Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 9

‘Jauhilah Perbuatan Seks yang Tidak Bermoral!’

‘Jauhilah Perbuatan Seks yang Tidak Bermoral!’

‘Matikanlah keinginan dalam anggota tubuh kamu sehubungan dengan perbuatan seks yang tidak bermoral, kenajisan, hawa nafsu yang tidak terkawal, dan keinginan yang jahat.’​—KOLOSE 3:5.

1, 2. Apakah yang dilakukan oleh Bileam kepada umat Yehuwa?

 SEORANG pemancing memilih umpan yang sesuai lalu menunggu dengan sabar. Apabila ikan menggigit umpan itu, dia segera menarik tali pancingnya.

2 Seperti ikan itu, manusia juga boleh “diumpan.” Misalnya, Bileam telah diupah untuk mengumpan orang Israel apabila mereka hampir memasuki Tanah yang Dijanjikan. Dia menyuruh wanita-wanita Moab untuk menggoda lelaki Israel.​—Bilangan 22:1-7; 31:15, 16; Wahyu 2:14.

3. Adakah Bileam berjaya? Jelaskan.

3 Umpan Bileam amat berkesan. Ribuan lelaki Israel ‘melakukan hubungan seks dengan perempuan Moab’ dan mula menyembah tuhan-tuhan palsu, seperti Dewa Baal di Peor. Akibatnya 24,000 orang Israel mati di sempadan Tanah yang Dijanjikan.​—Bilangan 25:1-9.

4. Mengapakah ribuan orang Israel melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral?

4 Mengapakah mereka tertipu dengan muslihat Bileam? Mereka hanya memikirkan keinginan hati mereka dan melupakan Yehuwa. Mereka sepatutnya setia kepada-Nya kerana Dia telah membebaskan mereka dari Mesir, memberi mereka makanan semasa di padang belantara, dan melindungi mereka sepanjang perjalanan ke Tanah yang Dijanjikan. (Ibrani 3:12) Biarpun begitu, mereka masih tergoda dengan perbuatan seks yang tidak bermoral dan akhirnya mati. Maka Paulus menulis, ‘Janganlah kita mengamalkan perbuatan seks yang tidak bermoral seperti yang dilakukan oleh mereka.’​—1 Korintus 10:8.

5, 6. Apakah yang dapat kita pelajari daripada peristiwa yang berlaku di Dataran Moab?

5 Seperti orang Israel yang bakal memasuki Tanah yang Dijanjikan, kita juga bakal memasuki dunia baharu. (1 Korintus 10:11) Tetapi dunia sekarang lebih menggilakan seks berbanding orang Moab pada zaman dahulu. Maka kita perlu berhati-hati kerana perbuatan seks yang tidak bermoral ialah umpan Syaitan yang paling berkesan.​—Bilangan 25:6, 14; 2 Korintus 2:11; Yudas 4.

6 Tanyalah diri, “Adakah saya akan memilih untuk menikmati keseronokan di dunia Syaitan yang bersifat sementara? Atau, adakah saya akan memilih untuk menikmati kehidupan kekal di dunia baharu?” Jika anda membuat pilihan yang kedua, anda harus berusaha mematuhi perintah Yehuwa untuk ‘menjauhkan diri daripada perbuatan seks yang tidak bermoral.’​—1 Korintus 6:18.

APA ITU PERBUATAN SEKS YANG TIDAK BERMORAL

7, 8. Apakah itu perbuatan seks yang tidak bermoral? Mengapakah kita harus menjauhinya?

7 Dewasa ini, banyak orang melanggar hukum Tuhan tentang seks secara terang-terangan tanpa rasa malu. Dalam Bible, perbuatan seks yang tidak bermoral ialah hubungan seks antara orang yang tidak berkahwin secara sah. Perbuatan ini merangkumi hubungan seks antara orang yang sama jantina, hubungan seks antara manusia dengan binatang, seks oral, seks dubur, atau perbuatan merangsang alat kelamin orang lain.​—Lihat Penjelasan 23.

8 Orang yang terus melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral akan disingkirkan dari sidang. (1 Korintus 6:9; Wahyu 22:15) Selain itu, dia akan kehilangan harga diri dan kepercayaan orang lain. Dia juga mungkin mengalami masalah perkahwinan, kehamilan yang tidak diingini, dibebani rasa bersalah, menghidap penyakit, dan bahkan mati. (Baca Galatia 6:7, 8.) Malangnya, apabila orang mengambil langkah pertama ke arah perbuatan seks yang tidak bermoral, mereka hanya memikirkan nafsu mereka dan tidak memikirkan akibat buruk perbuatan mereka. Sekarang mari kita membincangkan langkah pertama yang membawa kepada perbuatan seks yang tidak bermoral.

LANGKAH PERTAMA​—PORNOGRAFI

9. Mengapakah pornografi amat berbahaya?

9 Pornografi, atau bahan lucah, bertujuan untuk membangkitkan nafsu seks. Dewasa ini, pornografi boleh didapati dalam majalah, buku, muzik, rancangan TV, Internet, dan sebagainya. Ramai orang berasa bahawa pornografi tidak berbahaya, tetapi hal ini tidak benar. Pornografi mungkin menyebabkan orang ketagihan seks, memupuk tabiat melancap, dan mempunyai keinginan yang salah. Pornografi juga menyebabkan masalah perkahwinan, dan bahkan perceraian.​—Roma 1:24-27; Efesus 4:19; lihat Penjelasan 24.

Berhati-hatilah semasa melayari Internet

10. Bagaimanakah prinsip di Yakobus 1:14, 15 membantu kita menjauhi perbuatan yang tidak bermoral?

10 Apakah yang membuat seseorang tergoda untuk melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral? Yakobus 1:14, 15 menyatakan, “Setiap orang dicubai semasa dia digoda dan diumpan oleh keinginannya sendiri. Apabila keinginan itu menjadi subur, maka lahirlah dosa, dan perbuatan dosa akhirnya akan menyebabkan kematian.” Jadi, jika fikiran yang buruk muncul dalam minda anda, singkirkanlah fikiran itu dengan serta-merta. Jika anda nampak gambar lucah dengan tidak sengaja, alihkan pandangan anda dengan segera, tutup komputer, atau tukar saluran TV. Jangan biarkan keinginan yang tidak bermoral muncul dalam minda anda, kerana keinginan sedemikian amat berkuasa dan susah dikawal.​—Baca Matius 5:29, 30.

11. Bagaimanakah Yehuwa dapat membantu kita menyingkirkan fikiran yang tidak bermoral?

11 Yehuwa tahu bahawa meskipun kita tidak sempurna, kita dapat mengatasi keinginan yang salah. Dia berfirman, ‘Matikanlah keinginan dalam anggota tubuh kamu sehubungan dengan perbuatan seks yang tidak bermoral, kenajisan, hawa nafsu yang tidak terkawal, dan keinginan yang jahat.’ (Kolose 3:5) Biarpun susah untuk berbuat demikian, Yehuwa akan membantu kita dengan sabar. (Mazmur 68:19) Seorang saudara muda yang mempunyai tabiat melihat pornografi dan melancap berkata bahawa kawan-kawannya di sekolah menganggap tabiat ini tidak salah. Tetapi dia berkata, “Hati nurani saya terganggu, dan saya melakukan perbuatan yang tidak bermoral.” Dia sedar bahawa dia perlu mengawal keinginannya yang buruk itu, dan dengan bantuan Yehuwa, dia telah berjaya. Jika anda mempunyai fikiran yang tidak bermoral, mintalah “kuasa luar biasa” daripada Yehuwa untuk membantu anda menyingkirkannya.​—2 Korintus 4:7; 1 Korintus 9:27.

12. Mengapakah kita perlu menjaga hati kita?

12 Salomo menulis, “Lebih daripada segala-galanya, jagalah hatimu, kerana hatimu menentukan hidup matimu.” (Amsal 4:23) “Hati” kita ialah diri kita yang sebenar yang dilihat oleh Yehuwa. Kita akan dipengaruhi oleh apa yang kita lihat. Maka kita perlu mengawal apa yang kita lihat dan fikir dengan meniru Ayub yang berkata, “Aku sudah membuat perjanjian dengan mataku. Maka bagaimana mungkin aku memandang gadis muda dengan berahi?” (Ayub 31:1) Kita juga perlu meniru contoh pemazmur yang berkata, “Palingkanlah pandanganku daripada perkara yang sia-sia.”​—Mazmur 119:37.

PILIHAN DINA YANG TIDAK BIJAK

13. Siapakah kawan-kawan yang dipilih oleh Dina?

13 Sahabat kita mempunyai pengaruh yang besar terhadap kita. (Amsal 13:20; baca 1 Korintus 15:33.) Perhatikan apa yang berlaku kepada Dina. Dina ialah anak Yakub, maka dia dibesarkan dalam keluarga yang menyembah Yehuwa. Dina bukanlah orang yang tidak bermoral, tetapi dia berkawan rapat dengan gadis-gadis Kanaan yang tidak menyembah Yehuwa. Orang Kanaan sangat terkenal dengan perbuatan yang tidak bermoral, dan pandangan mereka terhadap seks amat berbeza daripada pandangan umat Tuhan. (Imamat 18:6-25) Semasa Dina bersama kawan-kawannya, dia berjumpa dengan Sikhem, dan Sikhem menyukai Dina. Sikhem ialah pemuda yang “paling dihormati” dalam keluarganya, tetapi dia tidak menyembah Yehuwa.​—Kejadian 34:18, 19.

14. Apakah yang berlaku kepada Dina?

14 Sikhem melakukan apa yang dianggap biasa oleh kebanyakan orang Kanaan. Oleh sebab dia menyukai Dina, dia “membawanya pergi dan merogolnya.” (Baca Kejadian 34:1-4.) Tindakan Sikhem menyebabkan Dina dan keluarganya ditimpa banyak masalah.​—Kejadian 34:7, 25-31; Galatia 6:7, 8.

15, 16. Bagaimanakah kita dapat menjadi bijak?

15 Kita tidak perlu melakukan kesilapan yang sama seperti Dina untuk sedar bahawa prinsip moral Yehuwa bermanfaat bagi kita. Ingatlah bahawa “orang yang bergaul dengan orang bijak akan menjadi bijak, tetapi orang yang bersahabat dengan orang bodoh akan celaka.” (Amsal 13:20) Jika anda berusaha untuk “memahami apa yang benar,” anda dapat mengelakkan banyak masalah.​—Amsal 2:6-9; Mazmur 1:1-3.

16 Kita dapat menjadi bijak dengan mempelajari Bible, berdoa sebelum membuat keputusan, dan mengikut nasihat yang diberikan oleh hamba yang setia dan bijaksana. (Matius 24:45; Yakobus 1:5) Kita juga perlu ingat bahawa kita lemah dan tidak sempurna. (Yeremia 17:9) Jadi apabila orang lain menasihati kita kerana mereka melihat bahawa kita sedang melangkah ke haluan yang salah, kita patut menerima nasihatnya dengan rendah hati, dan bukannya berasa tersinggung.​—2 Raja-Raja 22:18, 19.

17. Bagaimanakah nasihat daripada rakan seiman dapat membantu kita? Berikan contoh.

17 Bayangkan situasi ini: Seorang saudari diajak oleh seorang lelaki di tempat kerjanya untuk keluar makan. Lelaki itu tidak menyembah Yehuwa, tetapi dia sangat baik hati dan menyukai saudari kita. Seorang lagi saudari nampak mereka bersama dan mencuba menasihati saudari kita. Adakah saudari kita akan mencari alasan dan membela diri? Atau, adakah dia akan menerima nasihat itu? Saudari kita mengasihi Yehuwa dan ingin melakukan apa yang betul. Tetapi jika dia enggan menerima nasihat itu, adakah dia ‘menjauhkan diri daripada perbuatan seks yang tidak bermoral’? Atau, adakah dia “percaya kepada hatinya sendiri”?​—Amsal 22:3; 28:26; Matius 6:13; 26:41.

BELAJAR DARIPADA CONTOH YUSUF

18, 19. Apakah yang membantu Yusuf untuk menolak perbuatan seks yang tidak bermoral?

18 Yusuf telah dijual ke Mesir sebagai hamba. Di situ, isteri tuannya menggodanya setiap hari, tetapi Yusuf mengasihi Yehuwa dan ingin melakukan apa yang betul. Jadi setiap kali wanita itu menggoda Yusuf untuk melakukan hubungan seks, Yusuf menolak. Tetapi sebagai seorang hamba, dia tidak boleh meninggalkan rumah tuannya. Pada suatu hari, apabila wanita itu memaksa Yusuf untuk menidurinya, Yusuf melarikan diri ke luar rumah.​—Baca Kejadian 39:7-12.

19 Jika Yusuf asyik berfikir tentang seks atau wanita itu, dapatkah dia menolak godaan itu? Tentu tidak. Tetapi oleh sebab Yusuf menghargai hubungannya dengan Yehuwa, dia memberitahu wanita itu, ‘Tuan memberi aku kuasa atas segala-galanya kecuali puan, kerana puan isterinya. Jadi bagaimana mungkin aku melakukan perbuatan sejahat ini dan berdosa terhadap Tuhan?’​—Kejadian 39:8, 9.

20. Bagaimanakah kita tahu bahawa Yehuwa senang hati dengan Yusuf?

20 Meskipun Yusuf jauh daripada keluarganya, dia tetap setia kepada Yehuwa, dan Yehuwa memberkatinya. (Kejadian 41:39-49; Amsal 27:11) Memang tidak mudah untuk menolak perbuatan yang tidak bermoral, tetapi ingatlah akan kata-kata ini: “Wahai orang yang mengasihi Yehuwa, bencilah apa yang jahat. Dia melindungi nyawa orang yang setia kepada-Nya. Dia menyelamatkan mereka daripada cengkaman orang yang jahat.”​—Mazmur 97:10.

21. Bagaimanakah seorang saudara yang muda meniru contoh Yusuf?

21 Setiap hari, umat Yehuwa menunjukkan bahawa mereka ‘membenci apa yang jahat’ dan ‘mencintai apa yang baik.’ (Amos 5:15) Tidak kira tua atau muda, anda dapat tetap setia kepada Yehuwa. Seorang saudara muda mengatakan bahawa seorang gadis di sekolahnya menawarkan seks sebagai balasan jika dia menolongnya dalam ujian matematik. Saudara itu meniru contoh Yusuf. Dia berkata, “Saya segera menolak tawarannya. Dengan mengekalkan kesetiaan kepada Yehuwa, saya menjaga harga diri.” Semua “kesenangan hidup berdosa yang bersifat sementara,” seperti perbuatan tidak bermoral, hanya membawa akibat buruk. (Ibrani 11:25) Tetapi orang yang patuh kepada Yehuwa akan sentiasa bahagia.​—Amsal 10:22.

TERIMALAH BANTUAN YEHUWA

22, 23. Bagaimanakah Yehuwa dapat membantu kita jika kita melakukan dosa yang serius?

22 Syaitan suka menggunakan perbuatan seks yang tidak bermoral untuk menjerat kita, dan kita juga tidak sempurna. Maka kadangkala fikiran yang tidak bermoral mungkin timbul dalam minda kita. (Roma 7:21-25) Yehuwa sedar akan hal ini dan Dia ingat bahawa “kita ini debu.” (Mazmur 103:14) Jadi jika seorang Kristian melakukan perbuatan yang tidak bermoral, adakah Tuhan akan mengampuninya? Ya. Jika dia benar-benar bertaubat, Yehuwa pasti akan mengampuninya dan membantunya.​—Mazmur 86:5; Yakobus 5:16; baca Amsal 28:13.

23 Yehuwa juga memberi kita “kurnia berupa manusia,” iaitu para penatua yang pengasih. (Efesus 4:8, 12; Yakobus 5:14, 15) Para penatua akan membantu kita memulihkan hubungan kita dengan Tuhan.​—Amsal 15:32.

GUNAKAN “DAYA PERTIMBANGAN”

24, 25. Bagaimanakah daya pertimbangan yang baik membantu kita menjauhi perbuatan yang tidak bermoral?

24 Untuk membuat keputusan yang baik, kita perlu sedar bahawa hukum Yehuwa bermanfaat bagi kita. Kita tidak ingin menjadi seperti pemuda yang bodoh yang digambarkan di Amsal 7:6-23. Dia tidak menggunakan daya pertimbangan, maka dia senang tergoda untuk melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral. Orang yang mempunyai daya pertimbangan yang baik memahami fikiran Tuhan dan hidup selaras dengannya. Ingatlah akan kata-kata ini: “Sesiapa yang berusaha memperoleh daya pertimbangan, mengasihi dirinya. Sesiapa yang menghargai pengertian akan mencapai kejayaan.”​—Amsal 19:8.

25 Adakah anda yakin bahawa hukum Tuhan selalu benar dan dapat membantu anda untuk hidup bahagia? (Mazmur 19:7-10; Yesaya 48:17, 18) Jika anda tidak pasti, ingatlah akan hal-hal baik yang dilakukan oleh Yehuwa untuk anda. “Rasakanlah sendiri betapa baiknya Yehuwa!” (Mazmur 34:8) Jika anda berusaha mematuhi hukum Tuhan, kasih anda terhadap-Nya akan bertambah. Cintailah apa yang dicintai-Nya, dan bencilah apa yang dibenci-Nya. Isilah minda anda dengan hal-hal yang benar, yang murni, yang patut dikasihi, yang baik, dan yang disenangi Tuhan. (Filipi 4:8, 9) Contohilah teladan Yusuf, yang mendapat manfaat daripada hukum Yehuwa.​—Yesaya 64:8.

26. Apakah yang akan dibincangkan dalam bab-bab yang seterusnya?

26 Tidak kira anda bujang atau sudah berkahwin, Yehuwa ingin anda hidup bahagia. Dua bab yang seterusnya akan membincangkan cara untuk membina perkahwinan yang bahagia.