Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Penjelasan

Penjelasan

 1 PRINSIP-PRINSIP

Hukum Tuhan berdasarkan prinsip-prinsip-Nya. Prinsip-prinsip ini ialah kebenaran asas dalam Bible yang membantu kita memahami cara pemikiran Tuhan. Prinsip-prinsip Bible membantu kita membuat keputusan yang bijak, terutamanya apabila Yehuwa tidak memberi kita hukum yang khusus.

Bab 1, perenggan 8

 2 KEPATUHAN

Mematuhi Yehuwa bererti kita melakukan kehendak-Nya dengan rela hati. Yehuwa ingin kita mematuhi-Nya kerana kasih. (1 Yohanes 5:3) Jika kita mengasihi Tuhan dan beriman kepada-Nya, kita akan mengikut nasihat-Nya dalam setiap aspek kehidupan. Kita akan mematuhi-Nya meskipun sukar untuk berbuat demikian. Apabila kita mematuhi-Nya, kita meraih banyak manfaat, kerana Dia mengajar kita cara hidup yang terbaik dan berjanji untuk memberkati kita pada masa depan.​—Yesaya 48:17.

Bab 1, perenggan 10

 3 KEBEBASAN UNTUK MEMILIH

Yehuwa telah memberi setiap orang kebebasan untuk membuat pilihan. Dia tidak menciptakan kita seperti robot. (Ulangan 30:19; Yosua 24:15) Kita boleh menggunakan kebebasan ini untuk membuat keputusan yang bijak. Tetapi jika kita tidak berhati-hati, kita mungkin membuat keputusan yang buruk. Kita boleh menggunakan kebebasan ini untuk menunjukkan bahawa kita setia kepada Yehuwa dan betul-betul mengasihi-Nya.

Bab 1, perenggan 12

 4 PIAWAIAN-PIAWAIAN MORAL

Yehuwa menetapkan piawaian moral, atau garis panduan, bagi kita. Dalam Bible, kita dapat belajar tentang piawaian-piawaian itu dan meraih manfaat daripadanya. (Amsal 6:16-19; 1 Korintus 6:9-11) Piawaian-piawaian itu mengajar kita apa yang baik dan buruk di mata Tuhan. Piawaian-piawaian itu juga mengajar kita cara menunjukkan kasih, cara membuat keputusan yang bijak, dan cara melayan orang dengan baik. Biarpun piawaian moral dunia semakin merosot, piawaian Yehuwa tidak akan berubah. (Ulangan 32:4-6; Maleakhi 3:6) Apabila kita mematuhi piawaian-piawaian Tuhan, kita dapat menghindari banyak masalah fizikal dan emosi.

Bab 1, perenggan 17

 5 HATI NURANI

Hati nurani ialah pengetahuan dalam diri kita tentang apa yang betul dan apa yang salah. Yehuwa telah memberi kita semua hati nurani. (Roma 2:14, 15) Hati nurani yang terlatih akan berfungsi dengan baik. Maka kita perlu melatih hati nurani kita berdasarkan piawaian moral Yehuwa. Dengan berbuat demikian, hati nurani kita akan membantu kita membuat keputusan yang menyenangkan hati Tuhan. (1 Petrus 3:16) Hati nurani kita juga akan memberikan amaran kepada kita apabila kita hampir berbuat salah, atau membuat kita berasa bersalah apabila kita berbuat jahat. Hati nurani kita mungkin akan menjadi tidak peka, tetapi dengan bantuan Yehuwa, kita dapat memulihkannya. Hati nurani yang murni memberi kita ketenangan dan harga diri.

Bab 2, perenggan 3

 6 TAKUT AKAN TUHAN

Takut akan Tuhan bererti kita tidak mahu melakukan apa-apa yang akan menyakiti hati-Nya kerana kita mengasihi dan menghormati-Nya. Takut akan Tuhan membantu kita melakukan apa yang baik dan menghindari apa yang jahat. (Mazmur 111:10) Rasa takut akan Tuhan mendorong kita untuk mematuhi semua hukum Tuhan dan menunaikan semua janji kita kepada-Nya. Rasa takut ini juga mempengaruhi cara kita berfikir, cara kita melayan orang lain, dan cara kita menjalani kehidupan.

Bab 2, perenggan 9

 7 BERTAUBAT

Seseorang yang bertaubat berasa sangat sedih kerana dia telah melakukan sesuatu yang salah. Orang yang mengasihi Tuhan akan berasa susah hati jika mereka melanggar hukum-Nya. Jika kita berdosa, kita harus merayu agar Yehuwa mengampunkan dosa kita atas dasar korban tebusan Yesus. (Matius 26:28; 1 Yohanes 2:1, 2) Jika kita bertaubat dengan ikhlas dan berhenti melakukan apa yang salah, kita dapat yakin bahawa Yehuwa akan mengampuni kita. Kita tidak perlu dihantui oleh dosa lampau. (Mazmur 103:10-14; 1 Yohanes 1:9; 3:19-22) Kita harus belajar daripada kesilapan kita, mengubah fikiran yang salah, dan hidup menurut piawaian, atau taraf moral, Yehuwa.

Bab 2, perenggan 18

 8 ATURAN PENYINGKIRAN

Apabila seseorang melakukan dosa yang serius dan tidak mahu bertaubat, dia tidak boleh menjadi sebahagian daripada sidang Kristian. Dia perlu disingkirkan dari sidang. Kita tidak akan berurusan dengannya dan bahkan tidak akan bercakap dengannya. (1 Korintus 5:11; 2 Yohanes 9-11) Aturan penyingkiran menjaga kebersihan sidang dan menjunjung kesucian nama Yehuwa. (1 Korintus 5:6) Aturan ini juga dapat membantu seseorang untuk sedar bahawa dia harus bertaubat dan kembali kepada Yehuwa.​—Lukas 15:17.

Bab 3, perenggan 19

 9 BIMBINGAN, ARAHAN, DAN NASIHAT

Yehuwa mengasihi kita dan mahu membantu kita. Itulah sebabnya Dia memberi kita bimbingan, arahan, dan nasihat, menerusi Bible dan menerusi orang yang mengasihi-Nya. Sebagai manusia yang tidak sempurna, kita amat memerlukan tunjuk ajar Tuhan. (Yeremia 17:9) Semasa kita mematuhi arahan yang diberikan oleh orang yang dilantik-Nya, kita menunjukkan bahawa kita menghormati-Nya dan mahu mematuhi-Nya.​—Ibrani 13:7.

Bab 4, perenggan 2

 10 KERENDAHAN HATI

Memandangkan kita tidak sempurna, kita mudah menjadi sombong. Tetapi Yehuwa mahu kita bersikap rendah hati. Bagaimanakah kita dapat belajar untuk memupuk sikap rendah hati? Satu caranya adalah dengan membandingkan diri kita dengan Yehuwa. Dengan demikian, kita akan sedar bahawa kita sangat kecil dan patut memupuk sikap rendah hati. (Ayub 38:1-4) Orang yang rendah hati akan berfikir tentang orang lain dan mengutamakan kepentingan mereka. Tetapi orang yang sombong akan berfikir bahawa dia lebih baik daripada orang lain. Seseorang yang rendah hati akan memeriksa diri sendiri dengan jujur untuk melihat kelemahan dan kekuatannya. Dia tidak takut untuk mengakui kesilapannya, meminta maaf, dan menerima nasihat. Dia akan bergantung pada Yehuwa dan mengikut arahan-Nya.​—1 Petrus 5:5.

Bab 4, perenggan 4

 11 KEKUASAAN

Orang yang mempunyai kuasa berhak untuk memberikan perintah dan membuat keputusan. Memandangkan Yehuwa telah menciptakan segala sesuatu, Dia ialah individu yang paling berkuasa di seluruh alam semesta. Dia selalu menggunakan kekuasaan-Nya demi kebaikan semua ciptaan-Nya. Yehuwa juga memberi sesetengah orang kekuasaan, seperti ibu bapa, penatua di sidang, dan pihak kerajaan. Mereka berhak untuk memberi kita arahan, dan Yehuwa mahu kita bekerjasama dengan mereka. (Roma 13:1-5; 1 Timotius 5:17) Namun, jika hukum manusia bercanggah dengan hukum Tuhan, kita mesti patuh kepada Tuhan dan bukannya kepada manusia. (Kisah 5:29) Semasa kita bekerjasama dengan orang yang diberikan kekuasaan oleh Yehuwa, kita menunjukkan bahawa kita menghormati keputusan Yehuwa.

Bab 4, perenggan 7

 12 PENATUA

Yehuwa menggunakan penatua, atau saudara yang berpengalaman, untuk menjaga umat-Nya. (Ulangan 1:13; Kisah 20:28) Penatua membantu kita untuk memelihara hubungan kita dengan Yehuwa. Mereka juga membantu kita beribadat dengan damai dan teratur. (1 Korintus 14:33, 40) Para penatua harus memenuhi kelayakan yang dinyatakan dalam Bible terlebih dahulu sebelum dilantik. Itulah sebabnya kita dapat mengatakan bahawa mereka dilantik dengan bantuan kuasa suci Tuhan. (1 Timotius 3:1-7; Titus 1:5-9; 1 Petrus 5:2, 3) Kita yakin kepada organisasi Tuhan dan menyokongnya, maka kita bekerjasama dengan para penatua.​—Mazmur 138:6; Ibrani 13:17.

Bab 4, perenggan 8

 13 KEPALA KELUARGA

Yehuwa telah memberi ibu bapa tanggungjawab untuk menjaga anak-anak dan rumah tangga mereka. Bible menjelaskan bahawa bapa ialah kepala keluarga. Jika tiada bapa, ibu akan menjadi kepala keluarga. Kepala keluarga perlu menyediakan makanan, pakaian, dan tempat tinggal bagi keluarganya. Dia juga wajib mengambil pimpinan untuk membantu keluarganya menyembah Yehuwa. Sebagai contoh, dia perlu memastikan bahawa mereka menghadiri perjumpaan, menginjil, dan mengadakan penyembahan keluarga secara tetap. Selain itu, dia perlu membuat keputusan dalam keluarga. Dia tidak bersikap zalim atau kasar, sebaliknya dia sentiasa meniru teladan Yesus yang baik dan munasabah. Dengan demikian, suasana keluarganya akan aman damai dan hubungan mereka sekeluarga dengan Yehuwa akan menjadi semakin erat.

Bab 4, perenggan 12

 14 BADAN PIMPINAN

Badan Pimpinan terdiri daripada sekumpulan lelaki yang mempunyai harapan untuk hidup di syurga. Mereka digunakan oleh Tuhan untuk menjaga kerohanian umat-Nya di bumi. Pada abad pertama, Yehuwa menggunakan sebuah badan pimpinan untuk menjaga kerohanian sidang Kristian masa awal. (Kisah 15:2) Dewasa ini, Yehuwa juga melakukan hal yang sama. Dia menggunakan Badan Pimpinan untuk membimbing, melindungi, dan memberikan arahan kepada umat-Nya. Semasa mereka membuat keputusan, mereka bergantung pada Bible dan kuasa suci Tuhan. Yesus memanggil mereka sebagai “hamba yang setia dan bijaksana.”​—Matius 24:45-47.

Bab 4, perenggan 15

 15 MENUDUNG KEPALA

Kadangkala seorang saudari diminta untuk melakukan tugas di sidang yang biasanya dilakukan oleh seorang saudara. Apabila dia berbuat demikian, dia perlu menudung kepalanya. Dia boleh menggunakan selendang atau topi untuk menudung kepalanya sebagai tanda bahawa dia menghormati aturan kekepalaan. Tetapi bagaimana pula pada waktu-waktu lain? Dia hanya perlu menudung kepala dalam situasi tertentu. Sebagai contoh, dia perlu menudung kepalanya semasa dia mengendalikan pembelajaran Bible jika suaminya atau seorang saudara berada di situ.​—1 Korintus 11:11-15.

Bab 4, perenggan 17

 16 PENDIRIAN NEUTRAL

Kita tetap neutral dan tidak mengambil bahagian dalam hal-hal politik. (Yohanes 17:16) Seperti Yesus, kita menyokong Kerajaan Tuhan dan tidak terlibat dalam hal ehwal dunia.

Yehuwa mahu kita “patuh kepada kerajaan dan pihak berkuasa.” (Titus 3:1, 2; Roma 13:1-7) Namun demikian, Firman Tuhan juga menyatakan bahawa kita tidak boleh membunuh. Maka hati nurani seorang Kristian tidak akan mengizinkannya pergi berperang. Jika kerajaan mengizinkan orang yang menolak khidmat tentera untuk melakukan khidmat awam, seorang Kristian mesti membuat keputusan peribadi berdasarkan hati nuraninya.

Kita menyembah Yehuwa sahaja kerana Dialah Pencipta kita. Meskipun kita menghormati lambang-lambang negara, kita tidak akan menabik bendera atau menyanyikan lagu kebangsaan. (Yesaya 43:11; Daniel 3:1-30; 1 Korintus 10:14) Selain itu, umat Yehuwa membuat keputusan peribadi untuk tidak mengundi mana-mana parti politik atau calon semasa pilihan raya, kerana kita berpihak kepada Kerajaan Tuhan.​—Matius 22:21; Yohanes 15:19; 18:36.

Bab 5, perenggan 2

 17 KECENDERUNGAN MENTAL DUNIA

“Kecenderungan mental dunia” merujuk kepada cara pemikiran Syaitan yang dicerminkan oleh orang di dunia ini. Orang yang dipengaruhi kecenderungan mental dunia tidak mengasihi Yehuwa dan tidak mahu mengikut piawaian-Nya. (1 Yohanes 5:19) Mereka menunjukkan “kecenderungan mental dunia” melalui perbuatan dan pemikiran mereka. (Efesus 2:2) Umat Yehuwa harus memastikan bahawa mereka tidak dikuasai oleh kecenderungan ini. (Efesus 6:10-18) Mereka harus mengasihi haluan Yehuwa dan berusaha sedaya upaya untuk mencerminkan cara pemikiran-Nya.

Bab 5, perenggan 7

 18 KEMURTADAN

Orang yang murtad menolak kebenaran dalam Bible. Mereka melawan Yehuwa dan Yesus, dan mencuba mempengaruhi orang lain untuk menyertai mereka. (Roma 1:25) Mereka suka menimbulkan keraguan dalam hati dan minda umat Yehuwa. Sesetengah orang Kristian masa awal menjadi murtad dan hal yang sama juga berlaku dewasa ini. (2 Tesalonika 2:3) Orang yang setia kepada Yehuwa tidak mahu mempunyai apa-apa kaitan dengan orang murtad. Kita tidak mahu membaca atau mendengar ajaran orang murtad kerana rasa ingin tahu atau kerana desakan orang lain. Kita setia kepada Yehuwa dan akan menyembah-Nya sahaja.

Bab 5, perenggan 9

 19 PENGAMPUNAN DOSA

Di bawah Hukum Musa, bangsa Israel memohon pengampunan dosa daripada Yehuwa. Mereka membawa biji-bijian, minyak, dan binatang, ke Rumah Tuhan untuk dipersembahkan sebagai korban untuk memohon pengampunan dosa. Dengan demikian, mereka diingatkan bahawa Yehuwa sudi mengampunkan dosa mereka. Selepas Yesus mengorbankan nyawanya, mereka tidak perlu mempersembahkan korban lagi. Yesus telah mempersembahkan korban yang sempurna “sekali untuk selama-lamanya.”​—Ibrani 10:1, 4, 10.

Bab 7, perenggan 6

 20 MENGHORMATI NYAWA BINATANG

Hukum Musa membenarkan orang Israel untuk makan daging. Hukum Musa juga menyuruh mereka untuk mempersembahkan korban binatang. (Imamat 1:5, 6) Biarpun begitu, mereka tidak dibenarkan untuk bersikap kejam kepada binatang. (Amsal 12:10) Sebenarnya, Hukum Musa mengandungi perintah yang melindungi haiwan. Orang Israel disuruh untuk menjaga binatang mereka dengan baik.​—Ulangan 22:6, 7.

Bab 7, perenggan 6

 21 PECAHAN KECIL DARAH DAN PROSEDUR PERUBATAN

Pecahan kecil darah. Darah terdiri daripada empat bahagian utama, iaitu sel darah merah, sel darah putih, platelet, dan plasma. Empat bahagian utama ini boleh dipecahkan ke dalam bahagian yang lebih kecil, yang dipanggil pecahan kecil darah. *

Orang Kristian menolak transfusi darah utuh dan keempat-empat bahagian utama darah. Tetapi bagaimana pula dengan pecahan kecil darah? Bible tidak memberikan arahan yang terperinci. Jadi setiap orang harus membuat keputusan sendiri berdasarkan hati nurani yang sudah dilatih mengikut prinsip-prinsip Bible.

Sesetengah orang Kristian menolak semua pecahan kecil darah kerana mereka terfikir tentang Hukum Tuhan yang menyuruh orang Israel untuk mencurahkan darah binatang ke tanah.​—Ulangan 12:22-24.

Yang lain pula menerima sebilangan pecahan kecil darah kerana mereka berpandangan bahawa pecahan-pecahan kecil itu tidak lagi melambangkan nyawa.

Semasa anda membuat keputusan tentang pecahan kecil darah, fikirkanlah soalan-soalan berikut:

  • Adakah saya sedar bahawa jika saya menolak semua pecahan kecil darah, maksudnya saya juga menolak sesetengah ubat yang digunakan untuk melawan penyakit atau yang dapat menghentikan pendarahan?

  • Dapatkah saya menerangkan kepada doktor mengapa saya menolak atau menerima pecahan kecil darah tertentu?

Prosedur perubatan. Selaku orang Kristian, kita tidak menderma darah atau menyimpan darah kita sebelum menjalani pembedahan. Tetapi terdapat beberapa prosedur perubatan lain yang menggunakan darah seorang pesakit, dan dalam hal ini, seseorang perlu membuat keputusan berdasarkan hati nurani masing-masing. Setiap orang perlu membuat keputusan sendiri tentang bagaimana darahnya akan digunakan semasa pembedahan, ujian makmal, atau rawatan perubatan. Semasa prosedur-prosedur ini, darah seorang pesakit mungkin akan dikeluarkan dari tubuhnya buat suatu jangka masa.​—Untuk maklumat lanjut, lihat Kerja Teokratik Kita, November 2009, muka surat 5-8.

Misalnya, proses pencairan darah (hemodilution). Sejurus sebelum pembedahan, darah akan disalurkan keluar dari badan pesakit, lalu cecair pengembang isi padu akan disalurkan ke dalam badannya untuk menggantikan darah yang telah dikeluarkan. Semasa atau sejurus selepas pembedahan tamat, darah itu akan dikembalikan ke dalam badannya.

Terdapat satu lagi prosedur yang dipanggil penyelamatan sel (cell salvage). Darah yang hilang semasa pembedahan akan dikumpulkan, dibersihkan, dan dikembalikan ke dalam badan pesakit semasa atau sejurus selepas pembedahan.

Oleh sebab kaedah yang digunakan oleh setiap doktor berbeza-beza, seorang Kristian patut mengetahui apa yang akan dilakukan oleh doktornya. Kemudian dia perlu membuat keputusan peribadi tentang bagaimana darahnya akan digunakan semasa pembedahan, ujian makmal, atau rawatan perubatan.

Semasa anda membuat keputusan tentang prosedur-prosedur perubatan yang melibatkan penggunaan darah anda, fikirkanlah soalan-soalan berikut:

  • Jika darah saya disalurkan keluar daripada tubuh saya, dan jika peredaran darah saya mungkin terganggu untuk suatu jangka masa, adakah hati nurani saya membenarkan saya untuk menganggap bahawa darah ini masih sebahagian daripada tubuh saya, dan dengan demikian tidak perlu ‘dicurahkan ke tanah’?​—Ulangan 12:23, 24.

  • Semasa prosedur perubatan dijalankan, adakah hati nurani saya yang sudah terlatih akan terganggu jika seorang ahli perubatan mengeluarkan darah saya, mengubah kandungannya, lalu mengembalikannya ke dalam tubuh saya, atau meletakkannya ke atas luka pembedahan saya?

  • Adakah saya sedia maklum bahawa jika saya menolak semua prosedur perubatan yang melibatkan penggunaan darah saya, saya sebenarnya menolak prosedur seperti ujian darah, hemodialisis, atau penggunaan mesin jantung paru-paru?

Sebelum kita membuat keputusan tentang pecahan kecil darah atau prosedur perubatan yang melibatkan penggunaan darah kita, kita harus berdoa meminta kebijaksanaan daripada Yehuwa lalu membuat penyelidikan dengan teliti. (Yakobus 1:5, 6) Kemudian barulah kita akan membuat keputusan berdasarkan hati nurani yang terlatih. Kita tidak patut menanya orang lain apa yang akan dilakukan oleh mereka, dan mereka juga tidak patut memaksa kita mengikut keputusan mereka.​—Roma 14:12; Galatia 6:5.

Bab 7, perenggan 11

 22 BERSIH SECARA MORAL

Seseorang yang bersih secara moral memastikan bahawa fikiran, tindakan, kata-kata, dan kelakuannya, bersih di mata Tuhan. Yehuwa menyuruh kita untuk menjauhi semua bentuk perbuatan seks yang tidak bermoral. (Amsal 1:10; 3:1) Maka sebelum kita menghadapi situasi yang mungkin menggoda kita untuk berbuat dosa, kita mesti bertekad untuk mematuhi Yehuwa. Kita boleh meminta Tuhan untuk membantu kita mempunyai fikiran yang bersih, dan kita mesti mempunyai azam yang kuat untuk menolak godaan.​—1 Korintus 6:9, 10, 18; Efesus 5:5.

Bab 8, perenggan 11

 23 BERKELAKUAN BURUK TANPA RASA MALU DAN KENAJISAN

Berkelakuan buruk tanpa rasa malu merujuk kepada perbuatan yang melanggar hukum Tuhan dan yang mencerminkan sikap tidak tahu malu. Orang yang berkelakuan sebegini menghina hukum Tuhan. Jika seseorang didapati bersalah, jawatankuasa pengadilan akan mengendalikan kesnya. Kenajisan pula merujuk kepada pelbagai jenis kelakuan yang salah. Sesetengah kes kenajisan mungkin perlu dikendalikan oleh jawatankuasa pengadilan di sidang.​—Galatia 5:19-21; Efesus 4:19; untuk maklumat lanjut, lihat “Pertanyaan Pembaca” dalam majalah Menara Pengawal, terbitan 15 Julai 2006 dalam bahasa Indonesia.

Bab 9, perenggan 7; Bab 12, perenggan 10

 24 MELANCAP

Hubungan seks ialah luahan kasih antara suami dengan isteri yang dikurniakan oleh Yehuwa. Tetapi apabila seseorang melancap, iaitu menyentuh alat kelaminnya untuk mencapai kepuasan seks, dia sedang menyalahgunakan kurniaan Tuhan. Tabiat ini merosakkan persahabatannya dengan Yehuwa. Tabiat ini juga menyebabkannya mempunyai keinginan yang tidak normal dan pandangan yang salah tentang seks. (Kolose 3:5) Jika anda berasa susah untuk menghentikan tabiat buruk ini, anda tidak patut berputus asa. (Mazmur 86:5; 1 Yohanes 3:20) Berdoalah kepada Yehuwa dan mintalah bantuan-Nya. Jauhi pornografi, iaitu bahan lucah, yang boleh menyebabkan anda berfikir tentang hal-hal yang kotor. Beritahulah ibu bapa Kristian anda atau seorang kawan yang matang secara rohani. (Amsal 1:8, 9; 1 Tesalonika 5:14; Titus 2:3-5) Yakinlah bahawa Yehuwa nampak dan menghargai usaha anda untuk tetap bersih secara moral.​—Mazmur 51:17; Yesaya 1:18.

Bab 9, perenggan 9

 25 POLIGAMI

Poligami bererti seseorang mempunyai lebih daripada seorang suami atau isteri. Yehuwa tidak mengasaskan perkahwinan poligami. Pada zaman orang Israel, Dia membenarkan amalan poligami, tetapi ini bukanlah aturan-Nya yang asal. Dewasa ini, Yehuwa tidak membenarkan umat-Nya mengamalkan poligami. Seorang suami hanya boleh mempunyai seorang isteri, dan seorang isteri hanya boleh mempunyai seorang suami.​—Matius 19:9; 1 Timotius 3:2.

Bab 10, perenggan 12

 26 PERCERAIAN DAN PERPISAHAN

Yehuwa ingin suami dan isteri untuk hidup bersama sepanjang hayat mereka. (Kejadian 2:24; Maleakhi 2:15, 16; Matius 19:3-6; 1 Korintus 7:39) Dia hanya membenarkan perceraian jika salah seorang pasangan telah berzina. Pihak yang tidak bersalah berhak untuk memilih sama ada dia mahu bercerai atau tidak.​—Matius 19:9.

Ada kalanya, seorang Kristian memilih untuk berpisah daripada pasangan mereka meskipun pasangan mereka tidak berzina. (1 Korintus 7:11) Berikut merupakan beberapa sebab mereka berbuat demikian:

  • Enggan menyara keluarga. Suami enggan menampung keperluan keluarga sehingga seluruh keluarga tiada duit atau makanan.​—1 Timotius 5:8.

  • Penderaan fizikal yang teruk. Seseorang didera dengan teruk sehingga kesihatan atau nyawanya terancam.​—Galatia 5:19-21.

  • Tidak dapat menyembah Yehuwa. Seseorang mengalami tentangan yang teruk daripada teman hidupnya sehingga dia langsung tidak dapat menyembah Yehuwa.​—Kisah 5:29.

Bab 11, perenggan 19

 27 PUJIAN DAN GALAKAN

Kita memerlukan pujian dan galakan. (Amsal 12:25; 16:24) Kita dapat saling menguatkan dengan kata-kata yang baik dan yang memperlihatkan kasih. Kata-kata sedemikian dapat menguatkan saudara saudari kita dan membantu mereka untuk terus bertabah dan terus menyembah Yehuwa meskipun menghadapi kesusahan. (Amsal 12:18; Filipi 2:1-4) Jika seseorang tawar hati, kita patut mendengar luahan hatinya dan mencuba memahami perasaannya supaya kita tahu bagaimana untuk membantunya. (Yakobus 1:19) Maka kenalilah saudara saudari dengan baik agar anda dapat memahami keperluan mereka. Kemudian bantulah mereka untuk mendapat galakan dan kelegaan hati daripada Yehuwa.​—2 Korintus 1:3, 4; 1 Tesalonika 5:11.

Bab 12, perenggan 16

 28 MAJLIS PERKAHWINAN

Bible tidak memberikan hukum spesifik tentang majlis perkahwinan. Setiap tempat mempunyai adat dan undang-undang yang berlainan. (Kejadian 24:67; Matius 1:24; 25:10; Lukas 14:8) Dalam perkahwinan orang Kristian, ikrar yang diucapkan oleh pasangan pengantin di hadapan Yehuwa adalah sangat penting. Ikrar itu diucapkan semasa ceramah perkahwinan yang disampaikan oleh seorang penatua. Biasanya ceramah itu akan dihadiri oleh ahli keluarga dan kawan rapat pasangan pengantin. Pasangan pengantin boleh memilih sama ada untuk mengadakan jamuan makan atau tidak. (Lukas 14:28; Yohanes 2:1-11) Tidak kira apa keputusan mereka, mereka harus memastikan bahawa majlis perkahwinan mereka memuliakan Yehuwa. (Kejadian 2:18-24; Matius 19:5, 6) Prinsip-prinsip Bible dapat membantu mereka membuat pilihan yang baik. (1 Yohanes 2:16, 17) Jika mereka menghidangkan minuman beralkohol semasa jamuan makan, mereka harus memastikan bahawa jamuan itu dikawal dengan baik. (Amsal 20:1; Efesus 5:18) Muzik atau persembahan yang dipilih oleh mereka juga harus memuliakan Yehuwa. Pasangan pengantin perlu bertumpu kepada hubungan mereka dan kerohanian mereka, dan bukan hanya bertumpu kepada majlis perkahwinan mereka.​—Amsal 18:22; untuk lebih banyak cadangan, lihat Menara Pengawal, terbitan 15 Oktober 2006, muka surat 18-23, 23-27, dan 28-31 dalam bahasa Indonesia.

Bab 13, perenggan 18

 29 MEMBUAT KEPUTUSAN YANG BIJAK

Kita ingin membuat keputusan berdasarkan prinsip-prinsip Bible. Misalnya, seorang Kristian mungkin diajak oleh pasangannya yang bukan Saksi untuk makan bersama saudara-mara pada hari perayaan. Jika anda menghadapi situasi ini, apakah yang akan anda lakukan? Jika hati nurani anda mengizinkan anda untuk pergi, anda harus menjelaskan kepada pasangan anda bahawa anda hanya pergi ke sana untuk makan dan tidak akan menyertai apa-apa upacara agama kafir semasa jamuan itu. Anda juga harus mempertimbangkan sama ada keputusan anda akan membuat orang lain tersandung atau tidak.​—1 Korintus 8:9; 10:23, 24.

Jika majikan anda memberi anda bonus semasa suatu perayaan, adakah anda harus menolak bonus itu? Tidak semestinya. Pertimbangkanlah soalan-soalan berikut: Adakah majikan anda hanya ingin menunjukkan penghargaan kepada pekerjanya, atau adakah dia memandang bonus itu sebagai sebahagian daripada adat perayaan? Anda perlu berfikir tentang hal ini dan faktor-faktor yang lain sebelum membuat keputusan untuk menerima atau menolak bonus itu.

Bagaimana pula jika seseorang memberi anda hadiah semasa perayaan dan berkata, “Saya tahu kamu tidak menyambut perayaan ini, tapi saya masih ingin memberi kamu hadiah ini”? Barangkali dia hanya ingin bermurah hati. Tetapi jika dia ingin menguji iman anda atau mencari peluang untuk melibatkan anda dalam suatu perayaan, anda mungkin akan menolak hadiah itu. Ingatlah bahawa tidak kira apa keputusan kita, kita mahu memiliki hati nurani yang murni dan tetap setia kepada Yehuwa.​—Kisah 23:1.

Bab 13, perenggan 22

 30 URUS NIAGA DAN UNDANG-UNDANG

Kita perlu menyelesaikan masalah dengan segera dan dalam cara yang damai agar masalah itu tidak bertambah serius. (Matius 5:23-26) Kita patut mengutamakan kemuliaan Yehuwa dan perpaduan sidang.​—Yohanes 13:34, 35; 1 Korintus 13:4, 5.

Jika timbul masalah urus niaga dengan saudara atau saudari lain, kita patut berusaha menyelesaikannya sesama sendiri tanpa membawa perkara itu ke mahkamah. Di 1 Korintus 6:1-8, Paulus menyatakan bahawa jika kita membawa masalah sebegini ke mahkamah, kita akan memburukkan nama Yehuwa dan sidang. Matius 18:15-17 menyebutkan tiga langkah yang harus diikuti oleh orang Kristian untuk menyelesaikan dakwaan yang serius, seperti fitnah dan penipuan: (1) Pihak-pihak yang terlibat harus mencuba menyelesaikan masalah tersebut sesama sendiri; (2) jika hal ini tidak berjaya, mereka boleh meminta bantuan satu atau dua orang ahli sidang yang matang; dan (3) jika mereka masih gagal menyelesaikannya, mereka boleh meminta bantuan badan penatua. Para penatua akan menggunakan prinsip-prinsip Bible untuk mencuba membantu semua pihak yang terlibat untuk mencapai persetujuan. Jika salah satu pihak enggan mengikut prinsip Bible, para penatua mungkin perlu mengambil tindakan disiplin.

Tetapi kita mungkin perlu membuat tuntutan mahkamah dalam situasi yang melibatkan perceraian, hak penjagaan anak, alimoni (bayaran nafkah), pampasan insurans, kemuflisan, atau wasiat. Kita tidak melanggar nasihat Paulus jika kita membuat tuntutan mahkamah dalam situasi sedemikian.

Jika seorang Kristian melakukan jenayah yang serius, seperti merogol, mendera kanak-kanak, menyerang, merompak, atau membunuh, kita tidak melanggar nasihat Paulus jika kita melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Bab 14, perenggan 14

 31 TIPU HELAH SYAITAN

Sejak di Taman Eden, Syaitan berusaha menipu manusia. (Kejadian 3:1-6; Wahyu 12:9) Dia tahu bahawa jika dia dapat membuat kita keliru, dia dapat mempengaruhi kita untuk berbuat jahat. (2 Korintus 4:4; Yakobus 1:14, 15) Maka dia menggunakan politik, agama, perdagangan, hiburan, pendidikan, dan sebagainya untuk mempengaruhi fikiran kita.​—Yohanes 14:30; 1 Yohanes 5:19.

Syaitan tahu bahawa masanya tinggal sedikit, maka dia berusaha untuk memerangkap sebanyak orang yang mungkin. Sasaran utamanya ialah orang yang menyembah Yehuwa. (Wahyu 12:12) Jika kita tidak berhati-hati, dia dapat merosakkan fikiran kita sedikit demi sedikit. (1 Korintus 10:12) Misalnya, Yehuwa membenci perceraian. (Matius 19:5, 6, 9) Tetapi ramai orang berasa bahawa mereka boleh bercerai sesuka hati. Banyak filem dan rancangan TV juga menyokong fikiran sedemikian. Kita harus memastikan agar kita tidak terikut-ikut dengan sikap ini.

Satu lagi tipu helah Syaitan ialah sikap ingin bebas. (2 Timotius 3:4) Jika kita tidak berhati-hati, kita mungkin tidak akan menghormati orang yang telah dilantik oleh Yehuwa. Misalnya, seorang saudara mungkin mula menolak bimbingan para penatua. (Ibrani 12:5) Seorang saudari pula mungkin mula mempersoalkan aturan kekepalaan yang ditetapkan oleh Yehuwa.​—1 Korintus 11:3.

Maka jangan terpengaruh dengan fikiran Syaitan. Sebaliknya, kita perlu meniru fikiran Yehuwa dan ‘terus memusatkan fikiran kita pada perkara-perkara di syurga.’​—Kolose 3:2; 2 Korintus 2:11.

Bab 16, perenggan 9

 32 RAWATAN KESIHATAN

Kita semua ingin memiliki kesihatan yang baik, dan jika kita sakit, kita ingin mendapatkan rawatan yang terbaik. (Yesaya 38:21; Markus 5:25, 26; Lukas 10:34) Dewasa ini, terdapat pelbagai jenis rawatan, tetapi kita harus memilih rawatan yang tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip Bible. Kita juga harus ingat bahawa hanya Kerajaan Tuhan yang dapat memberi kita kesihatan yang sempurna. Kita tidak ingin terlalu bertumpu kepada kesihatan kita sehingga kita mengetepikan ibadat kita kepada Yehuwa.​—Yesaya 33:24; 1 Timotius 4:16.

Kita mesti menjauhi apa-apa rawatan yang menggunakan kuasa ghaib. (Ulangan 18:10-12; Yesaya 1:13) Jadi sebelum kita menerima apa-apa rawatan atau ubat, kita harus membuat kajian yang menyeluruh. (Amsal 14:15) Ingatlah bahawa Syaitan selalu mencari kesempatan untuk menjerat kita dengan spiritisme. Jika kita berasa bahawa suatu rawatan mungkin berkaitan dengan spiritisme, kita harus menjauhinya.​—1 Petrus 5:8.

Bab 16, perenggan 18

^ Sesetengah doktor mungkin menganggap empat bahagian utama darah sebagai pecahan kecil darah. Maka anda mungkin perlu menjelaskan keputusan peribadi anda untuk tidak menerima transfusi darah utuh atau empat bahagian utama darah, iaitu sel darah merah, sel darah putih, platelet, dan plasma.