Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 49

Matahari Berhenti Bergerak

Matahari Berhenti Bergerak

LIHATLAH Yosua. Dia sedang berkata, “Hai matahari, berhentilah!” Matahari pun berhenti di tengah-tengah langit untuk sehari suntuk. Yehuwa telah melakukan mukjizat ini! Tetapi, marilah kita lihat sebabnya Yosua menghendaki matahari bersinar untuk sehari suntuk.

Apabila lima orang raja yang jahat dari negeri Kanaan mula menyerang Gibeon, orang Gibeon menghantar seorang lelaki untuk meminta bantuan daripada Yosua. “Tuan, datanglah dengan segera!” dia berkata. “Selamatkan kami! Semua raja di kawasan pergunungan telah datang menyerang kami.”

Yosua dan askar-askar Israel pun berangkat dengan segera. Mereka berjalan sepanjang malam. Apabila mereka tiba di Gibeon, semua askar daripada tentera kelima-lima orang raja itu berasa takut dan melarikan diri. Kemudian, Yehuwa menurunkan ketulan hujan batu yang besar dari langit. Lebih banyak askar telah mati akibat terkena ketulan hujan batu berbanding dengan mereka yang dibunuh oleh askar-askar Israel.

Yosua sedar bahawa matahari akan terbenam tidak lama lagi. Hari akan menjadi gelap dan banyak askar daripada tentera kelima-lima orang raja yang jahat itu akan melarikan diri. Itulah sebabnya Yosua berdoa kepada Yehuwa lalu berkata, “Hai matahari, berhentilah!” Oleh sebab matahari terus bersinar, orang Israel dapat mengalahkan raja-raja tersebut.

Terdapat banyak lagi raja yang jahat di Kanaan yang membenci umat Tuhan. Yosua dan pasukan tenteranya mengambil kira-kira enam tahun untuk mengalahkan 31 orang raja di negeri itu. Selepas raja-raja itu dikalahkan, Yosua telah memastikan bahawa tanah negeri Kanaan dibahagikan antara suku-suku bangsa Israel yang masih memerlukan tanah.

Bertahun-tahun telah berlalu dan akhirnya Yosua meninggal semasa dia berumur 110 tahun. Sepanjang masa Yosua dan kawan-kawannya hidup, orang Israel taat kepada Yehuwa. Tetapi apabila semua lelaki yang baik ini mati, orang Israel bermula melakukan perkara-perkara yang buruk dan mereka ditimpa kesusahan lagi. Pada saat-saat inilah orang Israel amat memerlukan bantuan Yehuwa.