BAB 28
“Engkau Sahajalah yang Setia”
1, 2. Apakah kesusahan yang dialami oleh Daud?
RAJA DAUD terpaksa berhadapan dengan banyak pengkhianat sepanjang hidupnya. Dia pernah dikhianati oleh orang yang sebangsa dengannya, dan bahkan orang yang rapat dengannya pun tidak setia kepadanya. Contohnya, dia dikhianati oleh isterinya yang pertama, iaitu Mikhal. Pada mulanya, Mikhal “jatuh cinta kepada Daud” dan menyokong usaha Daud untuk menjadi raja. Tetapi pada kemudian hari, dia “menghina Daud dalam hatinya,” dan menganggap Daud “seperti orang bodoh.”—1 Samuel 18:20; 2 Samuel 6:16, 20.
2 Penasihat peribadi Raja Daud, Ahitofel, juga mengkhianatinya. Pada mulanya, Ahitofel setia kepada Daud, dan nasihatnya dianggap sebagai firman Yehuwa. (2 Samuel 16:23) Tetapi dia berpaling tadah dan menyertai pemberontakan untuk merebut takhta Daud. Siapakah yang mengetuai pemberontakan itu? Absalom, anak kandung Daud! Anak yang derhaka ini “mengambil hati orang Israel” agar dia sendiri dapat menjadi raja. Dia berjaya sehingga Raja Daud terpaksa melarikan diri.—2 Samuel 15:1-6, 12-17.
3. Daud yakin tentang apa?
3 Ada sesiapakah yang tetap setia kepada Daud sepanjang hayatnya? Ada, Tuhan Yehuwa! Daud sendiri telah berkata tentang Yehuwa, “Engkau setia kepada orang yang setia.” (2 Samuel 22:26) Apakah itu kesetiaan? Bagaimanakah Yehuwa menjadi teladan yang terbaik dalam menunjukkan kesetiaan?
Apakah Itu Kesetiaan?
4, 5. (a) Apakah itu kesetiaan? (b) Apakah perbezaan antara kesetiaan yang ditunjukkan oleh benda yang tidak hidup dengan kesetiaan yang ditunjukkan oleh manusia?
4 Dalam Kitab Ibrani, “kesetiaan” merujuk kepada sifat rela berpaut pada seseorang atau sesuatu sehingga matlamatnya tercapai. Kesetiaan juga berkait rapat dengan kasih. a Yang menariknya, pemazmur menyatakan bahawa bulan adalah “seperti saksi yang setia di langit.” (Mazmur 89:37) Kita dapat yakin dan percaya sepenuhnya bahawa bulan sentiasa ada pada waktu malam. Tetapi bulan tidak dapat menunjukkan kesetiaan seperti manusia. Mengapa? Hal ini demikian kerana kesetiaan berasaskan kasih, dan benda yang tidak hidup tidak dapat menunjukkan kasih.
Bulan seperti saksi yang setia, tetapi hanya makhluk hidup dapat mencerminkan kesetiaan Yehuwa
5 Dalam Bible, kesetiaan ialah sifat yang menyentuh hati orang. Hanya dua orang yang bersahabat akan menunjukkan kesetiaan kepada satu sama lain. Kesetiaan tidak berubah-ubah seperti ombak yang ditiup angin. Kesetiaan membantu seseorang mempunyai keteguhan dan kekuatan untuk menangani pelbagai cabaran.
6. (a) Adakah kesetiaan mudah ditemui dewasa ini? Apakah yang dikatakan Bible tentang hal ini? (b) Apakah cara yang terbaik untuk memahami makna kesetiaan? Mengapa?
6 Pada hakikatnya, kesetiaan sejati susah ditemui. Dewasa ini, banyak sahabat “cenderung menghancurkan satu sama lain.” Kita juga sering mendengar tentang orang yang telah berkahwin meninggalkan pasangan mereka. (Amsal 18:24; Maleakhi 2:14-16) Ya, terdapat begitu banyak pengkhianatan di dunia ini sehingga kita bersetuju dengan kata-kata Nabi Mikha, “Orang yang setia telah lenyap dari bumi.” (Mikha 7:2) Tidak seperti manusia yang cenderung mengkhianati orang lain, Yehuwa selalu menunjukkan kesetiaan. Maka, cara terbaik untuk memahami makna kesetiaan adalah dengan mengkaji cara Yehuwa menunjukkan sifat ini.
Kesetiaan Yehuwa Tiada Tandingannya
7, 8. Mengapakah kita boleh mengatakan bahawa Yehuwa sahajalah yang setia?
7 Berkenaan Yehuwa, Bible menyatakan, “Engkau sahajalah yang setia.” (Wahyu 15:4) Apakah maksud ayat ini? Bible pernah menyatakan bahawa sesetengah manusia dan malaikat telah menunjukkan kesetiaan. (Ayub 1:1; Wahyu 4:8) Selain itu, Yesus Kristus dipanggil ‘hamba Tuhan yang setia.’ (Mazmur 16:10) Oleh itu, mengapakah ayat ini mengatakan bahawa Yehuwa sahajalah yang setia?
8 Ingatlah bahawa kesetiaan ialah salah satu aspek kasih. Memandangkan “Tuhan itu kasih” dan kasih merupakan sifat utama-Nya, tiada sesiapa pun yang dapat menandingi kesetiaan yang ditunjukkan oleh-Nya. (1 Yohanes 4:8) Sebenarnya, malaikat dan manusia dapat mencerminkan sifat-sifat Tuhan, tetapi Tuhan sahajalah yang dapat menunjukkan kesetiaan dalam cara yang terunggul. Dalam Bible, Yehuwa dipanggil “Dia Yang Lanjut Usia.” Hal ini bermaksud bahawa Yehuwa telah menunjukkan kesetiaan lebih lama daripada semua ciptaan-Nya, baik di syurga mahupun di bumi. (Daniel 7:9) Ya, Yehuwa ialah suri teladan kesetiaan, dan tiada orang dapat menandingi-Nya. Sekarang marilah kita melihat beberapa contoh yang menonjolkan kesetiaan Yehuwa.
9. Bagaimanakah Yehuwa “setia dalam semua perbuatan-Nya”? Berikan contoh.
9 Yehuwa “setia dalam semua perbuatan-Nya.” (Mazmur 145:17) Mazmur 136 menyatakan beberapa contoh bagaimana Yehuwa menyelamatkan bangsa Israel, termasuk peristiwa yang berlaku di Laut Merah. Yang menariknya, setiap ayat dalam mazmur ini disertai ungkapan “Kasih setia-Nya kekal abadi.” Mazmur ini merupakan salah satu ayat yang disebutkan dalam kotak “ Soalan untuk Direnungkan” dalam bab ini. Seraya anda membaca mazmur ini, anda pasti kagum dengan cara-cara Yehuwa menunjukkan kasih setia kepada umat-Nya. Ya, Yehuwa menunjukkan kesetiaan kepada umat-Nya yang setia dengan mendengar seruan mereka dan membantu mereka pada waktu yang ditetapkan-Nya. (Mazmur 34:6) Yehuwa tetap setia kepada umat-Nya selagi mereka setia kepada-Nya.
10. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan kesetiaan berkenaan piawaian-Nya?
10 Yehuwa juga menunjukkan kesetiaan kepada umat-Nya dengan berpegang teguh pada piawaian-Nya. Tidak seperti manusia yang tidak berpendirian dan sering bertindak mengikut perasaan, Yehuwa tidak pernah mengubah pandangan-Nya tentang apa yang baik dan apa yang jahat. Sejak dahulu hingga dewasa ini, pandangan-Nya tentang spiritisme, penyembahan berhala, dan pembunuhan tidak pernah berubah. Menerusi Nabi Yesaya, Dia berfirman, “Aku tetap sama sampai kamu tua.” (Yesaya 46:4) Maka kita dapat yakin bahawa jika kita mematuhi piawaian moral yang tercatat dalam Bible, kita akan meraih banyak manfaat.—Yesaya 48:17-19.
11. Nyatakan beberapa contoh yang menunjukkan bahawa Yehuwa menepati janji-Nya.
11 Selain itu, Yehuwa menunjukkan kesetiaan dengan menepati janji-Nya. Apabila Dia menubuatkan sesuatu, hal itu pasti akan menjadi kenyataan. Itulah sebabnya Dia dapat berfirman, ‘Firman yang keluar daripada mulut-Ku tidak akan kembali kepada-Ku dengan sia-sia, tetapi pasti akan melaksanakan apa sahaja yang Aku kehendaki, dan pasti berjaya melakukan perkara yang Aku ingini.’ (Yesaya 55:11) Dengan menepati janji-Nya, Yehuwa menunjukkan kesetiaan kepada umat-Nya. Dia tidak membuat mereka tertunggu-tunggu akan sesuatu yang tidak akan dilakukan-Nya. Yehuwa dapat dipercayai sepenuhnya. Itulah sebabnya Yosua berkata, “Antara semua perkara baik yang dijanjikan oleh Yehuwa kepada orang Israel, tiada satu pun yang gagal ditunaikan; semuanya menjadi kenyataan.” (Yosua 21:45) Ya, Yehuwa tidak akan pernah mengecewakan kita. Maka, kita dapat yakin bahawa Dia pasti menunaikan setiap janji-Nya.—Yesaya 49:23; Roma 5:5.
12, 13. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan bahawa kasih setia-Nya kekal abadi?
12 Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kasih setia Yehuwa “kekal abadi.” (Mazmur 136:1) Salah satu cara Dia menunjukkan bahawa kasih setia-Nya kekal abadi adalah dengan mengampunkan dosa kita buat selama-lamanya. Seperti yang dibincangkan dalam Bab 26, Yehuwa tidak akan mengungkit dosa lampau kita yang telah diampunkan-Nya. Memandangkan “semua orang sudah berdosa dan gagal mencerminkan kemuliaan Tuhan,” kita patut bersyukur kerana kasih setia-Nya kekal abadi.—Roma 3:23.
13 Yehuwa juga menunjukkan bahawa kasih setia-Nya kekal abadi dalam satu cara lagi. Firman-Nya menyatakan bahawa orang yang melakukan apa yang benar akan “menjadi seperti pokok yang ditanam di tepi sungai, yang berbuah pada musimnya, dan yang tidak layu dedaunnya. Dia akan berjaya dalam segala usahanya.” (Mazmur 1:3) Bayangkanlah sebatang pokok yang subur dan tidak akan layu! Kita juga dapat menikmati kehidupan yang panjang, aman, dan berjaya jika kita mencintai Firman Tuhan. Yehuwa akan memberikan berkat yang berkekalan kepada umat-Nya yang setia. Ya, dalam dunia baharu, manusia yang setia akan menikmati kasih setia Tuhan buat selama-lamanya.—Wahyu 21:3, 4.
Yehuwa “Tidak Akan Meninggalkan Umat-Nya yang Setia”
14. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan bahawa Dia menghargai kesetiaan umat-Nya?
14 Yehuwa selalu menunjukkan kesetiaan. Memandangkan Dia tidak berubah, kesetiaan yang ditunjukkan-Nya kepada umat-Nya juga tidak pernah berubah. Pemazmur menulis, “Dahulu aku muda dan sekarang aku sudah tua, tetapi aku tidak pernah melihat orang yang berbuat benar ditinggalkan Tuhan, ataupun anak-anak mereka meminta-minta makanan. Yehuwa mencintai keadilan, dan Dia tidak akan meninggalkan umat-Nya yang setia.” (Mazmur 37:25, 28) Yehuwa ialah Pencipta kita, maka kita wajib menyembah-Nya. (Wahyu 4:11) Namun, jika kita menyembah-Nya dengan rela dan setia, Dia menghargai kesetiaan kita.—Maleakhi 3:16, 17.
15. Jelaskan bagaimana Yehuwa menunjukkan kesetiaan kepada bangsa Israel.
15 Setiap kali umat-Nya ditimpa masalah, Yehuwa akan membantu mereka. Pemazmur menyatakan, “Dia melindungi nyawa orang yang setia kepada-Nya. Dia menyelamatkan mereka daripada cengkaman orang yang jahat.” (Mazmur 97:10) Pertimbangkan cara Dia memperlakukan bangsa Israel. Selepas Dia menyelamatkan mereka di Laut Merah, mereka menyanyikan pujian kepada-Nya: “Engkau menunjukkan kasih-Mu yang setia dengan memimpin umat-Mu yang telah Engkau selamatkan.” (Keluaran 15:13) Ya, Yehuwa telah menunjukkan kasih setia kepada mereka. Oleh itu, Musa memberitahu mereka, “Kamu dikasihi dan dipilih oleh Yehuwa, Tuhan kamu, bukan kerana kamu lebih besar daripada bangsa lain; sebenarnya kamu ialah bangsa yang paling kecil dalam kalangan semua bangsa. Sebaliknya, Yehuwa telah membebaskan kamu daripada kuasa Firaun, raja Mesir, dengan tangan-Nya yang perkasa, dan Yehuwa telah menyelamatkan kamu daripada perhambaan di Mesir, kerana Dia mengasihi kamu dan ingin menepati janji dan sumpah yang dibuat-Nya dengan nenek moyang kamu.”—Ulangan 7:7, 8.
16, 17. (a) Bagaimanakah bangsa Israel tidak menghargai kesetiaan Yehuwa? Tetapi bagaimanakah Yehuwa menunjukkan belas kasihan kepada mereka? (b) Mengapakah bangsa Israel “tidak dapat diselamatkan lagi”? Apakah pengajaran yang dapat kita raih daripada hal ini?
16 Tetapi bangsa Israel tidak menghargai kasih setia Yehuwa. Setelah mereka diselamatkan, “mereka terus berdosa terhadap-Nya; mereka memberontak terhadap Yang Maha Tinggi.” (Mazmur 78:17) Selama berabad-abad, mereka asyik meninggalkan Yehuwa untuk menyembah tuhan palsu dan mengikut amalan kafir yang menjijikkan. Namun, Yehuwa selalu menepati janji-Nya. Menerusi Nabi Yeremia, Dia merayu kepada mereka, ‘Wahai Israel yang suka memberontak, kembalilah kepada-Ku. Aku tidak akan murka terhadapmu lagi kerana Aku setia.’ (Yeremia 3:12) Tetapi seperti yang dinyatakan dalam Bab 25, kebanyakan orang Israel berdegil. Bible menyatakan, “Mereka tidak henti-henti mentertawakan utusan Tuhan yang benar. Mereka memandang remeh firman-Nya dan menghina nabi-nabi-Nya.” Apakah akibatnya? “Yehuwa murka terhadap mereka sehingga mereka tidak dapat diselamatkan lagi.”—2 Tawarikh 36:15, 16.
17 Apakah pengajaran yang dapat kita raih daripada hal ini? Meskipun Yehuwa berbelas kasihan dan “menunjukkan kasih setia yang melimpah,” Dia tidak dapat diperbodoh. Jika seorang pendosa enggan bertaubat, Dia akan berpegang teguh pada piawaian-Nya dan menghukum orang itu. Yehuwa berfirman, “Aku tidak akan membiarkan orang yang bersalah bebas daripada hukuman.”—Keluaran 34:6, 7.
18, 19. (a) Mengapakah Yehuwa sedang menunjukkan kesetiaan apabila Dia menghukum orang jahat? (b) Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan kesetiaan kepada umat-Nya yang telah dianiaya sampai mati?
18 Sebenarnya apabila Yehuwa menghukum orang jahat, Dia juga sedang menunjukkan kesetiaan. Dalam buku Wahyu, Yehuwa mengeluarkan perintah kepada tujuh malaikat, “Pergilah dan tuangkanlah tujuh mangkuk kemurkaan Tuhan ke atas bumi.” Apabila malaikat yang ketiga menuangkan isi mangkuknya “ke dalam sungai dan mata air,” air di situ berubah menjadi darah. Kemudian malaikat itu berkata kepada Yehuwa, “Ya Tuhan yang setia, yang sekarang ada, dan yang dahulu ada, Engkau adil kerana menjatuhkan hukuman ini. Oleh sebab mereka menumpahkan darah umat-Mu yang suci dan darah para nabi, Engkau telah memberi mereka darah untuk diminum. Hukuman itu memang setimpal dengan perbuatan mereka.”—Wahyu 16:1-6.
19 Perhatikan bahawa malaikat itu memanggil Yehuwa sebagai “Tuhan yang setia.” Mengapa? Hal ini demikian kerana dengan membinasakan orang jahat, Yehuwa sedang menunjukkan kesetiaan kepada umat-Nya. Yehuwa juga menunjukkan kesetiaan kepada umat-Nya yang telah dianiaya sampai mati. Dia mengingati dan merindui mereka, dan Bible memberikan jaminan bahawa Dia akan membangkitkan mereka. (Ayub 14:14, 15) Ya, Yehuwa tidak pernah melupakan umat-Nya yang setia biarpun mereka telah meninggal. Sebaliknya, di mata-Nya, “mereka semua masih hidup.” (Lukas 20:37, 38) Yehuwa membuktikan bahawa Dia setia dengan membangkitkan orang yang berada dalam ingatan-Nya.
Yehuwa akan mengingati dan membangkitkan orang yang setia kepada-Nya
Kesetiaan Yehuwa Membawa Penyelamatan
20. Siapakah “tembikar yang layak menerima belas kasihan”? Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan kesetiaan kepada mereka?
20 Sepanjang sejarah manusia, Yehuwa telah menunjukkan kesetiaan kepada manusia yang setia. Sebenarnya, selama ribuan tahun, Yehuwa ‘sangat bersabar terhadap tembikar yang memang patut dibinasakan oleh-Nya supaya kemuliaan-Nya yang berlimpah-limpah dinyatakan kepada tembikar yang layak menerima belas kasihan-Nya. Awal-awal lagi, Tuhan sudah mempersiapkan tembikar-tembikar ini supaya dimuliakan.’ (Roma 9:22, 23) “Tembikar yang layak menerima belas kasihan-Nya” merujuk kepada orang yang berhati jujur yang diurapi kuasa suci Tuhan untuk memerintah bersama Kristus dalam Kerajaan Tuhan. (Matius 19:28) Dengan membuka jalan penyelamatan kepada golongan ini, Yehuwa sedang menunjukkan kesetiaan kepada Abraham kerana Dia telah berjanji kepada Abraham, “Melalui keturunanmu, semua bangsa di bumi akan meraih berkat, kerana engkau telah mendengar kata-kata-Ku.”—Kejadian 22:18.
21. (a) Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan kesetiaan kepada “kumpulan besar manusia” yang berpeluang untuk mengharungi “kesengsaraan besar”? (b) Kesetiaan Yehuwa menggerakkan anda untuk melakukan apa?
21 Yehuwa juga menunjukkan kesetiaan kepada “kumpulan besar manusia” yang berpeluang untuk mengharungi “kesengsaraan besar” dan hidup selama-lamanya di bumi firdaus. (Wahyu 7:9, 10, 14) Meskipun mereka tidak sempurna, Dia masih memberi mereka peluang untuk hidup selama-lamanya di bumi firdaus menerusi korban tebusan. Itulah bukti terbesar akan kesetiaan-Nya terhadap manusia. (Yohanes 3:16; Roma 5:8) Kesetiaan Yehuwa menarik orang yang mendahagakan kebenaran. (Yeremia 31:3) Tidakkah anda tergerak untuk menghampiri Yehuwa kerana kesetiaan-Nya? Semoga kita terus menyembah Yehuwa dengan setia.
a Perkataan Ibrani yang diterjemahkan sebagai “setia” di 2 Samuel 22:26 juga diterjemahkan sebagai “kasih setia” atau “kasih yang setia” dalam ayat-ayat lain.