Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 31

“Hampirilah Tuhan dan Dia pun Akan Menghampiri Kamu”

“Hampirilah Tuhan dan Dia pun Akan Menghampiri Kamu”

1-3. (a) Apakah yang dapat kita pelajari mengenai sifat manusia daripada cara ibu bapa berinteraksi dengan anak mereka? (b) Apakah reaksi kita jika orang mengasihi kita, dan apakah soalan yang harus kita tanya diri sendiri?

 IBU BAPA suka melihat bayi mereka tersenyum. Mereka selalu mendekatkan wajah mereka dengan wajah bayi mereka sambil menyapanya dengan lembut. Mereka suka melihat reaksi bayi mereka yang tersenyum lebar. Bagi ibu bapa, senyuman bayi mereka ialah cara bayi itu menunjukkan bahawa dia menyayangi mereka.

2 Senyuman bayi itu mengingatkan kita tentang hakikat penting ini: Kita akan tergerak untuk mengasihi orang yang mengasihi kita. Itulah caranya Yehuwa menciptakan kita. (Mazmur 22:9) Selepas kita membesar, kita dapat menunjukkan kasih kita dalam cara yang lebih matang. Adakah anda masih ingat bagaimana ibu bapa, saudara-mara, atau kawan anda mengungkapkan kasih mereka kepada anda? Anda pasti sangat gembira dan tergerak untuk mengasihi mereka. Tetapi, adakah hal yang sama berlaku dalam hubungan anda dengan Tuhan Yehuwa?

3 Bible menyatakan, “Kita menunjukkan kasih, kerana Tuhan menunjukkan kasih kepada kita terlebih dahulu.” (1 Yohanes 4:19) Bahagian 1 hingga 3 dalam buku ini mengingatkan kita tentang bagaimana Yehuwa menggunakan kuasa, keadilan, dan kebijaksanaan-Nya untuk kebaikan kita. Dalam Bahagian 4, kita telah mempelajari cara Dia memperlihatkan kasih-Nya kepada umat manusia dan kepada kita masing-masing. Maka kita patut menanya diri kita, “Bagaimanakah saya dapat menyambut dan membalas kasih yang diperlihatkan oleh Tuhan?”

Apakah Erti Mengasihi Tuhan?

4. Mengapakah banyak orang keliru tentang erti mengasihi Tuhan?

4 Yehuwa ialah sumber kasih. Dia tahu bahawa kasih sangat berkuasa dan dapat menyerlahkan sifat-sifat baik dalam diri seseorang. Itulah sebabnya meskipun banyak orang memberontak melawan Tuhan, Tuhan yakin bahawa terdapat sebilangan manusia yang akan menyambut baik kasih-Nya. Sedihnya, banyak agama membuat orang keliru tentang erti mengasihi Tuhan. Banyak orang berkata bahawa mereka mengasihi Tuhan. Tetapi seraya iman mereka bertambah, sekadar berkata bahawa mereka mengasihi Tuhan tidak mencukupi.

5. Apakah yang dinyatakan di 1 Yohanes 5:3? Jelaskan.

5 Bible menyatakan, “Mengasihi Tuhan bererti mematuhi perintah-Nya.” Maka jika kita mengasihi Tuhan, kita akan membuktikannya melalui perbuatan kita. Banyak orang berasa bahawa kepatuhan kepada Tuhan merupakan sesuatu yang membebankan. Tetapi ayat yang sama menyatakan, “Perintah-Nya pun tidak membebankan.” (1 Yohanes 5:3) Hukum dan prinsip yang diberikan oleh Yehuwa adalah untuk kebaikan kita. (Yesaya 48:17, 18) Bagaimanakah prinsip-prinsip dalam Bible dapat membantu kita menghampiri Yehuwa? Sekarang marilah kita membincangkan tiga aspek yang berikut: Komunikasi dengan Tuhan, ibadat, dan pentingnya meniru sifat-sifat Tuhan.

Berkomunikasi dengan Tuhan

6-8. (a) Bagaimanakah Tuhan bercakap kepada kita? (b) Bagaimanakah kita dapat membuat kisah-kisah Bible menjadi hidup?

6 “Dapatkah anda membayangkan bagaimana rasanya jika anda dapat berbual-bual dengan Pemerintah Alam Semesta Yang Berdaulat?” Itulah soalan yang ditanyakan dalam Bab 1 buku ini. Kita tahu bahawa hal itu tidak mustahil kerana Musa sendiri pernah berbual-bual dengan Tuhan. Dewasa ini, Yehuwa tidak akan mengutus malaikat-Nya untuk bercakap kepada kita. Tetapi Dia telah menyediakan satu sarana yang menakjubkan agar kita dapat berkomunikasi dengan-Nya. Bagaimanakah Tuhan bercakap kepada kita?

7 Bible menyatakan, “Segenap Ayat-Ayat Suci diilhami oleh Tuhan,” maka Tuhan bercakap kepada kita melalui Firman-Nya. (2 Timotius 3:16) Itulah sebabnya kita digalakkan untuk membaca Bible “siang dan malam.” (Mazmur 1:1, 2) Kita harus mencurahkan banyak usaha untuk berbuat demikian, tetapi usaha kita tidak sia-sia. Seperti yang dibincangkan dalam Bab 18, Bible adalah seperti sepucuk surat daripada Bapa kita di syurga. Maka membaca Bible tidak sepatutnya dipandang sebagai rutin harian yang membosankan. Semasa membaca Bible, kita dapat membuat kisah-kisah Bible menjadi hidup.

8 Gunakanlah imaginasi anda semasa membaca Bible. Bayangkan bahawa watak-watak Bible ialah orang yang benar-benar hidup. Cuba memahami latar belakang, situasi, dan motif mereka. Kemudian tanyalah diri anda soalan-soalan berikut: Apakah yang dapat saya pelajari tentang Yehuwa daripada kisah ini? Apakah sifat-sifat Yehuwa yang terserlah? Apakah prinsip Bible yang Yehuwa ingin saya pelajari, dan bagaimanakah saya dapat menerapkannya dalam kehidupan saya? Jika anda membaca, merenungkan, dan menerapkan apa yang dibaca dalam Bible, Firman Tuhan akan menjadi hidup bagi anda.​—Mazmur 77:12; Yakobus 1:23-25.

9. Siapakah “hamba yang setia dan bijaksana”? Mengapakah kita harus memperhatikan ajaran mereka dengan teliti?

9 Yehuwa juga bercakap kepada kita melalui “hamba yang setia dan bijaksana.” Seperti yang dinyatakan dalam nubuat Yesus tentang hari-hari terakhir, sekumpulan kecil saudara yang terurap telah dilantik untuk menyediakan “makanan pada masa yang sesuai.” (Matius 24:45-47) Semasa kita membaca bahan bacaan yang membantu kita menimba pengetahuan yang tepat tentang Bible, dan semasa kita menghadiri perjumpaan atau konvensyen, kita sedang menyantap makanan rohani yang disediakan oleh hamba yang setia itu. Mereka ialah hamba Kristus, maka kita harus ‘memperhatikan cara kita mendengar.’ (Lukas 8:18) Kita memperhatikan ajaran mereka dengan teliti kerana kita sedar bahawa Yehuwa sedang menggunakan mereka untuk berkomunikasi dengan kita.

10-12. (a) Mengapakah doa merupakan pemberian Tuhan yang amat menakjubkan? (b) Bagaimanakah kita dapat berdoa dalam cara yang menyenangkan hati Tuhan? Bagaimanakah kita tahu bahawa Tuhan senang hati semasa kita berdoa kepada-Nya?

10 Dapatkah anda berjumpa dengan seorang pemerintah manusia dan menceritakan masalah peribadi anda kepadanya? Barangkali tidak. Di sesetengah negara, anda mungkin dibunuh jika berbuat demikian. Pada zaman Ester dan Mordekhai, sesiapa yang memasuki halaman dalam istana tanpa jemputan raja mungkin akan dihukum mati. (Ester 4:10, 11) Sekarang, bayangkan bahawa anda ingin menghadap Pemerintah Alam Semesta Yang Berdaulat. Jika dibandingkan dengan-Nya, pemerintah manusia yang paling berkuasa pun hanyalah “bagaikan belalang.” (Yesaya 40:22) Maka, patutkah kita berasa takut untuk menghampiri-Nya? Tidak sama sekali!

11 Yehuwa telah menyediakan satu sarana agar kita dapat menghampiri-Nya, iaitu melalui doa. Seorang anak kecil pun dapat berdoa kepada Yehuwa melalui nama Yesus. (Yohanes 14:6; Ibrani 11:6) Namun, doa ialah pemberian yang amat berharga kerana kita dapat mengungkapkan perasaan kita yang paling mendalam kepada Tuhan. Walaupun kita tidak dapat meluahkan perasaan kita menerusi kata-kata, Yehuwa akan mendengar seruan kita untuk meminta bantuan. (Roma 8:26) Tuhan tidak mahu kita berdoa dengan menggunakan kata-kata yang besar atau mengucapkan doa yang panjang lebar dan berbelit-belit. (Matius 6:7, 8) Namun, Tuhan tidak menetapkan batas tentang seberapa panjang atau seberapa kerap kita dapat berdoa kepada-Nya. Firman-Nya bahkan menggalakkan kita untuk sentiasa berdoa.​—1 Tesalonika 5:17.

12 Ingatlah bahawa hanya Yehuwa yang dipanggil “Pendengar doa,” dan Dia mendengar doa kita dengan penuh empati. (Mazmur 65:2) Bible memberitahu kita bahawa Tuhan sangat senang hati semasa kita berdoa kepada-Nya. Bible juga memberitahu kita bahawa doa kita ibarat kemenyan yang dibakar lalu menghasilkan asap dan bau yang wangi. (Mazmur 141:2; Wahyu 5:8; 8:4) Tidakkah anda berasa bersyukur kerana Tuhan Yang Maha Tinggi berasa senang hati dengan doa anda? Maka jika anda ingin menghampiri-Nya, berdoalah kepada-Nya dengan rendah hati setiap hari. Curahkanlah isi hati anda kepada-Nya. (Mazmur 62:8) Ungkapkanlah rasa bimbang, rasa sukacita, rasa syukur, dan pujian anda kepada Tuhan. Dengan demikian, persahabatan anda dengan Tuhan akan bertambah erat.

Beribadat kepada Yehuwa

13, 14. Apakah erti beribadat kepada Yehuwa, dan mengapakah kita patut menyembah-Nya?

13 Semasa kita berkomunikasi dengan Tuhan, kita bukan sekadar mendengar dan bercakap kepada Tuhan. Sebenarnya kita sedang beribadat kepada Tuhan, dan semua aspek kehidupan kita terikat dengan ibadat kita. Itulah caranya kita mengungkapkan kasih dan pengabdian kita kepada Tuhan. Ibadat kita menyatukan semua penyembah Tuhan, baik yang di syurga mahupun yang di bumi. Dalam sebuah penglihatan, Rasul Yohanes mendengar satu malaikat berkata dengan suara yang lantang, “Sembahlah Dia yang menjadikan langit, bumi, laut, dan mata air.”​—Wahyu 14:7.

14 Mengapakah kita patut menyembah Yehuwa? Fikirkan sejenak tentang sifat-sifat yang telah kita bincangkan dalam buku ini, contohnya kesucian, kuasa, kawalan diri, keadilan, keberanian, kebijaksanaan, kerendahan hati, kasih, belas kasihan, kesetiaan, dan kebaikan. Kita telah melihat bahawa Yehuwa menunjukkan semua sifat itu dalam cara yang paling unggul. Semasa kita berusaha untuk memahami sifat-sifat-Nya, kita mula menyedari bahawa Dia amat mengagumkan dan jauh lebih tinggi daripada kita. (Yesaya 55:9) Sememangnya, selaku Pemerintah Alam Semesta Yang Berdaulat, Yehuwa layak menerima pujian dan ibadat kita! Tetapi apakah cara ibadat yang dapat menyenangkan hati Tuhan?

15. Apakah syarat yang perlu dipenuhi agar ibadat kita diterima oleh Tuhan? Jelaskan. Semasa kita berkumpul bersama rakan seiman, kita berpeluang untuk melakukan apa?

15 Yesus berkata, “Tuhan ialah Roh, dan semua penyembah-Nya mesti menyembah-Nya dengan bimbingan kuasa suci-Nya dan kebenaran.” (Yohanes 4:24) Maka agar ibadat kita diterima oleh Tuhan, kita mesti mempunyai kuasa suci-Nya dan dibimbing oleh kuasa itu. Selain itu, penyembahan kita mestilah selaras dengan pengetahuan tepat yang terkandung dalam Firman Tuhan. Kita berpeluang untuk beribadat kepada Tuhan semasa kita berkumpul bersama rakan seiman. (Ibrani 10:24, 25) Semasa kita menyanyikan lagu rohani, berdoa bersama-sama, dan mendengarkan dan menyertai perbincangan Bible, kita sebenarnya sedang mengungkapkan kasih kita kepada Tuhan melalui ibadat kita.

Perjumpaan Kristian ialah peluang yang baik untuk menyembah Yehuwa

16. Apakah salah satu perintah terpenting yang diberikan kepada kita? Mengapakah kita rela mematuhi perintah itu?

16 Kita juga menyembah Yehuwa semasa kita bercakap kepada orang lain tentang-Nya dan memuji-Nya di hadapan umum. (Ibrani 13:15) Sebenarnya, menginjil tentang Kerajaan Tuhan ialah salah satu perintah terpenting yang diberikan kepada kita. (Matius 24:14) Kita rela mematuhi perintah itu kerana kita mengasihi Yehuwa. “Tuhan sistem dunia ini” telah menyesatkan orang dan menyebarkan dusta tentang Yehuwa. Tidakkah kita ingin sekali menjadi Saksi yang berpihak kepada Yehuwa dan membuktikan bahawa Syaitan ialah pendusta yang keji? (2 Korintus 4:4; Yesaya 43:10-12) Semasa kita berfikir tentang sifat-sifat Yehuwa yang menakjubkan, tidakkah kita merasai keinginan yang berkobar-kobar untuk memberitahu orang lain tentang-Nya? Sebenarnya, kita diberikan penghormatan yang sangat besar kerana dapat membantu orang lain untuk mengenali dan mengasihi Yehuwa.

17. Ibadat kita melibatkan apa? Mengapakah kita mesti menyembah Tuhan dengan sepenuh hati?

17 Sememangnya, penyembahan kita merangkumi setiap aspek kehidupan kita. (Kolose 3:23) Jika kita mengakui Yehuwa sebagai Pemerintah Yang Berdaulat, segala-gala dalam kehidupan kita, termasuk keluarga kita, kerja kita, cara kita melayan orang, dan masa untuk berekreasi dan berehat, akan selaras dengan kehendak Tuhan. Kita akan berusaha untuk menyembah Yehuwa “dengan sepenuh hati.” (1 Tawarikh 28:9) Maka kita tidak patut bersikap munafik, iaitu menyembah Yehuwa dan pada masa yang sama melakukan dosa-dosa serius. Kita dapat mengelakkan sikap sedemikian jika kita mempunyai kasih sejati. Selain itu, kita mesti takut dan hormat kepada Tuhan. Bible menyatakan bahawa Tuhan ialah sahabat akrab kepada orang yang takut kepada-Nya.​—Mazmur 25:14.

Meniru Sifat-Sifat Yehuwa

18, 19. Bagaimanakah kita tahu bahawa kita dapat meniru sifat-sifat Tuhan meskipun kita tidak sempurna?

18 Setiap bahagian dalam buku ini berakhir dengan satu bab yang menggalakkan kita untuk mengikut “teladan Tuhan.” (Efesus 5:1) Bagaimanakah kita tahu bahawa kita dapat meniru kuasa, keadilan, kebijaksanaan, dan kasih Tuhan meskipun kita tidak sempurna? Ingatlah, nama Yehuwa bererti bahawa Dia dapat menjadi apa pun yang diperlukan untuk melaksanakan tujuan-Nya. Apakah kaitan fakta ini dengan diri kita?

19 Kita diciptakan menurut gambaran Tuhan. (Kejadian 1:26) Maka, manusia bukan seperti binatang yang dikawal oleh naluri atau faktor-faktor lain. Yehuwa telah memberi manusia satu kurniaan yang berharga, iaitu kebebasan untuk memilih. Maka, meskipun kita tidak sempurna, kita dapat memilih untuk menjadi seorang yang pengasih, adil, dan menggunakan kuasa kita dengan baik. Ingatlah juga bahawa nama Tuhan bermaksud bahawa Dia dapat menyebabkan penyembah-Nya menjadi apa sahaja yang diperlukan untuk melaksanakan kehendak-Nya. Yehuwa akan membantu kita dengan memberi kita kuasa suci-Nya. Apakah hasilnya?

20. Apakah hasil baik yang dapat kita raih jika kita terus meniru sifat-sifat Tuhan?

20 Anda akan menyenangkan dan menggembirakan hati Tuhan. (Amsal 27:11) Meskipun anda tidak sempurna, anda dapat ‘menyenangkan hati Yehuwa dengan sepenuhnya’ kerana Dia sedar akan keterbatasan anda. (Kolose 1:9, 10) Apabila anda berusaha meniru teladan Yehuwa dan memupuk sifat-sifat yang baik, anda akan diberkati dengan penghormatan yang besar. Ya, anda dapat menjadi “cahaya dunia” dalam dunia yang gelap secara rohani dan membantu orang untuk mengenal Tuhan.​—Matius 5:1, 2, 14.

“Hampirilah Tuhan dan Dia pun Akan Menghampiri Kamu”

Semoga anda terus menghampiri Yehuwa

21, 22. Dapatkah kita mengetahui segala-gala tentang Tuhan? Jelaskan.

21 Usaha untuk menghampiri Tuhan sebenarnya ibarat suatu perjalanan yang tiada akhirnya kerana tidak mungkin kita dapat mengetahui segala-gala tentang Tuhan. Janganlah berfikir bahawa buku ini telah mengajar kita banyak tentang Yehuwa. Sebenarnya, buku ini hanya mengandungi sebilangan kecil maklumat tentang Yehuwa yang tercatat dalam Bible! Hakikatnya, Bible pun tidak mengandungi semua maklumat tentang Yehuwa. Rasul Yohanes menyatakan bahawa jika setiap peristiwa dalam kehidupan Yesus di bumi dicatatkan dengan terperinci, “seluruh dunia pun tidak cukup untuk memuatkan” maklumat-maklumat itu. (Yohanes 21:25) Jika hal itu dikatakan tentang Yesus, apatah lagi tentang Bapanya yang di syurga!

22 Biarpun kita dapat hidup untuk selama-lamanya, kita tidak mungkin dapat mengetahui segala-galanya tentang Tuhan. (Pengkhutbah 3:11) Selepas kita hidup selama berbilion-bilion tahun, kita pasti dapat mempelajari banyak hal tentang Yehuwa. Namun pada masa itu pun kita akan terus belajar tentang Tuhan. Kita pasti akan menjadi seperti pemazmur yang berkata, “Sungguh baik untuk mendekati Tuhan.” (Mazmur 73:28) Ya, kehidupan di dunia baharu pasti sangat memuaskan. Tetapi perkara yang paling memuaskan pada masa itu ialah peluang untuk terus menghampiri Yehuwa buat selama-lamanya!

23. Apakah tekad anda?

23 Semoga anda membalas kasih Yehuwa dengan mengasihi-Nya dengan segenap hati, jiwa, akal, dan kekuatan. (Markus 12:29, 30) Semoga kasih anda terhadap-Nya tetap teguh dan tidak tergoyah. Semoga keputusan yang anda buat setiap hari dapat menyenangkan hati-Nya. Yang terpenting, semoga anda terus menghampiri Yehuwa, dan semoga Dia juga terus menghampiri anda buat selama-lamanya!