Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 22

Adakah Anda Mempunyai ‘Kebijaksanaan dari Syurga’?

Adakah Anda Mempunyai ‘Kebijaksanaan dari Syurga’?

1-3. (a) Bagaimanakah Salomo menunjukkan kebijaksanaan semasa menyelesaikan pertengkaran antara dua orang wanita? (b) Yehuwa berjanji untuk memberi kita apa? Apakah soalan-soalan yang timbul?

 SALOMO perlu mengadili satu kes yang rumit. Dua orang wanita sedang bertengkar tentang seorang bayi. Kedua-dua wanita itu tinggal serumah dan mereka masing-masing telah melahirkan seorang anak. Tetapi salah seorang anak itu telah mati, dan sekarang kedua-dua wanita itu mendakwa bahawa mereka ialah ibu kepada anak yang masih hidup itu. a Barangkali kes itu telah dibicarakan, tetapi para hakim tidak dapat membuat keputusan. Maka akhirnya, kes itu dikemukakan kepada Raja Salomo.

2 Selepas mendengar kata-kata mereka, Salomo meminta sebilah pedang. Kemudian, dia mengarahkan agar bayi itu dipotong menjadi dua, dan setiap wanita diberikan satu potong. Dengan segera, ibu bayi yang sebenar merayu agar Salomo memberikan anak itu kepada wanita yang seorang lagi. Tetapi wanita yang seorang lagi itu terus meminta agar anak itu dipotong menjadi dua. Salomo tahu bahawa seorang ibu pasti menyayangi anak kandungnya, dan pengetahuan ini membantunya menyelesaikan pertengkaran ini. Bayangkanlah betapa leganya ibu bayi itu apabila Salomo memulangkan anaknya.​—1 Raja-Raja 3:16-27.

3 Orang Israel kagum dengan cara kes itu diselesaikan dan mereka sedar bahawa kebijaksanaan Salomo datang daripada Tuhan. Ya, Yehuwa telah memberinya “hati yang bijaksana dan yang berpengertian.” (1 Raja-Raja 3:12, 28) Bagaimana pula dengan kita? Pastinya kita pun ingin memiliki kebijaksanaan daripada Tuhan. Bible menyatakan, “Yehuwa sendiri memberikan kebijaksanaan.” (Amsal 2:6) Yehuwa berjanji untuk memberi kita kebijaksanaan, iaitu keupayaan untuk menggunakan pengetahuan, daya pemahaman, dan daya penilaian, jika kita berusaha untuk mencarinya. Bagaimanakah kita dapat memiliki kebijaksanaan daripada Tuhan? Bagaimanakah kita dapat menerapkannya dalam kehidupan seharian?

Cara ‘Memperoleh Kebijaksanaan’

4-7. Nyatakan empat cara kita dapat memperoleh kebijaksanaan.

4 Adakah Yehuwa hanya memberikan kebijaksanaan kepada orang yang pandai atau berpendidikan tinggi? Tidak. Dia sudi memberikan kebijaksanaan kepada semua orang tanpa mengambil kira latar belakang atau taraf pendidikan mereka. (1 Korintus 1:26-29) Tetapi kita mesti mengambil inisiatif, kerana Bible menggesa kita agar ‘memperoleh kebijaksanaan.’ (Amsal 4:7) Bagaimanakah caranya?

5 Pertama, kita perlu memupuk rasa takut dan hormat akan Tuhan. Amsal 9:10 menyatakan, “Untuk memperoleh kebijaksanaan, pertama-tama kamu mesti takut dan hormat kepada Yehuwa.” Rasa takut dan hormat akan Tuhan ialah asas kebijaksanaan sejati. Mengapa? Ingatlah bahawa kebijaksanaan merangkumi keupayaan untuk menggunakan pengetahuan. Maka seseorang yang takut dan hormat akan Tuhan akan tergerak untuk hidup selaras dengan pengetahuan yang dipelajarinya tentang kehendak Tuhan. Ini ialah haluan hidup yang terbaik kerana piawaian Yehuwa selalu bermanfaat bagi kita.

6 Kedua, kita mesti rendah hati. Mengapa? Kita tidak dapat memiliki kebijaksanaan daripada Tuhan jika kita tidak rendah hati. (Amsal 11:2) Jika kita rendah hati, kita akan sedar bahawa kita tidak mengetahui segala-galanya, bahawa pendapat kita tidak selalunya betul, dan bahawa kita perlu belajar tentang pandangan Tuhan. Sebenarnya, Yehuwa “menentang orang yang angkuh,” tetapi Dia ingin memberikan kebijaksanaan kepada orang yang rendah hati.​—Yakobus 4:6.

7 Ketiga, kita perlu rajin mempelajari Bible, kerana kebijaksanaan Yehuwa tersingkap di dalamnya. (Amsal 2:1-5) Keempat, kita perlu berdoa. Jika kita memohon kebijaksanaan daripada Tuhan, Dia pasti akan memberikannya kepada kita dengan murah hati. (Yakobus 1:5) Kita juga perlu berdoa meminta kuasa suci Tuhan. Apabila kita mengkaji Bible dengan bantuan kuasa suci Tuhan, kita dibantu untuk menyelesaikan masalah, menghindari bahaya, dan membuat keputusan yang bijak.​—Lukas 11:13.

Untuk memiliki kebijaksanaan daripada Tuhan, kita mesti rajin berusaha untuk mengkaji Bible

8. Bagaimanakah kita tahu bahawa seseorang memiliki kebijaksanaan daripada Tuhan?

8 Seperti yang dibincangkan dalam Bab 17, kebijaksanaan Yehuwa selalu praktikal. Maka jika seseorang memiliki kebijaksanaan daripada Tuhan, hal itu akan jelas kelihatan melalui tingkah lakunya. Yakobus menulis, “Kebijaksanaan yang datang dari syurga pertama-tamanya murni, lalu suka akan kedamaian, munasabah, sedia mematuhi, penuh belas kasihan dan perbuatan yang baik, tidak berat sebelah, dan tidak bermuka dua.” (Yakobus 3:17) Sekarang marilah kita mengkaji sifat-sifat yang dinyatakan dalam ayat ini satu demi satu. Seraya kita berbuat demikian, kita patut menanya diri, “Adakah saya memiliki kebijaksanaan daripada Tuhan?”

“Murni, lalu Suka akan Kedamaian”

9. Apakah erti kemurnian? Mengapakah sifat pertama yang disenaraikan di Yakobus 3:17 ialah kemurnian?

9 “Murni.” Kemurnian bererti suci dan tidak bercela dari segi fizikal dan batin. Bible mengaitkan kebijaksanaan dengan hati kita. Jika hati kita dipenuhi keinginan yang jahat dan najis, kita tidak dapat memiliki kebijaksanaan daripada Tuhan. (Amsal 2:10; Matius 15:19, 20) Tetapi, jika kita berusaha memelihara hati yang murni, kita akan dapat ‘berpaling daripada apa yang jahat dan buat apa yang baik.’ (Mazmur 37:27; Amsal 3:7) Itulah sebabnya sifat pertama yang disenaraikan di Yakobus 3:17 ialah kemurnian, kerana jika kita tidak bersih dari segi moral dan rohani, kita tidak dapat mencerminkan sifat-sifat lain dalam ayat itu.

10, 11. (a) Mengapakah amat penting untuk memupuk kedamaian? (b) Jika anda menyinggung perasaan seorang rakan seiman, apakah yang patut anda lakukan? (Lihat juga nota kaki.)

10 “Suka akan kedamaian.” Kebijaksanaan daripada Tuhan mendorong kita untuk memupuk kedamaian, yang merupakan salah satu aspek buah kuasa suci Tuhan. (Galatia 5:22) Kita tidak akan merosakkan perpaduan yang menyatukan umat Yehuwa. (Efesus 4:3) Jika timbulnya situasi yang mengganggu kedamaian sidang, kita akan berusaha memulihkan keadaan. Hal ini penting kerana Bible menyatakan, ‘Teruslah hidup dengan damai. Dengan demikian, Tuhan yang penuh dengan kasih dan kedamaian akan menyertai kamu semua.’ (2 Korintus 13:11) Ya, cara kita melayan rakan seiman akan mempengaruhi hubungan kita dengan Yehuwa. Maka, bagaimanakah kita dapat memupuk kedamaian?

11 Andai kata anda menyinggung perasaan seorang rakan seiman, apakah yang patut anda lakukan? Yesus berkata, “Semasa kamu membawa pemberianmu ke mazbah, dan kamu teringat bahawa saudaramu tidak senang hati terhadapmu, tinggalkanlah pemberianmu itu di hadapan mazbah. Pergilah dan berdamailah dahulu dengan saudaramu, kemudian barulah kamu kembali untuk mempersembahkan pemberianmu.” (Matius 5:23, 24) Anda dapat menerapkan nasihat ini dengan mengambil inisiatif untuk bercakap dengan rakan seiman itu. Tujuan anda adalah untuk berdamai dengannya. b Untuk mencapai tujuan ini, anda mungkin perlu mengakui bahawa anda telah menyakiti perasaannya. Jika anda berusaha untuk berbaik dengannya, anda berdua pasti dapat menyelesaikan masalah dan saling memaafkan. Apabila anda mengambil inisiatif untuk berdamai dengan orang lain, anda membuktikan bahawa anda dibimbing oleh kebijaksanaan Tuhan.

“Munasabah, Sedia Mematuhi”

12, 13. (a) Apakah erti perkataan “munasabah” di Yakobus 3:17? (b) Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita bersikap munasabah?

12 “Munasabah.” Apakah erti munasabah? Menurut para cendekiawan, perkataan Yunani yang diterjemahkan sebagai “munasabah” di Yakobus 3:17 sebenarnya amat susah untuk diterjemahkan. Perkataan ini boleh membawa erti sudi mengalah. Ada orang yang menterjemahkan perkataan ini sebagai “lemah lembut,” “sabar,” dan “bertimbang rasa.” Bagaimanakah kita dapat menunjukkan sifat ini?

13 Filipi 4:5 menyatakan, “Hendaklah sikap munasabah kamu diketahui semua orang.” Satu lagi terjemahan menyatakan, “Pupuklah reputasi sebagai orang yang munasabah.” Maka persoalannya bukanlah bagaimana kita memandang diri kita sendiri, tetapi bagaimana orang lain memandang kita. Seseorang yang munasabah tidak akan berkeras untuk mematuhi setiap peraturan atau memaksa orang mengikut caranya. Sebaliknya, dia sudi mendengar pendapat orang lain, dan jika boleh, bertindak mengikut cara mereka. Dia juga tidak kasar atau biadab, dan dia akan melayan orang lain dengan lemah lembut. Semua orang Kristian, terutamanya para penatua, perlu memupuk sifat ini, kerana penatua yang lemah lembut lebih mudah dihampiri. (1 Tesalonika 2:7, 8) Maka kita harus menanya diri, “Adakah orang lain memandang saya sebagai orang yang bertimbang rasa, bertoleransi, dan lemah lembut?”

14. Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita memiliki sifat “sedia mematuhi”?

14 “Sedia mematuhi.” Perkataan Yunani yang diterjemahkan sebagai “sedia mematuhi” hanya muncul sekali dalam Kitab Yunani Kristian. Menurut seorang cendekiawan, perkataan ini “biasanya digunakan dalam konteks ketenteraan,” dan membawa erti “mudah dibimbing” dan “bersedia untuk tunduk.” Seseorang yang memiliki kebijaksanaan daripada Tuhan selalu bersedia untuk tunduk kepada ajaran Bible. Dia tidak akan berkeras dengan pendirian sendiri. Dia sudi membuat perubahan jika dia mendapati bahawa keputusannya atau pendiriannya tidak selaras dengan prinsip-prinsip Bible. Adakah anda mempunyai reputasi sedemikian?

“Penuh Belas Kasihan dan Perbuatan yang Baik”

15. Apakah erti belas kasihan? Mengapakah “belas kasihan” dan “perbuatan yang baik” disebutkan bersama di Yakobus 3:17?

15 “Penuh belas kasihan dan perbuatan yang baik.” Sifat belas kasihan amat penting kerana Bible menyatakan bahawa kebijaksanaan Tuhan “penuh belas kasihan.” Perhatikan bahawa “belas kasihan” dan “perbuatan yang baik” disebutkan bersama. Bible selalu menyatakan bahawa orang yang berbelas kasihan prihatin terhadap orang lain dan rela menghulurkan bantuan. Sebuah buku rujukan Bible menyatakan bahawa belas kasihan bererti “bersedih atas kesusahan orang lain dan berusaha untuk membantunya.” Maka orang yang memiliki kebijaksanaan daripada Tuhan tidak bersikap dingin. Sebaliknya, dia bersikap ramah dan peka terhadap perasaan dan keperluan orang lain. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan sifat ini?

16, 17. (a) Selain kasih kepada Tuhan, apakah yang menggerakkan kita untuk menginjil? Mengapa? (b) Apakah cara lain untuk menunjukkan belas kasihan?

16 Satu cara kita menunjukkan belas kasihan adalah dengan menginjil. Apakah yang menggerakkan kita untuk menginjil? Kasih kepada Tuhan dan rasa belas kasihan terhadap orang lain. (Matius 22:37-39) Banyak orang dewasa ini “ditindas dan diabaikan seperti biri-biri tanpa gembala.” (Matius 9:36) Mereka telah diabaikan dan disesatkan secara rohani oleh para gembala yang palsu. Akibatnya, mereka tidak tahu tentang nasihat yang bijaksana dalam Bible atau berkat yang akan dibawa oleh Kerajaan Tuhan. Keadaan rohani mereka yang menyedihkan ini menggerakkan kita untuk menginjil kepada mereka.

Apabila kita menunjukkan belas kasihan kepada orang lain, kita mencerminkan “kebijaksanaan yang datang dari syurga”

17 Apakah cara lain untuk menunjukkan belas kasihan? Dalam perumpamaan Yesus, seorang lelaki Samaria telah “menunjukkan belas kasihan” kepada seorang mangsa rompakan. Dia tergerak untuk membalut luka mangsa itu dan menjaganya. (Lukas 10:29-37) Perumpamaan ini menunjukkan bahawa belas kasihan haruslah ditunjukkan melalui perbuatan. Bible menggalakkan kita agar “berbuat baik kepada semua orang, terutamanya kepada saudara saudari kita yang seiman.” (Galatia 6:10) Contohnya, kita dapat membantu rakan seiman yang mempunyai masalah pengangkutan untuk menghadiri perjumpaan, membantu para balu untuk membaiki rumah mereka, atau mengucapkan “kata-kata yang membina” kepada rakan seiman yang murung. (Amsal 12:25; Yakobus 1:27) Jika kita berbuat sedemikian, kita membuktikan bahawa kita memiliki kebijaksanaan daripada Tuhan.

“Tidak Berat Sebelah, dan Tidak Bermuka Dua”

18. Kita harus berusaha untuk menyingkirkan apa? Mengapa?

18 “Tidak berat sebelah.” Kebijaksanaan daripada Tuhan dapat mengatasi rasa prasangka dan semangat kebangsaan. Jika kita dibimbing oleh kebijaksanaan Tuhan, kita akan berusaha untuk menyingkirkan rasa prasangka atau sikap berat sebelah dari hati kita. (Yakobus 2:9) Kita tidak akan memberikan layanan istimewa kepada orang kerana mereka berpendidikan tinggi, kaya, atau memikul tanggungjawab dalam sidang. Kita juga tidak akan memandang rendah rakan seiman yang miskin atau berpendidikan rendah. Jika Yehuwa mengasihi mereka, kita juga patut mengasihi mereka.

19, 20. (a) Perkataan Yunani untuk “bermuka dua” boleh merujuk kepada apa? (b) Bagaimanakah kita menunjukkan “kasih sayang yang ikhlas”? Mengapakah hal ini penting?

19 “Tidak bermuka dua.” Perkataan Yunani untuk “bermuka dua” boleh merujuk kepada “seorang pelakon yang memainkan suatu watak.” Pada zaman kuno, pelakon Yunani dan Roma memakai topeng yang besar semasa membuat persembahan. Maka perkataan Yunani untuk “bermuka dua” digunakan untuk merujuk kepada seseorang yang suka berpura-pura. Sudah pasti kita tidak mahu memiliki sikap bermuka dua. Kita mahu kebijaksanaan daripada Tuhan mempengaruhi cara kita memandang dan cara kita melayan rakan seiman.

20 Petrus menyatakan bahawa jika kita “patuh kepada kebenaran,” kita akan memiliki “kasih sayang yang ikhlas terhadap satu sama lain.” (1 Petrus 1:22) Ya, kita tidak patut berpura-pura mengasihi rakan seiman kita, atau berlakon seperti orang baik untuk menipu mereka. Sebaliknya, kita akan menunjukkan kasih yang sejati. Jika kita ikhlas, mereka akan mempercayai kita kerana mereka tahu bahawa kita bukanlah orang yang munafik. Keikhlasan sedemikian membantu kita membina persahabatan yang baik dan mewujudkan suasana saling mempercayai dalam sidang.

“Janganlah Lepaskan Hikmat”

21, 22. (a) Salomo gagal melakukan apa? Mengapa? (b) Bagaimanakah kita dapat terus memiliki kebijaksanaan? Apakah manfaatnya?

21 Kebijaksanaan ialah kurniaan daripada Yehuwa, dan kita patut menjaganya. Salomo berkata, ‘Hai anakku, janganlah lepaskan hikmat dan pengertian.’ (Amsal 3:21) Sedihnya, Salomo sendiri gagal berbuat demikian. Dia tidak setia kepada Yehuwa, maka dia kehilangan hikmat, atau kebijaksanaan. Isteri-isterinya yang menyembah tuhan asing telah mempengaruhinya untuk meninggalkan ibadat sejati. (1 Raja-Raja 11:1-8) Kisah Salomo mengajar kita bahawa ilmu pengetahuan tidak bernilai jika kita tidak menggunakannya dengan baik.

22 Jika kita ingin terus memiliki kebijaksanaan, kita perlu rajin membaca Bible dan bahan bacaan yang disediakan oleh “hamba yang setia dan bijaksana.” Kita juga perlu menerapkan apa yang dibaca. (Matius 24:45) Apabila kita berusaha menerapkan kebijaksanaan daripada Tuhan, kita dapat menikmati kehidupan yang lebih baik sekarang, dan kita juga dapat “berpegang teguh pada kehidupan yang sejati” yang dijanjikan Tuhan pada masa depan. (1 Timotius 6:19) Yang terpenting, kita dapat menghampiri Yehuwa, Sumber segala kebijaksanaan.

a Menurut 1 Raja-Raja 3:16, kedua-dua wanita itu ialah pelacur. Buku “Pemahaman” (Insight on the Scriptures), Jilid 2, menjelaskan, “Barangkali kedua-dua wanita itu dipanggil pelacur kerana mereka telah melakukan hubungan seks yang tidak bermoral, dan bukannya kerana mereka bekerja sebagai pelacur. Kemungkinan besar mereka ialah orang asing.”

b Kata Yunani yang diterjemahkan sebagai “berdamai” membawa erti “berubah daripada permusuhan kepada persahabatan; untuk berbaik semula; untuk memulihkan hubungan atau keharmonian.” Maka tujuan anda adalah untuk berusaha menyingkirkan rasa sakit hati daripada hati orang yang tersinggung.—Roma 12:18.