Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 6

Anak yang Baik dan Anak yang Jahat

Anak yang Baik dan Anak yang Jahat

LIHATLAH Kain dan Habel sekarang. Mereka berdua sudah dewasa. Kain menjadi seorang petani. Dia menanam bijirin, buah-buahan, dan sayur-sayuran.

Habel pula menjadi seorang gembala biri-biri. Dia suka menjaga anak biri-biri. Anak biri-biri membesar menjadi biri-biri besar. Maka, dalam tempoh yang singkat, Habel mempunyai sekawan biri-biri untuk dijaga.

Pada suatu hari, Kain dan Habel membawa pemberian masing-masing untuk dipersembahkan kepada Tuhan. Kain membawa sedikit hasil tanamannya. Habel pula membawa biri-birinya yang terbaik. Yehuwa suka akan Habel dan pemberiannya. Tetapi, Dia tidak suka akan Kain dan pemberiannya. Tahukah adik mengapa?

Hal ini bukanlah kerana pemberian Habel lebih baik daripada pemberian Kain. Habel merupakan seorang lelaki yang baik. Dia mengasihi Yehuwa dan abangnya. Tetapi Kain jahat. Dia tidak mengasihi adiknya.

Jadi, Tuhan memberitahu Kain bahawa dia harus mengubah sikapnya. Tetapi Kain tidak mendengar nasihat Tuhan. Dia berasa sangat marah kerana Tuhan lebih menyayangi Habel. Oleh itu, Kain memberitahu Habel, “Mari kita pergi ke padang.” Apabila hanya mereka berdua berada di sana, Kain memukul Habel, adiknya. Dia memukul adiknya dengan begitu kuat sehingga Habel mati. Tidakkah adik setuju bahawa apa yang dilakukan oleh Kain adalah sangat kejam dan keji?

Walaupun Habel telah meninggal, Tuhan tidak akan melupakannya. Habel orang yang baik. Tuhan tidak akan melupakan semua orang yang baik seperti Habel. Suatu hari nanti, Tuhan Yehuwa akan menghidupkan semula Habel yang telah mati. Pada masa itu, Habel tidak akan mati lagi. Dia akan berpeluang untuk hidup selama-lamanya di bumi ini. Alangkah seronoknya untuk mengenali orang seperti Habel!

Tetapi orang seperti Kain tidak disukai oleh Tuhan. Jadi, selepas Kain membunuh adiknya, Tuhan telah menghukum Kain dengan menghalaunya jauh daripada keluarganya. Apabila Kain meninggalkan keluarganya untuk hidup di tempat lain, dia membawa bersama-samanya seorang adik perempuan yang kemudian menjadi isterinya.

Lama-kelamaan, Kain dan isterinya mula mempunyai anak. Anak lelaki dan anak perempuan Adam dan Hawa yang lain juga telah berkahwin. Mereka juga melahirkan anak. Tidak lama kemudian, terdapat banyak orang di bumi ini. Marilah kita belajar tentang mereka.