Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 79

Daniel di dalam Lubang Singa

Daniel di dalam Lubang Singa

ALAMAK! Nampaknya nyawa Daniel terancam. Namun begitu, singa-singa ini tidak mencederakannya! Tahukah adik mengapa? Siapakah yang memasukkan Daniel ke dalam lubang dengan singa-singa ini? Marilah kita lihat jawapannya.

Pada masa ini, raja Babilon merupakan seorang lelaki yang bernama Darius. Dia amat menyukai Daniel kerana Daniel baik hati dan bijaksana. Darius memilih Daniel untuk menjadi salah seorang daripada penguasa utama dalam kerajaannya. Oleh itu, pegawai-pegawai lain di dalam kerajaan Darius cemburu akan Daniel. Jadi, mereka telah melakukan perkara berikut.

Mereka menghadap Darius lalu berkata, “Daulat tuanku, kami telah bersetuju bahawa tuanku patut mengeluarkan satu perintah yang menyatakan bahawa selama 30 hari, tidak seorang pun patut berdoa kepada mana-mana tuhan atau manusia, kecuali kepada tuanku sendiri. Sesiapa yang melanggar perintah ini harus dicampakkan ke dalam lubang singa.” Darius tidak tahu mengapa mereka meminta dia meluluskan perintah ini. Namun dia berpendapat bahawa perintah ini ialah perintah yang baik. Jadi dia meluluskannya. Sekarang undang-undang ini tidak boleh diubahkan lagi.

Apabila Daniel mengetahui undang-undang ini, dia balik ke rumahnya lalu berdoa seperti biasa. Kumpulan lelaki yang jahat ini tahu bahawa Daniel tidak akan berhenti berdoa kepada Yehuwa. Mereka berasa gembira kerana rancangan mereka untuk menyingkirkan Daniel nampaknya akan berjaya.

Apabila Raja Darius tahu mengapa kumpulan lelaki ini meminta undang-undang itu diluluskan, dia berasa kesal. Namun demikian, dia tidak boleh mengubahkan undang-undang itu. Maka dia terpaksa memberi perintah supaya Daniel dicampakkan ke dalam lubang singa. Walau bagaimanapun, Darius memberitahu Daniel, “Beta berharap Tuhan yang disembah oleh kamu akan menyelamatkan kamu.”

Pada malam itu, Darius berasa begitu gelisah sehingga dia tidak dapat tidur. Pada keesokan paginya, dia pergi ke lubang singa itu dengan tergesa-gesa. Adik boleh nampak Darius di dalam gambar ini. Dia sedang menjerit, “Daniel, hamba Tuhan yang hidup! Adakah Tuhan yang kamu sembah dapat menyelamatkan kamu daripada singa-singa ini?”

“Tuhan telah menghantar malaikat-Nya,” Daniel menjawab, “dan malaikat itu menutup mulut singa-singa ini supaya hamba tidak diapa-apakan.”

Raja Darius berasa sangat gembira. Dia memberi perintah agar Daniel dikeluarkan dari lubang itu. Kemudian, dia memberi perintah agar kumpulan lelaki yang jahat itu dicampakkan ke dalam lubang singa. Sebelum mereka sampai ke dasar lubang itu, singa-singa itu menerkam mereka dan mematah-matahkan semua tulang mereka.

Kemudian Raja Darius menulis surat kepada semua orang dalam kerajaannya. Dia berkata, “Beta memberikan perintah agar semua orang menghormati Tuhan yang disembah oleh Daniel. Dia melakukan mukjizat-mukjizat yang menakjubkan. Dia telah menyelamatkan Daniel daripada dimakan oleh singa-singa.”