Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 10

Perkahwinan—Hadiah daripada Tuhan

Perkahwinan—Hadiah daripada Tuhan

“Tiga utas tali yang dipintal menjadi satu, susah diputuskan.”​—PENGKHUTBAH 4:12.

1, 2. (a) Apakah harapan pasangan yang baru berkahwin? (b) Apakah soalan-soalan yang akan dijawab dalam bab ini?

 BAYANGKAN sepasang pengantin pada hari perkahwinan mereka. Mereka sangat gembira dan berharap agar perkahwinan mereka akan berkekalan.

2 Tetapi banyak perkahwinan tidak kekal bahagia. Suami isteri memerlukan bimbingan Tuhan untuk terus hidup bahagia. Maka marilah kita melihat jawapan Bible kepada soalan-soalan berikut: Apakah manfaat perkahwinan? Bagaimanakah anda dapat memilih pasangan yang baik? Bagaimanakah anda dapat menjadi suami atau isteri yang baik? Bagaimanakah perkahwinan anda dapat berkekalan?​—Baca Amsal 3:5, 6.

PATUTKAH SAYA BERKAHWIN?

3. Adakah seseorang perlu berkahwin untuk hidup bahagia? Jelaskan.

3 Ada orang percaya bahawa seseorang perlu berkahwin untuk hidup bahagia. Tetapi pandangan ini salah, kerana Yesus mengatakan bahawa hidup membujang ialah kurniaan Tuhan. (Matius 19:11, 12) Paulus juga menyebutkan beberapa kebaikan hidup membujang. (1 Korintus 7:32-38) Maka anda sendirilah yang harus membuat keputusan untuk berkahwin atau tidak. Jangan biarkan kawan, keluarga, atau budaya tempatan, mempengaruhi keputusan anda.

4. Apakah beberapa manfaat perkahwinan yang kukuh?

4 Tetapi Bible juga menyatakan bahawa perkahwinan ialah kurniaan Tuhan, dan ada manfaatnya jika seseorang berkahwin. Yehuwa berfirman, “Tidak baik lelaki itu [Adam] hidup seorang diri. Aku akan memberinya seorang teman yang sesuai untuk menolongnya.” (Kejadian 2:18) Yehuwa menciptakan Hawa untuk menjadi isteri Adam, dan mereka menjadi keluarga manusia yang pertama. Jika pasangan suami isteri ingin mempunyai anak, perkahwinan mereka haruslah kukuh agar anak-anak dapat membesar dalam suasana yang stabil. Tetapi beranak cucu bukanlah satu-satunya alasan untuk berkahwin.​—Mazmur 127:3; Efesus 6:1-4.

5, 6. Bagaimanakah perkahwinan boleh disamakan dengan “tiga utas tali yang dipintal menjadi satu”?

5 Salomo menulis, ‘Berdua lebih baik daripada seorang diri kerana mereka dapat bekerjasama dan menikmati hasil baiknya. Jika salah seorang jatuh, yang seorang lagi dapat membantunya. Tetapi jika orang itu bersendirian, lalu jatuh, siapakah yang akan membantunya? Tambahan lagi, tiga utas tali yang dipintal menjadi satu, susah diputuskan.’​—Pengkhutbah 4:9-12.

6 Pasangan dalam perkahwinan yang baik dapat menjadi sahabat rapat yang membantu, menggalakkan, dan melindungi satu sama lain. Kasih dapat menguatkan ikatan perkahwinan, tetapi ikatan ini dapat menjadi lebih kuat jika suami dan isteri menyembah Yehuwa. Apabila mereka berdua mengutamakan Yehuwa, perkahwinan mereka menjadi seperti “tiga utas tali yang dipintal menjadi satu.” Ya, perkahwinan akan menjadi lebih kuat jika Yehuwa menjadi sebahagian penting dalam perkahwinan itu.

7, 8. Apakah nasihat yang diberikan oleh Paulus tentang perkahwinan?

7 Selepas berkahwin, suami isteri dapat menikmati hubungan seks. (Amsal 5:18) Tetapi jika seseorang berkahwin hanya kerana ingin memuaskan keinginan seks, dia mungkin tidak akan memilih pasangan hidup dengan bijak. Pada waktu remaja, hawa nafsu seseorang adalah sangat kuat. Maka Bible menyatakan bahawa seseorang patut berkahwin selepas dia “melewati masa remaja.” (1 Korintus 7:36) Dengan demikian, dia dapat berfikir dengan lebih jelas dan membuat pilihan yang bijak.​—1 Korintus 7:9; Yakobus 1:15.

8 Jika anda ingin berkahwin, ingatlah bahawa setiap perkahwinan pasti akan menghadapi cabaran. Paulus berkata, “Orang yang berkahwin akan menghadapi banyak kesusahan.” (1 Korintus 7:28) Sesungguhnya perkahwinan yang paling baik pun akan menghadapi masalah. Jadi jika anda ingin berkahwin, pilihlah pasangan anda dengan bijak.

CARA MEMILIH TEMAN HIDUP YANG BAIK

9, 10. Apakah yang mungkin akan berlaku jika kita berkahwin dengan orang yang tidak menyembah Yehuwa?

9 Apabila anda memilih suami atau isteri, ingatlah prinsip Bible ini: “Janganlah memikul kuk bersama orang yang tidak percaya.” (2 Korintus 6:14) Seorang petani tidak akan memasangkan dua ekor binatang yang mempunyai saiz atau kekuatan yang berbeza di bawah satu kuk, kerana kedua-dua binatang itu akan menderita. Dalam cara yang sama, jika penyembah Yehuwa berkahwin dengan orang yang tidak menyembah Yehuwa, hal ini akan menyebabkan banyak masalah. Itulah sebabnya Tuhan mahu kita berkahwin dengan orang yang seiman sahaja.​—1 Korintus 7:39.

10 Kadangkala ada orang Kristian yang berfikir bahawa adalah lebih baik jika mereka berkahwin dengan orang yang tidak seiman daripada hidup bersendirian. Tetapi jika kita menolak nasihat Bible, kita akan menyesal. Sebagai umat Yehuwa, ibadat kita ialah perkara terpenting dalam hidup kita. Jika kita berkahwin dengan orang yang tidak seiman, dapatkah kita berkongsi hal yang terpenting ini dengan pasangan kita? Itulah sebabnya banyak orang Kristian memilih untuk hidup membujang daripada berkahwin dengan orang yang tidak mengasihi dan menyembah Yehuwa.​—Baca Mazmur 32:8.

11. Bagaimanakah anda dapat memilih teman hidup yang sesuai?

11 Tetapi bukan semua orang yang menyembah Yehuwa sesuai dijadikan teman hidup. Jadi carilah seseorang yang anda betul-betul suka dan serasi dengan anda. Carilah seseorang yang mempunyai matlamat hidup yang sama dengan anda dan yang mengutamakan Yehuwa. Luangkanlah masa untuk membaca dan merenungkan nasihat yang telah diberikan oleh hamba yang setia.—Baca Mazmur 119:105.

12. Apakah yang dapat kita pelajari daripada contoh Abraham?

12 Di sesetengah negara, ibu bapa biasanya akan memilih teman hidup untuk anak mereka. Adat ini juga diamalkan pada zaman Bible. Jadi jika keluarga anda mengikut adat sedemikian, Bible dapat membantu ibu bapa anda untuk membuat pilihan yang bijak. Contohnya, apabila Abraham memilih isteri untuk anaknya Ishak, dia mencari gadis yang mengasihi Yehuwa, dan bukannya gadis yang kaya atau berkedudukan tinggi.​—Kejadian 24:3, 67; lihat Penjelasan 25.

CARA MEMBUAT PERSEDIAAN UNTUK PERKAHWINAN

13-15. (a) Bagaimanakah seorang lelaki dapat membuat persediaan untuk menjadi suami yang baik? (b) Bagaimanakah seorang wanita dapat membuat persediaan untuk menjadi isteri yang baik?

13 Jika anda ingin berkahwin, anda harus menanya diri, “Adakah saya benar-benar sudah bersedia?” Marilah kita mencari jawapan kepada soalan ini.

Luangkanlah masa untuk membaca dan merenungkan nasihat Bible tentang perkahwinan

14 Jika anda ialah seorang lelaki yang ingin berkahwin, anda harus memastikan bahawa anda sudah bersedia untuk menjadi kepala keluarga. Yehuwa menghendaki seorang suami untuk menjaga keperluan fizikal dan emosi isteri dan anak-anaknya. Yang terpenting, seorang suami harus mengambil pimpinan dalam hal-hal rohani keluarga. Bible menyatakan bahawa jika seorang lelaki tidak menjaga keluarganya, dia “lebih teruk daripada orang yang tidak beriman.” (1 Timotius 5:8) Jadi seorang lelaki yang ingin berkahwin harus memikirkan prinsip Bible berikut: “Persiapkanlah pekerjaanmu di luar rumah, dan sediakanlah ladangmu terlebih dahulu. Selepas itu, dirikanlah rumah tanggamu.” Maksudnya, sebelum berkahwin, pastikanlah bahawa anda dapat memikul tanggungjawab yang diberikan oleh Yehuwa.​—Amsal 24:27.

15 Jika anda ialah seorang wanita yang ingin berkahwin, anda harus memastikan bahawa anda sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Bacalah Bible untuk mengetahui beberapa sifat dan kemahiran yang diperlukan oleh seorang isteri. (Amsal 31:10-31) Dewasa ini, ramai lelaki dan wanita hanya berfikir tentang apa diinginkan oleh mereka daripada pasangan mereka. Tetapi Yehuwa mahu kita berfikir tentang apa yang dapat kita berikan kepada pasangan kita.

16, 17. Apakah yang harus anda renungkan sebelum berkahwin?

16 Sebelum berkahwin, renungkanlah apa yang tercatat dalam Bible tentang suami dan isteri. Meskipun suami ialah ketua keluarga, dia tidak boleh memperlakukan keluarganya dengan sesuka hati. Dia harus meniru teladan Yesus yang selalu mengasihi dan melayan sidang dengan baik. (Efesus 5:23) Isteri pula perlu ingat bahawa dia harus menyokong dan bekerjasama dengan suaminya. (Roma 7:2) Dia perlu menanya diri, “Dapatkah saya tunduk kepada kekuasaan seorang lelaki yang tidak sempurna?” Jika dia tidak sanggup berbuat demikian, lebih baik dia tidak berkahwin.

17 Suami dan isteri perlu mengutamakan kebahagiaan pasangan mereka. (Baca Filipi 2:4.) Paulus menulis, “Setiap suami dalam kalangan kamu mesti mengasihi isterinya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri, dan isteri pula harus menghormati suaminya dengan mendalam.” (Efesus 5:21-33) Sudah tentu, setiap orang ingin dikasihi dan dihormati. Tetapi untuk membina perkahwinan yang bahagia, lelaki khususnya perlu merasai bahawa isterinya menghormatinya, dan wanita khususnya perlu merasai bahawa suaminya mengasihinya.

18. Mengapakah lelaki dan wanita yang berdating perlu berhati-hati?

18 Masa berdating ialah masa bagi seorang lelaki dan seorang wanita untuk mengenal satu sama lain dengan lebih mendalam. Mereka harus bersikap jujur dan melihat sama ada mereka patut berkahwin atau tidak. Mereka juga perlu belajar cara untuk berkomunikasi dan memahami isi hati satu sama lain. Seraya hubungan mereka bertambah erat, mereka akan berasa tertarik kepada satu sama lain secara fizikal. Jadi mereka perlu mengawal diri agar tidak melakukan perbuatan yang tidak bermoral. Kasih yang sejati akan menghalang mereka daripada melakukan sesuatu yang akan merosakkan hubungan mereka dan kerohanian mereka.​—1 Tesalonika 4:6.

Semasa berdating, seorang lelaki dan seorang wanita belajar cara untuk berkomunikasi

PERKAHWINAN YANG BERKEKALAN

19, 20. Apakah pandangan orang Kristian terhadap perkahwinan?

19 Banyak novel dan filem berakhir dengan hari perkahwinan yang indah. Tetapi hari perkahwinan hanyalah titik permulaan. Yehuwa tidak mahu suami isteri berpisah.​—Kejadian 2:24.

20 Dewasa ini, banyak orang menganggap perkahwinan sebagai ikatan sementara. Mereka berasa bahawa sebaik sahaja masalah timbul, itulah masanya untuk bercerai. Tetapi ingatlah bahawa Bible menyamakan perkahwinan dengan tiga utas tali yang dipintal menjadi satu. Tali sedemikian tidak akan putus dengan mudah. Apabila kita bergantung pada bimbingan Yehuwa, perkahwinan kita dapat berkekalan. Yesus berkata, “Mereka yang telah disatukan oleh Tuhan tidak boleh dipisahkan oleh manusia.”​—Matius 19:6.

21. Apakah yang dapat membantu suami isteri untuk terus saling mengasihi?

21 Setiap orang mempunyai kekuatan dan kelemahan. Jadi jika kita bertumpu kepada kelemahan pasangan kita, kita tidak akan bahagia. Sebaliknya jika kita bertumpu kepada sifat-sifat baiknya, kita akan menikmati perkahwinan yang bahagia. Dapatkah kita berbuat demikian? Ya! Yehuwa mengetahui semua kelemahan kita, tetapi Dia masih bertumpu kepada kebaikan kita. Seorang pemazmur berkata, “Ya Tuhan Yah, jika Engkau hanya memperhatikan kesalahan, siapakah yang dapat terlepas daripada hukuman?” (Mazmur 130:3) Suami dan isteri harus meniru teladan Yehuwa dengan bertumpu kepada kebaikan pasangan mereka dan sudi mengampuni satu sama lain.​—Baca Kolose 3:13.

22, 23. Bagaimanakah Abraham dan Sara menetapkan teladan yang baik bagi pasangan yang telah berkahwin?

22 Seraya masa berlalu, ikatan perkahwinan dapat bertambah kuat. Abraham dan Sara mempunyai perkahwinan yang bahagia. Sara mungkin berusia lebih daripada 60 tahun sewaktu Yehuwa menyuruh Abraham untuk meninggalkan kota Ur. Bayangkanlah betapa susahnya bagi Sara untuk meninggalkan rumahnya yang selesa dan tinggal di dalam khemah. Tetapi dia ialah seorang teman dan isteri yang baik, dan dia juga amat menghormati suaminya. Maka dia menyokong keputusan Abraham dengan sepenuh hati.​—Kejadian 18:12; 1 Petrus 3:6.

23 Tetapi hal ini tidak bererti bahawa Abraham dan Sara selalu mempunyai pandangan yang sama. Pernah sekali, Abraham tidak setuju dengan pendapat Sara, tetapi Yehuwa berfirman kepada Abraham, “Dengarlah cakap Sara.” Abraham berbuat demikian, dan hal ini telah membuahkan hasil yang baik. (Kejadian 21:9-13) Kadangkala anda dan pasangan anda mungkin tidak sependapat. Jika hal ini berlaku, janganlah tawar hati. Teruslah berusaha untuk melayan satu sama lain dengan penuh kasih dan hormat.

Izinkanlah Firman Tuhan untuk membimbing perkahwinan anda

24. Bagaimanakah perkahwinan kita dapat memuliakan Yehuwa?

24 Dalam sidang Kristian, terdapat beribu-ribu pasangan suami isteri yang bahagia. Jika anda ingin berkahwin, ingatlah bahawa memilih teman hidup ialah keputusan yang amat penting. Pilihan anda akan mempengaruhi hidup anda, maka mintalah bimbingan daripada Yehuwa. Dengan demikian, anda akan dapat membuat pilihan yang bijak, memastikan bahawa anda sudah bersedia untuk berkahwin, dan membina ikatan kasih yang kukuh dan yang memuliakan Yehuwa.