapakah kita berminat untuk mengetahui pendirian para rasul?
RASUL-RASUL Yesus sedang dibicarakan di hadapan Majlis Orang Yahudi. a Para hakim berasa sangat marah! Mengapa? Yusuf Kayafas, iaitu imam agung dan ketua Majlis Orang Yahudi, berkata kepada mereka, “Dengan tegas kami sudah melarang kamu mengajar orang menurut nama lelaki itu.” Perhatikan Kayafas bahkan langsung tidak ingin menyebut nama Yesus. Kemudian dia menyambung, “Kamu sudah menyebarkan ajaran kamu ke seluruh Yerusalem, dan kamu ingin kami bertanggungjawab atas penumpahan darah lelaki itu.” (Kis. 5:28) Mesejnya jelas: Berhenti menginjil, jika tidak mereka akan dihukum!
2 Apakah yang akan dilakukan para rasul? Tugas mereka untuk menginjil datang daripada Yesus yang mendapat kuasa daripada Tuhan. (Mat. 28:18-20) Adakah mereka akan berdiam diri kerana takut akan manusia? Adakah mereka akan tetap teguh dan terus menginjil dengan berani? Inilah isu yang sebenar: Adakah mereka akan taat kepada Tuhan atau manusia? Dengan berani dan tanpa teragak-agak, Petrus bersuara bagi semua rasul.
3 Sebagai orang Kristian sejati, kita berminat untuk mengetahui reaksi para rasul terhadap ancaman Majlis Orang Yahudi. Hal ini kerana Tuhan juga telah memberi kita tugas untuk menginjil. Semasa menjalankan tugas ini, kita juga mungkin menghadapi tentangan. (Mat. 10:22) Penentang kita mungkin cuba menghalang atau mengharamkan kerja kita. Jadi apa yang akan kita lakukan? Kita boleh mendapat manfaat dengan membincangkan pendirian para rasul dan apa yang berlaku sebelum perbicaraan mereka.
“Malaikat Yehuwa Membuka Pintu Penjara” (Kis. 5:12-21a)
4, 5. Mengapakah Kayafas dan golongan Saduki berasa “sangat cemburu”?
4 Semasa Petrus dan Yohanes diperintahkan untuk berhenti menginjil buat pertama kali, mereka menjawab, “Kami tidak dapat berhenti bercakap tentang apa yang sudah kami lihat dan dengar.” (Kis. 4:20) Selepas itu, Petrus, Yohanes, dan para rasul lain terus menginjil di Rumah Tuhan. Mereka melakukan banyak mukjizat, seperti menyembuhkan orang sakit dan mengusir roh jahat. Mereka melakukan semua itu “di Serambi Salomo,” iaitu laluan berbumbung di bahagian timur Rumah Tuhan, dan tempat banyak orang Yahudi berkumpul. Bayangkan orang bahkan dapat disembuhkan jika mereka terkena bayang-bayang Petrus! Kebanyakan orang yang disembuhkan secara fizikal juga menerima kebenaran daripada firman Tuhan. Hasilnya, “bilangan [pengikut Kristus] semakin bertambah kerana ramai lelaki dan wanita percaya kepada Tuan Yesus.”—Kis. 5:12-15.
5 Oleh itu, Kayafas daripada golongan Saduki dan orang Saduki yang lain berasa “sangat cemburu.” Mereka memenjarakan para rasul. (Kis. 5:17, 18) Mengapakah orang Saduki begitu marah? Para rasul mengajar bahawa Yesus sudah dibangkitkan, namun orang Saduki tidak percaya akan pembangkitan. Para rasul juga mengajarkan bahawa orang hanya dapat diselamatkan dengan beriman kepada Yesus. Tetapi orang Saduki risau kerajaan Roma akan mengambil tindakan jika banyak orang memandang Yesus sebagai Pemimpin. (Yoh. 11:48) Maka, tidak hairanlah orang Saduki bertekad untuk membungkam para rasul!
6. Siapakah yang membangkitkan penganiayaan terhadap umat Yehuwa hari ini? Mengapakah ini tidak menghairankan kita?
6 Hari ini, penentang agamalah penyebab utama di sebalik penganiayaan umat Yehuwa. Mereka biasanya mempengaruhi pihak berkuasa dan juga pihak media untuk menghentikan kerja penyebaran kita. Patutkah kita berasa hairan? Tidak. Hal ini kerana mesej kita mendedahkan agama palsu. Apabila orang yang berhati jujur menerima kebenaran Bible, mereka dibebaskan daripada kepercayaan dan amalan yang tidak berdasarkan Bible. (Yoh. 8:32) Itulah sebabnya mesej kita sering membuat pemimpin agama dipenuhi dengan kebencian dan kemarahan.
7, 8. Apakah kesan arahan malaikat terhadap para rasul? Apakah soalan yang patut kita tanya?
7 Semasa berada di penjara dan menantikan perbicaraan, para rasul mungkin tertanya-tanya jika mereka akan mati di tangan musuh. (Mat. 24:9) Tetapi pada waktu malam, sesuatu yang tidak diduga telah berlaku. “Malaikat Yehuwa membuka pintu penjara.” b (Kis. 5:19) Kemudian, malaikat itu memberi mereka arahan spesifik ini: “Berdirilah di Rumah Tuhan dan teruslah beritahu orang ramai.” (Kis. 5:20) Sudah pasti arahan itu meyakinkan para rasul bahawa mereka sedang melakukan apa yang betul. Kata-kata malaikat itu juga tentu menguatkan mereka untuk tetap setia tidak kira apa pun yang berlaku. Maka dengan keberanian dan iman yang teguh, para rasul “masuk ke dalam Rumah Tuhan pada waktu fajar dan mula mengajar.”—Kis. 5:21.
8 Kita masing-masing harus tanya diri, “Jika saya dalam situasi yang sama, adakah saya mempunyai iman dan keberanian yang diperlukan untuk terus menginjil?” Kita boleh dikuatkan dengan mengingat bahawa malaikat sedang membimbing dan menyokong kerja “memberikan kesaksian yang menyeluruh tentang Kerajaan Tuhan.”—Kis. 28:23; Why. 14:6, 7.
“Kami Mesti Patuh kepada Tuhan sebagai Pemerintah dan Bukannya kepada Manusia” (Kis. 5:21b-33)
9-11. Apakah reaksi para rasul semasa Majlis Orang Yahudi memerintahkan mereka untuk berhenti menginjil? Bagaimanakah mereka menetapkan teladan bagi orang Kristian sejati?
9 Kayafas dan hakim-hakim Majlis Orang Yahudi sudah bersedia untuk membicarakan para rasul. Jadi, mereka mengutus pengawal untuk membawa para rasul menghadap mereka. Mereka sebenarnya tidak sedar apa yang telah berlaku di dalam penjara. Bayangkanlah betapa terkejutnya para pengawal apabila melihat banduan itu sudah hilang, padahal penjara masih terkunci dengan rapi, dan “pengawal juga berjaga di pintu”! (Kis. 5:23) Tidak lama kemudian, ketua pengawal Rumah Tuhan mendapati bahawa para rasul sudah kembali ke Rumah Tuhan. Mereka sedang memberikan kesaksian tentang Yesus Kristus, padahal kerja itulah yang menyebabkan mereka dipenjarakan! Dengan segera, ketua itu dan pengawalnya pergi ke Rumah Tuhan untuk membawa para rasul menghadap Majlis Orang Yahudi.
10 Seperti yang disebut di awal bab, para pemimpin agama sudah memerintahkan para rasul untuk berhenti menginjil. Apakah jawapan para rasul? Petrus yang mewakili rasul-rasul lain dengan berani berkata, “Kami mesti patuh kepada Tuhan sebagai pemerintah dan bukannya kepada manusia.” (Kis. 5:29) Sememangnya, para rasul telah menetapkan teladan bagi semua orang Kristian sejati. Jika penguasa manusia melarang kita melakukan kehendak Tuhan atau menyuruh kita melakukan sesuatu yang dilarang oleh Tuhan, mereka tidak lagi berhak menuntut ketaatan daripada kita. Jadi, jika “pihak berkuasa” mengharamkan kerja kita, kita tidak akan berhenti melaksanakan tugasan daripada Tuhan untuk memberikan kesaksian tentang Kerajaan-Nya. (Rm. 13:1) Sebaliknya, kita akan terus menginjil dalam cara yang lain dengan berhati-hati.
11 Tidak hairanlah jawapan rasul yang berani itu menyebabkan hakim-hakim naik berang. Mereka bertekad “ingin membunuh” para rasul. (Kis. 5:33) Pada masa itu, para rasul mungkin berasa bahawa mereka pasti dihukum mati. Tetapi, mereka bakal menerima bantuan yang tidak dijangka.
“Kamu Pasti Tidak Dapat Mengalahkan Mereka” (Kis. 5:34-42)
12, 13. (a) Apakah nasihat Gamaliel kepada rakan-rakannya, dan apakah yang dilakukan mereka? (b) Bagaimanakah Yehuwa mungkin bertindak bagi umat-Nya hari ini, dan apakah keyakinan kita jika Tuhan mengizinkan kita untuk “menderita kerana melakukan apa yang benar”?
12 Gamaliel, “seorang guru hukum yang disegani semua orang,” mula bersuara. c Dia dapat mengawal situasi itu, dan bahkan “menyuruh orang membawa rasul-rasul itu keluar untuk sebentar.” (Kis. 5:34) Nampaknya, pakar undang-undang ini pasti dihormati oleh hakim-hakim yang lain. Dia menggesa mahkamah untuk bersabar dan bertolak ansur semasa berurusan dengan para rasul yang baru kehilangan Pemimpin mereka, iaitu Yesus. Dia memberikan contoh pada masa lalu bahawa pemberontakan terhadap Roma segera lenyap apabila pemimpin mereka mati. Penjelasannya sangat meyakinkan. Gamaliel berkata, “Janganlah mencampuri urusan semua orang itu, dan biarkanlah mereka. Jika apa yang dirancang dan dilakukan oleh mereka itu berasal daripada manusia, semua itu akan gagal. Tetapi jika semua itu berasal daripada Tuhan, kamu pasti tidak dapat mengalahkan mereka. Jangan-jangan kamu melawan Tuhan pula.” (Kis. 5:38, 39) Hakim-hakim itu menerima nasihatnya. Namun, mereka mencambuk para rasul dan “melarang mereka bercakap atas nama Yesus.”—Kis. 5:40.
13 Hari ini, Yehuwa juga mungkin menggunakan orang yang terkemuka seperti Gamaliel untuk bertindak bagi umat-Nya. (Ams. 21:1) Yehuwa dapat menggunakan kuasa suci-Nya untuk mendorong para pemerintah yang berkuasa, hakim-hakim, atau penggubal hukum agar bertindak selaras dengan kehendak-Nya. (Neh. 2:4-8) Tetapi jika Dia mengizinkan kita untuk “menderita kerana melakukan apa yang benar,” kita dapat yakin akan dua perkara. (1 Ptr. 3:14) Pertama, Tuhan dapat memberi kita kekuatan untuk bertabah. (1 Kor. 10:13) Kedua, para penentang “pasti tidak dapat mengalahkan” kerja Tuhan.—Yes. 54:17.
14, 15. (a) Apakah reaksi para rasul selepas mereka dicambuk, dan mengapa? (b) Berikan contoh yang menunjukkan bahawa umat Yehuwa menghadapi cabaran dengan tabah dan sukacita.
14 Adakah semangat atau tekad para rasul menjadi lemah selepas mereka dicambuk? Sama sekali tidak! Semasa mereka “meninggalkan Majlis Orang Yahudi, mereka bersukacita.” (Kis. 5:41) Mengapakah mereka “bersukacita”? Sudah pasti bukan disebabkan kesakitan akibat dicambuk. Sebaliknya, mereka bersukacita kerana tahu bahawa mereka dianiaya demi kesetiaan kepada Yehuwa dan kerana mengikut jejak Yesus.—Mat. 5:11, 12.
15 Seperti rakan seiman kita pada abad pertama, kita bertabah dan bersukacita meskipun menghadapi penderitaan demi berita baik. (1 Ptr. 4:12-14) Memang kita tidak suka diancam, dianiaya, atau dipenjarakan. Namun, kita dapat merasakan kepuasan sejati kerana kita terus setia. Perhatikan contoh Henryk Dornik, yang bertabah selama bertahun-tahun semasa dianiaya di bawah pemerintahan yang kejam. Dia mengenang semula peristiwa yang berlaku pada bulan Ogos 1944. Pihak berkuasa menghantar dia dan abangnya ke kem konsentrasi. Para penentang berkata, “Kami tidak dapat ubah mereka. Mereka gembira jika dapat mati demi kepercayaan mereka.” Saudara Dornik menjelaskan, “Saya tidak mahu mati, tetapi saya bersukacita kerana dapat bertabah menghadapi penderitaan dan terus setia kepada Yehuwa.”—Yak. 1:2-4.
16. Bagaimanakah para rasul menunjukkan bahawa mereka bertekad untuk memberikan kesaksian yang menyeluruh? Bagaimanakah kita dapat ikut kaedah menginjil yang digunakan oleh para rasul?
16 Para rasul segera menyambung semula kerja penyebaran dengan berani. ‘Setiap hari, baik di Rumah Tuhan mahupun dari rumah ke rumah, mereka mengumumkan berita baik tentang Kristus.’ d (Kis. 5:42) Para penginjil yang bersemangat ini bertekad untuk memberikan kesaksian yang menyeluruh. Perhatikan bahawa mereka menginjil dari rumah ke rumah seperti yang diarahkan oleh Yesus Kristus. (Mat. 10:7, 11-14) Maka, tidak hairanlah melalui cara itu mereka berjaya memenuhi seluruh Yerusalem dengan ajaran mereka. Hari ini, Saksi-Saksi Yehuwa juga mengikut kaedah menginjil yang digunakan oleh para rasul. Dengan menginjil dari rumah ke rumah, kita menunjukkan bahawa kita ingin memberikan kesaksian secara menyeluruh dan memberi semua orang peluang untuk mendengar berita baik. Adakah Yehuwa memberkati usaha kita untuk menginjil dari rumah ke rumah? Ya! Pada hari-hari terakhir ini, jutaan orang menerima berita baik tentang Kerajaan Tuhan. Banyak antara mereka mendengar berita baik buat kali pertama semasa seorang Saksi mengetuk pintu rumah mereka.
Lelaki yang Layak Dilantik untuk Mengendalikan “Tugas Penting” (Kis. 6:1-6)
17-19. Apakah isu yang timbul yang mungkin menyebabkan perpecahan dalam sidang? Apakah arahan para rasul untuk mengatasinya?
17 Sidang yang baru dibentuk itu kini menghadapi ancaman dari dalam. Apakah ancaman itu? Banyak murid yang baru dibaptis merupakan pengunjung yang datang ke Yerusalem dan mahu belajar lebih banyak sebelum pulang ke rumah. Murid-murid yang tinggal di Yerusalem dengan rela hati menyumbangkan wang untuk menyediakan makanan dan keperluan yang lain. (Kis. 2:44-46; 4:34-37) Pada masa itu, suatu situasi yang sensitif timbul. “Semasa pembahagian makanan seharian,” balu-balu yang bertutur dalam bahasa Yunani “diabaikan.” (Kis. 6:1) Balu-balu yang bertutur bahasa Ibrani pula tidak diabaikan. Nampaknya, isu sebenar melibatkan sikap pilih kasih. Masalah seperti ini boleh menyebabkan perpecahan dalam sidang.
18 Para rasul, yang berkhidmat sebagai badan pimpinan bagi sidang Kristian itu, sedar bahawa mereka “tidak patut berhenti mengajarkan firman Tuhan semata-mata untuk mengedarkan makanan.” (Kis. 6:2) Jadi, para rasul mengarahkan murid-murid untuk mencari tujuh orang lelaki yang “penuh dengan kuasa suci Tuhan dan kebijaksanaan.” Para rasul boleh melantik mereka untuk mengendalikan “tugas penting” tersebut. (Kis. 6:3) Lelaki yang layak diperlukan kerana tugas ini bukan hanya mengedarkan makanan, tetapi juga menguruskan wang, membeli keperluan, dan menyimpan catatan dengan teliti. Kesemua lelaki yang dipilih mempunyai nama Yunani. Nampaknya, ini memudahkan balu-balu yang tersinggung untuk mempercayai mereka. Selepas berdoa dan mempertimbangkan pengesyoran, para rasul melantik tujuh orang lelaki itu untuk mengendalikan “tugas penting” tersebut. e
19 Adakah tujuh orang yang dilantik untuk mengedarkan makanan dikecualikan daripada tugas menginjil? Sudah pasti tidak! Antara lelaki yang dipilih ialah Stefanus, yang memberikan kesaksian dengan berani dan bersemangat. (Kis. 6:8-10) Filipus, “seorang penginjil,” juga dilantik. (Kis. 21:8) Nampaknya, tujuh orang lelaki yang dilantik ini terus berkhidmat sebagai penginjil yang bersemangat.
20. Bagaimanakah umat Tuhan hari ini mengikut cara yang ditetapkan oleh para rasul?
20 Umat Tuhan hari ini mengikut cara yang telah ditetapkan oleh para rasul. Saudara yang disyorkan untuk tanggungjawab di sidang harus mencerminkan kebijaksanaan daripada Tuhan dan menunjukkan bahawa kuasa suci Tuhan sedang membimbing mereka. Di bawah arahan Badan Pimpinan, para saudara yang memenuhi syarat Bible akan dilantik untuk berkhidmat sebagai penatua ataupun pembantu sidang. f (1 Tim. 3:1-9, 12, 13) Jadi, boleh disimpulkan bahawa mereka dilantik oleh kuasa suci Tuhan. Para saudara yang bekerja keras itu mengendalikan banyak tugas penting. Contohnya, penatua mungkin mengatur untuk memberikan bantuan praktikal bagi saudara saudari lanjut usia yang benar-benar memerlukan bantuan. (Yak. 1:27) Ada penatua yang membantu dalam pembinaan Dewan Perjumpaan, mengatur konvensyen, atau bekerjasama dengan Jawatankuasa Perhubungan Hospital tempatan. Pembantu sidang pula menjalankan banyak tugasan yang tidak melibatkan penggembalaan atau mengajar secara langsung. Semua saudara yang terlantik harus seimbangkan tanggungjawab dalam sidang dan organisasi dengan kewajipan untuk menyebarkan berita baik Kerajaan Tuhan.—1 Kor. 9:16.
“Firman Tuhan Terus Tersebar” (Kis. 6:7)
21, 22. Apakah yang menunjukkan bahawa Yehuwa memberkati sidang yang baru diasaskan itu?
21 Dengan bantuan Yehuwa, sidang yang baru diasaskan itu berjaya menghadapi tentangan dari luar dan juga masalah perpecahan yang timbul dalam sidang. Berkat Yehuwa dapat dilihat dengan jelas kerana Bible berkata, “Firman Tuhan terus tersebar, dan bilangan murid Yesus di Yerusalem bertambah secara mendadak. Ramai imam juga mula percaya.” (Kis. 6:7) Ini hanyalah satu daripada beberapa laporan tentang kemajuan yang tercatat dalam buku Kisah. (Kis. 9:31; 12:24; 16:5; 19:20; 28:31) Bukankah kita digalakkan apabila mendengar laporan tentang kemajuan kerja penyebaran di seluas dunia hari ini?
22 Pada abad pertama M, pemimpin agama yang berang tidak putus asa. Murid Yesus bakal menghadapi penganiayaan yang lebih hebat. Dalam bab yang seterusnya, kita akan lihat bagaimana Stefanus menjadi sasaran penganiayaan yang kejam.
a Lihat kotak “ Majlis Orang Yahudi—Mahkamah Tinggi Orang Yahudi.”
b Kira-kira 20 kali malaikat disebut secara spesifik dalam buku Kisah, dan ini merupakan kali pertama malaikat disebut. Sebelumnya di Kisah 1:10, malaikat hanya disebut sebagai “orang yang berpakaian putih.”
c Lihat kotak “ Gamaliel—Disegani oleh Guru Agama.”
d Lihat kotak “ Menginjil ‘dari Rumah ke Rumah.’”
e Para saudara ini mungkin telah memenuhi syarat-syarat kelayakan untuk para penatua. Dengan itu, mereka dapat mengendalikan “tugas penting” tersebut. Namun, Firman Tuhan tidak menyatakan dengan terperinci bila para saudara mula dilantik sebagai penatua atau penyelia dalam sidang Kristian.
f Pada abad pertama, lelaki yang layak telah diberi kuasa untuk melantik para penatua. (Kis. 14:23; 1 Tim. 5:22; Tit. 1:5) Hari ini, Badan Pimpinan melantik penyelia litar. Penyelia litar pula bertanggungjawab melantik penatua dan pembantu sidang.