Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 7

‘Tuhan Tempat Naungan Kita’

‘Tuhan Tempat Naungan Kita’

1, 2. Apakah bahaya yang dihadapi oleh orang Israel? Bagaimanakah Yehuwa meyakinkan mereka?

 PADA tahun 1513 Sebelum Masihi, orang Israel membuat perjalanan merentasi padang belantara Sinai. Mereka perlu “melalui padang belantara yang luas dan menakutkan itu, yang dihuni oleh ular berbisa dan kala jengking.” (Ulangan 8:15) Mereka juga perlu menghadapi ancaman daripada bangsa-bangsa yang kejam. Yehuwa telah menyebabkan umat-Nya menghadapi situasi itu. Jadi sebagai Tuhan mereka, dapatkah Dia melindungi mereka?

2 Yehuwa meyakinkan mereka, “Kamu sudah melihat segala yang telah Aku lakukan terhadap orang Mesir. Seperti burung helang yang membawa anaknya di atas sayapnya, Aku telah membawa kamu kepada-Ku.” (Keluaran 19:4) Yehuwa mengingatkan mereka bahawa seperti burung helang yang membawa anaknya ke tempat yang selamat, Dia telah menyelamatkan mereka daripada perhambaan di Mesir. Sekarang marilah kita melihat mengapa Yehuwa menggunakan perumpamaan ini untuk menggambarkan cara Dia melindungi umat-Nya.

3. Mengapakah Yehuwa menggambarkan diri-Nya sebagai seekor burung helang?

3 Apabila seekor burung helang merentangkan sayapnya, panjangnya melebihi dua meter. Selain menggunakan sayapnya untuk terbang, seekor burung helang juga akan menggunakan sayapnya untuk melindungi anak-anaknya daripada sinaran matahari yang terik atau tiupan angin yang sejuk. Sepertimana seekor burung helang melindungi anak-anaknya, Yehuwa juga telah melindungi bangsa Israel. Sekarang mereka bakal merentasi padang belantara yang berbahaya, dan jika mereka tetap setia kepada-Nya, mereka akan terus berada di bawah naungan “sayap” Yehuwa. (Ulangan 32:9-11; Mazmur 36:7) Tetapi bagaimana pula dengan kita dewasa ini? Patutkah kita mengharapkan perlindungan Tuhan?

Tuhan Berjanji untuk Melindungi Umat-Nya

4, 5. Mengapakah kita dapat yakin sepenuhnya bahawa Yehuwa akan melindungi kita?

4 Yehuwa berupaya untuk melindungi umat-Nya kerana Dia ialah “Tuhan Yang Maha Kuasa,” dan tiada apa-apa pun yang dapat menghalang kuasa-Nya. (Kejadian 17:1) Memandangkan Dia dapat melakukan apa sahaja yang diingini-Nya, kita mungkin tertanya-tanya, “Inginkah Yehuwa melindungi umat-Nya?”

5 Jawapannya ialah ya! Yehuwa berjanji bahawa Dia akan melindungi umat-Nya. Mazmur 46:1 menyatakan, “Tuhan ialah tempat naungan dan kekuatan kita; Dia selalu bersedia menolong kita pada masa kesusahan.” Memandangkan Tuhan “tidak dapat berdusta,” kita dapat yakin sepenuhnya bahawa Dia akan melindungi kita. (Titus 1:2) Marilah kita melihat beberapa perumpamaan yang menggambarkan cara Yehuwa melindungi umat-Nya.

6, 7. (a) Bagaimanakah gembala pada zaman Bible melindungi kawanannya? (b) Bagaimanakah Bible menggambarkan keinginan Yehuwa untuk melindungi dan menjaga umat-Nya?

6 Yehuwa ialah Gembala kita, dan sebagai umat-Nya, “kita seperti biri-biri di padang rumput-Nya.” (Mazmur 23:1; 100:3) Biri-biri ialah binatang yang sangat jinak dan sentiasa memerlukan jagaan. Pada zaman Bible, seorang gembala harus menunjukkan keberanian kerana kawanannya mungkin akan diserang singa, serigala, beruang, dan perompak. (1 Samuel 17:34, 35; Yohanes 10:12, 13) Dia juga harus menunjukkan sikap lemah lembut, kerana jika seekor biri-biri melahirkan anak di tempat yang jauh dari kandangnya, dia perlu menjaga biri-biri yang masih lemah itu, dan kemudian membawa anak bebiri yang baru lahir itu kembali ke kandang.

“Dia akan mendukung anak-anak bebiri itu”

7 Yehuwa menggambarkan diri-Nya sebagai gembala untuk menunjukkan keinginan-Nya untuk menjaga dan melindungi kita. (Yehezkiel 34:11-16) Dalam Bab 2, kita membincangkan Yesaya 40:11 yang menyatakan, “Dia akan menjaga kawanan-Nya seperti seorang gembala. Dia akan menghulurkan tangan-Nya untuk mengumpulkan anak-anak bebiri, dan Dia akan mendukung anak-anak bebiri itu.” Ya, “Dia akan mendukung” dan meletakkan anak-anak bebiri di dalam lipatan jubahnya. Namun bagaimanakah seekor anak bebiri dapat berada di dalam lipatan jubah seorang gembala? Kemungkinannya anak bebiri itu datang kepada gembala itu dan menyondol kakinya dengan lembut. Kemudian gembala itulah yang harus membongkok, mengangkat anak bebiri itu, dan meletakkannya ke dalam lipatan jubahnya. Tidakkah hati anda tergerak dengan gambaran ini? Ya, Gembala Agung kita sudi melindungi dan menjaga kita!

8. (a) Tuhan berjanji bahawa Dia akan melindungi siapa? Bagaimanakah Amsal 18:10 menunjukkan hal ini? (b) Apakah yang perlu kita lakukan untuk mendapat perlindungan Tuhan?

8 Tuhan hanya akan melindungi orang yang menghampiri-Nya. Amsal 18:10 menyatakan, “Nama Yehuwa bagaikan menara yang kukuh; ke sanalah orang yang baik berlari dan mendapat perlindungan.” Pada zaman Bible, menara dibina di padang belantara sebagai tempat perlindungan. Tetapi jika seseorang ingin mendapat perlindungan, dia sendirilah yang harus berlari ke menara itu. Demikian juga, jika kita ingin mendapat perlindungan Yehuwa, sekadar memanggil-manggil nama-Nya tidak mencukupi kerana nama-Nya bukanlah suatu mantera. Kita haruslah mengenali Yehuwa, beriman kepada-Nya, dan berusaha untuk hidup selaras dengan piawaian-Nya. Jika kita berbuat demikian, Yehuwa berjanji bahawa Dia akan menjadi menara perlindungan kita.

‘Tuhan yang Dapat Menyelamatkan Kita’

9. Bagaimanakah kita tahu bahawa Yehuwa tidak sekadar menjanjikan perlindungan?

9 Yehuwa tidak sekadar menjanjikan perlindungan. Pada zaman Bible, Dia membuktikan bahawa Dia dapat melindungi umat-Nya. Tangan Yehuwa yang kuat selalu melindungi orang Israel secara satu kumpulan. (Keluaran 7:4) Tetapi, Yehuwa juga melindungi umat-Nya secara individu.

10, 11. Nyatakan beberapa contoh Bible yang menunjukkan bahawa Yehuwa melindungi umat-Nya secara individu.

10 Sebagai contoh, apabila tiga orang pemuda Ibrani yang dikenali sebagai Sadrakh, Mesakh, dan Abednego enggan bersujud kepada patung emas yang didirikan Raja Nebukadnezar, raja itu naik berang dan berkata bahawa dia akan melemparkan mereka ke dalam relau api yang bernyala-nyala. Dia juga berkata dengan sinis, “Tuhan manakah yang dapat menyelamatkan kamu daripada tangan beta?” (Daniel 3:15) Mereka yakin sepenuhnya bahawa Tuhan mereka dapat melindungi mereka, tetapi mereka tidak mengharapkan Dia untuk berbuat demikian. (Daniel 3:17, 18) Setelah mendengar jawapan mereka, raja menjadi lebih marah dan mengarahkan agar relau itu dipanaskan tujuh kali lebih panas daripada yang biasa. Tetapi Yehuwa melindungi mereka, dan raja itu terpaksa mengakui, “Tiada tuhan yang dapat menyelamatkan orang, seperti yang telah dilakukan oleh Tuhan mereka.”​—Daniel 3:29.

11 Satu lagi contoh yang menunjukkan bahawa Yehuwa rela menggunakan kuasa-Nya untuk melindungi umat-Nya secara individu ialah semasa Anak-Nya berada di dalam rahim Maria. Maria diberitahu, “Kuasa suci Tuhan akan datang ke atasmu, dan kekuatan daripada Tuhan Yang Maha Tinggi akan menaungimu.” (Lukas 1:31, 35) Yehuwa seolah-olah membentuk sebuah tembok perlindungan di sekeliling Maria sehingga tiada apa-apa pun yang dapat mencelakakan Anak-Nya. Dia melindungi Anak-Nya daripada dosa yang diwarisi manusia, daripada serangan roh-roh jahat, dan daripada ancaman raja yang kejam. Dia bahkan terus melindungi Yesus sehingga Yesus menjadi dewasa. (Matius 2:1-15) Sememangnya Yesus tidak dapat dicederakan sebelum waktu yang ditetapkan oleh Tuhan sampai.

12. Mengapakah Yehuwa melindungi umat-Nya secara individu?

12 Mengapakah Yehuwa melindungi umat-Nya secara individu? Selalunya Dia berbuat demikian agar kehendak-Nya menjadi kenyataan. Misalnya, Dia melindungi Yesus kerana Yesus memainkan peranan penting dalam pelaksanaan kehendak-Nya, yang akhirnya akan mendatangkan manfaat bagi seluruh umat manusia. Tuhan telah mencatatkan bagaimana Dia melindungi umat-Nya secara individu dalam Bible “untuk mengajar kita, supaya kita memiliki harapan.” (Roma 15:4) Ya, semua catatan ini menguatkan iman kita terhadap Yehuwa. Tetapi bagaimanakah Dia akan melindungi kita dewasa ini?

Pandangan yang Betul tentang Perlindungan Tuhan

13. Adakah Yehuwa wajib menyelamatkan kita? Jelaskan.

13 Apabila Yehuwa berjanji bahawa Dia akan melindungi kita, hal ini tidak bererti bahawa Dia wajib menyelamatkan kita. Kita masih akan menghadapi masalah selagi kita hidup dalam dunia ini. Ramai hamba Yehuwa menghadapi masalah, seperti kemiskinan, peperangan, penyakit, dan kematian. Yesus memberitahu pengikutnya bahawa mereka mungkin akan dibunuh kerana iman mereka. Itulah sebabnya Yesus menyatakan bahawa kita perlu bertahan sehingga akhir. (Matius 24:9, 13) Jika Yehuwa menyelamatkan kita daripada semua masalah, Syaitan tentu akan mencela Yehuwa dan mempersoalkan motif kita untuk menyembah-Nya.​—Ayub 1:9, 10.

14. Nyatakan beberapa contoh Bible yang menunjukkan bahawa Yehuwa tidak melindungi setiap orang dalam cara yang sama.

14 Pada zaman Bible, Yehuwa juga tidak melindungi setiap hamba-Nya daripada dibunuh. Contohnya, meskipun Yakobus telah dihukum mati oleh Herodes sekitar tahun 44 Masihi, Petrus pula diselamatkan “daripada tangan Herodes.” (Kisah 12:1-11) Selain itu, Yohanes, iaitu saudara kandung Yakobus, hidup lebih lama daripada Petrus dan Yakobus. Ya, kita tidak boleh berharap bahawa Yehuwa akan melindungi setiap orang dalam cara yang sama. Lagipun, “waktu dan kejadian yang tidak terduga menimpa semua orang.” (Pengkhutbah 9:11) Maka bagaimanakah Yehuwa melindungi kita dewasa ini?

Yehuwa Memberikan Perlindungan Fizikal

15, 16. (a) Bagaimanakah kita tahu bahawa Yehuwa akan memberikan perlindungan fizikal kepada para penyembah-Nya secara satu kumpulan? (b) Mengapakah kita yakin bahawa Yehuwa akan melindungi kita sekarang dan semasa “kesengsaraan besar”?

15 Syaitan ialah “pemerintah dunia ini” dan dia ingin melenyapkan ibadat sejati. Jika Yehuwa tidak memberikan perlindungan fizikal kepada para penyembah-Nya secara satu kumpulan, Syaitan pasti dapat menyerang umat Tuhan dengan mudah sahaja. (Yohanes 12:31; Wahyu 12:17) Beberapa kerajaan manusia telah mengharamkan kerja penyebaran kita dan mencuba melenyapkan kita. Tetapi kita masih dapat bertahan dan meneruskan kerja penyebaran kerana Yehuwa melindungi kita dengan “sayap-Nya” yang perkasa.​—Mazmur 17:7, 8.

16 Adakah Yehuwa akan melindungi kita semasa “kesengsaraan besar”? Kita tidak perlu takut kerana “Yehuwa tahu cara untuk menyelamatkan orang yang mengabdikan diri kepada-Nya supaya mereka dibebaskan daripada cubaan. Dia juga tahu cara untuk menahan orang jahat sehingga hari penghakiman agar mereka dimusnahkan.” (Wahyu 7:14; 2 Petrus 2:9) Oleh itu, kita dapat yakin akan dua perkara: (1) Yehuwa tidak sekali-kali akan membenarkan hamba-Nya yang setia dilenyapkan, dan (2) Dia akan memberkati orang yang setia dan memberi mereka hidup abadi di bumi yang baharu. Biarpun mereka mati, Dia akan mengingati mereka dan membangkitkan mereka kelak.​—Yohanes 5:28, 29.

17. Bagaimanakah Yehuwa melindungi kita melalui Firman-Nya?

17 Yehuwa juga melindungi kita melalui Firman-Nya, yang dapat membangkitkan semangat orang yang murung dan menggerakkan orang untuk mengubah haluan hidup mereka. (Ibrani 4:12) Dengan menerapkan prinsip-prinsip Bible, kita dapat dilindungi daripada sesetengah bahaya fizikal. Yesaya 48:17 menyatakan, ‘Aku, Yehuwa, mengajar kamu apa yang bermanfaat bagi kamu.’ Contohnya, apabila kita menerapkan prinsip Bible untuk menghindari perbuatan seks yang tidak bermoral dan tabiat-tabiat yang buruk, kita dapat mengelakkan banyak masalah kesihatan. (Kisah 15:29; 2 Korintus 7:1) Tidakkah anda bersyukur bahawa Yehuwa melindungi kita melalui Firman-Nya?

Yehuwa Memberikan Perlindungan Rohani

18. Bagaimanakah Yehuwa memberikan perlindungan rohani?

18 Yang terpenting, Yehuwa memberikan perlindungan rohani. Dia membantu kita untuk menghadapi cabaran hidup dan memupuk hubungan yang rapat dengan-Nya. Dengan demikian, kita bukan sahaja menikmati kehidupan sekarang, kita bahkan juga mendapat harapan untuk hidup abadi. Sekarang marilah kita melihat beberapa sarana yang disediakan oleh Yehuwa agar kita dilindungi secara rohani.

19. Bagaimanakah kuasa suci Tuhan dapat menguatkan kita untuk menangani cubaan yang melanda kita?

19 Yehuwa ialah “Pendengar doa.” (Mazmur 65:2) Apabila kita dibanjiri masalah hidup, kita dapat mencurahkan isi hati kepada-Nya dan mendapat kelegaan. (Filipi 4:6, 7) Dia tidak akan menghilangkan masalah kita secara mukjizat, tetapi Dia akan menjawab doa kita dan memberi kita kebijaksanaan untuk menanganinya. (Yakobus 1:5, 6) Selain itu, Dia memberikan kuasa suci-Nya kepada kita. (Lukas 11:13) Kuasa suci Tuhan dapat menguatkan kita untuk menangani apa sahaja cubaan atau masalah yang membelenggu kita. Kuasa suci Tuhan memberi kita “kuasa luar biasa” untuk bertabah sehingga Yehuwa menyelesaikan semua masalah di dunia baharu.​—2 Korintus 4:7.

20. Bagaimanakah Yehuwa melindungi kita melalui rakan seiman kita?

20 Ada kalanya, Yehuwa melindungi kita melalui rakan seiman kita. Yehuwa telah menyatupadukan semua penyembah-Nya ke dalam sebuah keluarga rohani yang besar. (Yohanes 6:44; 1 Petrus 2:17) Kita dapat melihat bagaimana kuasa suci Tuhan mempengaruhi hidup saudara saudari kita. Kuasa suci Tuhan membantu kita memupuk sifat-sifat seperti kasih, kebaikan hati, dan kebaikan. (Galatia 5:22, 23) Apabila kita menghadapi masalah dan seorang rakan seiman memberikan nasihat atau galakan kepada kita, kita patut bersyukur kerana Yehuwa telah menggerakkan mereka untuk berbuat demikian.

21. (a) Bagaimanakah “hamba yang setia dan bijaksana” menyediakan makanan rohani? (b) Apakah manfaat yang pernah anda raih daripada makanan rohani yang disediakan oleh Yehuwa?

21 Yehuwa juga melindungi kita secara rohani dengan menyediakan makanan rohani tepat pada masa kita memerlukannya. Dia telah mengamanahkan kerja mengedarkan makanan rohani kepada “hamba yang setia dan bijaksana.” Maka hamba ini menggunakan bahan bacaan, seperti majalah Menara Pengawal dan Sedarlah!, laman web jw.org kita, perjumpaan, perhimpunan, dan konvensyen, untuk memberi kita “makanan pada masa yang sesuai.” (Matius 24:45) Pernahkah anda mendengar komen, ceramah, atau doa, yang telah menguatkan dan menggalakkan anda tepat pada masa anda memerlukannya? Atau, pernahkah hidup anda dipengaruhi oleh salah satu rencana dalam majalah kita? Ingatlah bahawa Yehuwalah yang telah menyediakan semua makanan rohani ini untuk melindungi kita secara rohani.

22. Bagaimanakah Yehuwa menggunakan kuasa-Nya, dan bagaimanakah hal itu membawa kebaikan kepada hamba-hamba-Nya?

22 Sememangnya, Yehuwa ialah “perisai bagi semua orang yang bernaung pada-Nya.” (Mazmur 18:30) Tetapi kita tahu bahawa Yehuwa tidak menggunakan kuasa-Nya untuk melindungi kita daripada semua malapetaka sekarang. Sebenarnya Yehuwa selalu menggunakan kuasa-Nya untuk memastikan agar kehendak-Nya dilaksanakan, dan apa-apa sahaja yang dilakukan oleh Yehuwa akhirnya akan membawa kebaikan kepada hamba-hamba-Nya. Jika kita menghampiri-Nya dan tetap berada di bawah naungan kasih-Nya, Yehuwa akan mengurniakan kehidupan abadi dan kesempurnaan kepada kita. Jika kita sentiasa ingat akan hal ini, kita dapat memandang apa sahaja penderitaan yang menimpa kita sebagai sesuatu yang ringan dan bersifat sementara.​—2 Korintus 4:17.