Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 11

Pelangi yang Pertama

Pelangi yang Pertama

TAHUKAH adik perkara pertama yang telah dilakukan oleh Nuh sebaik sahaja dia dan keluarganya keluar dari bahtera? Dia telah mempersembahkan korban kepada Tuhan. Adik boleh melihat Nuh melakukan hal ini dalam gambar di bawah. Nuh memberikan korban ini kerana Tuhan telah menyelamatkan keluarganya daripada banjir yang besar. Nuh amat bersyukur kepada Tuhan.

Adakah Yehuwa gembira dengan pemberian Nuh? Sudah tentu! Jadi, Tuhan berjanji kepada Nuh bahawa Dia tidak akan memusnahkan dunia ini dengan banjir yang besar lagi.

Tidak lama kemudian, kawasan darat telah menjadi kering. Nuh dan keluarganya memulakan kehidupan yang baru di luar bahtera. Tuhan memberkati mereka lalu berkata, “Kamu mesti mempunyai anak cucu yang banyak. Keturunan kamu mesti bertambah sehingga seluruh bumi didiami orang.”

Tetapi, apabila orang yang hidup pada masa hadapan mendengar tentang banjir yang besar ini, mereka mungkin takut bahawa banjir sedemikian akan berlaku lagi. Oleh itu, Tuhan telah berjanji bahawa Dia tidak akan membanjiri seluruh bumi dengan air lagi. Dia memberi orang sesuatu yang akan mengingatkan mereka akan janji-Nya. Tahukah adik apa yang telah diberikan oleh Tuhan kepada mereka? Ya, Tuhan telah memberi mereka sebuah pelangi.

Pelangi biasanya boleh dilihat di langit apabila matahari keluar selepas hujan. Terdapat banyak warna yang cantik pada pelangi. Pernahkah adik melihat sebuah pelangi? Bolehkah adik nampak pelangi dalam gambar ini?

Tuhan berkata, “Aku berjanji bahawa semua makhluk hidup tidak akan dimusnahkan oleh banjir lagi. Aku menempatkan pelangi-Ku di langit. Tiap-tiap kali Aku melihat pelangi di langit, Aku akan ingat akan janji-Ku.”

Jadi apabila adik melihat sebuah pelangi, apakah yang patut adik ingat? Jawapan adik memang tepat. Tuhan telah berjanji bahawa Dia tidak akan memusnahkan dunia ini dengan banjir yang besar lagi.