Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 78

Tulisan Pada Dinding

Tulisan Pada Dinding

APAKAH yang sedang berlaku di sini? Orang yang adik lihat di sini sedang mengadakan sebuah jamuan yang besar. Raja Babilon telah menjemput seribu orang tetamu yang penting. Mereka sedang menggunakan cawan-cawan emas dan cawan-cawan perak serta mangkuk-mangkuk yang telah diambil dari Rumah Yehuwa di Yerusalem. Tiba-tiba, jari seorang manusia muncul dan mula menulis sesuatu pada dinding. Semua orang berasa takut.

Pada masa ini, Belsyazar, cucu lelaki Nebukadnezar sedang memerintah sebagai raja. Dia berteriak memanggil orang berilmunya. Dia berkata, “Sesiapa yang boleh membaca tulisan ini dan memberitahu beta maksudnya akan menerima banyak hadiah dan akan dijadikan orang yang ketiga penting dalam kerajaan ini.” Tetapi, tidak seorang pun daripada orang berilmunya dapat membaca atau memberitahu Raja Belsyazar erti tulisan tersebut.

Ibu Raja Belsyazar terdengar bunyi yang riuh, jadi dia masuk ke dalam bilik makan yang besar itu. “Janganlah berasa takut,” dia berkata kepada raja. “Terdapat seorang lelaki dalam kerajaan tuanku yang kenal akan tuhan-tuhan yang suci. Semasa datuk tuanku, Nebukadnezar memerintah sebagai raja, dia telah menjadikan lelaki ini sebagai ketua orang berilmunya. Namanya Daniel. Panggillah Daniel dan dia akan memberitahu tuanku maksud tulisan ini.”

Jadi, dengan serta-merta, Daniel dibawa ke istana untuk menghadap raja. Selepas Daniel menolak pemberian-pemberian raja, dia memberitahu Belsyazar mengapa datuknya, Nebukadnezar pernah diturunkan dari takhtanya oleh Yehuwa. “Dia sangat sombong,” kata Daniel. “Jadi, Yehuwa telah menghukumnya.”

“Tetapi tuanku tidak merendahkan diri walaupun tuanku tahu akan segala-gala yang telah berlaku kepadanya. Tuanku telah minum dengan menggunakan cawan-cawan dan mangkuk-mangkuk yang telah tuanku ambil dari Rumah Yehuwa. Tuanku telah memuji tuhan yang dibuat daripada kayu dan batu, dan tuanku tidak menghormati Pencipta Agung kita. Inilah sebabnya Tuhan menyuruh tangan itu untuk menulis kata-kata ini,” Daniel memberitahu Belsyazar.

“Inilah apa yang tertulis: ‘MENE, MENE, TEKEL, dan FARSIN,’” kata Daniel.

“MENE bererti Tuhan telah menghitung masa pemerintahan tuanku dan mengakhirinya. TEKEL bererti tuanku telah ditimbang di atas neraca tetapi didapati kurang baik. FARSIN bererti kerajaan tuanku diberikan kepada orang Media dan Persia.”

Semasa Daniel masih bercakap, orang Media dan Persia telah mula menyerang Babilon. Mereka menawan kota itu dan membunuh Belsyazar. Apa yang tertulis pada dinding telah berlaku pada malam itu juga! Tetapi, sekarang, apakah yang akan berlaku kepada orang Israel? Kita akan mengetahui jawapannya tidak lama lagi. Marilah kita lihat apa yang berlaku kepada Daniel.