Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 27

‘Kebaikan Tuhan Sungguh Menakjubkan!’

‘Kebaikan Tuhan Sungguh Menakjubkan!’

1, 2. Bagaimanakah Tuhan menunjukkan kebaikan-Nya? Apakah yang dikatakan dalam Bible tentang sifat ini?

 BEBERAPA orang sahabat menjamu selera sambil menikmati pemandangan matahari terbenam yang indah. Seorang petani tersenyum lebar seraya dia memerhatikan awan gelap yang akan membawa hujan untuk mengairi tanamannya. Sepasang suami isteri gembira melihat anak mereka yang kecil mencuba mengorak langkahnya yang pertama.

2 Tidak kira mereka sedar atau tidak, mereka dapat menikmati semua ini kerana kebaikan Yehuwa. Orang sering berkata, “Tuhan memang baik,” tetapi Bible menonjolkan kebaikan Yehuwa dengan menyatakan, ‘Kebaikan Tuhan sungguh menakjubkan!’ (Zakharia 9:17) Namun, banyak orang dewasa ini tidak memahami ungkapan ini dengan sepenuhnya. Sebenarnya, kebaikan Tuhan merangkumi apa? Bagaimanakah sifat ini mempengaruhi kita?

Kebaikan Tuhan dan Kasih-Nya

3, 4. Apakah itu kebaikan? Mengapakah kita dapat mengatakan bahawa kebaikan ialah ungkapan kasih Yehuwa?

3 Dalam banyak bahasa moden, “kebaikan” ialah perkataan umum yang biasa digunakan. Tetapi dalam Bible, perkataan ini membawa makna yang mendalam. Kebaikan terutamanya merujuk kepada keunggulan moral, dan sifat ini sebati dengan keperibadian Yehuwa. Semua sifat-Nya, termasuk kuasa, keadilan, dan kebijaksanaan, adalah baik dan sempurna. Maka kita dapat mengatakan bahawa kebaikan ialah ungkapan kasih Yehuwa. Mengapa?

4 Seseorang yang baik akan mengambil inisiatif untuk menunjukkan kebaikan. Paulus mengatakan bahawa kita lebih tertarik kepada orang yang baik daripada orang yang melakukan apa yang benar. (Roma 5:7) Orang yang melakukan apa yang benar akan mematuhi hukum atau undang-undang, tetapi orang yang baik bukan sekadar berbuat demikian. Dia juga akan mengambil inisiatif untuk membantu orang lain. Seperti yang akan kita lihat, Yehuwa benar-benar baik. Jelaslah bahawa kebaikan Yehuwa didorong oleh kasih-Nya yang tidak terhingga terhadap kita.

5-7. Mengapakah Yesus menolak gelaran “Guru yang Baik”? Apakah kebenaran penting yang diajarkannya?

5 Semasa Yesus di bumi, seorang lelaki pernah memanggilnya “Guru yang Baik.” Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Mengapakah kamu mengatakan bahawa aku baik? Tiada seorang pun yang baik kecuali Tuhan.” (Markus 10:17, 18) Mengapakah Yesus membetulkan pandangan lelaki itu? Bukankah Yesus seorang “Guru yang Baik”?

6 Nampaknya, lelaki itu memanggil Yesus “Guru yang Baik” kerana dia ingin mengampu Yesus. Dengan rendah hati, Yesus memberikan kemuliaan itu kepada Bapanya, kerana kebaikan Yehuwa tiada tandingannya. (Amsal 11:2) Selain itu, Yesus juga mengajarkan satu kebenaran yang penting: Hanya Yehuwa yang berhak untuk menentukan apa yang baik dan apa yang jahat kerana Dia ialah pemerintah alam semesta. Yesus tidak seperti Adam dan Hawa yang mencuba merampas hak itu daripada Tuhan dengan memakan buah daripada pokok pengetahuan tentang apa yang baik dan apa yang jahat.

7 Tambahan lagi, Yesus tahu bahawa segala kebaikan berasal daripada Yehuwa. Yehuwa ialah Sumber “setiap kurniaan yang baik dan setiap pemberian yang sempurna.” (Yakobus 1:17) Sekarang marilah kita mengkaji bagaimana Yehuwa menunjukkan kebaikan-Nya menerusi sikap murah hati-Nya.

Bukti Kebaikan Yehuwa

8. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan kebaikan kepada semua orang?

8 Setiap makhluk hidup meraih manfaat daripada kebaikan Yehuwa. Mazmur 145:9 menyatakan, ‘Yehuwa baik kepada semua orang.’ Apakah buktinya? Bible menyatakan, “Dia masih memberikan kesaksian tentang diri-Nya dengan melakukan apa yang baik. Dia memberi kamu hujan dari langit dan hasil tanaman yang banyak pada musimnya. Dia juga memberikan makanan yang berlimpah-limpah untuk memuaskan kamu, dan memenuhi hati kamu dengan sukacita.” (Kisah 14:17) Ya, anda dapat menikmati makanan yang enak kerana kebaikan menggerakkan Yehuwa untuk menciptakan kitaran air agar kita mempunyai air yang segar dan “hasil tanaman yang banyak pada musimnya.” Sememangnya, Yehuwa baik kepada semua orang. Yesus berkata, “Dia membuat matahari terbit untuk orang jahat dan orang baik, dan membuat hujan turun untuk orang baik dan orang jahat.”​—Matius 5:45.

9. Bagaimanakah buah epal membuktikan kebaikan Yehuwa?

9 Banyak orang tidak menghargai matahari, hujan, dan hasil tanaman yang dikurniakan oleh Tuhan secara berterusan. Contohnya, buah epal. Pokok epal boleh ditanam di banyak kawasan, dan buahnya enak dan sangat berkhasiat. Tahukah anda bahawa di serata dunia terdapat kira-kira 7,500 jenis epal? Ada epal yang berwarna merah, emas, kuning, dan hijau. Ada yang sekecil buah anggur, dan ada pula yang sebesar sebiji oren yang besar. Biarpun saiz benih epal sangat kecil, benih itu dapat bertumbuh menjadi sebatang pokok yang cantik. (Kidung Agung 2:3) Pada musim bunga, pokok epal akan menghasilkan bunga-bunga yang cantik. Pada musim luruh, pokok itu akan berbuah. Pokok epal dapat menghasilkan buah selama 75 tahun. Secara purata, setiap tahun, sebatang pokok epal dapat menghasilkan buah yang cukup untuk mengisi 20 buah kotak, yang masing-masing seberat 19 kilogram!

Yehuwa memberikan “hujan dari langit dan hasil tanaman yang banyak pada musimnya”

Benih yang kecil ini dapat bertumbuh menjadi pokok yang menghasilkan buah

10, 11. Bagaimanakah deria-deria kita membuktikan kebaikan Tuhan?

10 Kerana kebaikan-Nya, Yehuwa menciptakan tubuh kita dengan “baik dan luar biasa.” Dia mengurniai kita dengan deria-deria untuk menikmati ciptaan-Nya yang lain. (Mazmur 139:14) Contohnya, deria penglihatan kita. Mata manusia dapat membezakan beratus ribu, bahkan jutaan jenis warna. Mari kita fikir semula hal-hal yang disebutkan pada awal bab ini. Mata manusia dapat melihat matahari terbenam yang berwarna merah keemasan, titisan hujan yang membasahi bumi, dan pipi seorang anak kecil yang kemerah-merahan. Selain itu, deria pendengaran kita sangat tajam. Kita dapat mengenal pasti suara orang yang tersayang, mendengar desiran angin yang bertiup melalui celah-celah pokok, dan gelak ketawa seorang anak kecil. Mengapakah kita dapat menikmati semua hal ini? Bible menyatakan, “Yehuwa menciptakan mata untuk melihat, dan telinga untuk mendengar.”​—Amsal 20:12.

11 Deria bau juga membuktikan kebaikan Yehuwa. Hidung manusia dapat membezakan begitu banyak jenis bau, yang dianggarkan sekitar ribuan hingga satu trilion. Contohnya, masakan kegemaran anda, bunga, daun-daun yang gugur di tanah, dan asap dari unggun api. Deria sentuh pula membolehkan anda untuk merasai tiupan angin yang mengusap pipi anda, belaian orang yang tersayang, dan tekstur kulit sebiji buah. Apabila anda memakan buah itu, deria rasa anda dapat merasai kemanisan buah itu. Ya, kita mempunyai banyak alasan untuk memuji Yehuwa dan berkata, “Ya Tuhan, kebaikan-Mu begitu melimpah! Engkau menyediakan banyak berkat untuk orang yang takut kepada-Mu.” (Mazmur 31:19) Bagaimanakah Yehuwa menyediakan banyak berkat untuk mereka yang takut kepada-Nya?

Kebaikan Tuhan Membawa Berkat yang Berkekalan

12. Apakah berkat terbaik yang diberikan oleh Yehuwa? Mengapa?

12 Yesus berkata, “Ada tertulis, ‘Manusia mesti hidup bukan dengan roti sahaja, tetapi juga dengan setiap kata yang keluar daripada mulut Yehuwa.’” (Matius 4:4) Sebenarnya, berkat rohani yang diberikan oleh Yehuwa adalah lebih baik daripada berkat fizikal. Hal ini demikian kerana berkat rohani dapat memberi kita kehidupan kekal. Bab 8 buku ini menyatakan bahawa pada hari-hari terakhir ini, Yehuwa telah menggunakan kuasa-Nya untuk memulihkan firdaus rohani yang semakin berkembang, dan salah satu ciri firdaus rohani ialah makanan rohani yang melimpah.

13, 14. (a) Apakah yang dilihat oleh Yehezkiel dalam penglihatannya? Apakah maksud penglihatan itu? (b) Apakah yang disediakan oleh Tuhan agar manusia dapat meraih kehidupan yang kekal?

13 Dalam salah satu nubuat tentang pemulihan rohani yang agung, Yehezkiel diberi sebuah penglihatan tentang Rumah Tuhan yang dibina semula. Terdapat air yang mengalir keluar dari rumah itu. Aliran air itu bertambah besar sehingga menjadi sungai yang deras dan dalam. Ke mana sahaja air itu mengalir, di situ juga akan terdapat banyak kehidupan. Di tebing sungai itu, terdapat pokok-pokok yang buahnya dapat dijadikan makanan dan daunnya dapat digunakan sebagai ubat. Sungai itu bahkan dapat menyembuhkan Laut Mati!​—Yehezkiel 47:1-12.

14 Rumah Tuhan dalam penglihatan itu melambangkan ibadat sejati yang akan dipulihkan oleh Yehuwa. Ibadat sejati ini akan mencapai piawaian-Nya yang luhur. Aliran air yang bertambah besar itu pula melambangkan aturan yang disediakan oleh Tuhan agar manusia dapat meraih kehidupan yang kekal. Sejak ibadat sejati dipulihkan pada tahun 1919, Yehuwa telah memberkati umat-Nya dengan makanan rohani agar manusia dapat meraih kehidupan yang kekal. Dia berbuat demikian melalui Bible, bahan bacaan, perjumpaan, dan konvensyen. Dia juga mengajar kita tentang aturan yang terpenting, iaitu korban tebusan Yesus. Menerusi aturan ini, dosa kita diampunkan dan orang yang mengasihi Tuhan dan takut kepada-Nya akan mendapat harapan kehidupan kekal. a Maka pada hari-hari terakhir ini, umat Yehuwa dapat menikmati jamuan rohani yang melimpah meskipun dunia ini ketandusan makanan rohani.​—Yesaya 65:13.

15. Bagaimanakah manusia akan meraih manfaat daripada kebaikan Yehuwa semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus?

15 Tetapi sungai dalam penglihatan Yehezkiel tidak berhenti mengalir apabila sistem dunia ini dimusnahkan. Sebaliknya, aliran sungai itu bertambah deras semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus. Menerusi Kerajaan Mesias, Yehuwa akan menggunakan nilai korban tebusan Yesus untuk membantu manusia mencapai kesempurnaan secara beransur-ansur. Pada waktu itu, kita pasti bersukacita atas kebaikan Yehuwa.

Cara Lain Yehuwa Menunjukkan Kebaikan

16. Bagaimanakah Bible menunjukkan bahawa kebaikan Yehuwa juga merangkumi sifat-sifat lain? Nyatakan beberapa sifat itu.

16 Kebaikan Yehuwa bukan hanya mencakup sikap suka memberi-Nya. Dia memberitahu Musa, “Aku akan menunjukkan segala kebaikan-Ku kepadamu, dan Aku akan mengisytiharkan nama-Ku, iaitu Yehuwa, kepadamu.” Kemudian catatan itu menyambung, “Yehuwa lalu di hadapan Musa dan berseru, ‘Akulah Yehuwa, Tuhan yang penuh rahmat dan belas kasihan. Akulah Yehuwa, Tuhan yang tidak cepat murka. Aku berpegang pada kebenaran dan menunjukkan kasih setia yang melimpah.’” (Keluaran 33:19; 34:6) Maka Yehuwa juga baik kerana Dia menunjukkan sifat-sifat yang lain. Marilah kita membincangkan dua sifat itu.

17. Apakah itu belas kasihan? Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan sifat ini kepada manusia?

17 “Belas kasihan.” Yehuwa memperlakukan ciptaan-Nya dalam cara yang lemah lembut dan baik hati, bukannya kejam dan tidak berhati perut, kerana Dia berbelas kasihan. Contohnya, Yehuwa berkata kepada Abram, “Dari tempat engkau berada, pandanglah ke arah utara dan selatan, timur dan barat.” (Kejadian 13:14) Para cendekiawan Bible menyatakan bahawa dalam bahasa Ibrani asal, ayat ini ditulis dalam bentuk permintaan yang sopan dan bukannya perintah. Hal yang sama dapat dilihat dalam ayat-ayat yang lain. (Kejadian 31:12; Yehezkiel 8:5) Bayangkanlah, Pemerintah alam semesta yang agung sanggup membuat permintaan kepada manusia yang fana dengan sopan! Alangkah berbezanya sikap Yehuwa dengan sikap manusia yang biadab dan angkuh dewasa ini!

18. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan bahawa Dia “berpegang pada kebenaran,” dan mengapakah hal ini melegakan hati kita?

18 “Berpegang pada kebenaran.” Bible mengingatkan kita bahawa ‘Tuhan bukan seperti manusia yang berdusta.’ (Bilangan 23:19) Sebenarnya, Titus 1:2 menyatakan, ‘Tuhan tidak dapat berdusta’ kerana Dia terlalu baik untuk berbuat demikian. Maka janji-janji Yehuwa dapat dipercayai sepenuhnya, dan firman-Nya pasti menjadi kenyataan. Dia bahkan dipanggil “sumber kebenaran.” (Mazmur 31:5) Ya, Tuhan bukan sekadar tidak berbohong, Dia juga melimpah dengan kebenaran. Dia tidak suka berahsia atau menyembunyikan maklumat. Sebaliknya, Dia ingin berkongsi kebijaksanaan-Nya dengan umat-Nya yang setia. b Dia bahkan mengajar mereka cara hidup yang baik agar mereka dapat “tetap berjalan mengikut kebenaran.” (3 Yohanes 3) Oleh itu, apakah manfaat yang dapat kita raih daripada kebaikan Yehuwa?

“Berseri-Seri kerana Kebaikan Yehuwa”

19, 20. (a) Bagaimanakah Syaitan melemahkan kepercayaan Hawa terhadap kebaikan Yehuwa? Apakah akibatnya? (b) Apakah sepatutnya reaksi kita terhadap kebaikan Yehuwa? Mengapa?

19 Apabila Syaitan menggoda Hawa di Taman Eden, dia telah melemahkan kepercayaan Hawa terhadap kebaikan Yehuwa. Sebelum itu, Tuhan memberitahu Adam, “Engkau boleh makan buah daripada setiap pokok di taman ini sehingga puas.” Antara ribuan pokok di taman itu, Tuhan tidak membenarkan manusia untuk memakan buah daripada satu pokok sahaja. Tetapi perhatikan kata-kata Syaitan kepada Hawa, “Benarkah Tuhan melarang kamu makan buah daripada semua pokok di taman ini?” (Kejadian 2:9, 16; 3:1) Syaitan memutarbalikkan kata-kata Yehuwa dan membuat Hawa berfikir bahawa Yehuwa sengaja menahan apa yang baik daripada manusia. Sedihnya, muslihat Syaitan berjaya. Meskipun Tuhan memenuhi segala keperluan Hawa, dia mula meragui sama ada Tuhan benar-benar baik atau tidak.

20 Meskipun keraguan Hawa telah membawa dukacita dan penderitaan kepada manusia, kebaikan Yehuwa patut membuat kita bersukacita. Yeremia 31:12 menyatakan, “Mereka akan berseri-seri kerana kebaikan Yehuwa.” Ya, kita tidak patut meragui niat hati Yehuwa kerana Dia melimpah dengan kebaikan. Sebaliknya kita patut mempercayai-Nya dengan sepenuhnya kerana Dia menginginkan apa yang terbaik bagi kita.

21, 22. (a) Bagaimanakah anda dapat menunjukkan penghargaan terhadap kebaikan Yehuwa? (b) Apakah sifat yang akan dibincangkan dalam bab seterusnya? Apakah perbezaan sifat ini dengan kebaikan?

21 Apabila kita berpeluang untuk memberitahu orang lain tentang kebaikan Bapa kita yang di syurga, kita berasa sangat sukacita. Berkenaan umat Tuhan, Mazmur 145:7 menyatakan, “Dengan penuh semangat, mereka akan menceritakan kebaikan-Mu yang berlimpah-limpah.” Hidup kita setiap hari bergantung pada kebaikan Yehuwa. Maka bukankah kita patut berdoa secara spesifik kepada Tuhan setiap hari untuk mengucapkan terima kasih atas setiap kebaikan-Nya? Jika kita bersyukur dan berfikir tentang kebaikan Yehuwa yang ditunjukkan kepada kita setiap hari, dan memberitahu orang lain tentangnya, kita akan tergerak untuk meniru Tuhan kita yang baik. Seraya kita berusaha meniru-Nya dan berbuat baik, kita akan lebih menghampiri-Nya. Yohanes menulis, “Saudaraku yang dikasihi, janganlah tiru apa yang buruk. Sebaliknya tirulah apa yang baik. Sesiapa yang berbuat baik berasal daripada Tuhan.”​—3 Yohanes 11.

22 Kebaikan Yehuwa juga dikaitkan dengan sifat-sifat-Nya yang lain. Sebagai contoh, Yehuwa “menunjukkan kasih setia yang melimpah.” (Keluaran 34:6) Meskipun Yehuwa menunjukkan kebaikan kepada semua orang, kasih setia-Nya hanya ditunjukkan kepada umat-Nya yang setia. Dalam bab yang seterusnya, kita akan mempelajari bagaimana Dia berbuat demikian.

a Aturan tebusan ialah bukti terunggul kebaikan Yehuwa. Antara jutaan makhluk roh di syurga, Yehuwa telah memilih Anak tunggal-Nya untuk mati demi kita.

b Bible mengaitkan kebenaran dengan cahaya. Pemazmur menulis, “Berikanlah cahaya dan kebenaran-Mu.” (Mazmur 43:3) Yehuwa menyinarkan cahaya rohani kepada orang yang ingin menerima ajaran-Nya.​—2 Korintus 4:6; 1 Yohanes 1:5.