Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 29

“Mengenal Kasih Kristus”

“Mengenal Kasih Kristus”

1-3. (a) Mengapakah Yesus meniru teladan Bapanya? (b) Apakah yang akan kita bincangkan?

 PERNAHKAH anda melihat seorang budak yang suka meniru gerak-geri bapanya? Dia mungkin meniru cara bapanya berjalan, bercakap, atau bertindak. Seraya budak itu membesar, dia bahkan akan meniru nilai moral dan kerohanian bapanya. Ya, kasih dan kekaguman seorang anak terhadap bapanya yang pengasih membuat dia ingin menjadi seperti bapanya.

2 Demikianlah hubungan antara Yesus dengan Bapanya Yehuwa. Yesus pernah berkata, “Aku mengasihi Bapa.” (Yohanes 14:31) Tiada sesiapa pun yang mengasihi Yehuwa dengan lebih mendalam daripada Yesus. Sebelum makhluk lain diciptakan, Yesus telah meluangkan banyak masa bersama Bapanya. Kasih terhadap Bapanya telah mendorongnya untuk meniru segala sesuatu tentang Bapanya.​—Yohanes 14:9.

3 Sebelum ini, kita pernah membincangkan bagaimana Yesus meniru kuasa, keadilan, dan kebijaksanaan Yehuwa. Tetapi, bagaimanakah Yesus mencerminkan kasih Bapanya? Sekarang, marilah kita melihat tiga aspek kasih Yesus, iaitu sikap rela berkorban, sikap belas kasihan, dan kesudiannya untuk mengampuni orang.

“Tidak Ada Kasih yang Lebih Besar daripada Ini”

4. Bagaimanakah Yesus memperlihatkan ungkapan kasihnya yang terunggul?

4 Yesus sentiasa menunjukkan kasih dan sikap rela berkorban. Seseorang yang mempunyai kasih dan sikap rela berkorban mengutamakan keperluan dan kepentingan orang lain. Yesus pernah berkata, “Tidak ada kasih yang lebih besar daripada ini, iaitu kasih yang diperlihatkan oleh seseorang yang rela menyerahkan nyawanya demi sahabat-sahabatnya.” (Yohanes 15:13) Ya, Yesus telah mengorbankan nyawanya demi kita. Hal itu merupakan ungkapan kasihnya yang terunggul. Selain itu, Yesus telah menunjukkan kasih dan sikap rela berkorban dalam cara-cara yang lain.

5. Bagaimanakah Yesus membuktikan bahawa dia memiliki kasih dan sikap rela berkorban? Jelaskan.

5 Sebelum Yesus menjadi manusia, dia mempunyai kedudukan yang tinggi di syurga. Dia memiliki hubungan yang akrab dengan Tuhan dan para malaikat. Namun, Yesus telah “melepaskan segala-gala yang dimilikinya dan menjadi seperti seorang hamba. Ya, dia menjadi seorang manusia.” (Filipi 2:7) Dia rela turun ke dunia yang “berada di bawah kuasa Si Jahat” dan hidup dalam kalangan manusia yang berdosa. (1 Yohanes 5:19) Hal itu membuktikan bahawa Yesus memiliki kasih dan sikap rela berkorban.

6, 7. (a) Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa dia tidak mementingkan diri? (b) Apakah contoh yang sangat menyentuh hati yang tercatat di Yohanes 19:25-27?

6 Sepanjang masa Yesus menginjil, dia menunjukkan bahawa dia tidak mementingkan diri. Dia mengutamakan kerja menginjil dan sanggup mengorbankan keselesaan diri sendiri. Dia berkata, “Rubah mempunyai lubang dan burung di langit mempunyai sarang, tetapi Anak Manusia tidak mempunyai tempat tidur sendiri.” (Matius 8:20) Sebenarnya, Yesus dapat memiliki rumah yang mewah kerana dia ialah seorang tukang kayu yang mahir. Jika dia menjual hasil pertukangannya, dia dapat menjadi kaya. Namun, dia tidak pernah menggunakan kemahirannya untuk mengaut keuntungan.

7 Satu contoh yang sangat menyentuh hati tercatat di Yohanes 19:25-27. Sudah pasti banyak hal yang bermain dalam fikiran Yesus semasa dia digantung pada tiang seksaan. Dia mungkin berfikir tentang murid-muridnya, kerja menginjil, kesetiaannya, dan nama baik Bapanya yang telah diaibkan. Dia pasti sangat tertekan kerana masa depan umat manusia terletak di tangannya. Namun, sejurus sebelum dia meninggal, Yesus menunjukkan bahawa dia sangat prihatin terhadap ibunya. Nampaknya Maria ialah seorang balu pada waktu itu. Maka dia meminta Yohanes untuk menjaga Maria. Ya, pada waktu itu pun dia berfikir tentang keperluan fizikal dan rohani ibunya! Tidakkah hal itu menunjukkan bahawa Yesus langsung tidak mementingkan diri?

“Dia Berasa Kasihan”

8. Apakah maksud ungkapan “berasa kasihan” dalam bahasa Yunani?

8 Seperti Bapanya, Yesus juga berbelas kasihan. Bible sering menceritakan bagaimana Yesus membantu orang yang menderita kerana didorong oleh sikap belas kasihannya. Bible menyatakan bahawa dia “berasa kasihan” terhadap orang. Seorang cendekiawan menyatakan bahawa dalam bahasa Yunani, ungkapan itu menggambarkan emosi yang sangat mendalam, dan merupakan ungkapan yang paling kuat untuk menggambarkan perasaan belas kasihan. Mari kita lihat bagaimana Yesus memperlihatkan sifat ini.

9, 10. (a) Mengapakah Yesus dan para rasulnya menaiki sebuah perahu dan pergi ke tempat yang lain? (b) Apakah reaksi Yesus semasa orang mengganggu masa rehatnya, dan mengapa?

9 Tergerak untuk membantu orang secara rohani. Kisah di Markus 6:30-34 menonjolkan sikap belas kasihan Yesus. Bayangkanlah apa yang berlaku. Para rasul baru selesai menginjil dan mereka tidak sabar-sabar mahu memberitahu Yesus segala sesuatu yang telah berlaku. Tetapi begitu ramai orang datang sehingga Yesus dan para rasul bahkan tiada masa untuk makan. Yesus nampak bahawa para rasulnya sangat penat, maka dia berkata, “Marilah kita pergi ke suatu tempat yang sunyi untuk berehat.” Maka mereka menaiki sebuah perahu dan belayar ke arah utara Tasik Galilea. Tetapi banyak orang telah mengetahui rancangan Yesus dan para rasulnya, maka mereka berlari dan tiba di tempat itu terlebih dahulu.

10 Adakah Yesus marah kerana masa rehatnya diganggu? Tidak! Markus menulis bahawa apabila Yesus melihat ribuan orang yang berada di situ, “dia berasa kasihan terhadap mereka kerana mereka seperti biri-biri tanpa gembala, lalu dia mula mengajarkan banyak perkara kepada mereka.” Di mata Yesus, orang ramai itu seperti biri-biri yang tidak mempunyai gembala untuk membimbing dan melindungi mereka. Yesus tahu bahawa para pemimpin agama mengabaikan keperluan rohani orang ramai dan bersikap dingin dan kejam. (Yohanes 7:47-49) Dia berasa kasihan terhadap orang ramai maka dia mula mengajar mereka “tentang Kerajaan Tuhan.” (Lukas 9:11) Perhatikan bahawa Yesus berasa kasihan terhadap mereka biarpun dia tidak tahu sama ada mereka akan menyambut ajarannya atau tidak. Dalam erti kata lain, Yesus menginjil kerana didorong oleh belas kasihannya, dan bukannya sambutan orang terhadap ajarannya.

Dia “menghulurkan tangannya dan menyentuh lelaki itu”

11, 12. (a) Apakah pandangan orang terhadap pesakit kusta pada zaman Yesus? Apakah yang dilakukan oleh Yesus semasa seorang pesakit kusta menghampirinya? (b) Apakah agaknya perasaan pesakit kusta itu semasa Yesus menyentuhnya? Ceritakan pengalaman seorang doktor.

11 Tergerak untuk melegakan penderitaan orang. Orang yang sakit tertarik kepada Yesus kerana mereka tahu bahawa dia berbelas kasihan. Hal ini jelas kelihatan semasa “seorang lelaki yang seluruh tubuhnya dijangkiti penyakit kusta” menghampiri Yesus. (Lukas 5:12) Pada zaman Bible, pesakit kusta harus diasingkan agar tidak menjangkiti orang lain. (Bilangan 5:1-4) Tetapi, para rabbi mengenakan peraturan-peraturan yang tidak munasabah dan menggalakkan orang untuk melayan pesakit kusta dengan keji. a Adakah Yesus terpengaruh dengan sikap mereka? Tidak! Apabila pesakit kusta itu datang kepada Yesus untuk disembuhkan, Yesus mengasihaninya lalu menyentuhnya sambil berkata, “Aku rela. Sembuhlah!” Dengan serta-merta penyakit kustanya hilang. (Markus 1:40-42) Yesus tahu bahawa menurut hukum, pesakit kusta itu tidak patut berada di sana. Tetapi Yesus tidak mengusir dia. Sebaliknya, rasa belas kasihan telah menggerakkan Yesus untuk menyentuh lelaki itu dan menyembuhkannya.

12 Mengapakah Yesus menyentuh pesakit kusta itu? Pengalaman Dr. Paul Brand, seorang pakar penyakit kusta, dapat membantu kita memahami sebabnya. Sewaktu dia merawat seorang pesakit kusta di India, dia meletakkan tangannya pada bahu pesakit itu sambil menjelaskan rawatan yang akan dijalani oleh pesakit itu melalui seorang penterjemah. Tiba-tiba, pesakit itu mula menangis. Dia pun bertanya, “Adakah saya tersalah cakap?” Penterjemah itu menanya pesakit itu lalu menjawab, “Tidak, doktor. Dia menangis kerana berasa sangat terharu. Tiada orang yang pernah menyentuhnya selama bertahun-tahun, tetapi kamu telah meletakkan tangan kamu pada bahunya.” Pesakit kusta yang menghampiri Yesus pun pasti amat terharu kerana Yesus telah menyentuhnya dan menyembuhkan penyakitnya yang ngeri itu!

13, 14. (a) Apakah peristiwa yang berlaku dekat kota Nain? Apakah yang membuat situasi itu amat menyedihkan? (b) Belas kasihan Yesus menggerakkannya untuk melakukan apa?

13 Tergerak untuk membawa kelegaan hati. Yesus sangat sedih semasa melihat orang menderita. Sebagai contoh, perhatikan kisah di Lukas 7:11-15. Semasa Yesus hampir tiba di pintu gerbang kota Nain, ada orang mengusung mayat seorang lelaki keluar. Lelaki itu ialah anak tunggal seorang balu. Sebelum itu, balu itu telah kehilangan suaminya dan sekarang anak tunggalnya juga telah meninggal. Meskipun rombongan itu merangkumi orang yang diupah untuk meratap dan pemuzik yang memainkan muzik perkabungan, pandangan Yesus tertumpu kepada balu itu yang dirundung kepedihan hati. Pada waktu itu, balu itu sedang berjalan dekat mayat anak kesayangannya yang sedang diusung.​—Yeremia 9:17, 18; Matius 9:23.

14 Yesus berasa kasihan terhadap balu itu. Dengan nada yang lembut, dia berkata kepadanya, “Janganlah menangis.” Kemudian Yesus menghampiri dan menyentuh usungan itu lalu para pengusung berhenti. Kemudian Yesus berkata, “Hai lelaki muda, aku menyuruhmu: Bangunlah!” Lelaki yang mati itu pun duduk dan mula bercakap. Kemudian, Yesus menyerahkan lelaki tersebut kepada ibunya.

15. (a) Apakah yang dapat kita pelajari tentang belas kasihan Yesus? (b) Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Yesus?

15 Apakah yang dapat kita pelajari daripada kisah-kisah ini? Yesus memperlihatkan belas kasihannya melalui perbuatannya. Yesus tidak sekadar berasa kasihan terhadap orang, dia juga tergerak untuk membantu mereka. Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Yesus? Sebagai orang Kristian, kita mempunyai kewajipan untuk menginjil dan menjadikan orang murid Yesus. Sebab utama kita berbuat demikian adalah kerana kita mengasihi Tuhan. Tetapi kita juga berbuat demikian kerana kita mengasihi orang lain. Jika kita meniru teladan Yesus dan berbelas kasihan terhadap orang lain, kita akan didorong untuk menginjil dengan bersungguh-sungguh. (Matius 22:37-39) Tetapi bagaimanakah kita dapat menunjukkan belas kasihan terhadap rakan seiman yang sedang menderita? Meskipun kita tidak dapat menyembuhkan mereka atau membangkitkan orang yang telah mati, kita dapat menunjukkan belas kasihan dengan bersikap prihatin dan memberikan bantuan yang praktikal kepada mereka.​—Efesus 4:32.

“Ya Bapa, Ampunilah Mereka”

16. Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa dia sudi mengampuni orang semasa dia menderita pada tiang seksaan?

16 Yesus juga mencerminkan kasih Bapanya dalam satu lagi cara: Dia “suka mengampuni” orang. (Mazmur 86:5) Hal ini dibuktikan semasa dia digantung pada tiang seksaan. Pada waktu itu, dia perlu mengalami kematian yang memalukan dan menderita kesakitan yang teruk. Namun, apakah yang dikatakannya? Adakah dia berseru kepada Yehuwa untuk menghukum orang yang telah menganiayanya? Tidak! Yesus berkata, “Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang dilakukan oleh mereka.”​—Lukas 23:34. b

17-19. Bagaimanakah Yesus meyakinkan Petrus bahawa dia telah mengampuni Petrus?

17 Kerelaan Yesus untuk mengampunkan dosa orang ditonjolkan dalam cara dia memperlakukan Rasul Petrus. Memang tidak dapat dinafikan bahawa Petrus sangat mengasihi Yesus. Pada 14 Nisan, iaitu sebelum Yesus dibunuh, Petrus berkata kepada Yesus, “Tuan, aku bersedia untuk dipenjarakan dan mati bersama-sama Tuan.” Namun, beberapa jam kemudian, Petrus menafikan bahawa dia mengenal Yesus sebanyak tiga kali! Semasa Petrus menyangkal Yesus buat kali ketiga, Firman Tuhan memberitahu kita, “Tuan Yesus berpaling dan memandang Petrus.” Petrus pasti berasa sangat kecewa dengan dirinya sendiri, lalu dia “keluar dan menangis tersedu-sedu.” Semasa Yesus meninggal pada hari itu, Petrus pasti tertanya-tanya sama ada Yesus telah mengampunkan dosanya atau tidak.​—Lukas 22:33, 61, 62.

18 Namun, Petrus tidak perlu menunggu lama untuk mengetahui perasaan Yesus terhadapnya. Tidak lama kemudian, iaitu pada pagi 16 Nisan, Yesus telah dibangkitkan. Nampaknya pada hari itu juga, Yesus telah mengunjungi Petrus semasa Petrus bersendirian. (Lukas 24:34; 1 Korintus 15:4-8) Mengapakah Yesus memberikan perhatian yang khusus kepada Petrus meskipun Petrus telah menyangkalnya sebanyak tiga kali? Hal ini demikian kerana Yesus mahu meyakinkan Petrus bahawa dia masih mengasihi dan menghargai Petrus. Namun Yesus juga meyakinkan Petrus dengan cara lain. Bagaimana?

19 Beberapa waktu kemudian, Yesus menampakkan diri kepada murid-muridnya di Tasik Galilea. Pada waktu itu, Yesus bertanya kepada Petrus sebanyak tiga kali sama ada Petrus mengasihinya atau tidak. Selepas kali yang ketiga, Petrus menjawab, “Tuan mengetahui segala sesuatu. Tuan tahu bahawa aku mengasihi Tuan.” Yesus dapat membaca hati orang dan mengetahui bahawa Petrus mengasihinya. Namun, Yesus memberi Petrus peluang untuk meluahkan isi hatinya. Selain itu, Yesus juga memberi Petrus tugas untuk menjaga dan memberikan makanan kepada “anak bebirinya.” (Yohanes 21:15-17) Sebelum itu, Petrus diberikan tugas untuk menginjil. (Lukas 5:10) Tetapi sekarang, Yesus menunjukkan bahawa dia masih mempercayai Petrus dengan memberinya tanggungjawab yang lebih besar, iaitu menjaga orang yang bakal menjadi murid-murid Yesus. Tidak lama kemudian, Yesus memberi Petrus satu lagi amanah yang lebih besar. (Kisah 2:1-41) Petrus pasti berasa sangat lega untuk mengetahui bahawa Yesus telah mengampuninya dan masih mempercayainya.

Adakah Anda “Mengenal Kasih Kristus”?

20, 21. Bagaimanakah kita dapat “mengenal kasih Kristus” dengan sepenuhnya?

20 Sememangnya, Bible menggambarkan kasih Kristus dengan baik sekali. Tetapi, apakah reaksi kita terhadap kasih Kristus? Bible menggalakkan kita untuk “mengenal kasih Kristus yang lebih unggul daripada pengetahuan.” (Efesus 3:19) Kita telah mempelajari banyak maklumat tentang kasih Yesus daripada kisah hidupnya yang dicatatkan dalam Bible. Namun, hal itu tidak bermaksud bahawa kita sudah “mengenal kasih Kristus.”

21 Dalam bahasa Yunani, perkataan “mengenal” membawa maksud mengetahui sesuatu “melalui pengalaman.” Kita sedang menyelami perasaan Yesus semasa kita menunjukkan sikap rela berkorban, sedia memaafkan, berbelas kasihan terhadap orang dan berusaha untuk membantu mereka, dan tidak bersikap mementingkan diri. Jika kita berbuat demikian, kita akan “mengenal kasih Kristus yang lebih unggul daripada pengetahuan.” Ingatlah bahawa jika kita menghampiri Yesus, kita juga akan menghampiri Yehuwa, Tuhan kita yang pengasih. Tidakkah kita bersyukur kerana Yehuwa telah memberi kita penghormatan yang begitu besar?

a Para rabbi menyatakan bahawa seorang pesakit kusta harus berada sekurang-kurangnya 1.8 meter daripada orang yang sihat. Tetapi jika angin sedang bertiup, dia harus berada sekurang-kurangnya 45 meter daripada orang yang sihat. Catatan Midrash Rabbah mengandungi kisah tentang bagaimana seorang rabbi menghindari pesakit kusta dan seorang lagi rabbi melemparkan batu ke arah pesakit kusta. Maka para pesakit kusta sering kali menderita kerana dipandang hina dan dibenci.

b Dalam sesetengah manuskrip kuno, bahagian pertama ayat Lukas 23:34 telah dikeluarkan. Namun, Terjemahan Dunia Baharu dan terjemahan-terjemahan lain memasukkan bahagian pertama ayat itu ke dalam Bible kerana banyak manuskrip yang diakui kesahihannya juga mengandunginya. Nampaknya dalam ayat itu, Yesus sedang bercakap tentang askar-askar Roma yang membunuhnya pada tiang seksaan. Mereka tidak tahu siapa sebenarnya Yesus dan tidak sedar bahawa perbuatan mereka itu berdosa. Dia juga mungkin sedang merujuk kepada orang Yahudi yang ingin dia dibunuh, tetapi belakangan telah beriman kepadanya. (Kisah 2:36-38) Tetapi para pemimpin agama yang merupakan dalang di sebalik apa yang menimpa Yesus bertindak dengan sengaja dan dengan niat jahat. Maka kebanyakan daripada mereka tidak akan diampuni Tuhan.​—Yohanes 11:45-53.