Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 15

Nikmatilah Kerja Anda

Nikmatilah Kerja Anda

‘Mereka harus menikmati hasil kerja keras mereka.’​—PENGKHUTBAH 3:13.

1-3. (a) Apakah perasaan banyak orang tentang kerja mereka? (b) Apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan dalam bab ini?

 KITA semua perlu bekerja keras untuk menyara diri dan keluarga kita. Tetapi banyak orang terpaksa melakukan kerja yang tidak digemari. Jika anda pun begitu, bagaimanakah anda dapat mengubah pandangan anda dan mula menikmati kerja anda?

2 Bible menyatakan, ‘Kamu harus makan, minum, dan menikmati hasil kerja keras kamu. Hal ini ialah pemberian daripada Tuhan.’ (Pengkhutbah 3:13) Ya, Yehuwa menciptakan kita dengan keperluan dan keinginan untuk bekerja. Dia mahu kita menikmati kerja kita.​—Baca Pengkhutbah 2:24; 5:18.

3 Jadi bagaimanakah kita dapat menikmati kerja kita? Apakah pekerjaan yang tidak sesuai bagi orang Kristian? Bagaimanakah kita dapat mencari keseimbangan antara kerja kita dengan ibadat kita? Apakah kerja yang terpenting bagi kita?

YEHUWA DAN YESUS RAJIN BEKERJA

4, 5. Apakah pandangan Yehuwa tentang kerja?

4 Yehuwa suka bekerja. Kejadian 1:1 menyatakan, “Pada mulanya, Tuhan menciptakan langit dan bumi.” Selepas Dia menciptakan bumi dan segala sesuatu di bumi, Dia berasa ‘sangat puas hati.’ (Kejadian 1:31) Ya, Pencipta kita gembira dengan hasil kerja-Nya.​—1 Timotius 1:11.

5 Yehuwa tidak pernah berhenti bekerja. (Yohanes 5:17) Apakah beberapa kerja yang sedang dilakukan oleh-Nya? Dia sedang memilih sekumpulan orang untuk memerintah bersama Yesus dalam Kerajaan-Nya. (2 Korintus 5:17) Dia juga sedang membimbing dan menjaga manusia menerusi kerja penyebaran sedunia. Hasilnya, jutaan orang dapat mengenali-Nya dan berpeluang untuk hidup selama-lamanya di bumi firdaus.​—Yohanes 6:44; Roma 6:23.

6, 7. Apakah sikap Yesus tentang kerja?

6 Seperti Bapanya, Yesus suka bekerja. Sebelum dia turun ke bumi, Yesus ialah “jurubina yang mahir.” Dia membantu Yehuwa untuk menciptakan segala sesuatu di syurga dan di bumi. (Amsal 8:22-31; Kolose 1:15-17) Semasa dia berada di bumi, Yesus bekerja keras sebagai “tukang kayu.”​—Markus 6:3.

7 Tetapi kerja terpenting yang dilakukan oleh Yesus ialah kerja menyebarkan berita baik dan mengajar orang tentang Yehuwa. Selama tiga tahun setengah, dia bekerja dari pagi hingga malam dan membuat perjalanan yang jauh untuk menginjil kepada sebanyak orang yang mungkin.​—Lukas 8:1; 21:37, 38; Yohanes 3:2.

8, 9. Mengapakah Yesus menikmati kerjanya?

8 Bagi Yesus, kerja yang diberikan oleh Tuhan kepadanya bagaikan makanan yang memberinya tenaga dan kekuatan. Ada masanya, Yesus begitu sibuk sehingga dia tiada masa untuk makan. (Yohanes 4:31-38) Dia menggunakan setiap peluang untuk mengajar orang tentang Bapanya. Itulah sebabnya dia dapat berkata kepada Yehuwa, “Aku sudah memuliakan Engkau di bumi dengan menyelesaikan kerja yang Engkau berikan kepadaku.”​—Yohanes 17:4.

9 Jelaslah bahawa Yehuwa dan Yesus bekerja keras, dan mereka gembira dan berpuas hati dengan hasil kerja mereka. Kita mahu mengikut teladan mereka. (Efesus 5:1; 1 Petrus 2:21) Itulah sebabnya kita bekerja keras dan melakukan tugas kita dengan sepenuh hati.

PANDANGAN KITA TENTANG KERJA

10, 11. Bagaimanakah kita dapat memupuk pandangan yang positif tentang kerja kita?

10 Sebagai umat Yehuwa, kita bekerja keras untuk menyara diri dan keluarga kita. Kita ingin menikmati kerja kita, tetapi hal ini tidak mudah jika kita tidak menyukai kerja kita. Jadi apakah yang dapat kita lakukan?

Sikap positif dapat membantu kita untuk menikmati kerja kita

11 Pupuklah pandangan yang positif. Kita tidak dapat mengubah keadaan, tetapi kita dapat memupuk pandangan yang positif tentang kerja dengan memahami pandangan Tuhan. Contohnya, Yehuwa mahu ketua keluarga untuk menjaga keperluan keluarga. Bible menyatakan bahawa seseorang yang tidak menyediakan keperluan keluarganya “lebih teruk daripada orang yang tidak beriman.” (1 Timotius 5:8) Jika anda ialah ketua keluarga, anda perlu bekerja keras untuk mencari nafkah. Tidak kira anda menyukai kerja anda atau tidak, anda tahu bahawa anda sedang menyenangkan hati Tuhan dengan menyediakan keperluan keluarga anda.

12. Apakah manfaat yang diraih oleh orang yang jujur dan tekun?

12 Bersikap jujur dan tekun. Lebih mudah bagi anda untuk menikmati kerja anda jika anda bersikap jujur dan tekun. (Amsal 12:24; 22:29) Majikan anda akan mempercayai anda kerana anda tidak akan mencuri wang, masa, atau harta benda syarikat. (Efesus 4:28) Yang terpenting, Yehuwa melihat kejujuran dan ketekunan anda. Maka anda dapat memiliki hati nurani yang murni kerana anda tahu bahawa anda sedang menyenangkan hati Tuhan.​—Kolose 3:22-24; Ibrani 13:18.

13. Apakah hasilnya jika kita mempunyai kelakuan yang baik?

13 Berkelakuan baik. Jika kita sedar bahawa kelakuan kita dapat memuliakan Yehuwa, hal ini akan mendorong kita untuk lebih menyukai kerja kita. (Titus 2:9, 10) Kelakuan baik kita juga mungkin akan menarik minat rakan sekerja kita untuk mempelajari Bible.​—Baca Amsal 27:11; 1 Petrus 2:12.

MEMILIH KERJA YANG SESUAI

14-16. Apakah soalan-soalan yang harus kita fikirkan sewaktu memilih kerja?

14 Bible tidak memberikan senarai kerja yang patut diterima atau ditolak oleh orang Kristian. Tetapi prinsip-prinsip Bible dapat membantu kita memilih kerja yang sesuai. (Amsal 2:6) Maka sewaktu memilih kerja, kita harus memikirkan soalan-soalan berikut:

Carilah pekerjaan yang tidak bercanggah dengan prinsip Bible

15 Adakah kerja ini melibatkan perbuatan yang dibenci oleh Yehuwa? Yehuwa membenci perbuatan jahat, seperti mencuri dan berbohong. (Keluaran 20:4; Kisah 15:29; Efesus 4:28; Wahyu 21:8) Maka kita akan menolak apa-apa kerja yang bertentangan dengan prinsip Bible.​—Baca 1 Yohanes 5:3.

16 Adakah kerja ini menyokong atau menggalakkan perbuatan yang dikutuk oleh Yehuwa? Contohnya, anda mungkin ditawarkan kerja sebagai penyambut tetamu. Kerja ini tidak salah, tetapi bagaimana pula jika anda perlu bekerja di pusat derma darah? Walaupun anda tidak terlibat secara langsung dalam proses pengambilan darah, tidakkah anda sedang menyokong perbuatan yang dikutuk oleh Tuhan?​—Kisah 15:29.

17. Apakah yang dapat membantu kita membuat keputusan yang menyenangkan hati Tuhan?

17 Jika kita membuat keputusan berdasarkan prinsip-prinsip Tuhan, kita akan dilatih untuk “membezakan apa yang betul daripada apa yang salah.” (Ibrani 5:14) Maka tanyalah diri, “Adakah orang lain akan tersandung jika saya menerima kerja ini? Adakah saya perlu meninggalkan pasangan saya dan anak-anak saya untuk bekerja di luar negara? Bagaimanakah hal ini akan mempengaruhi mereka?”

MENGENAL PASTI HAL YANG LEBIH PENTING

18. Mengapakah tidak mudah untuk mengutamakan hal-hal rohani?

18 Kita sedang hidup pada “masa genting yang sukar dihadapi,” maka tidak mudah untuk mengutamakan hal-hal rohani. (2 Timotius 3:1) Kita perlu menjaga keperluan keluarga, tetapi tidak mudah untuk mencari kerja. Jika kita tidak berhati-hati, kita mungkin akan hilang tumpuan rohani. (1 Timotius 6:9, 10) Maka bagaimanakah kita dapat “mengenal pasti perkara-perkara yang lebih penting” dan pada masa yang sama menyara keluarga kita?​—Filipi 1:10.

19. Bagaimanakah kita dapat mempunyai pandangan yang seimbang tentang kerja? Jelaskan.

19 Percaya kepada Yehuwa dengan sepenuh hati. (Baca Amsal 3:5, 6.) Tuhan tahu apa yang kita perlukan dan Dia amat prihatin terhadap kita. (Mazmur 37:25; 1 Petrus 5:7) Bible menyatakan, “Hendaklah cara hidup kamu bebas daripada cinta akan wang. Sebaliknya hendaklah kamu berpuas hati dengan apa yang kamu miliki, kerana Tuhan telah berfirman, ‘Aku sama sekali tidak akan meninggalkan engkau, dan Aku sama sekali tidak akan mengabaikan engkau.’” (Ibrani 13:5) Yehuwa tidak mahu kita terlalu risau tentang keperluan keluarga kita. Dia telah memberi kita banyak bukti bahawa Dia akan memenuhi keperluan kita. (Matius 6:25-32) Maka kita tidak patut berhenti mempelajari Bible, menginjil, dan pergi ke perjumpaan, semata-mata untuk bekerja.​—Matius 24:14; Ibrani 10:24, 25.

20. Bagaimanakah kita dapat hidup sederhana?

20 Bertumpu kepada hal-hal rohani. (Baca Matius 6:22, 23.) Memang tidak bijak untuk membenarkan wang, gaya hidup yang selesa, atau alat elektronik yang terkini, untuk menjadi lebih penting daripada hubungan kita dengan Tuhan. Maka apakah yang dapat membantu kita mengutamakan hal-hal rohani? Janganlah berhutang. Tetapi jika anda mempunyai hutang atau pinjaman, berusahalah untuk membayarnya secepat mungkin. Jika kita tidak berhati-hati, harta benda kita dapat mengambil banyak masa dan tenaga kita sehingga kita tiada masa untuk berdoa, belajar Bible, dan menginjil. Jadi janganlah mengumpulkan banyak harta benda. Sebaliknya kita harus belajar untuk berpuas hati dengan keperluan asas, seperti “makanan dan pakaian.” (1 Timotius 6:8) Kita patut menilai situasi hidup kita dari masa ke masa untuk melihat sama ada kita dapat meluaskan khidmat kita kepada Yehuwa atau tidak.

21. Mengapakah kita perlu menetapkan keutamaan hidup kita?

21 Tetapkan keutamaan yang betul. Kita perlu menggunakan masa, tenaga, dan harta benda kita dengan bijak. Jika kita tidak berhati-hati, hal-hal yang kurang penting, seperti pendidikan atau wang, akan mengambil alih masa kita. Yesus berkata, “Hendaklah kamu sentiasa mengutamakan Kerajaan Tuhan.” (Matius 6:33) Pilihan, tabiat, rutin harian, dan matlamat kita, dapat menunjukkan apa keutamaan kita.

KERJA YANG TERPENTING BAGI KITA

22, 23. (a) Apakah kerja yang terpenting bagi orang Kristian? (b) Apakah yang dapat membantu kita menikmati kerja kita?

22 Kerja yang terpenting bagi kita ialah berkhidmat kepada Yehuwa dan menginjil. (Matius 24:14; 28:19, 20) Seperti Yesus, kita ingin menjalankan kerja ini dengan sedaya upaya. Ada yang telah berpindah ke tempat lain yang memerlukan lebih banyak penyiar. Yang lain pula mempelajari bahasa asing agar mereka dapat menginjil kepada orang yang bercakap dalam bahasa itu. Bercakaplah kepada mereka yang telah melakukan hal-hal ini, dan mintalah mereka untuk menceritakan pengalaman mereka. Mereka pasti akan memberitahu anda bahawa hidup mereka menjadi lebih bahagia dan bermakna.​—Baca Amsal 10:22.

Berkhidmat kepada Yehuwa ialah kerja kita yang terpenting

23 Dewasa ini, ramai antara kita perlu bekerja keras untuk menampung keperluan asas keluarga. Yehuwa nampak usaha kita, dan Dia menghargai segala yang kita lakukan untuk keluarga kita. Maka tidak kira apa pekerjaan kita, kita haruslah meniru Yehuwa dan Yesus dengan bekerja keras. Ingatlah bahawa kerja kita yang terpenting ialah berkhidmat kepada Yehuwa dan menginjil. Hal ini akan memberi kita sukacita yang sejati.