Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 87

Yesus di Rumah Tuhan

Yesus di Rumah Tuhan

LIHATLAH budak yang sedang bercakap dengan beberapa orang lelaki di dalam gambar ini. Mereka ialah guru-guru agama di Rumah Tuhan di Yerusalem. Budak lelaki ini ialah Yesus. Sekarang dia sudah berumur 12 tahun.

Guru-guru ini sangat kagum dengan Yesus kerana dia mempunyai pengetahuan yang dalam tentang Tuhan dan tentang apa yang tertulis dalam Bible. Tetapi, mengapakah Yusuf dan Maria tidak bersama-samanya? Di manakah mereka? Marilah kita cari jawapannya.

Setiap tahun, Yusuf membawa keluarganya ke Yerusalem untuk menyambut suatu perayaan istimewa yang dipanggil perayaan Paska. Perjalanan dari Nasaret ke Yerusalem adalah jauh. Pada masa itu, orang tidak mempunyai kereta, dan kereta api masih belum dicipta. Jadi, kebanyakan orang berjalan kaki. Perjalanan mereka ke Yerusalem mengambil masa kira-kira tiga hari.

Sekarang, keluarga Yusuf agak besar. Yesus mempunyai beberapa orang adik lelaki dan adik perempuan yang perlu dijaga. Pada tahun ini, Yusuf, Maria, dan anak-anak mereka telah meninggalkan Yerusalem untuk pulang ke Nasaret. Mereka menyangka Yesus ada bersama-sama rombongan mereka. Tetapi apabila mereka berhenti untuk berehat pada hujung hari, mereka tidak menjumpai Yesus. Mereka mencarinya antara sanak saudara dan kawan-kawan mereka, tetapi mereka masih tidak menjumpainya! Jadi, mereka berpatah balik ke Yerusalem untuk mencari Yesus.

Akhirnya, mereka menjumpai Yesus bersama guru-guru agama di dalam Rumah Tuhan. Dia sedang mendengar kata-kata mereka dan menanyakan soalan kepada mereka. Semua orang sangat kagum dengan kebijaksanaan Yesus. Namun, Maria berkata, “Anakku, mengapa kamu berbuat sedemikian terhadap kami? Cemas hati ayah dan ibu mencarimu.”

Yesus menjawab, “Mengapakah ayah dan ibu mencari saya? Tidakkah ayah dan ibu tahu bahawa saya seharusnya berada di Rumah Bapa saya?”

Yesus suka belajar tentang Tuhan. Kita juga harus bersikap sedemikian. Tiap-tiap minggu semasa Yesus menghadiri perjumpaan untuk menyembah Tuhan di Nasaret, dia mendengar dengan penuh perhatian. Itulah sebabnya dia dapat mempelajari banyak perkara daripada Bible. Marilah kita mencontohi teladan Yesus.