BAB 20
‘Bahagikan Tanah Itu sebagai Warisan’
ISI UTAMA: Pengajaran daripada tanah yang dibahagikan
1, 2. (a) Apakah arahan yang diberikan kepada Yehezkiel? (b) Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan?
TAHUNNYA ialah 593 SM, dan Yehuwa telah memberi Yehezkiel satu lagi penglihatan. Apa yang dilihatnya mungkin membuatnya terfikir tentang suatu peristiwa yang telah berlaku kira-kira 900 tahun yang lalu. Mari kita kembali ke zaman Musa dan Yosua untuk mengetahui apa yang telah terjadi. Pada masa itu, Yehuwa telah memberi Musa arahan-arahan tentang sempadan bagi Tanah yang Dijanjikan. Pada kemudian hari pula, Yehuwa telah memberitahu Yosua bagaimana kawasan itu harus dibahagikan antara suku-suku Israel. (Bil. 34:1-15; Yos. 13:7; 22:4, 9) Tetapi kini, dalam penglihatan yang diberikan kepada Yehezkiel, Yehuwa sekali lagi memberinya arahan mengenai cara untuk membahagikan Tanah yang Dijanjikan bagi suku-suku Israel.—Yeh. 45:1; 47:14; 48:29.
2 Apakah yang dipelajari oleh Yehezkiel dan para tawanan melalui penglihatan ini? Mengapakah penglihatan ini menggalakkan umat Tuhan hari ini? Adakah penglihatan ini akan menjadi kenyataan dalam skala yang lebih besar pada masa depan?
Empat Jaminan daripada Yehuwa
3, 4. (a) Apakah empat jaminan yang diperoleh melalui penglihatan Yehezkiel yang terakhir? (b) Apakah yang akan kita kaji dalam bab ini?
3 Penglihatan terakhir ini meliputi sembilan bab dalam buku Yehezkiel. (Yeh. 40:1–48:35) Apabila para tawanan mengetahui tentang apa yang dilihat oleh Yehezkiel, mereka pasti sangat digalakkan. Mengapa? Kerana penglihatan ini memberikan empat jaminan tentang bangsa Israel yang dipulihkan. Pertama, ibadat sejati akan dipulihkan di Rumah Tuhan. Kedua, imam dan gembala yang setia akan memimpin bangsa itu. Ketiga, tanah warisan akan diberikan kepada mereka yang kembali ke Israel. Keempat, Yehuwa akan menyertai mereka dan Dia akan tinggal semula dalam kalangan mereka.
4 Dalam Bab 13 dan 14 buku ini, kita telah belajar tentang dua jaminan yang pertama, iaitu pemulihan ibadat sejati dan persediaan aturan gembala yang setia. Kita juga telah mengkaji bagaimana dua jaminan itu akan menjadi kenyataan. Dalam bab ini, kita akan bertumpu kepada jaminan yang ketiga, iaitu tanah warisan yang dijanjikan. Bab seterusnya pula akan meneliti janji Yehuwa untuk menyertai umat-Nya.—Yeh. 47:13-21; 48:1-7, 23-29.
‘Tanah Ini Akan Diberikan kepada Kamu sebagai Warisan’
5, 6. (a) Apakah tanah yang dibahagikan dalam penglihatan Yehezkiel? (Lihat gambar pada permulaan bab.) (b) Mengapakah Yehuwa memberikan penglihatan ini?
5 Baca Yehezkiel 47:14. Dalam penglihatan ini, Yehezkiel melihat tanah yang akan menjadi “seperti Taman Eden.” (Yeh. 36:35) Selepas itu Yehuwa berfirman, “Kamu haruslah membahagikan tanah ini dan memberikannya kepada 12 suku Israel.” (Yeh. 47:13) Apakah tanah yang dimaksudkan itu? Tanah ini ialah negeri Israel yang dipulihkan dan yang akan didiami oleh para tawanan setelah mereka kembali. Kemudian, seperti yang dicatatkan di Yehezkiel 47:15-21, Yehuwa memberinya maklumat yang terperinci tentang sempadan-sempadan tanah itu.
6 Mengapakah Yehuwa memberi Yehezkiel dan para tawanan Yahudi penglihatan ini? Gambaran yang terperinci tentang pembahagian tanah warisan meyakinkan Yehezkiel dan para tawanan bahawa tanah air mereka akan dipulihkan. Bayangkanlah perasaan para tawanan semasa mendengar tentang hal itu. Mereka pasti berasa sangat gembira dan dilegakan. Ya, jaminan itu tentu menyemarakkan semangat mereka! Namun, adakah mereka benar-benar menerima tanah warisan yang dijanjikan itu?
7. (a) Apakah yang berlaku pada 537 SM? Peristiwa itu mengingatkan kita tentang apa? (b) Apakah soalan yang akan kita bincangkan terlebih dahulu?
7 Seperti yang dijanjikan oleh Yehuwa, hal itu telah menjadi kenyataan kira-kira 56 tahun kemudian. Pada tahun 537 SM, ribuan tawanan telah kembali ke negeri Israel dan mendiaminya. Sebenarnya, hal ini mengingatkan kita tentang peristiwa serupa yang telah berlaku dalam kalangan umat Tuhan pada zaman moden. Yehuwa telah memberi umat-Nya sebuah tanah kiasan dan mereka
sedang mendiami tanah itu. Memandangkan terdapat persamaan antara pemulihan yang telah berlaku pada zaman kuno dengan hari ini, kita dapat memperoleh pengajaran yang berguna daripada kisah mereka. Tetapi sebelum meneliti pengajaran-pengajaran itu, mari kita jawab soalan ini: Mengapakah kita yakin bahawa tanah kiasan ini betul-betul wujud dewasa ini?8. (a) Bangsa Israel digantikan dengan siapa? (b) Apakah itu firdaus rohani? (c) Bilakah firdaus rohani mula wujud, dan siapakah yang mendiaminya?
8 Dalam penglihatan yang sebelumnya, Yehuwa menyingkapkan bahawa nubuat pemulihan Israel akan menjadi kenyataan dalam skala yang lebih besar. Hal itu berlaku pada 1914 apabila ‘Hamba-Nya Daud,’ iaitu Yesus, mula memerintah sebagai raja. (Yeh. 37:24) Pada masa itu, bangsa Israel sudah digantikan dengan Israel rohani yang terdiri daripada kaum terurap. (Baca Matius 21:43; 1 Petrus 2:9.) Yehuwa juga telah membawa umat-Nya ke sebuah tanah kiasan, iaitu firdaus rohani. (Yes. 66:8) Dalam Bab 17 buku ini, kita belajar bahawa firdaus rohani ini merujuk kepada keadaan yang selamat dan makmur secara rohani. Sejak 1919, kaum terurap telah menyembah Yehuwa dalam firdaus rohani ini. (Lihat kotak 9B, “Mengapa 1919?”) Pada kemudian hari, umat Tuhan yang mempunyai harapan untuk hidup di bumi juga mendiami firdaus rohani ini. (Yoh. 10:16) Pada zaman sekarang, firdaus rohani ini semakin berkembang. Namun, berkat-berkatnya hanya dapat dinikmati dengan sepenuhnya selepas Armagedon.
Tanah Dibahagikan Secara Sama Rata
9. Apakah arahan terperinci yang diberikan oleh Yehuwa tentang tanah itu?
9 Baca Yehezkiel 48:1, 28. Selepas menyatakan sempadan bagi tanah dalam penglihatan Yehezkiel, Yehuwa memberikan arahan terperinci tentang cara untuk membahagikannya. Dia menyatakan bahawa tanah itu harus dibahagikan secara sama rata antara 12 suku Israel, bermula dengan suku Dan di bahagian utara hingga suku Gad di bahagian selatan. Setiap suku mempunyai tanah yang disusun secara melintang, dan keluasannya bermula dari sempadan di bahagian timur hingga ke Laut Tengah (atau Laut Mediterranean) yang merupakan sempadan barat.—Yeh. 47:20; lihat peta dalam kotak “Cara Tanah Itu Dibahagikan.”
10. Apakah yang dipelajari oleh para tawanan daripada penglihatan ini?
10 Apakah yang dipelajari oleh para tawanan daripada penglihatan tentang pembahagian tanah ini? Gambaran yang sangat terperinci itu menegaskan bahawa tanah warisan mereka akan dibahagikan dengan teratur. Selain itu, tanah yang dibahagikan secara sama rata pasti meyakinkan mereka bahawa mereka akan mendapat tanah warisan masing-masing. Ya, para tawanan yang kembali ke tanah yang dipulihkan itu tidak akan diabaikan.
11. Apakah pengajaran yang kita peroleh daripada penglihatan ini? (Lihat kotak “Cara Tanah Itu Dibahagikan.”)
11 Apakah pengajaran yang kita peroleh daripada penglihatan ini? Tanah dalam penglihatan Yehezkiel bukan hanya disediakan untuk para imam, orang Lewi, dan para pemimpin, tetapi juga untuk rakyat biasa daripada 12 suku Israel. (Yeh. 45:4, 5, 7, 8) Begitu juga, firdaus rohani tidak hanya didiami oleh kaum terurap dan para saudara daripada “kumpulan besar” yang mengambil pimpinan. Tetapi semua saudara saudari daripada “kumpulan besar manusia” juga tinggal di firdaus rohani ini. * (Why. 7:9) Jadi, tidak kira peranan kita besar atau kecil dalam organisasi Yehuwa, kita semua mempunyai tugasan yang penting dan diberikan tempat dalam firdaus rohani. Tidakkah hal ini menyentuh hati anda?
Dua Perbezaan dan Pengajarannya untuk Kita
12, 13. Apakah arahan spesifik yang diberikan oleh Yehuwa tentang cara membahagikan tanah?
12 Sesetengah arahan yang diberikan oleh Yehuwa tentang pembahagian tanah mungkin mengelirukan Yehezkiel. Mengapa? Kerana arahan-arahan itu berbeza daripada arahan yang diberikan kepada Musa. Sekarang, kita akan mengkaji dua perbezaan itu.
Yang pertama berkaitan dengan pembahagian tanah, dan yang kedua berkaitan dengan penduduk yang menetap di sana.13 Perbezaan yang pertama: Pembahagian tanah. Musa disuruh untuk memberikan tanah yang lebih luas kepada suku yang lebih besar. (Bil. 26:52-54) Tetapi, dalam penglihatan Yehezkiel, Yehuwa memberikan arahan bahawa tanah itu harus dibahagikan secara “sama rata” antara semua suku. (Yeh. 47:14) Maka, jarak dari sempadan utara ke sempadan selatan bagi setiap suku adalah sama. Dengan demikian, setiap suku dapat menikmati hasil tanah yang sama tidak kira di mana mereka tinggal.
14. Berkenaan orang asing, apakah perbezaan antara perintah Yehuwa kepada Musa dengan arahan-Nya kepada Yehezkiel?
14 Perbezaan yang kedua: Penduduk yang menetap di tanah itu. Dalam Hukum Musa, Yehuwa menetapkan peraturan untuk melindungi orang asing dan membenarkan mereka untuk beribadat kepada-Nya. Namun mereka tidak diberikan tanah warisan. (Im. 19:33, 34) Dalam penglihatan Yehezkiel pula, Yehuwa berfirman, ‘Orang asing haruslah diberi tanah warisan bersama-sama suku di tempat mereka tinggal.’ Maka, Yehuwa telah merobohkan salah satu “tembok” yang membezakan “penduduk asli Israel” daripada orang asing. (Yeh. 47:22, 23) Kedua-dua kumpulan itu setaraf di mata Tuhan, dan mereka dapat beribadat dengan bersatu padu.—Im. 25:23.
15. Apakah kebenaran yang ditonjolkan melalui arahan-arahan Yehuwa kepada Yehezkiel?
15 Apakah pengajaran yang diperoleh para tawanan daripada dua arahan itu? Mereka diyakinkan bahawa Yehuwa akan memberikan tanah secara sama rata kepada semua umat-Nya, tidak kira mereka ialah orang asing atau orang Israel. (Ezr. 8:20; Neh. 3:26; 7:6, 25; Yes. 56:3, 8) Hal ini juga menonjolkan satu kebenaran yang amat melegakan hati kita: Yehuwa menghargai setiap hamba-Nya dan Dia tidak bersikap berat sebelah. (Baca Hagai 2:7.) Betapa bersyukurnya kita kerana Yehuwa mengasihi semua umat-Nya, tidak kira kita berpeluang untuk hidup di syurga atau bumi.
16, 17. (a) Apakah pengajaran yang kita raih daripada penglihatan ini? (b) Apakah yang akan kita bincang dalam bab seterusnya?
16 Apakah pengajaran yang kita raih daripada penglihatan ini? Kita belajar bahawa perpaduan dan sikap tidak berat sebelah harus jelas kelihatan dalam firdaus rohani. Memandangkan Yehuwa ialah Tuhan yang adil, kita harus tanya diri, “Adakah saya juga bersikap adil seperti Yehuwa? Adakah saya melayan rakan seiman dengan hormat, tidak kira bangsa, keadaan hidup, atau latar belakang mereka?” (Rm. 12:10) Yehuwa telah memberi kita peluang untuk hidup di firdaus rohani ini. Ya, kita berbesar hati kerana dapat berkhidmat kepada-Nya dengan sepenuh hati dan menikmati berkat-Nya.—Gal. 3:26-29; Why. 7:9.
17 Dalam bab yang seterusnya, kita akan membincangkan jaminan keempat, iaitu janji Yehuwa untuk menyertai para tawanan. Apakah pengajaran yang dapat kita raih daripada jaminan itu? Mari kita lihat.