Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 16

Lawanlah Iblis

Lawanlah Iblis

“Lawanlah Iblis, maka Iblis akan lari daripada kamu.”​—YAKOBUS 4:7.

1, 2. Apakah yang akan kita pelajari tentang Syaitan dan roh-roh jahat?

 KITA menanti-nantikan kehidupan di dunia baharu. Tetapi buat masa ini, kita masih hidup di dunia yang dikuasai Syaitan dan roh-roh jahat. (2 Korintus 4:4) Biarpun kita tidak dapat melihat mereka, mereka memang wujud dan mereka juga amat berkuasa.

2 Dalam bab ini, kita akan membincangkan bagaimana kita dapat berpaut pada Yehuwa dan melindungi diri daripada Syaitan. Yehuwa berjanji bahawa Dia akan membantu kita, tetapi kita perlu memahami bagaimana Syaitan dan roh-roh jahat menipu dan menyerang kita.

“SEPERTI SEEKOR SINGA YANG MENGAUM”

3. Apakah yang ingin dilakukan oleh Syaitan?

3 Syaitan mendakwa bahawa kita tidak menyembah Yehuwa dengan ikhlas, dan bahawa kita akan meninggalkan-Nya semasa ditimpa kesusahan. (Baca Ayub 2:4, 5.) Syaitan dan roh-roh jahat marah apabila orang belajar tentang Yehuwa. Mereka mencuba menghalang orang yang ingin membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis. Bible menyatakan bahawa Si Iblis “seperti seekor singa yang mengaum sambil mencari mangsa untuk dibaham.” (1 Petrus 5:8) Ya, Syaitan ingin kita meninggalkan Yehuwa.​—Mazmur 7:1, 2; 2 Timotius 3:12.

Syaitan marah apabila kita membaktikan diri kepada Yehuwa

4, 5. (a) Syaitan tidak dapat melakukan apa? (b) Apakah maksudnya melawan Iblis?

4 Tetapi kita tidak perlu takut akan Syaitan dan roh-roh jahat kerana Yehuwa berjanji untuk melindungi kita. Dia berfirman bahawa “kumpulan besar manusia” yang terdiri daripada orang Kristian sejati akan berjaya “mengharungi kesengsaraan besar.” (Wahyu 7:9, 14) Syaitan tidak dapat menghalang hal ini daripada terjadi kerana Yehuwa sedang melindungi umat-Nya.

5 Jika kita berpaut pada Yehuwa, Syaitan tidak dapat memutuskan hubungan kita dengan-Nya. Bible memberitahu kita, “Yehuwa akan menyertaimu selagi kamu tidak meninggalkan-Nya.” (2 Tawarikh 15:2; baca 1 Korintus 10:13.) Banyak orang yang beriman, seperti Habel, Henokh, Nuh, Sara, dan Musa, menentang Syaitan dengan berpaut pada Yehuwa. (Ibrani 11:4-40) Kita juga dapat berbuat demikian. Bible menyatakan, “Lawanlah Iblis, maka Iblis akan lari daripada kamu.”​—Yakobus 4:7.

‘KITA BERGELUT MELAWAN ROH-ROH JAHAT’

6. Bagaimanakah Syaitan menyerang kita?

6 Walaupun Syaitan tahu bahawa Yehuwa akan melindungi kita, dia masih berusaha untuk merosakkan hubungan kita dengan Yehuwa. Dia menggunakan pelbagai cara untuk menyerang kita. Marilah kita melihat beberapa cara itu.

7. Mengapakah Syaitan menyerang umat Yehuwa?

7 Yohanes menulis, “Seluruh dunia berada di bawah kuasa Si Jahat.” (1 Yohanes 5:19) Syaitan sedang memerintah dunia ini dan dia juga ingin mengawal umat Yehuwa. (Mikha 4:1; Yohanes 15:19; Wahyu 12:12, 17) Dia tahu bahawa masanya tinggal sedikit, jadi dia menggandakan usahanya untuk menyerang kita. Dia menyerang kita secara langsung dan secara tidak langsung.

8. Setiap orang Kristian perlu sedar tentang apa?

8 Efesus 6:12 menyatakan, ‘Kita bergelut melawan roh-roh jahat di syurga.’ Setiap orang Kristian perlu sedar bahawa selepas mereka membaktikan diri kepada Yehuwa, mereka perlu terus melawan Syaitan dan roh-roh jahat. Itulah sebabnya Paulus menegaskan bahawa orang Kristian harus “berdiri teguh.”​—Efesus 6:11, 13, 14.

9. Apakah yang dilakukan oleh Syaitan dan roh-roh jahat?

9 Syaitan dan roh-roh jahat menggunakan pelbagai cara untuk menipu kita. Biarpun kita berjaya mengatasi satu jerat yang digunakan olehnya, dia akan menggunakan jerat yang lain untuk memerangkap kita. Itulah sebabnya dia sentiasa berusaha untuk mencari kelemahan kita. Tetapi kita dapat mengelakkan jeratnya kerana Bible mengajar kita tentang tipu helahnya. (2 Korintus 2:11; lihat Penjelasan 31.) Salah satu tipu helahnya ialah spiritisme.

JAUHI ROH-ROH JAHAT

10. (a) Apakah itu spiritisme? (b) Apakah pandangan Yehuwa tentang spiritisme?

10 Spiritisme bererti berhubung dengan roh-roh jahat. Hal ini merangkumi ilmu ramal, ilmu sihir, jampi, dan perbuatan bercakap dengan orang mati. Bible menyatakan bahawa Yehuwa “sangat membenci” amalan spiritisme. Maka jika kita mahu menyembah Yehuwa, kita tidak boleh ada apa-apa kaitan dengan spiritisme. (Ulangan 18:10-12; Wahyu 21:8) Ya, orang Kristian perlu menjauhi semua bentuk spiritisme.​—Roma 12:9.

11. Mengapakah kita tidak mahu tertarik dengan hal-hal yang ajaib dan luar biasa?

11 Syaitan tahu bahawa spiritisme akan merosakkan hubungan kita dengan Yehuwa. Maka dia mahu kita tertarik dengan hal-hal yang ajaib dan luar biasa agar lebih mudah baginya untuk menjerat kita.

SYAITAN MENCUBA UNTUK MENIPU KITA

12. Bagaimanakah Syaitan mencuba untuk mempengaruhi fikiran kita?

12 Syaitan mahu membuat orang keliru. Dia membuat orang ragu-ragu sehingga mereka berfikir bahawa “yang baik itu jahat dan yang jahat itu baik.” (Yesaya 5:20) Syaitan mahu orang percaya bahawa prinsip Bible tidak berguna, dan bahawa kita dapat hidup dengan lebih bahagia tanpa bimbingan Tuhan.

13. Bagaimanakah Syaitan mencuba untuk membuat orang ragu-ragu?

13 Sejak dahulu lagi, Syaitan suka membuat orang ragu-ragu. Semasa di Taman Eden, dia menanya Hawa, “Benarkah Tuhan melarang kamu makan buah daripada semua pokok di taman ini?” (Kejadian 3:1) Kemudian pada zaman Ayub, dia menanya Yehuwa di hadapan para malaikat, “Adakah Ayub akan menyembah Engkau jika dia tidak mendapat sesuatu daripada-Mu?” (Ayub 1:9) Selepas Yesus dibaptis, Syaitan mencabar Yesus dengan berkata, “Jika kamu anak Tuhan, suruhlah batu-batu ini menjadi roti.”​—Matius 4:3.

14. Bagaimanakah Syaitan membuat orang tertanya-tanya sama ada spiritisme betul-betul berbahaya atau tidak?

14 Dewasa ini, Syaitan sangat suka membuat orang tertanya-tanya sama ada spiritisme betul-betul berbahaya atau tidak. Dia membuat spiritisme kelihatan baik dan tidak salah sehingga bahkan sesetengah orang Kristian tertipu. (2 Korintus 11:3) Jadi bagaimanakah kita dapat melindungi diri? Bagaimanakah kita dapat memastikan bahawa kita tidak terpengaruh dengan tipu helah Syaitan? Marilah kita melihat dua aspek, iaitu hiburan dan rawatan kesihatan.

SYAITAN MENGAMBIL KESEMPATAN ATAS KEINGINAN KITA

15. Bagaimanakah kita boleh terlibat dengan spiritisme menerusi hiburan?

15 Dewasa ini, orang menikmati hiburan yang mengandungi unsur spiritisme. Ada pula yang menilik nasib, membaca horoskop, dan menggunakan daun terup atau bola kristal. Syaitan membuat semua ini kelihatan menarik, seronok, dan tidak berbahaya, sehingga mereka tidak sedar bahawa mereka sebenarnya sedang mengamalkan spiritisme. Ada yang bahkan berfikir bahawa tidak salah untuk menonton sesuatu yang berkaitan dengan spiritisme asalkan mereka tidak mengamalkannya. Tetapi fikiran sedemikian amat berbahaya. Mengapa?​—1 Korintus 10:12.

16. Mengapakah kita patut menolak hiburan yang berkaitan dengan spiritisme?

16 Syaitan dan roh-roh jahat tidak dapat membaca fikiran kita. Tetapi mereka dapat mengetahui fikiran dan keinginan kita dengan memerhatikan apa yang kita lakukan. Jika kita memilih filem, muzik, atau buku, yang berkaitan dengan bomoh, ilmu ghaib, hantu, ahli sihir, puntianak, dan sebagainya, mereka akan tahu bahawa kita berminat tentang mereka. Jadi mereka tentu akan mengambil kesempatan untuk menjerat kita supaya kita terlibat dalam amalan spiritisme.​—Baca Galatia 6:7.

17. Bagaimanakah Syaitan menjerat kita semasa kita menghadapi masalah kesihatan?

17 Syaitan juga mengambil kesempatan untuk menjerat kita semasa kita menghadapi masalah kesihatan. Dewasa ini, banyak orang sakit teruk dan tidak sembuh biarpun mereka telah mencuba pelbagai rawatan. (Markus 5:25, 26) Jadi mereka mungkin sangat terdesak dan akan mencuba apa-apa sahaja supaya sembuh. Tetapi sebagai orang Kristian, kita perlu berhati-hati dan tidak memilih rawatan yang “menggunakan ilmu sihir.”​—Yesaya 1:13.

Bergantunglah pada Yehuwa apabila anda sakit

18. Apakah rawatan yang harus dijauhi oleh orang Kristian?

18 Pada zaman kuno, terdapat orang Israel yang menggunakan ilmu sihir. Yehuwa berfirman kepada mereka, “Semasa kamu menadahkan tangan untuk berdoa, Aku menutup mata dan tidak memperhatikan kamu. Tidak kira berapa banyak kali kamu berdoa, Aku tidak akan mendengarnya.” (Yesaya 1:15) Ya, Yehuwa enggan mendengar doa mereka! Kita tidak ingin melakukan apa-apa yang akan menghalang doa kita atau menyebabkan kita kehilangan perkenan Yehuwa, lebih-lebih lagi semasa kita sakit. (Mazmur 41:3) Jadi sebelum kita memilih suatu rawatan, kita perlu memastikan bahawa rawatan itu bebas daripada sebarang unsur spiritisme.​—Matius 6:13; lihat Penjelasan 32.

CERITA TENTANG ROH-ROH JAHAT

19. Bagaimanakah Syaitan membuat orang takut kepadanya?

19 Banyak orang pernah diganggu oleh Syaitan dan roh-roh jahat, maka mereka hidup dalam ketakutan dan berpegang erat pada kepercayaan karut. Ada juga orang yang menyebarkan cerita seram tentang bagaimana roh-roh jahat mengganggu orang. Cerita-cerita sebegini kedengaran menarik, tersebar dengan cepat, dan membuat orang takut kepada Syaitan.

20. Bagaimanakah kita mungkin membantu Syaitan menyebarkan dustanya?

20 Syaitan mahu orang takut kepadanya. (2 Tesalonika 2:9, 10) Dia ialah penipu yang pandai mempengaruhi fikiran orang dan membuat mereka mempercayai perkara-perkara yang tidak benar. Mereka mungkin menyangka bahawa apa yang dilihat atau didengar oleh mereka adalah benar, lalu menceritakannya kepada orang lain. Kemudian orang lain akan mengulangi cerita itu dan membesar-besarkannya. Kita tidak ingin membantu Syaitan menyebarkan dustanya dengan mengulangi cerita-cerita sedemikian.​—Yohanes 8:44; 2 Timotius 2:16.

21. Kita sepatutnya bercakap tentang apa?

21 Jika kita pernah melihat roh-roh jahat, kita tidak akan menceritakan pengalaman itu untuk menghiburkan orang lain. Kita juga tidak perlu takut kepada Syaitan dan roh-roh jahatnya kerana kuasa suci Tuhan jauh lebih berkuasa daripada mereka. Sebagai umat Tuhan, kita mahu menumpukan perhatian kita kepada Yesus. (Ibrani 12:2) Yesus tidak berkongsi cerita tentang roh-roh jahat dengan para pengikutnya. Sebaliknya, dia memberitahu orang tentang berita baik Kerajaan Tuhan dan “perkara-perkara menakjubkan yang dilakukan oleh Tuhan.”​—Kisah 2:11; Lukas 8:1; Roma 1:11, 12.

22. Apakah tekad anda?

22 Ingatlah bahawa Syaitan ingin memutuskan hubungan kita dengan Yehuwa. Dia akan berusaha sedaya upaya untuk berbuat demikian. Tetapi kita tahu tentang tipu helahnya dan kita juga bertekad untuk menjauhi spiritisme. Maka kita tidak akan ‘memberikan peluang kepada Iblis’ untuk melemahkan tekad kita. (Baca Efesus 4:27.) Ya, jika kita melawan Iblis, kita dapat menjauhi jeratnya dan mendapat perlindungan daripada Yehuwa.​—Efesus 6:11.