Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 14

Melakukan Segala Sesuatu dengan Jujur

Melakukan Segala Sesuatu dengan Jujur

‘Kita ingin melakukan segala sesuatu dengan jujur.’​—IBRANI 13:18.

1, 2. Apakah perasaan Yehuwa apabila kita berusaha untuk bersikap jujur?

 SEORANG budak menjumpai sebuah dompet di tepi jalan. Kemudian dia mengembalikan dompet itu kepada pemiliknya. Apabila ibunya mendapat tahu tentang hal itu, ibunya berasa sangat bangga.

2 Banyak ibu bapa gembira jika anak mereka bersikap jujur. Yehuwa ialah “sumber kebenaran,” dan Dia juga gembira apabila kita bersikap jujur. (Mazmur 31:5) Maka kita ingin “melakukan segala sesuatu dengan jujur” untuk menyenangkan hati-Nya. (Ibrani 13:18) Marilah kita melihat cara menunjukkan kejujuran dalam empat aspek kehidupan, dan manfaatnya jika kita berbuat demikian.

JUJUR DENGAN DIRI SENDIRI

3-5. (a) Bagaimanakah kita mungkin menipu diri sendiri? (b) Apakah yang dapat membantu kita memeriksa diri dengan jujur?

3 Meskipun tidak mudah, kita mesti jujur dengan diri sendiri. Pada abad pertama, saudara saudari di sidang Laodikia telah menipu diri mereka sendiri. Mereka menyangka bahawa mereka sedang menyenangkan hati Tuhan, tetapi sebenarnya tidak. (Wahyu 3:17) Kita juga mungkin menipu diri seperti mereka.

4 Yakobus menulis, “Jika seseorang menganggap dirinya penyembah Tuhan tetapi tidak mengekang lidahnya dengan baik, dia menipu dirinya sendiri dan ibadatnya sia-sia sahaja.” (Yakobus 1:26) Kita sedang menipu diri jika kita berfikir, “Asalkan saya berbuat baik, Yehuwa tidak akan marah jika saya bercakap bohong atau bersikap biadab sekali-sekala.” Apakah yang dapat membantu kita menghindari fikiran yang salah ini?

5 Apabila kita melihat cermin, kita dapat melihat penampilan luaran kita. Apabila kita membaca Bible, kita dapat melihat sifat-sifat dalaman kita. Bible membantu kita mengenal pasti kekuatan dan kelemahan kita agar kita dapat membuat perubahan yang diperlukan. (Baca Yakobus 1:23-25.) Tetapi jika kita berfikir bahawa kita tidak mempunyai kelemahan, kita tidak akan membuat perubahan. Maka kita perlu menggunakan Bible untuk memeriksa diri dengan jujur. (Ratapan 3:40; Hagai 1:5) Selain itu, kita perlu berdoa meminta Yehuwa untuk memeriksa diri kita dan menunjukkan kelemahan kita. (Mazmur 139:23, 24) Ingatlah bahawa “Yehuwa membenci orang yang licik, tetapi Dia akrab dengan orang yang melakukan apa yang benar.”​—Amsal 3:32.

KEJUJURAN DALAM KELUARGA

6. Mengapakah suami dan isteri patut bersikap jujur terhadap satu sama lain?

6 Setiap ahli keluarga mesti bersikap jujur. Apabila suami dan isteri bersikap jujur terhadap satu sama lain, mereka dapat saling mempercayai. Mereka patut menjauhi perbuatan yang tidak jujur, seperti bermain cinta, melihat bahan lucah, dan menjalinkan hubungan sulit. Perhatikanlah kata-kata pemazmur, “Aku tidak bergaul dengan orang yang licik; aku menjauhkan diri daripada orang yang berpura-pura.” (Mazmur 26:4) Berfikir tentang hal-hal yang tidak bermoral juga merupakan perbuatan yang tidak jujur dan dapat merosakkan perkahwinan anda.

Segera menjauhi apa-apa yang dapat merosakkan perkahwinan anda

7, 8. Bagaimanakah ibu bapa dapat menggunakan Bible untuk mengajar anak-anak tentang pentingnya bersikap jujur?

7 Kanak-kanak juga perlu belajar tentang pentingnya bersikap jujur. Ibu bapa dapat menggunakan kisah-kisah Bible untuk mengajar mereka tentang hal ini. Antara contoh orang yang tidak jujur ialah Akhan, yang telah mencuri; Gehazi, yang menipu untuk mendapatkan wang; dan Yudas, yang mencuri wang dan kemudiannya mengkhianati Yesus.​—Yosua 6:17-19; 7:11-25; 2 Raja-Raja 5:14-16, 20-27; Matius 26:14, 15; Yohanes 12:6.

8 Bible juga mengandungi contoh-contoh orang yang jujur. Antaranya ialah Yakub, yang menyuruh anak-anaknya memulangkan wang yang dijumpai mereka; Yefta dan anak perempuannya, yang menepati janji; dan Yesus, yang bercakap benar meskipun nyawanya terancam. (Kejadian 43:12; Hakim-Hakim 11:30-40; Yohanes 18:3-11) Contoh-contoh ini dapat membantu anak-anak untuk memahami pentingnya bersikap jujur.

9. Bagaimanakah ibu bapa dapat mempengaruhi anak-anak mereka?

9 Ibu bapa perlu ingat akan prinsip Bible yang penting ini: “Mengapakah kamu mengajar orang lain tetapi tidak mengajar diri sendiri? Kamu memberitahu orang, ‘Jangan mencuri,’ tetapi mengapakah kamu sendiri mencuri?” (Roma 2:21) Jika ibu bapa menyuruh anak-anak mereka bersikap jujur, sedangkan mereka sendiri tidak bersikap jujur, mereka akan membuat anak-anak keliru. Jika anak-anak tahu bahawa ibu bapa mereka bercakap bohong, bahkan dalam hal-hal yang kecil, mereka pun mungkin akan bercakap bohong. (Baca Lukas 16:10.) Sebaliknya, jika ibu bapa mereka bersikap jujur, mereka pun mungkin akan bersikap jujur.​—Amsal 22:6; Efesus 6:4.

KEJUJURAN DALAM SIDANG

10. Bagaimanakah kita dapat bersikap jujur semasa bercakap dengan saudara saudari?

10 Kita juga perlu jujur terhadap saudara saudari. Jika kita tidak berhati-hati, perbualan kita mungkin dapat berubah menjadi umpatan, dan bahkan fitnah. Jika kita mengulangi sesuatu tanpa memastikan kebenarannya, kita mungkin bercakap bohong. Jadi kita patut ‘mengawal bibir kita.’ (Amsal 10:19) Bersikap jujur tidak bererti kita mengatakan segala yang kita fikir, tahu, atau dengar. Biarpun apa yang kita katakan itu benar, kita tidak perlu menyebarkannya kerana hal itu bukannya urusan kita. Tambahan lagi, kita tidak patut menyebarkan apa yang tidak membina. (1 Tesalonika 4:11) Sesetengah orang bersikap biadab lalu mencari alasan dengan berkata, “Saya hanya berterus terang.” Tetapi sebagai umat Yehuwa, kata-kata kita haruslah sopan.​—Baca Kolose 4:6.

11, 12. (a) Bagaimanakah seseorang yang telah melakukan dosa yang serius memburukkan lagi keadaan? (b) Apakah soalan-soalan yang patut ditanya? (c) Bagaimanakah kita bersikap jujur terhadap organisasi Yehuwa?

11 Yehuwa menyuruh para penatua untuk menjaga sidang, maka kita patut bersikap jujur dengan mereka. Mengapa? Jika anda sakit dan pergi berjumpa dengan doktor, adakah anda akan menyembunyikan sesetengah maklumat tentang penyakit anda? Jika anda berbuat demikian, dapatkah doktor itu membantu anda? Demikian juga, jika kita melakukan dosa yang serius, kita tidak patut menyembunyikannya. Sebaliknya, kita harus berterus terang dengan para penatua. (Mazmur 12:2; Kisah 5:1-11) Tetapi bagaimana pula jika kawan anda melakukan dosa yang serius? (Imamat 5:1) Adakah anda akan merahsiakannya, atau adakah anda akan ingat bahawa para penatua dapat membantu kawan anda untuk memulihkan hubungannya dengan Yehuwa?​—Ibrani 13:17; Yakobus 5:14, 15.

12 Kita juga perlu bersikap jujur terhadap organisasi Yehuwa, seperti semasa mengisi laporan aktiviti penyebaran, borang permohonan perintis, dan sebagainya.​—Baca Amsal 6:16-19.

13. Bagaimanakah kita bersikap jujur semasa berurus niaga dengan saudara saudari?

13 Hal-hal perniagaan tidak patut dicampuradukkan dengan penyembahan. Contohnya, kita tidak akan berbincang tentang urusan perniagaan semasa berada di Dewan Perjumpaan atau semasa menginjil. Kita juga tidak akan mengambil kesempatan atas saudara saudari dalam urusan perniagaan. Jika anda seorang majikan, anda akan membayar gaji pada masa yang ditetapkan dan dalam jumlah yang telah dijanjikan. Anda juga akan menyediakan faedah-faedah yang ditetapkan oleh undang-undang, seperti insurans kesihatan atau cuti bergaji. (1 Timotius 5:18; Yakobus 5:1-4) Jika anda bekerja untuk seorang saudara atau saudari, anda tidak akan mengharapkan layanan istimewa. (Efesus 6:5-8) Anda akan bekerja pada waktu yang telah ditetapkan dan menjalankan tugas yang telah diberikan.​—2 Tesalonika 3:10.

14. Orang Kristian yang ingin menjalankan urus niaga bersama saudara saudari perlu melakukan apa?

14 Bagaimana pula jika kita ingin menjalankan urus niaga bersama saudara atau saudari, yang mungkin melibatkan pinjaman atau pelaburan? Kita patut membuat surat perjanjian. Bible menyatakan bahawa apabila Nabi Yeremia membeli sebidang tanah, dia membuat dua salinan surat pembelian tanah, menyuruh seorang saksi untuk menandatangani salah satu surat itu, dan menyimpan kedua-dua salinan surat itu. (Yeremia 32:9-12; lihat juga Kejadian 23:16-20.) Apabila kita membuat surat perjanjian, hal ini tidak bererti bahawa kita tidak mempercayai saudara saudari kita. Sebenarnya, hal ini dapat mencegah salah faham, kekecewaan, atau pertengkaran. Kita perlu ingat bahawa kedamaian sidang adalah lebih penting daripada urusan perniagaan.​—1 Korintus 6:1-8; lihat Penjelasan 30.

KEJUJURAN DALAM DUNIA INI

15. Apakah perasaan Yehuwa terhadap orang yang tidak jujur dalam perniagaan?

15 Yehuwa ingin kita bersikap jujur dengan setiap orang, termasuk orang yang bukan Saksi. Bible menyatakan, “Yehuwa membenci orang yang menipu dengan timbangan, tetapi Dia berkenan kepada orang yang menggunakan timbangan yang tepat.” (Amsal 11:1; 20:10, 23) Pada zaman Bible, orang menggunakan timbangan semasa berjual beli. Tetapi ada penjual yang menipu pelanggan mereka dengan menggunakan timbangan yang tidak tepat. Dewasa ini pun ada banyak orang yang tidak jujur dalam perniagaan. Yehuwa membenci perbuatan sedemikian.

16, 17. Nyatakan beberapa cara kita dapat menunjukkan kejujuran dalam dunia hari ini.

16 Kita bertekad untuk bersikap jujur, tidak kira semasa menduduki peperiksaan, memohon kerja, mengisi borang rasmi, atau sebagainya. Tetapi banyak orang berasa bahawa tidak salah untuk berbohong atau memberikan maklumat yang kurang tepat. Kita tidak patut berasa hairan dengan sikap mereka kerana Bible menyatakan bahawa pada hari-hari terakhir, orang akan ‘mencintai diri sendiri, mencintai wang, dan tidak mencintai kebaikan.’​—2 Timotius 3:1-5.

17 Kadangkala orang yang tidak jujur nampaknya hidup senang. (Mazmur 73:1-8) Orang Kristian pula mungkin akan hilang kerja, ditipu, atau dilayan dengan buruk, kerana mereka ingin bersikap jujur. Tetapi bersikap jujur memang ada manfaatnya.

KEJUJURAN MEMBAWA BERKAT

18. Mengapakah reputasi yang baik amat bernilai?

18 Reputasi kita, atau nama baik kita, sebagai orang yang jujur dan yang dapat dipercayai sangat bernilai. Setiap orang dapat membina reputasi sebegini. (Mikha 7:2) Barangkali ada orang yang akan mengejek anda kerana anda bersikap jujur. Tetapi ada juga orang yang akan menghargai kejujuran anda dan akan mempercayai anda. Saksi-Saksi Yehuwa di serata dunia terkenal kerana kejujuran mereka. Ramai orang lebih suka mengupah para Saksi kerana kita bersikap jujur. Selain itu, kita tidak dibuang kerja apabila pekerja yang tidak jujur dipecat.

Kita dapat memuliakan Yehuwa dengan bekerja keras

19. Bagaimanakah kejujuran mempengaruhi hubungan kita dengan Yehuwa?

19 Apabila kita melakukan segala sesuatu dengan jujur, kita akan memiliki hati nurani yang murni dan ketenangan jiwa. Kita dapat menjadi seperti Paulus yang berkata, “Kami percaya bahawa hati nurani kami murni.” (Ibrani 13:18) Yang terpenting, Yehuwa menghargai usaha kita untuk melakukan segala sesuatu dengan jujur.​—Baca Mazmur 15:1, 2; Amsal 22:1.