Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 4

Mengapakah Kita Perlu Menghormati Kekuasaan?

Mengapakah Kita Perlu Menghormati Kekuasaan?

“Hormatilah segala macam orang, kasihilah semua saudara seiman, takutlah akan Tuhan, dan hormatilah raja.”​—1 PETRUS 2:17.

1, 2. (a) Arahan siapakah yang perlu kita patuhi? (b) Apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan dalam bab ini?

 SEMASA anda masih kecil, pernahkah ibu bapa anda menyuruh anda melakukan sesuatu tetapi anda tidak mahu melakukannya? Anda mengasihi ibu bapa anda dan tahu bahawa anda patut mematuhi mereka. Tetapi ada kalanya anda mungkin tidak mahu mematuhi arahan mereka.

2 Kita tahu bahawa Yehuwa sangat mengasihi kita dan menjaga kita dengan baik. Dia memberi kita arahan agar kita dapat berjaya dalam hidup. Kadangkala Dia juga menggunakan orang lain untuk menyampaikan arahan-Nya. Tidak kira apa cara yang digunakan oleh Yehuwa untuk membimbing kita, kita perlu menghormati kekuasaan-Nya. (Amsal 24:21) Namun mengapakah sukar bagi kita untuk menghormati kekuasaan? Mengapakah Yehuwa mahu kita mematuhi arahan yang diberikan? Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita menghormati kekuasaan-Nya?​—Lihat Penjelasan 9.

MENGAPAKAH SUKAR UNTUK MENUNJUKKAN HORMAT?

3, 4. Bagaimanakah manusia menjadi tidak sempurna? Mengapakah susah bagi kita untuk menghormati kekuasaan dan menerima arahan?

3 Meskipun Adam dan Hawa sempurna, mereka melawan kekuasaan Tuhan. Maka mereka mewariskan ketidaksempurnaan kepada keturunan mereka. Itulah salah satu sebabnya manusia tidak suka menerima arahan daripada Yehuwa atau daripada manusia yang lain. Satu lagi sebab kita berasa susah untuk menghormati kekuasaan adalah kerana Yehuwa menggunakan manusia yang tidak sempurna untuk memberi kita arahan.​—Kejadian 2:15-17; 3:1-7; Mazmur 51:5; Roma 5:12.

4 Memandangkan kita tidak sempurna, kita mudah menjadi sombong dan tidak suka menerima arahan. Sebagai contoh, pada zaman kuno, Yehuwa melantik Musa untuk memimpin umat-Nya. Korah, yang telah berkhidmat kepada Yehuwa selama bertahun-tahun, menjadi sombong dan memberontak terhadap Musa. Meskipun Musa dilantik oleh Tuhan, dia tidak sombong. Bible menyatakan bahawa dia ialah orang yang paling rendah hati di seluruh bumi pada masa itu. Tetapi Korah tidak mahu menerima arahan daripada Musa, malah dia mempengaruhi banyak orang Israel untuk melawan Musa. Akibatnya, Korah dan pengikutnya dihukum mati. (Bilangan 12:3; 16:1-3, 31-35) Bible mengandungi banyak kisah yang mengajar kita bahawa sikap sombong amat berbahaya.​—2 Tawarikh 26:16-21; lihat Penjelasan 10.

5. Berikan beberapa contoh tentang bagaimana manusia menyalahgunakan kuasa.

5 Sepanjang sejarah umat manusia, banyak orang menyalahgunakan kuasa. (Baca Pengkhutbah 8:9.) Contohnya, Saul baik dan rendah hati semasa Yehuwa melantiknya menjadi raja. Tetapi, pada kemudian hari, dia menjadi sombong dan cemburu lalu menganiaya Daud. (1 Samuel 9:20, 21; 10:20-22; 18:7-11) Selepas itu, Daud menjadi raja. Meskipun dia ialah raja yang baik, dia juga pernah menyalahgunakan kuasanya. Dia meniduri isteri Uria lalu mencuba menyembunyikan perbuatannya dengan menghantar Uria ke barisan hadapan pertempuran supaya dia terbunuh.​—2 Samuel 11:1-17.

MENGAPAKAH KITA MENGHORMATI KEKUASAAN YEHUWA?

6, 7. (a) Kasih kita kepada Yehuwa akan mendorong kita untuk melakukan apa? (b) Apakah yang dapat membantu kita untuk mematuhi Yehuwa?

6 Kita menghormati kekuasaan Yehuwa kerana kita mengasihi-Nya dan mahu menyenangkan hati-Nya. (Baca Amsal 27:11; Markus 12:29, 30.) Sejak di Taman Eden, Syaitan mahu orang memberontak terhadap Yehuwa. Syaitan mahu kita percaya bahawa Yehuwa tidak berhak untuk memberikan arahan kepada manusia. Tetapi hal ini tidak benar kerana Yehuwa ialah Pencipta kita, dan Dia “layak menerima kemuliaan, kehormatan, dan kuasa.”​—Wahyu 4:11.

7 Semasa anda masih kecil, anda mematuhi ibu bapa anda meskipun kadangkala anda tidak mahu berbuat demikian. Begitu juga, kita mematuhi Yehuwa meskipun ada kalanya kita rasa berat hati untuk berbuat demikian. Kita mahu mematuhi Yehuwa kerana kita mengasihi dan menghormati-Nya. Yesus telah menetapkan contoh yang baik bagi kita. Tidak kira senang atau susah, dia tetap mematuhi Yehuwa. Itulah sebabnya dia dapat berkata, “Biarlah kehendak-Mu yang berlaku dan bukannya kehendakku.”​—Lukas 22:42; lihat Penjelasan 11.

8. Bagaimanakah Yehuwa memberikan arahan kepada kita? (Lihat kotak “ Dengarkanlah Nasihat.”)

8 Dewasa ini, Yehuwa memberikan arahan kepada kita dalam pelbagai cara, seperti menerusi Bible dan penatua di sidang. Jika kita tidak menghormati para penatua, kita menunjukkan bahawa kita tidak menghormati Yehuwa. Semasa orang Israel melawan Musa, Yehuwa menganggap bahawa mereka sedang melawan-Nya.​—Bilangan 14:26, 27; lihat Penjelasan 12.

9. Bagaimanakah kasih mendorong kita untuk mengikut arahan?

9 Apabila kita menghormati kekuasaan, kita menunjukkan bahawa kita mengasihi saudara saudari kita. Bayangkan situasi berikut: Apabila bencana alam melanda, pasukan penyelamat akan berusaha untuk menyelamatkan sebanyak orang yang mungkin. Mereka harus bekerjasama dan mengikut arahan ketua mereka. Tetapi jika salah seorang daripada mereka tidak mahu mengikut arahan yang diberikan, meskipun dia berniat baik, dia mungkin akan menyebabkan ahli kumpulannya cedera parah. Begitu juga, jika kita tidak mahu mematuhi arahan daripada Yehuwa atau wakil-Nya, kita akan membahayakan kerohanian orang lain dan menimbulkan masalah. Tetapi jika kita mematuhi Yehuwa, kita menunjukkan bahawa kita mengasihi saudara saudari kita dan menghormati aturan Yehuwa.—1 Korintus 12:14, 25, 26.

10, 11. Apakah yang akan kita bincangkan sekarang?

10 Segala arahan yang diberikan oleh Yehuwa adalah demi kebaikan kita. Apabila kita menghormati kekuasaan dalam keluarga, di sidang, ataupun semasa berurusan dengan pegawai kerajaan, kita akan meraih banyak manfaat.​—Ulangan 5:16; Roma 13:4; Efesus 6:2, 3; Ibrani 13:17.

11 Sekarang kita sudah mengetahui mengapa Yehuwa mahu kita menunjukkan kepatuhan. Tidakkah pengetahuan ini mendorong kita untuk menghormati kekuasaan? Maka, mari kita membincangkan bagaimana kita dapat menghormati kekuasaan dalam tiga aspek kehidupan kita.

HORMAT DALAM KELUARGA

12. Bagaimanakah seorang suami menunjukkan bahawa dia menghormati kekuasaan?

12 Yehuwa mengasaskan keluarga dan memberi setiap ahli keluarga peranan tertentu. Jika setiap ahli keluarga memainkan peranan masing-masing, keluarga mereka akan bahagia. (1 Korintus 14:33) Yehuwa melantik suami sebagai kepala keluarga. Hal ini bermaksud bahawa Yehuwa mahu para suami menjaga, membimbing, dan melayan isteri dan anak-anak mereka dengan penuh kasih sayang. Para suami yang tidak berbuat demikian akan kehilangan perkenan Yehuwa. Apabila seorang suami meniru cara Yesus melayan sidang, dia sedang menunjukkan bahawa dia menghormati Yehuwa.​—Efesus 5:23; lihat Penjelasan 13.

Seorang bapa yang menjaga keperluan keluarganya sedang meniru teladan Kristus

13. Bagaimanakah seorang isteri menunjukkan bahawa dia menghormati kekuasaan?

13 Isteri juga memainkan peranan yang penting. Dia perlu menyokong suaminya dan melatih anak-anaknya bersama suaminya. Satu cara dia dapat mengajar anak-anaknya untuk menghormati kekuasaan adalah melalui teladannya. (Amsal 1:8) Dia menghormati suaminya dan bekerjasama dengannya. Apabila dia tidak bersetuju dengan keputusan suami, dia boleh meluahkan pendapatnya dengan sopan. Jika suaminya bukan seorang Saksi, dia mungkin menghadapi situasi yang lebih mencabar. Namun, jika dia tetap mengasihi dan menghormati suaminya, barangkali suatu hari nanti suaminya akan terdorong untuk mengenali Yehuwa dan menyembah-Nya.​—Baca 1 Petrus 3:1.

14. Bagaimanakah anak-anak menunjukkan bahawa mereka menghormati kekuasaan?

14 Anak-anak sangat berharga di mata Yehuwa, dan mereka memerlukan bimbingan dan perlindungan. Anak-anak yang mematuhi ibu bapa akan menggembirakan hati ibu bapa mereka. Tetapi yang lebih penting lagi, mereka menghormati Yehuwa dan menggembirakan hati-Nya. (Amsal 10:1) Dalam keluarga ibu bapa tunggal, baik anak mahupun ibu atau bapa, akan menghadapi cabaran yang lebih besar. Tetapi jika anak-anak menghormati dan menyokong ibu atau bapa mereka, keluarga akan lebih bahagia. Walau bagaimanapun, tiada keluarga yang sempurna. Tetapi keluarga dapat hidup dengan bahagia jika setiap ahli keluarga memainkan peranan yang diberikan oleh Tuhan. Hal ini akan memuliakan Pengasas semua keluarga, iaitu Yehuwa.​—Efesus 3:14, 15.

HORMAT DALAM SIDANG

15. Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita menghormati kekuasaan dalam sidang?

15 Yehuwa membimbing kita menerusi sidang Kristian, dan Dia melantik Anak-Nya sebagai kepala sidang. (Kolose 1:18) Yesus pula menugaskan “hamba yang setia dan bijaksana” untuk menjaga keperluan rohani umat Tuhan di bumi. (Matius 24:45-47) Hari ini, “hamba yang setia dan bijaksana” ialah Badan Pimpinan yang memberi kita makanan rohani pada masa yang sesuai agar iman kita teguh. Para penatua, pembantu sidang, dan penyelia litar, di seluruh dunia menerima arahan daripada Badan Pimpinan. Yehuwa menyuruh semua saudara ini menjaga kita, dan Dia mahu mereka menjalankan tugas ini dengan baik. Oleh itu, jika kita menghormati mereka, kita menghormati Yehuwa.​—Baca 1 Tesalonika 5:12; Ibrani 13:17; lihat Penjelasan 14.

16. Mengapakah kita dapat mengatakan bahawa penatua atau pembantu sidang dilantik oleh kuasa suci Tuhan?

16 Para penatua dan pembantu sidang membantu sidang bersatu padu dan tetap kukuh secara rohani. Bagaimanakah mereka dilantik? Mereka harus memenuhi syarat kelayakan yang terdapat dalam Bible. (1 Timotius 3:1-7, 12; Titus 1:5-9) Yehuwa menggunakan kuasa suci-Nya untuk membantu para penulis Bible mencatatkan syarat-syarat ini. Para penatua berdoa untuk meminta bimbingan kuasa suci Tuhan sebelum menentukan sama ada seorang saudara patut dilantik atau tidak. Sememangnya, sidang Kristian berada di bawah bimbingan Yesus dan Yehuwa. (Kisah 20:28) Biarpun saudara-saudara ini tidak sempurna, mereka merupakan “kurnia berupa manusia” yang ditugaskan untuk menyokong dan menjaga kita.​—Efesus 4:8.

17. Mengapakah seorang wanita Kristian kadangkala perlu menudung kepalanya?

17 Kadangkala tiada penatua atau pembantu sidang yang dapat menjalankan tugas di sidang. Apabila hal ini berlaku, seorang saudara yang dibaptis boleh melakukan tugas itu. Jika tiada saudara, seorang saudari mungkin perlu melakukan tugas itu. Tetapi saudari itu perlu menudung kepalanya. (1 Korintus 11:3-10) Perbuatan menudung kepala menunjukkan bahawa saudari itu menghormati aturan kekepalaan di sidang dan dalam keluarga.​—Lihat Penjelasan 15.

HORMAT KEPADA PEGAWAI KERAJAAN

18, 19. (a) Apakah yang dapat kita pelajari daripada Roma 13:1-7? (b) Bagaimanakah kita dapat menghormati pihak berkuasa?

18 Selagi Yehuwa membenarkan pemerintah manusia untuk wujud, orang Kristian harus mematuhi arahan yang terdapat di Roma 13:1-7. (Baca.) “Pihak berkuasa” membantu menjaga keamanan dan menyediakan perkhidmatan yang kita perlukan. Kita menghormati mereka dengan mematuhi undang-undang yang ditetapkan. Undang-undang ini melibatkan keluarga kita, perniagaan kita, ataupun harta benda kita. Sebagai contoh, kita membayar cukai dan memberikan maklumat yang dituntut oleh pihak berkuasa. Tetapi bagaimana pula jika pihak berkuasa menyuruh kita untuk melakukan sesuatu yang melanggar hukum Tuhan? Petrus berkata, ‘Kita mesti patuh kepada Tuhan sebagai pemerintah dan bukannya kepada manusia.’​—Kisah 5:28, 29.

19 Kita harus menghormati pegawai kerajaan, seperti hakim atau polis. Orang muda perlu menghormati guru dan kakitangan sekolah yang lain. Orang yang bekerja pula perlu menghormati majikan mereka. Semasa kita berbuat demikian, kita sedang meniru teladan Paulus yang menghormati pihak berkuasa meskipun ada kalanya hal itu mencabar baginya. (Kisah 26:2, 25) Biarpun orang lain tidak melayan kita dengan baik, kita masih perlu menghormati mereka.​—Baca Roma 12:17, 18; 1 Petrus 3:15.

20, 21. Apakah manfaatnya apabila kita menghormati orang lain?

20 Di seluas dunia, orang jarang menghormati satu sama lain. Sebagai umat Yehuwa, kita tidak mahu terikut-ikut dengan sikap mereka. Petrus berkata, “Hormatilah segala macam orang.” (1 Petrus 2:17) Sebenarnya orang dapat melihat sikap hormat yang kita tunjukkan. Yesus memberitahu kita, “Biarlah cahaya kamu bersinar di hadapan orang lain supaya mereka melihat perbuatan baik kamu dan memuji Bapa kamu.”​—Matius 5:16.

21 Apabila kita menghormati ahli keluarga, ahli sidang, dan orang lain, teladan baik kita mungkin mendorong orang yang berhati jujur untuk menyembah Yehuwa. Sebenarnya apabila kita menghormati orang lain, kita sedang menghormati Yehuwa dan menunjukkan bahawa kita mengasihi-Nya. Hal ini pasti menggembirakan hati Yehuwa.