Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 2

Hati Nurani yang Bersih Di Hadapan Tuhan

Hati Nurani yang Bersih Di Hadapan Tuhan

“Hendaklah hati nurani kamu sentiasa bersih.”​—1 PETRUS 3:16.

1, 2. (a) Mengapakah kita memerlukan bimbingan? Berikan contoh. (b) Apakah yang diberikan oleh Yehuwa untuk membimbing kita?

 BAYANGKAN bahawa anda sedang berjalan di sebuah padang gurun. Bagaimanakah anda dapat menentukan arah mana yang harus dituju? Anda boleh meminta bantuan orang yang tahu kawasan itu. Anda juga boleh melihat kedudukan matahari dan bintang, atau menggunakan kompas atau peta. Ya, anda memerlukan bimbingan agar tidak mati.

2 Kadangkala kita juga memerlukan bantuan untuk menangani masalah hidup. Yehuwa telah memberi kita hati nurani untuk membimbing kita. (Yakobus 1:17) Maka marilah kita belajar: (1) Apa itu hati nurani dan bagaimana hati nurani berfungsi, (2) cara untuk melatih hati nurani, (3) mengapa kita perlu mengambil kira hati nurani orang lain, dan (4) apa kebaikannya jika kita memiliki hati nurani yang bersih.

APA ITU HATI NURANI DAN BAGAIMANA HATI NURANI BERFUNGSI

3. Apakah itu hati nurani?

3 Hati nurani ialah hadiah yang bernilai daripada Yehuwa. Hati nurani dapat membimbing kita supaya melakukan apa yang baik dan menjauhi apa yang jahat. Dalam bahasa Yunani, “hati nurani” bererti “pengetahuan tentang diri sendiri.” Apabila hati nurani kita berfungsi dengan baik, kita dapat menilai diri sendiri, dan memeriksa fikiran dan perasaan sendiri dengan jujur. Jika kita membuat pilihan yang baik, hati nurani kita akan berasa tenang. Tetapi jika kita membuat pilihan yang buruk, hati nurani kita akan terganggu.​—Lihat Penjelasan 5.

4, 5. (a) Apakah yang berlaku kepada Adam dan Hawa? (b) Berikan contoh yang menunjukkan bagaimana hati nurani berfungsi.

4 Kita boleh memilih sama ada untuk mengikut bimbingan hati nurani kita atau tidak. Adam dan Hawa berbuat dosa kerana mereka tidak mengikut bimbingan hati nurani mereka yang sempurna. Kemudian mereka berasa bersalah, tetapi sudah terlambat kerana mereka sengaja melanggar hukum Tuhan.​—Kejadian 3:7, 8.

5 Namun banyak manusia yang tidak sempurna telah mengikut bimbingan hati nurani mereka. Contohnya, Ayub telah membuat pilihan yang bijak, maka dia dapat berkata, “Selagi aku hidup, hati nuraniku tidak akan menyalahkan aku.” (Ayub 27:6) Sebaliknya, pada suatu ketika, Daud tidak mengikut bimbingan hati nuraninya dan sengaja melanggar hukum Yehuwa. Akibatnya dia “rasa bersalah.” (1 Samuel 24:5) Tetapi kemudian dia mengikut bimbingan hati nuraninya dan tidak mengulangi kesalahannya lagi.

6. Bagaimanakah kita mengetahui bahawa Tuhan memberikan hati nurani kepada semua orang?

6 Sebenarnya orang yang tidak menyembah Yehuwa pun “mengetahui sama ada perbuatan mereka betul atau salah.” (Roma 2:14, 15) Contohnya, kebanyakan orang tahu bahawa mencuri atau membunuh itu salah kerana mereka sedang mengikut bimbingan hati nurani mereka yang diberikan oleh Yehuwa. Biarpun mereka tidak sedar, mereka sedang mengikut prinsip Tuhan dan membuat keputusan yang bijak.

7. Mengapakah hati nurani kita dapat menyesatkan kita?

7 Tetapi kadangkala hati nurani kita dapat menyesatkan kita. Contohnya, hati nurani kita mungkin dipengaruhi oleh fikiran dan keinginan kita yang tidak sempurna, dan membimbing kita ke haluan yang salah. Kita tidak dilahirkan dengan hati nurani yang sempurna. (Kejadian 39:1, 2, 7-12) Maka hati nurani kita perlu dilatih. Yehuwa membantu kita berbuat demikian menerusi kuasa suci-Nya dan prinsip-prinsip Bible. (Roma 9:1) Marilah kita melihat bagaimana kita dapat melatih hati nurani kita.

CARA MELATIH HATI NURANI

8. (a) Bagaimanakah keinginan hati kita dapat mempengaruhi hati nurani kita? (b) Sebelum membuat keputusan, apakah soalan yang patut kita tanya?

8 Ada orang berfikir bahawa mengikut bimbingan hati nurani bererti mengikut gerak hati. Mereka berfikir bahawa mereka boleh bertindak sesuka hati asalkan hati nurani mereka tidak terganggu. Tetapi kita tidak sempurna, maka kadangkala kita akan mempunyai keinginan yang salah. Keinginan itu boleh menjadi begitu kuat sehingga dapat mempengaruhi hati nurani kita. Bible menyatakan, “Hati manusia nekad dan lebih licik daripada segala-galanya.” (Yeremia 17:9) Jadi kita mungkin berfikir bahawa sesuatu yang salah adalah betul. Misalnya, sebelum Paulus menjadi orang Kristian, dia menganiaya umat Tuhan dan yakin bahawa dia sedang melakukan apa yang benar. Pada masa itu, hati nuraninya tidak terganggu. Tetapi pada kemudian hari dia berkata, “Yehuwalah yang akan menghakimi aku.” (1 Korintus 4:4; Kisah 23:1; 2 Timotius 1:3) Apabila Paulus sedar bahawa apa yang dilakukannya itu salah di mata Yehuwa, dia bertaubat. Maka sebelum kita membuat keputusan, kita perlu menanya diri, “Tuhan mahu saya melakukan apa?”

9. Apakah maksudnya takut kepada Tuhan?

9 Apabila kita mengasihi seseorang, kita tidak ingin membuatnya sedih. Begitu juga, kita mengasihi Yehuwa dan tidak mahu menyakiti hati-Nya. Sebagai contoh, Nehemia tidak menggunakan kedudukannya sebagai gabenor untuk menjadi kaya kerana dia “takut kepada Tuhan.” (Nehemia 5:15) Ya, dia takut bahawa perbuatannya akan menyakiti hati Yehuwa. Seperti Nehemia, kita juga takut kepada Tuhan dan tidak mahu melakukan hal yang salah. Kita dapat mengetahui apa yang menyenangkan hati Yehuwa dengan membaca Bible.​—Lihat Penjelasan 6.

10, 11. Apakah prinsip-prinsip Bible berkenaan pengambilan minuman beralkohol?

10 Misalnya, seorang Kristian mungkin perlu memutuskan sama ada dia akan meminum minuman keras atau tidak. Apakah prinsip-prinsip yang dapat membantunya membuat keputusan yang betul? Bible tidak mengharamkan minuman keras. Sebenarnya, Bible menyatakan bahawa wain ialah pemberian Tuhan. (Mazmur 104:14, 15) Namun Yesus memberitahu kita bahawa kita tidak patut “minum berlebihan.” (Lukas 21:34) Paulus juga berkata, “Janganlah berpesta liar dan minum sehingga mabuk.” (Roma 13:13) Dia berkata bahawa orang yang mabuk “tidak akan mewarisi Kerajaan Tuhan.”​—1 Korintus 6:9, 10.

11 Maka tanyalah diri, “Adakah saya bergantung pada alkohol untuk menghilangkan stres atau untuk berasa lebih berani? Dapatkah saya mengawal diri dan tidak minum secara berlebihan? * Dapatkah saya berseronok bersama kawan-kawan meskipun saya tidak minum?” Kita patut meminta bantuan Yehuwa agar dapat membuat keputusan yang bijak. (Baca Mazmur 139:23, 24.) Dengan demikian, kita sedang melatih hati nurani kita agar berfungsi selaras dengan prinsip Bible. Tetapi kita perlu mempertimbangkan satu lagi faktor.

MENGAPA KITA PERLU MENGAMBIL KIRA HATI NURANI ORANG LAIN

12, 13. Mengapakah hati nurani setiap orang berbeza-beza? Apakah sepatutnya reaksi kita terhadap hal ini?

12 Hati nurani anda mungkin membenarkan anda melakukan sesuatu, tetapi hati nurani orang lain tidak membenarkan mereka berbuat demikian. Contohnya, anda mungkin memilih untuk minum alkohol, tetapi orang lain pula memilih untuk tidak minum alkohol. Mengapakah terdapat perbezaan sedemikian?

Hati nurani yang terlatih dapat membantu anda membuat keputusan yang bijak

13 Hal ini demikian kerana setiap orang dipengaruhi oleh latar belakangnya, pengalaman hidupnya, cara dia dibesarkan, dan sebagainya. Barangkali seseorang pernah mempunyai masalah ketagihan alkohol, maka dia memilih untuk tidak minum sama sekali. (1 Raja-Raja 8:38, 39) Jika orang itu datang ke rumah anda dan tidak mahu meminum alkohol, apakah reaksi anda? Adakah anda akan tersinggung? Adakah anda akan terus memaksanya? Adakah anda akan mendesaknya untuk menjelaskan sebabnya dia menolak? Tidak, kerana anda menghormati keputusannya.

14, 15. Apakah yang berlaku pada zaman Paulus? Apakah nasihat Paulus?

14 Orang Kristian pada zaman Paulus juga mempunyai hati nurani yang berbeza-beza. Pada waktu itu, sesetengah daging yang dijual di pasar sudah dipersembahkan kepada patung berhala. (1 Korintus 10:25) Paulus berpendapat bahawa tidak salah untuk membeli dan memakan daging itu, kerana baginya, semua makanan datang daripada Yehuwa. Tetapi amalan itu mengganggu hati nurani sesetengah orang Kristian yang dahulunya menyembah berhala. Mereka berasa bahawa mereka tidak patut memakan daging itu. Adakah Paulus berfikir, “Hati nurani saya tidak terganggu, jadi saya boleh makan apa sahaja yang saya suka”?

15 Tidak. Paulus mementingkan pandangan rakan seimannya dan sanggup mengetepikan haknya. Dia berkata bahawa kita tidak patut “menyenangkan diri sendiri.” Dia juga berkata, “Kristus pun tidak menyenangkan dirinya sendiri.” (Roma 15:1 ,3) Seperti Yesus, Paulus mengutamakan kepentingan orang lain.—Baca 1 Korintus 8:13; 10:23, 24, 31-33.

16. Mengapakah kita tidak patut menghakimi orang lain?

16 Tetapi bagaimana pula jika hati nurani orang lain membenarkannya melakukan sesuatu yang salah di mata kita? Kita tidak patut menghakimi orang itu, atau berkeras bahawa kita betul dan dia salah. (Baca Roma 14:10.) Yehuwa memberi kita hati nurani untuk menghakimi tindakan kita sendiri, bukannya tindakan orang lain. (Matius 7:1) Kita tidak ingin menyebabkan perpecahan dalam sidang. Sebaliknya kita harus berusaha memupuk kasih dan perpaduan.​—Roma 14:19.

HATI NURANI YANG BERSIH MEMBAWA FAEDAH

17. Apakah yang telah berlaku kepada hati nurani sesetengah orang?

17 Petrus menulis, “Hendaklah hati nurani kamu sentiasa bersih.” (1 Petrus 3:16) Malangnya sesetengah orang tidak mempedulikan prinsip-prinsip Yehuwa, dan akhirnya hati nurani mereka tidak berfungsi lagi. Paulus berkata bahawa hati nurani mereka menjadi “tidak peka.” (1 Timotius 4:2) Pernahkah kulit anda terbakar dengan teruk? Jika hal itu berlaku, parut yang tebal akan terbentuk sehingga anda tidak dapat merasai apa-apa di situ. Jika seseorang selalu berbuat jahat, hati nuraninya akan menjadi tidak peka dan akhirnya tidak berfungsi lagi.

Hati nurani yang bersih dapat membimbing kita dan memberi kita sukacita dan ketenangan hati

18, 19. (a) Bagaimanakah perasaan malu atau bersalah membantu kita? (b) Apakah yang dapat kita lakukan jika kita terus berasa bersalah?

18 Apabila kita berasa bersalah, hati nurani kita mungkin sedang memberitahu kita bahawa kita telah berbuat dosa. Perasaan ini dapat membantu kita mengenal pasti kesalahan kita dan berhenti melakukannya. Kita harus belajar daripada kesilapan kita dan tidak mengulanginya lagi. Contohnya, meskipun Daud berdosa, hati nuraninya menggerakkannya untuk bertaubat. Dia membenci perbuatannya yang salah dan berazam untuk terus mematuhi Yehuwa. Maka dia dapat merasakan bahawa Yehuwa “baik dan suka mengampuni.”​—Mazmur 51:1-19; 86:5; lihat Penjelasan 7.

19 Kadangkala anda mungkin masih berasa bersalah meskipun anda telah bertaubat. Perasaan bersalah ini mungkin menyeksa anda dan membuat anda berasa tidak berguna. Tetapi ingatlah, anda tidak dapat mengubah apa yang telah berlaku. Tidak kira anda sedar bahawa apa yang anda lakukan pada masa itu betul atau salah, Yehuwa telah mengampuni anda, dan dosa anda telah dipadamkan. Anda mungkin masih berasa bersalah, tetapi Bible menyatakan, “Tuhan lebih besar daripada hati kita.” (Baca 1 Yohanes 3:19, 20.) Hal ini bererti bahawa kasih Tuhan lebih berkuasa daripada perasaan bersalah atau perasaan malu kita. Dia sudi mengampuni kita, dan jika kita menerima pengampunan-Nya, kita akan mendapat ketenangan hati dan menyembah-Nya dengan gembira.​—1 Korintus 6:11; Ibrani 10:22.

20, 21. (a) Bagaimanakah buku ini dapat membantu kita? (b) Apakah kebebasan yang kita miliki? Bagaimanakah kita harus menggunakannya?

20 Buku ini membantu kita melatih hati nurani agar kita dilindungi pada hari-hari terakhir ini. Buku ini juga membantu kita menerapkan prinsip-prinsip Bible dalam pelbagai situasi. Tetapi buku ini tidak menyatakan apa yang perlu kita lakukan dalam setiap situasi. Kita hidup menurut “hukum Kristus,” yang didasarkan pada prinsip Tuhan. (Galatia 6:2) Biarpun kita tidak diberi hukum yang spesifik, hal ini tidak bererti bahawa kita boleh bertindak sesuka hati. (2 Korintus 4:1, 2; Ibrani 4:13; 1 Petrus 2:16) Sebaliknya, kita mahu menggunakan kebebasan kita untuk menunjukkan kasih kita kepada Yehuwa.

21 Apabila kita merenungkan prinsip Bible dan menerapkannya, kita belajar untuk menggunakan “daya penilaian” dan meniru cara pemikiran Yehuwa. (Ibrani 5:14) Hasilnya, hati nurani kita yang terlatih akan membimbing kita untuk membuat keputusan yang bijak dan terus berada di bawah naungan kasih Tuhan.

^ Menurut banyak doktor, orang yang ketagihan alkohol tidak dapat mengawal diri dan akan minum secara berlebihan. Maka mereka digalakkan agar tidak minum alkohol sama sekali.