CERITA 68
Dua Budak Hidup Semula
JIKA seorang budak meninggal, bagaimanakah perasaan ibu budak itu jika dia dihidupkan kembali? Tentu ibu budak itu berasa sangat gembira! Tetapi, bolehkah seseorang yang mati hidup semula? Pernahkah hal ini berlaku?
Lihatlah lelaki, wanita, dan budak kecil di dalam gambar ini. Lelaki ini ialah seorang penubuat yang bernama Elia. Wanita ini ialah seorang balu dari kota Sarafat, dan budak lelaki ini ialah anaknya. Pada suatu hari, budak lelaki ini jatuh sakit. Makin hari keadaannya menjadi makin tenat, dan akhirnya dia mati. Jadi, Elia memberitahu wanita itu, “Serahkanlah anak itu kepada saya.”
Elia membawa budak yang telah mati ini ke dalam bilik di tingkat atas dan membaringkannya di atas katil. Kemudian, dia berdoa, “Ya Yehuwa, hidupkanlah semula anak ini.” Akhirnya, budak lelaki ini bernafas semula! Dengan itu, Elia membawa budak ini turun ke bawah lalu memberitahu ibunya, “Lihatlah! Anakmu sudah hidup!” Oleh itu, wanita ini berasa sangat gembira.
Terdapat seorang lagi penubuat Yehuwa yang penting yang bernama Elisa. Dia ialah pembantu Elia. Tetapi kemudiannya, Yehuwa menggunakan Elisa untuk melakukan mukjizat-mukjizat juga. Pada suatu hari, Elisa pergi ke kota Sunem. Di sana terdapat seorang wanita yang baik kepadanya. Beberapa lama kemudian, wanita tersebut melahirkan seorang bayi lelaki.
Pada suatu pagi, apabila anak wanita itu sudah lebih besar, dia keluar ke ladang untuk menyertai bapanya yang sedang bekerja di sana. Tiba-tiba budak itu menjerit, “Kepala saya sakit!” Selepas dibawa pulang ke rumahnya, dia meninggal. Betapa sedihnya hati ibunya! Tanpa membuang masa, ibunya pergi mendapatkan Elisa.
Apabila Elisa tiba di rumah wanita tersebut, dia masuk ke dalam sebuah bilik. Di sana, dia menjumpai mayat anak itu. Dia berdoa kepada Yehuwa dan membaringkan dirinya di atas anak yang mati itu. Tidak lama kemudian, tubuh budak itu menjadi hangat, dan dia bersin sebanyak tujuh kali. Betapa gembiranya hati ibu budak itu apabila dia masuk ke dalam bilik dan mendapati bahawa anaknya hidup!
Sehingga kini, banyak orang telah meninggal. Hal ini membuat keluarga dan kawan-kawan mereka sangat sedih. Kita tidak ada kuasa untuk membangkitkan orang yang telah mati. Tetapi, Yehuwa berupaya untuk berbuat demikian. Kita akan belajar dengan lebih banyak lagi tentang bagaimana Yehuwa akan menghidupkan semula berjuta-juta orang yang telah mati.