Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 13

Adakah Semua Perayaan Menyenangkan Hati Tuhan?

Adakah Semua Perayaan Menyenangkan Hati Tuhan?

“Teruslah mengenal pasti perkara-perkara yang diperkenankan Tuan kita.”​—EFESUS 5:10.

1. Apakah yang perlu kita lakukan untuk memastikan bahawa ibadat kita menyenangkan hati Yehuwa, dan mengapa?

 YESUS berkata, “Penyembah sejati akan menyembah Bapa dengan bimbingan kuasa suci-Nya dan kebenaran. Sebenarnya, Bapa sedang mencari orang sedemikian untuk menyembah-Nya.” (Yohanes 4:23; 6:44) Kita masing-masing harus sentiasa “mengenal pasti perkara-perkara yang diperkenankan Tuan kita.” (Efesus 5:10) Hal ini tidak mudah kerana Syaitan suka menipu kita agar kita melakukan hal yang tidak disukai oleh Yehuwa.​—Wahyu 12:9.

2. Jelaskan apa yang berlaku di Gunung Sinai.

2 Bagaimanakah Syaitan menipu kita? Satu cara adalah dengan membuat kita keliru. Perhatikan apa yang berlaku di Gunung Sinai. Selepas Musa naik ke atas gunung itu, orang Israel meminta Harun membuat tuhan untuk mereka. Harun membuat sebuah patung lembu emas dan mereka mengadakan sebuah perayaan lalu bersujud kepada patung itu. Mereka berkata bahawa perayaan itu ialah “perayaan untuk Yehuwa.” Namun Yehuwa marah kerana mereka menyembah berhala, dan ramai antara mereka dibunuh. (Keluaran 32:1-6, 10, 28) Apakah pengajarannya? Kita tidak mahu ditipu oleh Syaitan. Kita mahu Yehuwa mengajar kita apa yang betul dan apa yang salah, dan kita tidak mahu menyentuh “apa-apa yang najis.”​—Yesaya 52:11; Yehezkiel 44:23; Galatia 5:9.

3, 4. Mengapakah kita harus mengetahui asal usul suatu perayaan?

3 Semasa Yesus di bumi, dia mengajar murid-muridnya untuk mengikut ajaran Bible. Selepas Yesus mati, rasul-rasul juga mengajarkan prinsip-prinsip Yehuwa. Malangnya, selepas kematian para rasul, guru-guru palsu mula mengajarkan adat agama kafir. Mereka mengubah nama perayaan-perayaan kafir dan mengatakan bahawa itu perayaan Kristian. (2 Tesalonika 2:7, 10; 2 Yohanes 6, 7) Dewasa ini, perayaan sebegitu masih disambut oleh banyak orang meskipun perayaan-perayaan itu berkaitan dengan ajaran agama palsu dan spiritisme. *​—Wahyu 18:2-4, 23.

4 Di serata dunia, orang suka menyambut perayaan-perayaan tertentu. Tetapi jika Yehuwa tidak menerima sesuatu perayaan, adakah anda sudi membuat perubahan untuk menyenangkan hati-Nya? Hal ini mungkin tidak mudah, tetapi Yehuwa pasti akan membantu anda. Sekarang mari kita membincangkan asal usul sesetengah perayaan agar kita dapat memahami pandangan Yehuwa.

ASAL USUL KRISMAS

5. Bagaimanakah kita tahu bahawa Yesus tidak lahir pada 25 Disember?

5 Krismas disambut pada 25 Disember, kerana banyak orang menyangka bahawa hari itu ialah hari jadi Yesus. Tetapi Bible tidak memberitahu kita bila Yesus lahir. Lukas menulis bahawa semasa Yesus lahir di Betlehem, “para gembala berada di padang terbuka.” (Lukas 2:8-11) Pada bulan Disember, Betlehem amat sejuk kerana hujan dan salji selalu turun. Oleh itu, para gembala tidak akan berada di padang bersama biri-biri mereka pada waktu malam. Hal ini menunjukkan bahawa Yesus tidak mungkin lahir pada bulan Disember. Sebenarnya jika kita mengkaji sejarah dan catatan Bible, kita akan mendapati bahawa Yesus lahir sekitar bulan Oktober.

6, 7. (a) Apakah asal usul kebanyakan amalan Krismas? (b) Mengapakah kita memberikan hadiah?

6 Perayaan Krismas berasal daripada perayaan agama kafir, seperti perayaan Saturnalia. Perayaan ini diadakan untuk dewa pertanian yang dinamakan Saturn. Sebuah ensiklopedia menyatakan, “Kebanyakan amalan Krismas, seperti saling memberikan hadiah, membakar lilin, dan mengadakan jamuan secara besar-besaran, berasal daripada perayaan Saturnalia, iaitu sebuah perayaan Roma yang disambut pada pertengahan bulan Disember.” Selain itu, 25 Disember ialah hari jadi Dewa Mitra, iaitu dewa matahari orang Persia.

7 Tetapi kebanyakan orang yang menyambut Krismas dewasa ini tidak berfikir tentang asal usulnya. Mereka sekadar mahu meluangkan masa bersama keluarga, menikmati makanan yang sedap, dan memberikan hadiah. Sudah tentu, kita mengasihi keluarga dan sahabat kita dan mahu berkongsi benda-benda yang baik dengan mereka. Ayat di 2 Korintus 9:7 menyatakan, “Tuhan mengasihi orang yang memberi dengan senang hati.” Tetapi, Yehuwa tidak mahu kita memberi pada hari tertentu sahaja. Dia mahu kita memberi kerana didorong oleh kasih dan tidak mengharapkan balasan. Umat Yehuwa bergaul dengan satu sama lain dan memberi orang hadiah sepanjang tahun.​—Lukas 14:12-14.

Jika kita mengetahui asal usul suatu perayaan, kita dapat menjauhi perayaan yang tidak disenangi Tuhan

8. Adakah ahli-ahli nujum memberikan hadiah kepada Yesus semasa dia seorang bayi? Jelaskan.

8 Ramai orang berkata bahawa mereka memberikan hadiah semasa Krismas kerana tiga orang ahli nujum telah memberikan hadiah kepada Yesus semasa dia lahir di dalam sebuah kandang. Pada zaman Bible, adat untuk memberikan hadiah kepada orang yang penting biasa diamalkan. (1 Raja-Raja 10:1, 2, 10, 13) Tetapi ahli-ahli nujum itu bukan penyembah Yehuwa. Lagipun, semasa mereka melawat Yesus, Yesus bukan lagi seorang bayi. Bible menyatakan bahawa “mereka masuk ke dalam rumah itu dan melihat anak kecil tersebut.”​—Matius 2:1, 2, 11.

PANDANGAN BIBLE TENTANG HARI JADI

9. Bible menyebut tentang hari jadi siapa?

9 Kelahiran seorang bayi merupakan masa yang menggembirakan. (Mazmur 127:3) Tetapi hal ini tidak bermaksud bahawa kita harus menyambut hari jadi. Fikirkanlah: Hanya terdapat dua sambutan hari jadi yang dicatatkan dalam Bible, iaitu hari jadi Firaun dan hari jadi Raja Herodes Antipas. (Baca Kejadian 40:20-22; Markus 6:21-29.) Mereka berdua bukan penyembah Yehuwa. Sebenarnya Bible tidak pernah menyebut tentang umat Yehuwa yang menyambut hari jadi.

10. Mengapakah orang Kristian masa awal tidak menyambut hari jadi?

10 The World Book Encyclopedia menyatakan bahawa orang Kristian masa awal “menganggap sambutan hari jadi sebagai adat kafir.” Adat sedemikian berdasarkan ajaran agama palsu. Contohnya, orang Yunani kuno percaya bahawa semasa seorang bayi dilahirkan, satu makhluk roh akan menghadiri kelahirannya dan melindunginya sepanjang hayatnya. Mereka percaya bahawa roh itu mempunyai hubungan khas dengan dewa yang mempunyai hari lahir yang sama dengan bayi itu. Hari jadi juga telah lama dikaitkan dengan astrologi dan horoskop, atau zodiak.

11. Bilakah kita mahu bersikap murah hati?

11 Ramai orang berasa bahawa hari jadi mereka ialah hari yang istimewa. Mereka mahu orang menunjukkan kasih dan penghargaan kepada mereka pada hari itu. Tetapi Yehuwa mahu kita bermurah hati dan menunjukkan kasih dan kebaikan hati pada setiap hari, bukan pada hari-hari tertentu sahaja. (Baca Kisah 20:35.) Maka kita patut bersyukur kepada Tuhan setiap hari dan bukan pada hari jadi kita sahaja.​—Mazmur 8:3, 4; 36:9.

Orang Kristian sejati memberi kerana kasih

12. Apakah maksud ayat di Pengkhutbah 7:1?

12 Pengkhutbah 7:1 menyatakan, “Nama yang baik lebih baik daripada minyak yang bermutu tinggi. Hari kematian lebih baik daripada hari kelahiran.” Apakah maksud ayat ini? Semasa kita lahir, kita belum melakukan apa-apa. Tetapi jika kita menggunakan kehidupan kita untuk menyembah Tuhan dan berbuat baik kepada orang lain, kita akan memperoleh “nama yang baik.” Jika kita mati, Tuhan akan tetap mengingat kita. (Ayub 14:14, 15) Umat Yehuwa tidak menyambut hari jadi sendiri atau hari jadi Yesus. Sebenarnya kita hanya diperintahkan untuk memperingati hari kematian Yesus.​—Lukas 22:17-20; Ibrani 1:3, 4.

ASAL USUL EASTER

13, 14. Apakah asal usul perayaan Easter?

13 Ramai orang menyangka bahawa Easter ialah sambutan untuk memperingati pembangkitan Yesus. Tetapi sebenarnya perkataan Easter dikaitkan dengan Eostre, iaitu dewi musim bunga dan dewi waktu subuh bangsa Anglo-Saxon. Sebuah buku rujukan menyatakan bahawa Eostre juga merupakan dewi kesuburan. Sesetengah adat perayaan Easter berkaitan dengan kesuburan. Contohnya, telur Easter “melambangkan kehidupan baharu dan pembangkitan,” * dan arnab Easter pula melambangkan kesuburan. Jelaslah bahawa Easter langsung tiada kaitan dengan pembangkitan Yesus.

14 Semasa Yehuwa melihat orang mengaitkan pembangkitan Anak-Nya dengan kepercayaan agama palsu, adakah Dia senang hati? Tentu tidak. (2 Korintus 6:17, 18) Sebenarnya Yehuwa tidak pernah menyuruh kita untuk merayakan pembangkitan Yesus.

ASAL USUL HALLOWEEN

15. Apakah asal usul Halloween?

15 Perayaan Halloween ada kaitan dengan tukang sihir dan hantu. Pada waktu bulan purnama yang paling dekat dengan 1 November, orang Celt kuno di Britain dan Ireland menyambut perayaan Samhain. Mereka percaya bahawa pada waktu itu, roh-roh orang yang mati akan kembali ke bumi. Orang akan meletakkan makanan dan minuman untuk roh-roh itu agar roh-roh itu tidak mengganggu mereka. Pada hari Halloween, kanak-kanak suka berpakaian seperti hantu dan pergi dari rumah ke rumah untuk meminta gula-gula. Tanpa disedari, mereka sebenarnya sedang mengikut adat-adat yang berkaitan dengan roh-roh jahat.

PERKAHWINAN YANG MENYENANGKAN HATI TUHAN

16, 17. Apakah yang harus difikirkan semasa merancang sebuah perkahwinan?

16 Perkahwinan ialah masa yang menggembirakan. Di serata dunia, perkahwinan dirayakan dalam pelbagai cara. Tetapi sesetengah adat perkahwinan berasal daripada agama kafir. Maka orang Kristian yang mahu berkahwin harus memastikan bahawa perkahwinan mereka menyenangkan hati Tuhan. Jika mereka tahu asal usul adat-adat perkahwinan, mereka dapat membuat keputusan yang bijak.​—Markus 10:6-9.

17 Sesetengah adat dikatakan akan membawa tuah kepada pasangan yang baru berkahwin. (Yesaya 65:11) Sebagai contoh, di sesetengah tempat, orang akan menabur beras atau bahan lain ke atas pengantin lelaki dan perempuan. Mereka percaya bahawa perbuatan itu akan melindungi pasangan yang baru berkahwin daripada roh-roh jahat, dan memberi mereka kebahagiaan, umur yang panjang, dan banyak anak. Tetapi orang Kristian berhati-hati agar tidak melakukan adat-adat yang ada kaitan dengan agama palsu.​—Baca 2 Korintus 6:14-18.

18. Apakah prinsip-prinsip Bible yang harus difikirkan sebelum mengadakan majlis perkahwinan?

18 Pasangan Kristian ingin majlis perkahwinan mereka dinikmati oleh semua orang. Tetapi majlis perkahwinan bukanlah masanya untuk “menunjuk-nunjukkan harta milik sendiri.” (1 Yohanes 2:16) Selain itu, tetamu yang hadir tidak patut memberikan ucapan yang tidak sopan, tidak bermoral, atau yang mungkin memalukan pasangan pengantin atau orang lain. (Amsal 26:18, 19; Lukas 6:31; 10:27) Maka jika anda bakal berkahwin, pastikanlah bahawa anda melakukan segala sesuatu dengan baik agar hari perkahwinan anda dipenuhi kenangan yang manis.​—Lihat Penjelasan 28.

ASAL USUL MINUM UCAP SELAMAT

19, 20. Apakah asal usul minum ucap selamat?

19 Satu lagi amalan yang dilakukan semasa jamuan perkahwinan atau jamuan sosial ialah minum ucap selamat. Seseorang akan memberikan ucapan selamat dan orang lain akan mengangkat gelas mereka. Apakah pandangan orang Kristian terhadap amalan ini?

20 Sebuah buku menyatakan, “Amalan minum ucap selamat mungkin berasal daripada upacara agama palsu kuno. Semasa upacara itu, orang akan mempersembahkan darah atau wain kepada tuhan-tuhan mereka agar hajat mereka dikabulkan. Kemudian mereka akan berkata, ‘Semoga panjang umur!’” * Ya, pada zaman kuno, orang biasanya akan mengajukan gelas ke syurga untuk memohon berkat daripada dewa dewi. Tetapi ini bukanlah caranya Yehuwa memberikan berkat.​—Yohanes 14:6; 16:23.

“BENCILAH APA YANG JAHAT”

21. Apakah perayaan-perayaan lain yang patut dijauhi oleh orang Kristian?

21 Sebelum membuat keputusan sama ada untuk menyambut suatu perayaan atau tidak, tanyalah diri, “Adakah pesta atau perayaan ini menggalakkan tarian lucah, kemabukan, atau perbuatan yang tidak bermoral? Adakah perayaan ini menggalakkan hubungan sejenis atau semangat cinta akan negara? Jika saya menyertainya, adakah saya sedang ‘membenci apa yang jahat’?”​—Mazmur 1:1, 2; 97:10; 119:37.

22. Bagaimanakah kita dapat menentukan sama ada kita boleh menyertai suatu perayaan atau tidak?

22 Orang Kristian perlu menjauhi semua perayaan yang tidak disenangi Tuhan. Paulus menulis, “Sama ada kamu makan, minum, atau melakukan hal-hal yang lain, lakukanlah semuanya untuk memuliakan Tuhan.” (1 Korintus 10:31; lihat Penjelasan 29.) Sememangnya, bukan semua perayaan berkaitan dengan perbuatan tidak bermoral, agama palsu, atau semangat cinta akan negara. Jika suatu perayaan tidak melanggar prinsip Bible, kita boleh memilih sama ada untuk menyertainya atau tidak. Tetapi kita perlu memastikan bahawa keputusan kita tidak membuat orang lain tersandung.

MEMULIAKAN YEHUWA DENGAN KATA-KATA DAN TINDAKAN

23, 24. Bagaimanakah anda dapat menjelaskan sebabnya anda tidak menyambut sesetengah perayaan?

23 Anda mungkin sudah berhenti menyambut perayaan yang tidak disenangi Yehuwa. Tetapi sesetengah ahli keluarga anda yang bukan Saksi mungkin berfikir bahawa anda tidak suka bergaul dengan mereka lagi. Mereka mungkin berasa bahawa masa perayaan ialah masa seluruh keluarga dapat berkumpul. Jadi apakah yang dapat anda lakukan? Yakinkanlah mereka bahawa anda masih mengasihi mereka. (Amsal 11:25; Pengkhutbah 3:12, 13) Salah satu cara anda dapat berbuat demikian adalah dengan menjemput mereka ke rumah anda pada masa yang lain.

24 Jika mereka ingin tahu mengapa anda tidak menyambut sesetengah perayaan, anda boleh menggunakan maklumat dalam bahan bacaan kita atau di jw.org/ms untuk menjelaskan sebabnya kepada mereka. Ingatlah bahawa tujuan anda bukanlah untuk mengubah fikiran mereka atau untuk membuktikan bahawa mereka salah. Jadi berusahalah untuk membantu mereka memahami bahawa anda telah berfikir masak-masak sebelum membuat keputusan. Bercakaplah dalam nada yang tenang, dan pastikan ‘kata-kata anda sentiasa menyenangkan dan enak didengari.’​—Kolose 4:6.

25, 26. Bagaimanakah ibu bapa dapat membantu anak-anak mereka untuk menghargai prinsip-prinsip Yehuwa?

25 Anda perlu memahami mengapa anda tidak menyambut perayaan tertentu. (Ibrani 5:14) Tujuan anda adalah untuk menyenangkan hati Yehuwa. Jika anda mempunyai anak-anak, anda perlu membantu anak-anak anda untuk memahami dan menghargai prinsip-prinsip Bible. Apabila mereka mengasihi Yehuwa, mereka akan tergerak untuk menyenangkan hati-Nya.​—Yesaya 48:17, 18; 1 Petrus 3:15.

26 Yehuwa senang hati apabila kita berusaha untuk memastikan bahawa ibadat kita kepada-Nya murni. Dia juga senang hati apabila kita bersikap jujur. (Yohanes 4:23) Tetapi ramai orang berasa bahawa mereka tidak dapat bersikap jujur dalam setiap aspek kehidupan. Adakah hal ini benar? Marilah kita membincangkan hal ini dalam bab yang seterusnya.

^ Untuk maklumat lanjut, lihat Panduan Penyelidikan Saksi-Saksi Yehuwa dan laman web jw.org/ms.

^ Petikan daripada Encyclopædia Britannica.

^ Petikan daripada International Handbook on Alcohol and Culture.