Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 26

Tuhan yang “Suka Mengampuni”

Tuhan yang “Suka Mengampuni”

1-3. (a) Apakah beban berat yang dipikul oleh Daud? Bagaimanakah dia mendapat kelegaan hati? (b) Apabila kita berdosa, apakah beban yang mungkin kita pikul? Tetapi Yehuwa meyakinkan kita tentang apa?

 DAUD menulis, “Aku lemas dalam banjir dosaku; dosaku bagaikan beban yang sangat berat, dan aku tidak lagi mampu menanggungnya. Aku remuk-redam dan perasaanku menjadi kaku.” (Mazmur 38:4, 8) Daud amat menderita kerana hati nuraninya dibebani rasa bersalah. Tetapi Daud juga sedar bahawa biarpun Yehuwa membenci dosa, Dia tidak membenci pendosa yang bertaubat dan meninggalkan haluan yang salah. Maka dengan penuh keyakinan, Daud berkata, “Ya Yehuwa, Engkau . . . suka mengampuni.”​—Mazmur 86:5.

2 Apabila kita berdosa, hati nurani kita juga dibebani rasa bersalah. Memang tidak salah untuk berasa sedemikian kerana hal ini akan menggerakkan kita untuk membetulkan kesilapan kita. Tetapi kita perlu berhati-hati agar tidak dikuasai rasa bersalah. Jika hal ini berlaku, kita mungkin akan berfikir bahawa Yehuwa tidak akan mengampuni kita biarpun kita betul-betul bertaubat. Selain itu, Syaitan mungkin akan menggunakan peluang ini untuk membuat kita putus asa dan meninggalkan Yehuwa.​—2 Korintus 2:5-11.

3 Adakah Yehuwa enggan mengampuni kita? Tidak! Sikap suka mengampuni ialah salah satu aspek kasih Tuhan. Dalam Bible, Dia meyakinkan kita bahawa apabila kita benar-benar bertaubat, Dia akan mengampuni kita. (Amsal 28:13) Maka kita tidak patut berfikir bahawa kita tidak layak mendapat pengampunan-Nya. Untuk mengelakkan pandangan yang salah ini, marilah kita mengkaji mengapa Yehuwa mengampuni orang dan bagaimana Dia berbuat demikian.

Mengapa Yehuwa “Suka Mengampuni”

4. Yehuwa ingat tentang apa? Bagaimanakah hal ini mempengaruhi cara Dia membentuk kita?

4 Yehuwa tahu keterbatasan kita. Mazmur 103:14 menyatakan, “Dia tahu benar bagaimana kita dibentuk. Dia ingat bahawa kita ini debu.” Ya, Dia sentiasa ingat bahawa kita mempunyai banyak kelemahan kerana kita tidak sempurna. Ungkapan “Dia tahu benar bagaimana kita dibentuk” mengingatkan kita bahawa Yehuwa adalah seperti seorang tukang tembikar dan kita ialah tembikar-tembikar yang dibentuk-Nya. (Yeremia 18:2-6) Selaku Tukang Tembikar Agung, Dia menyesuaikan cara Dia membentuk kita berdasarkan keterbatasan kita dan reaksi kita terhadap bimbingan-Nya.

5. Bagaimanakah buku Roma menggambarkan kekuatan cengkaman dosa?

5 Yehuwa memahami betapa berkuasanya dosa. Bible menggambarkan dosa sebagai suatu daya kuat yang mencengkam manusia. Seberapa kuatkah cengkaman dosa? Perhatikan beberapa ungkapan berikut yang digunakan oleh Paulus dalam buku Roma untuk menjelaskan hal ini: Kita “dikuasai dosa,” sepertimana askar-askar dikuasai panglima mereka (Roma 3:9); dosa “memerintah sebagai raja” (Roma 5:21); dosa “ada dalam” diri kita (Roma 7:17, 20); dan “hukum” dosa menguasai kita dan memperhamba kita. (Roma 7:23, 25) Alangkah kuatnya kuasa dosa atas kita!​—Roma 7:21, 24.

6, 7. (a) Apakah pandangan Yehuwa terhadap orang yang bertaubat dan memohon pengampunan daripada-Nya? (b) Mengapakah kita tidak patut menggunakan belas kasihan Tuhan sebagai alasan untuk berbuat dosa?

6 Maka Yehuwa tahu bahawa kita tidak dapat mematuhi setiap hukum-Nya dengan sempurna biarpun kita ingin berbuat demikian. Dengan penuh kasih, Dia meyakinkan kita bahawa Dia akan mengampuni kita jika kita bertaubat dan memohon pengampunan daripada-Nya. Mazmur 51:17 menyatakan, “Korban yang Engkau terima ialah hati yang hancur; ya Tuhan, Engkau tidak akan menolak hati yang remuk dan sesal.” Ya, Yehuwa tidak sekali-kali akan menolak hati “yang remuk” akibat perasaan bersalah.

7 Adakah hal ini bererti bahawa kita boleh menggunakan belas kasihan Tuhan dan ketidaksempurnaan kita sebagai alasan untuk berbuat dosa? Sudah tentu tidak! Yehuwa tidak bertindak mengikut perasaan, dan belas kasihan-Nya ada batasnya. Dia tidak akan mengampuni orang yang sengaja berbuat dosa dan enggan bertaubat. (Ibrani 10:26) Tetapi apabila seseorang benar-benar bertaubat, Dia sudi mengampuninya. Marilah kita mengkaji beberapa ayat Bible yang menggambarkan kasih Tuhan dan kesudian-Nya untuk mengampuni orang.

Bagaimana Yehuwa Mengampuni Orang

8. Apabila Yehuwa mengampuni kita, Dia seolah-olah sedang melakukan apa? Hal ini meyakinkan kita tentang apa?

8 Daud berkata, “Aku tidak menyembunyikan kesalahanku, dan aku mengakui dosaku kepada-Mu. Maka Engkau mengampunkan kesalahan dan dosaku.” (Mazmur 32:5) Perkataan “mengampunkan” berasal daripada perkataan Ibrani yang bererti “mengangkat” atau “membawa pergi.” Dalam ayat ini, perkataan ini bererti menghilangkan “dosa, kesalahan, dan kesilapan.” Maka Yehuwa seolah-olah telah mengangkat dan membawa pergi dosa-dosa Daud, dan Daud tidak lagi dibebani rasa bersalah. (Mazmur 32:3) Kita juga dapat yakin bahawa Tuhan akan menghilangkan dosa kita jika kita memohon pengampunan-Nya atas dasar korban tebusan Yesus.​—Matius 20:28.

9. Seberapa jauhkah Yehuwa membuang dosa kita?

9 Daud menggambarkan pengampunan Yehuwa dalam satu cara lagi: “Sejauh matahari terbit dari matahari terbenam, sejauh itu juga Dia membuang dosa kita.” (Mazmur 103:12) Matahari terbit di timur dan terbenam di barat. Seberapa jauhkah timur dari barat? Timur berada di arah yang bertentangan dengan barat, dan kedua-dua arah itu tidak mungkin akan bertemu. Seorang cendekiawan menjelaskan bahawa ungkapan ini bererti “sejauh yang mungkin; sejauh yang dapat kita bayangkan.” Kata-kata Daud ini menunjukkan bahawa apabila Yehuwa mengampuni kita, Dia akan membuang dosa kita sejauh yang mungkin.

“Dosa-dosa kamu . . . akan menjadi putih seperti salji”

10. Mengapakah kita tidak perlu dibebani dosa lagi buat seumur hidup setelah Yehuwa mengampunkan dosa kita?

10 Pernahkah anda mencuba menanggalkan kotoran daripada sehelai baju putih? Biarpun anda mencuba sedaya upaya, kotoran itu mungkin masih tidak dapat ditanggalkan. Perhatikan bagaimana Yehuwa menggambarkan cara Dia mengampuni orang: “Walaupun dosa-dosa kamu merah marak, semuanya akan menjadi putih seperti salji; biarpun dosa-dosa kamu merah seperti darah, semuanya akan menjadi putih seperti bulu biri-biri.” (Yesaya 1:18) Warna merah ialah warna yang amat terang, dan menurut seorang cendekiawan, warna ini amat susah ditanggalkan biarpun dicuci berulang kali. Dosa kita seperti kotoran berwarna merah yang tidak dapat ditanggalkan atas usaha kita sendiri. Tetapi Yehuwa dapat menyingkirkan dosa kita yang merah marak dan menjadikannya putih seperti salji atau seperti bulu biri-biri. Apabila Yehuwa mengampunkan dosa kita, kita tidak perlu dibebani dosa lagi buat seumur hidup.

11. Apakah maksud ungkapan “Engkau telah melemparkan segala dosaku ke belakang-Mu”?

11 Hizkia menulis sebuah lagu untuk mengungkapkan kesyukurannya setelah Yehuwa menyembuhkan penyakitnya. Dalam lagu itu, dia berkata kepada Yehuwa, “Engkau tidak lagi memperhatikan dosa-dosaku,” atau menurut terjemahan lain, “Engkau telah melemparkan segala dosaku ke belakang-Mu.” (Yesaya 38:17) Yehuwa seakan-akan telah mengambil dosa orang yang bertaubat dan melemparkannya ke belakang agar Dia tidak lagi nampak dosa-dosa itu. Tidakkah gambaran ini melegakan hati anda?

12. Bagaimanakah Mikha menunjukkan bahawa apabila Yehuwa mengampuni kita, Dia menyingkirkan dosa kita buat selama-lamanya?

12 Nabi Mikha yakin bahawa Yehuwa akan menunaikan janji-Nya untuk memulihkan ibadat sejati dan mengampuni umat-Nya yang bertaubat. Dia menulis, ‘Tidak ada Tuhan seperti Engkau. Engkau melupakan kesilapan umat-Mu dan melemparkan semua dosa kami ke dasar laut.’ (Mikha 7:18, 19) Pada zaman Bible, orang tidak dapat mencari semula apa yang telah dilemparkan ke dasar laut. Maka, kata-kata Mikha menunjukkan bahawa apabila Yehuwa mengampuni kita, Dia menyingkirkan dosa kita buat selama-lamanya.

13. Apakah maksud ungkapan “ampunkanlah hutang kami”?

13 Yesus menggunakan perumpamaan tentang penghutang dan pemiutang untuk menggambarkan pengampunan Yehuwa. Dia berkata, “Ampunkanlah hutang kami.” (Matius 6:12, nota kaki) Yesus menyamakan dosa dengan hutang. (Lukas 11:4, nota kaki) Apabila kita berdosa, kita “berhutang” terhadap Yehuwa. Sebuah buku rujukan menjelaskan erti perkataan Yunani yang diterjemahkan “mengampuni” sebagai “membatalkan hutang dan tidak menuntut bayarannya.” Hal ini bererti bahawa apabila Yehuwa mengampuni kita, Dia membatalkan semua hutang kita. Maka kita dapat berasa lega kerana Yehuwa tidak sekali-kali akan menuntut bayaran untuk hutang yang telah dibatalkan-Nya.​—Mazmur 32:1, 2.

14. Apakah gambaran yang diberikan oleh ungkapan “dosa kamu dihapuskan”?

14 Pengampunan Yehuwa digambarkan dengan lebih terperinci di Kisah 3:19: “Bertaubatlah, dan berpalinglah kepada Tuhan supaya dosa kamu dihapuskan.” Perkataan “dihapuskan” diterjemahkan daripada perkataan Yunani yang membawa maksud “dipadamkan, . . . dibatalkan atau dilenyapkan.” Menurut beberapa cendekiawan, perkataan ini menggambarkan perbuatan memadamkan tulisan. Pada zaman kuno, dakwat biasanya diperbuat daripada bahan-bahan seperti arang, gam, dan air. Tulisan yang dihasilkan oleh dakwat sebegini dapat dipadamkan dengan span yang basah. Maka apabila Yehuwa mengampuni kita, Dia seolah-olah memadamkan dosa kita dengan span.

15. Yehuwa ingin kita mengetahui apa?

15 Tidakkah gambaran-gambaran ini menunjukkan bahawa Yehuwa memang suka mengampuni orang yang benar-benar bertaubat? Ya, kita tidak perlu risau bahawa Dia akan mengungkit dosa-dosa lampau kita. Bible menyingkapkan satu lagi aspek penting belas kasihan Yehuwa, iaitu apabila Dia mengampuni seseorang, Dia akan melupakan dosanya.

Yehuwa ingin kita tahu bahawa Dia “suka mengampuni”

“Aku Tidak Akan Mengingat Dosa Mereka”

16, 17. Apakah maksudnya Yehuwa melupakan dosa kita? Jelaskan.

16 Berkenaan orang yang terlibat dalam perjanjian baharu, Yehuwa berjanji, “Aku akan mengampunkan kesalahan mereka dan Aku tidak akan mengingat dosa mereka.” (Yeremia 31:34) Adakah hal ini bererti bahawa apabila Yehuwa mengampuni seseorang, Dia tidak dapat mengingat dosa yang telah dilakukan oleh orang itu? Tidak. Bible mengandungi banyak catatan tentang dosa yang telah diampunkan oleh Yehuwa, termasuk dosa Daud. (2 Samuel 11:1-17; 12:13) Maka jelaslah bahawa Yehuwa masih dapat mengingat dosa mereka. Selain mencatatkan dosa mereka, Yehuwa juga mencatatkan bagaimana mereka bertaubat dan mendapat pengampunan-Nya agar kita dapat meraih manfaat daripadanya. (Roma 15:4) Oleh itu, apakah yang dimaksudkan oleh Bible semasa menyatakan bahawa Yehuwa tidak akan “mengingat” dosa yang telah diampunkan-Nya?

17 Perkataan Ibrani yang diterjemahkan “mengingat” bukan sekadar membawa maksud mengingat kembali hal-hal lampau. Sebuah buku rujukan menjelaskan bahawa perkataan ini “juga merangkumi mengambil tindakan.” Maka, “mengingat” dosa merangkumi mengambil tindakan untuk menghukum pendosa. (Hosea 9:9) Oleh itu, apabila Tuhan berfirman “Aku tidak akan mengingat dosa mereka,” Dia sedang meyakinkan kita bahawa Dia tidak akan mengungkit atau menghukum kita lagi atas dosa yang telah diampunkan-Nya. (Yehezkiel 18:21, 22) Ya, Yehuwa bukan sekadar mengampuni kita, Dia juga melupakan dosa kita. Tidakkah hal ini melegakan hati anda?

Perlukah Kita Menanggung Akibatnya?

18. Apabila Yehuwa mengampuni seseorang, adakah hal itu bererti bahawa orang itu tidak perlu menanggung akibat buruk dosanya?

18 Yehuwa sudi mengampuni kita, tetapi hal ini tidak bererti bahawa seorang pendosa yang bertaubat tidak perlu menanggung akibat buruk dosanya. Kita tidak dapat melarikan diri daripada akibat perbuatan kita. Paulus menulis, “Seseorang akan menuai apa yang ditanamnya.” (Galatia 6:7) Meskipun Yehuwa tidak akan melindungi kita daripada semua kesan buruk dosa kita, kita tidak patut berfikir bahawa akibat buruk yang menimpa kita ialah hukuman daripada Yehuwa. (Yakobus 1:13) Kita perlu menanggung akibat dosa kita, seperti perceraian, kehamilan yang tidak dirancang, penyakit kelamin, kehilangan kepercayaan orang, kehilangan martabat diri, dan sebagainya. Ingatlah bahawa biarpun Yehuwa mengampuni Daud atas dosa-dosanya sehubungan dengan Bat-syeba dan Uria, Dia tidak melindungi Daud daripada akibat buruk dosanya.​—2 Samuel 12:9-12.

19-21. (a) Bagaimanakah hukum di Imamat 6:1-7 membawa manfaat kepada mangsa dan pendosa? (b) Jika dosa kita menyakiti orang lain, Yehuwa ingin kita melakukan apa?

19 Kita juga mungkin perlu menanggung akibat buruk yang lain jika dosa kita telah menyakiti orang lain. Sebagai contoh, katakan seseorang telah melakukan dosa serius, seperti mencuri, merompak, atau menipu, lalu dia menafikannya, dan bahkan bersumpah bahawa dia tidak bersalah. Tetapi kemudiannya, dia berasa bersalah dan mengakui dosanya. Di bawah Hukum Musa, apakah yang perlu dilakukannya untuk mendapatkan pengampunan dosa? Menurut Imamat bab 6, dia perlu melakukan tiga perkara: Mengembalikan apa yang diambilnya, membayar pampasan sebanyak 20 peratus daripada nilai barang yang dicuri, dan mempersembahkan seekor bebiri jantan sebagai korban ganti rugi. Kemudian, imam akan menghadap Yehuwa untuk memohon pengampunan dosa bagi pihak orang itu, dan barulah dosa orang itu akan diampunkan.​—Imamat 6:1-7.

20 Hukum ini mencerminkan belas kasihan Tuhan, dan membawa manfaat kepada mangsa itu dan pendosa itu. Mangsa itu mendapat semula barangannya dan berasa lega kerana pendosa itu akhirnya mengakui dosanya. Pendosa itu pula digerakkan oleh hati nuraninya untuk mengakui dosanya dan membetulkan kesalahannya. Jika dia enggan berbuat demikian, Tuhan tidak akan mengampuninya.

21 Meskipun kita tidak lagi berada di bawah Hukum Musa, hukum ini masih dapat membantu kita untuk memahami fikiran Yehuwa, termasuk pandangan-Nya tentang pengampunan. (Kolose 2:13, 14) Jika dosa kita menyakiti orang lain, kita dapat menyenangkan hati Yehuwa apabila kita berusaha sedaya upaya untuk membetulkan kesalahan kita. (Matius 5:23, 24) Hal ini merangkumi mengakui dosa kita, dan bahkan meminta maaf daripada orang yang kita sakiti. Kemudian kita dapat memohon pengampunan daripada Yehuwa dan kita dapat yakin bahawa Dia akan mengampuni kita atas dasar korban tebusan Yesus.​—Ibrani 10:21, 22.

22. Setelah Yehuwa mengampuni kita, Dia mungkin masih akan melakukan apa?

22 Seperti bapa yang pengasih, Yehuwa mungkin akan mendisiplinkan kita setelah Dia mengampuni kita. (Amsal 3:11, 12) Biarpun seorang Kristian telah bertaubat, dia mungkin perlu menghentikan khidmatnya sebagai penatua, pembantu sidang, atau pekhidmat sepenuh masa buat suatu jangka masa. Tetapi disiplin sedemikian tidak bererti bahawa Yehuwa enggan mengampuninya. Kita perlu ingat bahawa Yehuwa mendisiplinkan kita kerana Dia mengasihi kita. Jika kita menerima disiplin itu, kita akan meraih manfaat.​—Ibrani 12:5-11.

23. Mengapakah kita tidak patut menyimpulkan bahawa dosa kita terlalu berat untuk diampunkan? Mengapakah kita patut meniru teladan Yehuwa dan mengampuni orang lain?

23 Tidakkah anda berasa lega untuk mengetahui bahawa Yehuwa “suka mengampuni”? Meskipun kita berdosa, kita tidak patut berfikir bahawa dosa kita terlalu berat untuk diampunkan. Jika kita benar-benar bertaubat, berusaha membetulkan kesalahan kita, dan berdoa memohon pengampunan atas dasar korban tebusan Yesus, kita dapat yakin bahawa Yehuwa akan mengampuni kita. (1 Yohanes 1:9) Memandangkan Yehuwa yang tidak pernah berdosa pun sudi mengampuni kita, marilah kita meniru teladan Yehuwa dan saling mengampuni.