Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 91

Yesus Mengajar di Atas Bukit

Yesus Mengajar di Atas Bukit

LIHATLAH gambar ini. Yesus sedang duduk sambil mengajar orang di atas sebuah bukit di Galilea. Mereka yang duduk paling dekat dengan Yesus ialah murid-muridnya. Dia telah memilih 12 orang lelaki daripada kalangan murid-muridnya untuk menjadi hawarinya. Hawari-hawari merupakan murid-murid Yesus yang istimewa. Tahukah adik siapa hawari-hawari Yesus?

Mereka ialah Simon Petrus dan Andreas, yang merupakan adik-beradik. Terdapat dua orang hawari lain yang juga merupakan adik-beradik, iaitu Yakobus dan Yohanes. Terdapat seorang lagi hawari yang bernama Yakobus, dan seorang lagi bernama Simon. Dua orang hawari bernama Yudas; seorang ialah Yudas Iskariot dan seorang lagi ialah Yudas yang juga dipanggil Tadius. Hawari-hawari yang lain ialah Filipus, Natanael (yang juga dipanggil Bartolomeus), Matius, dan Tomas.

Selepas Yesus pulang dari Samaria, buat pertama kali dia memberitakan: “Kerajaan syurga sudah dekat.” Tahukah adik, apakah kerajaan yang dimaksudkan oleh Yesus? Kerajaan yang dimaksudkan oleh Yesus ialah Kerajaan Tuhan. Kerajaan itu ialah sebuah kerajaan yang benar-benar wujud. Yesus ialah raja kerajaan itu. Dia akan memerintah dari syurga dan akan membawa kedamaian ke bumi. Kerajaan Tuhan akan menjadikan seluruh bumi sebuah firdaus yang indah.

Di dalam gambar ini, Yesus sedang mengajar orang tentang Kerajaan Tuhan. Yesus menjelaskan, “Sepatutnya kamu berdoa begini, ‘Ya Bapa kami di syurga, semoga nama-Mu dihormati. Semoga kerajaan-Mu datang. Semoga kehendak-Mu terjadi di bumi, seperti di syurga.’” Doa ini dipanggil ‘Doa Bapa Kami’ oleh ramai orang. Bolehkah adik mengulang doa ini?

Yesus juga mengajar mereka bagaimana mereka patut melayan orang lain. “Apa yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, lakukanlah hal itu untuk mereka,” kata Yesus. Adik tentu gembira jika orang lain melayan adik dengan baik, bukan? Jadi, Yesus memberitahu kita bahawa kita harus melayan semua orang dengan baik. Dalam firdaus yang akan datang, semua orang akan berbuat demikian. Alangkah gembiranya hidup kita pada masa itu!