Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 19

‘Ke Mana Sahaja Air Itu Mengalir Akan Ada Kehidupan’

‘Ke Mana Sahaja Air Itu Mengalir Akan Ada Kehidupan’

YEHEZKIEL 47:9

ISI UTAMA: Bagaimana penglihatan tentang sungai yang mengalir dari Rumah Tuhan menjadi kenyataan pada masa dulu, sekarang, dan pada masa depan

1, 2. Berdasarkan Yehezkiel 47:1-12, apakah yang dilihat dan diketahui Yehezkiel? (Lihat gambar pada permulaan bab.)

DALAM penglihatan Rumah Tuhan, Yehezkiel memerhatikan satu lagi perkara yang sangat menarik. Terdapat air yang sedang mengalir dari Rumah Tuhan. (Baca Yehezkiel 47:1-12.) Mula-mula, dia melihat sedikit air mengalir dari bawah ambang pintu Rumah Tuhan ke arah pintu gerbang timur. Malaikat yang memimpinnya sedang mengukur jarak aliran itu. Seraya mereka menyusuri aliran air yang jernih itu, malaikat itu berulang kali menyuruh Yehezkiel untuk menyeberanginya. Apabila Yehezkiel berbuat demikian, dia mendapati bahawa aliran itu menjadi semakin dalam dan deras. Akhirnya, sungai itu menjadi begitu dalam sehingga dia harus berenang jika ingin menyeberanginya.

2 Yehezkiel juga diberitahu bahawa sungai itu mengalir ke Laut Mati dan menyembuhkan air laut yang sangat masin itu. Hasilnya, laut yang tiada hidupan itu mula dipenuhi dengan banyak sekali ikan. Di tebing sungai itu, terdapat banyak pokok yang menghasilkan buah. Setiap bulan, pokok-pokok itu berbuah dan menumbuhkan daun yang dapat digunakan sebagai ubat. Apakah perasaan Yehezkiel semasa melihat pokok-pokok yang subur dan sungai yang jernih itu? Hal ini pasti meneguhkan harapannya dan membuatnya bersukacita. Sekarang, mari kita kaji maksud penglihatan ini bagi Yehezkiel serta tawanan lain, dan maksudnya bagi kita.

Maksud Penglihatan Ini bagi Para Tawanan

3. Mengapakah orang Yahudi tahu bahawa sungai yang dilihat Yehezkiel bukanlah sungai yang harfiah?

3 Sudah pasti orang Yahudi tahu bahawa sungai itu bukanlah sungai yang harfiah. Penglihatan ini mungkin mengingatkan mereka tentang nubuat pemulihan yang dicatatkan oleh Nabi Yoel lebih daripada 200 tahun lalu. (Baca Yoel 3:18.) Yoel menyebut tentang ‘gunung-gunung yang diliputi wain manis’ dan ‘bukit-bukit yang melimpah dengan susu.’ Memandangkan hal ini mustahil berlaku secara harfiah, para tawanan dapat menyimpulkan bahawa nubuat Yoel tentang air yang ‘mengalir dari rumah milik Yehuwa’ bukanlah sungai yang harfiah. Maka, mereka pasti tahu bahawa sungai dalam penglihatan Yehezkiel hanyalah sungai kiasan. * Jadi, apakah yang ingin disampaikan oleh Yehuwa melalui gambaran tentang sungai itu? Kita akan pertimbangkan tiga jaminan yang boleh diraih melalui penglihatan ini. Mari kita mengkajinya dengan lebih terperinci.

4. (a) Apakah berkat-berkat yang dinantikan oleh orang Yahudi? (b) Mengapakah perkataan “sungai” dan “air” meyakinkan umat Tuhan bahawa Yehuwa akan memberkati mereka? (Lihat kotak “Sungai yang Membawa Berkat Yehuwa.”)

4 Sungai yang membawa berkat. Dalam Bible, sungai dan air sering digunakan untuk menggambarkan berkat yang melimpah daripada Yehuwa. Maka, sungai yang mengalir dari Rumah Tuhan mungkin membantu umat Tuhan faham akan hal ini: Selagi mereka menjalankan ibadat sejati, mereka akan menerima berkat rohani yang melimpah. Apakah berkat-berkat yang akan diraih mereka? Mereka akan diajar oleh para imam dan menerima pengampunan Tuhan melalui korban yang dipersembahkan di Rumah Tuhan. (Yeh. 44:15, 23; 45:17) Ya, air yang mengalir dari Rumah Tuhan seolah-olah menjadikan mereka murni semula.

5. Bagaimanakah penglihatan tentang sungai meyakinkan umat Tuhan bahawa berkat Yehuwa akan mencukupi untuk semua orang?

5 Adakah berkat Yehuwa akan mencukupi untuk semua umat Tuhan? Dalam penglihatan Yehezkiel, aliran air yang sedikit telah menjadi sungai yang deras hanya dalam jarak kira-kira dua kilometer. (Yeh. 47:3-5) Walaupun bilangan orang Yahudi yang kembali semakin bertambah, berkat-berkat Yehuwa pasti cukup untuk memenuhi keperluan mereka. Hal itu jelas ditunjukkan melalui sungai yang deras dan dalam itu.

6. (a) Apakah jaminan yang diberikan melalui gambaran air yang memberikan kehidupan? (b) Apakah amaran yang disampaikan dalam penglihatan ini? (Lihat nota kaki.)

6 Air yang memberikan kehidupan. Dalam penglihatan Yehezkiel, sungai yang mengalir ke Laut Mati menyebabkan laut itu dipenuhi makhluk hidup. Terdapat pelbagai jenis ikan di situ seperti yang terdapat dalam Laut Tengah (atau Laut Mediterranean). Di persisiran pantai Laut Mati, terdapat industri perikanan yang meliputi kawasan yang sangat luas. Malaikat itu berkata, “Ke mana sahaja air itu mengalir, di situ akan ada kehidupan.” Gambaran ini memberikan jaminan bahawa ibadat sejati yang dipulihkan akan membawa berkat kepada manusia. Tetapi, adakah hal itu bermaksud bahawa seluruh Laut Mati akan disembuhkan? Tidak! Malaikat itu menyatakan bahawa sesetengah kawasan yang berlumpur tidak akan disembuhkan tetapi “dibiarkan menjadi garam.” * (Yeh. 47:8-11) Maka, penglihatan ini juga mengandungi amaran bagi umat Tuhan: Bukan semua orang akan dipulihkan atau sudi menerima berkat Yehuwa.

7. Apakah yang dipelajari oleh orang Yahudi daripada pokok-pokok yang tumbuh di tebing sungai?

7 Pokok-pokok yang menghasilkan makanan dan membawa penyembuhan. Apabila Yehezkiel dan para tawanan membayangkan buah-buah yang dapat dinikmati setiap bulan, mereka pasti rasa sangat gembira. Sebenarnya, pokok-pokok di tebing sungai itu memberikan pengajaran yang penting. Apakah pengajarannya? Mereka diyakinkan bahawa Yehuwa akan memberi mereka makanan rohani yang melimpah. Selain itu, perhatikan bahawa daun-daun pokok itu “akan digunakan sebagai ubat.” (Yeh. 47:12) Yehuwa tahu bahawa umat-Nya yang kembali perlu disembuhkan secara rohani. Maka Dia telah berjanji untuk membantu mereka pulih, seperti yang dibincangkan dalam Bab 9 buku ini.

8. Apakah yang menunjukkan bahawa penglihatan Yehezkiel akan menjadi kenyataan dalam skala yang lebih besar?

8 Dalam Bab 9, kita juga belajar bahawa para tawanan yang kembali hanya melihat janji Yehuwa menjadi kenyataan dalam skala yang kecil. Mengapa? Kerana mereka tidak setia dan telah mengabaikan ibadat sejati. Bayangkanlah betapa kecewanya para tawanan yang setia apabila melihat sikap rakan-rakan mereka yang jahat dan tidak taat. Namun, umat Tuhan yang setia yakin bahawa semua janji Yehuwa pasti ditunaikan. (Baca Yosua 23:14.) Sememangnya, penglihatan Yehezkiel akan menjadi kenyataan dalam skala yang lebih besar. Tetapi bilakah hal itu akan berlaku?

Sungai Itu Mengalir Hari Ini!

9. Bilakah penglihatan Yehezkiel tentang Rumah Tuhan menjadi kenyataan lagi?

9 Dalam Bab 14 buku ini, kita belajar bahawa penglihatan tentang Rumah Tuhan menjadi kenyataan dalam skala yang lebih besar “pada hari-hari terakhir.” Itulah masanya ibadat sejati dijunjung tinggi. (Yes. 2:2) Bagaimanakah penglihatan tentang sungai yang dilihat oleh Yehezkiel menjadi kenyataan sekarang?

10, 11. (a) Apakah berkat-berkat yang diumpamakan seperti sungai? (b) Apakah yang membuktikan bahawa umat Tuhan mendapat makanan rohani yang mencukupi hari ini?

10 Sungai yang membawa berkat. Apakah berkat-berkat yang diumpamakan seperti sungai yang mengalir dari Rumah Tuhan? Kita mungkin terfikir tentang semua berkat daripada Yehuwa yang membantu kita tetap kuat secara rohani. Berkat terbesar yang kita terima ialah korban tebusan Kristus. Kurniaan ini membersihkan kita daripada dosa dan membantu kita mendapat pengampunan Tuhan. Selain itu, kebenaran dalam Firman Tuhan juga bagaikan air murni yang memberikan kehidupan. (Ef. 5:25-27) Bagaimanakah Yehuwa mencurahkan berkat-berkat ini pada zaman kita?

11 Pada tahun 1919, hanya terdapat beberapa ribu Saksi-Saksi Yehuwa di seluruh bumi. Pada masa itu, mereka mendapat makanan rohani yang memenuhi keperluan mereka. Seraya masa berlalu, bilangan mereka terus meningkat sehingga menjadi lebih daripada lapan juta orang. Adakah umat Tuhan hari ini masih mendapat makanan rohani yang mencukupi? Ya! Yehuwa telah menyediakan makanan yang berlimpah-limpah. Contohnya, sepanjang 100 tahun yang lalu, berbilion-bilion Bible, buku, majalah, brosur, dan risalah telah diterbitkan. Seperti sungai dalam penglihatan Yehezkiel, air kebenaran telah mengalir dengan deras agar semua orang yang mendahagakan kebenaran Bible dapat dipuaskan. Selain daripada bahan bacaan yang bercetak, organisasi Yehuwa juga menyediakan bahan-bahan dalam bentuk elektronik di laman web jw.org. Hari ini, jw.org didapati dalam lebih daripada 1,000 bahasa! Bagaimanakah semua pemberian rohani ini membantu orang yang berhati jujur?

12. (a) Apakah manfaat yang dibawa oleh air kebenaran? (b) Apakah amaran yang disampaikan dalam penglihatan ini? (Lihat nota kaki.)

12 Air yang memberikan kehidupan. Yehezkiel diberitahu, “Ke mana sahaja air itu mengalir, di situ akan ada kehidupan.” Air kebenaran yang dicurahkan oleh Yehuwa telah memberikan manfaat kepada ramai orang. Jutaan orang yang menimba air ini tidak lagi mati secara rohani. Sebaliknya mereka seolah-olah dihidupkan kerana mereka mengenali Yehuwa dan beriman kepada-Nya. Namun, penglihatan ini juga mengandungi amaran bagi kita: Bukan semua orang akan terus menerima air kehidupan ini. Sepertimana terdapat tempat yang berpaya dan berlumpur yang tidak disembuhkan, sesetengah orang juga akan menolak air kebenaran. * Semoga hal ini tidak berlaku kepada kita!​—Baca Ulangan 10:16-18.

13. Apakah yang kita pelajari daripada pokok-pokok di tebing sungai?

13 Pokok-pokok yang menghasilkan makanan dan membawa penyembuhan. Dalam nubuat Yehezkiel, pokok-pokok itu menghasilkan buah-buahan yang enak setiap bulan dan daunnya dapat menjadi ubat. (Yeh. 47:12) Apakah yang kita pelajari daripada hal itu? Hari ini, Yehuwa juga memberikan makanan yang melimpah untuk memenuhi dan menjaga kesihatan rohani kita. Keadaan kita memang berbeza daripada orang di dunia ini yang lapar dan sakit secara rohani. Apakah perasaan anda semasa membaca majalah kita, menyanyikan lagu-lagu rohani di konvensyen atau perhimpunan, dan menonton video-video yang disediakan oleh organisasi Yehuwa? Tidakkah anda rasa diberkati? (Yes. 65:13, 14) Makanan yang berkhasiat ini dapat membantu kita menjauhi perbuatan yang tidak bermoral. Selain itu, kita dapat menghindari sikap tamak atau menjadi orang yang tidak beriman. Sekiranya kita melakukan dosa yang serius dan jatuh sakit secara rohani, Yehuwa juga telah menyediakan aturan agar kita dapat disembuhkan. (Baca Yakobus 5:14.) Alangkah bersyukurnya kita kerana Yehuwa telah memberkati kita dengan melimpah!

14, 15. (a) Apakah pengajaran yang kita peroleh semasa memikirkan kawasan berlumpur yang tidak disembuhkan? (b) Bagaimanakah kita dapat meraih berkat Tuhan yang melimpah?

14 Apakah pengajaran yang kita peroleh daripada kawasan berlumpur yang tidak disembuhkan? Kita tidak mahu menjadi seperti orang di dunia ini yang enggan disembuhkan atau membiarkan apa-apa menghalang kita daripada menerima berkat Yehuwa. (Mat. 13:15) Sebaliknya, kita ingin terus menikmati berkat-Nya yang melimpah. Kita berbuat demikian dengan menerima air kebenaran dalam Bible dan menyebarkannya kepada orang lain dengan bersemangat. Selain itu, kita dapat meraih manfaat daripada sungai itu apabila kita mendengarkan nasihat dan bimbingan para penatua yang dilatih oleh hamba yang setia. Sememangnya, sungai yang mengalir dari Rumah Tuhan memberikan kehidupan dan membawa penyembuhan.

15 Adakah penglihatan ini juga akan menjadi kenyataan pada masa depan? Ya! Di Firdaus, sungai itu akan mendatangkan berkat yang jauh lebih besar kepada umat manusia. Mari kita belajar lebih lanjut tentang hal ini.

Penglihatan Ini Akan Menjadi Kenyataan di Firdaus

16, 17. Apakah berkat yang akan kita nikmati di Firdaus?

16 Pernahkah anda membayangkan diri anda bersama keluarga yang tersayang di dunia baharu? Kehidupan anda pasti sangat menggembirakan dan memuaskan! Dengan mengkaji penglihatan Yehezkiel ini, anda akan mendapat gambaran yang lebih jelas tentang kehidupan di Firdaus. Sekarang, mari kita lihat bagaimana penglihatan Yehezkiel akan menjadi kenyataan di Firdaus.

17 Sungai yang membawa berkat. Di Firdaus, manusia bukan hanya diberkati secara rohani tetapi juga secara jasmani. Ya, “kumpulan besar manusia” yang selamat mengharungi “kesengsaraan besar” akan menikmati banyak berkat daripada sungai itu. (Why. 7:9, 14) Semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus, kita akan meraih manfaat yang sepenuhnya daripada korban tebusan Yesus. Kita akan beransur-ansur menjadi sempurna. Tiada lagi hospital, doktor, jururawat, dan penyakit. Berkat-berkat ini memang sangat menakjubkan, bukan? Tetapi, ingatlah bahawa aliran air yang dilihat Yehezkiel telah beransur-ansur menjadi sungai yang sangat deras. Maka, berkat-berkat yang akan dinikmati sejurus selepas Armagedon hanyalah seperti setitis air apabila dibandingkan dengan berkat-berkat yang bakal dicurahkan ke atas umat Tuhan.

Di Firdaus, sungai yang membawa berkat akan membantu manusia menjadi muda dan sihat (Lihat perenggan 17)

18. Bagaimanakah “sungai air kehidupan” menjadi semakin deras semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus?

18 Air yang memberikan kehidupan. Semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus, “sungai air kehidupan” akan menjadi semakin deras. (Why. 22:1) Berjuta-juta orang akan dihidupkan semula dan diberikan peluang untuk hidup selama-lamanya di Firdaus! Ya, bahkan mereka yang sudah mati selama berkurun-kurun dapat meraih berkat di bawah pemerintahan Kerajaan Tuhan. (Yes. 26:19) Tetapi, adakah semua orang yang dibangkitkan akan hidup selama-lamanya?

19. (a) Bagaimanakah kita tahu bahawa air kehidupan akan terus mengalir di Firdaus? (b) Mengapakah sesetengah orang bagaikan kawasan berlumpur yang “dibiarkan menjadi garam”?

19 Semasa seribu tahun itu, air kehidupan akan terus mengalir kerana Yehuwa akan membuka kitab-kitab baharu yang mengandungi arahan dan kebenaran baharu. Tidakkah kita teruja untuk menantikan saat itu? Sedihnya, bukan semua orang akan mengikut arahan baharu itu. Jadi, walaupun kita semua diberikan peluang untuk hidup selama-lamanya, ada yang tetap memilih untuk memberontak terhadap Yehuwa. Alangkah bodohnya mereka kerana enggan meminum air kehidupan! Mereka bagaikan kawasan berlumpur yang “dibiarkan menjadi garam.” Tetapi Yehuwa tidak akan membiarkan mereka untuk merosakkan keamanan di Firdaus. (Yes. 65:20) Selepas seribu tahun itu, semua yang berpihak kepada Syaitan akan mengalami kesudahan yang sama, iaitu pembinasaan kekal.​—Why. 20:7-12.

20. Semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus, apakah aturan yang diumpamakan seperti pokok-pokok dalam penglihatan Yehezkiel?

20 Pokok-pokok yang menghasilkan makanan dan membawa penyembuhan. Yehuwa tidak mahu sesiapa pun kehilangan peluang untuk hidup selama-lamanya. Maka, Dia pasti akan menyediakan suatu aturan untuk membantu kita memperoleh semua berkat-Nya. Semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus, 144,000 orang akan memerintah sebagai raja bersama Yesus. Selaku imam, mereka akan membantu kita menjadi sempurna dengan menggunakan korban tebusan Yesus. (Why. 20:6) Aturan ini diumpamakan seperti pokok-pokok yang menghasilkan buah yang berkhasiat dan daunnya membawa penyembuhan. Sebenarnya, gambaran ini mengingatkan kita tentang penglihatan Rasul Yohanes. (Baca Wahyu 22:1, 2.) Daun-daun dalam penglihatannya juga “dapat menyembuhkan bangsa-bangsa.” Maka, Yesus dan 144,000 orang imam itu akan membawa penyembuhan rohani dan jasmani kepada jutaan orang yang taat.

21. (a) Apakah perasaan anda setelah meneliti penglihatan Yehezkiel? (Lihat kotak “Sedikit Air Menjadi Sungai yang Deras!”) (b) Apakah yang akan kita bincangkan seterusnya?

21 Setelah meneliti sungai dalam penglihatan Yehezkiel, tidakkah kita berasa syukur dan dipenuhi harapan? Sememangnya, masa depan yang mengagumkan menantikan kita semua! Sejak ribuan tahun yang lalu, Yehuwa telah membuka peluang kepada umat manusia untuk hidup di dunia baharu. Dia memberikan penglihatan-penglihatan ini agar kita dapat membayangkan berkat yang akan dinikmati di Firdaus. Tetapi, adakah anda benar-benar dapat hidup di sana? Untuk menguatkan keyakinan anda, mari kita kaji bahagian akhir penglihatan Yehezkiel.

^ per. 3 Tambahan lagi, orang Yahudi yang ingat bentuk muka bumi di tanah air mereka tahu bahawa sungai itu bukan sungai yang harfiah. Hal ini demikian kerana tiada Rumah Tuhan yang wujud di gunung yang sebegitu tinggi. Selain itu, sungai itu tidak mungkin dapat terus mengalir ke Laut Mati tanpa apa-apa halangan.

^ per. 6 Sesetengah pengulas Bible berpendapat bahawa ungkapan ini membawa maksud yang positif. Hal ini kerana garam digunakan sebagai bahan pengawet dan merupakan sumber pendapatan yang lumayan bagi orang di kawasan Laut Mati. Tetapi Yehezkiel menyatakan bahawa kawasan berlumpur “tidak akan disembuhkan” oleh air kehidupan yang mengalir daripada Rumah Tuhan, dan tiada hidupan akan tinggal di sana. Maka dalam penglihatan ini, ungkapan ini nampaknya membawa maksud yang negatif.​—Mzm. 107:33, 34; Yer. 17:6.

^ per. 12 Hal ini mirip dengan perumpamaan Yesus tentang ikan-ikan yang ditangkap dalam pukat. Sesetengah ikan dalam pukat itu tidak sesuai dan harus dibuang. Maka, perumpamaan Yesus menunjukkan bahawa sebilangan besar orang yang menyertai atau bergaul dengan umat Yehuwa tidak akan tetap setia.​—Mat. 13:47-50; 2 Tim. 2:20, 21.