Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 17

Sepasang Kembar yang Berlainan

Sepasang Kembar yang Berlainan

TIDAKKAH adik setuju bahawa kedua-dua orang budak lelaki di dalam gambar ini sangat berlainan? Adakah adik tahu nama mereka? Budak lelaki yang sedang memburu bernama Esau dan budak lelaki yang sedang menjaga biri-biri bernama Yakub.

Esau dan Yakub ialah anak kembar Ishak dan Ribka. Ayah mereka, Ishak sangat menyayangi Esau kerana dia seorang pemburu yang baik. Dia membawa pulang hasil buruannya sebagai makanan untuk keluarganya. Sebaliknya, Ribka sangat menyayangi Yakub kerana dia seorang budak yang pendiam dan yang berwatak lembut.

Datuk mereka, Abraham masih hidup dan kita boleh bayangkan betapa gembiranya Yakub apabila dia mendengar datuknya bercerita tentang Yehuwa. Akhirnya, apabila Abraham berumur 175 tahun, dia meninggal. Pada masa itu, kedua-dua orang kembar ini berumur 15 tahun.

Apabila Esau berumur 40 tahun, dia telah mengahwini dua orang wanita dari Kanaan. Hal ini menjadikan Ishak dan Ribka sangat sedih kerana wanita-wanita ini tidak menyembah Yehuwa.

Pada suatu hari, Esau menjadi sangat marah dengan Yakub. Masanya telah tiba untuk Ishak memberkati anak sulungnya. Oleh sebab Esau adalah lebih tua daripada Yakub, Esau berharap untuk menerima berkat ini. Tetapi, Esau telah menjual haknya sebagai anak sulung kepada Yakub. Tambahan pula, semasa kedua-dua orang budak ini dilahirkan, Tuhan telah mengatakan bahawa Yakublah yang akan menerima berkat tersebut. Akhirnya, Ishak telah memberkati Yakub, dan bukannya Esau. Apa yang telah dikatakan oleh Tuhan terbukti benar!

Apabila Esau mengetahui hal ini, dia sangat marah kepada Yakub. Dia begitu marah sehingga dia mengatakan bahawa dia akan membunuh Yakub. Apabila Ribka mendengar kata-kata Esau, dia menjadi sangat risau. Jadi, dia memberitahu suaminya, “Tentulah teruk jika Yakub juga mengahwini salah seorang gadis dari Kanaan.”

Maka, Ishak memanggil Yakub lalu berkata, “Janganlah berkahwin dengan gadis Kanaan. Pergilah ke rumah keluarga datukmu Betuel di Haran dan berkahwinlah dengan salah seorang anak perempuan Laban, bapa saudaramu.”

Yakub menurut kata-kata bapanya. Dengan serta-merta, dia memulakan perjalanannya yang jauh ke Haran. Dia menuju ke tempat tinggal saudara-maranya.