Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KOTAK MAKLUMAT 1A

Apakah Maksud Perkataan “Ibadat”?

Apakah Maksud Perkataan “Ibadat”?

Ibadat, atau penyembahan, boleh bermaksud perbuatan untuk menunjukkan kasih dan hormat kepada suatu tuhan. Dalam Bible, istilah asal bagi perkataan “ibadat” boleh membawa maksud hormat yang mendalam atau ketundukan yang ditunjukkan kepada sesuatu atau seseorang. (Mat. 28:9) Perkataan ini juga boleh menggambarkan perbuatan atau upacara agama yang dilakukan untuk Tuhan atau dewa dewi. (Yoh. 4:23, 24) Maka, konteks bagi perkataan ini sangat penting.

Hanya Yehuwa, iaitu Pencipta dan Pemerintah Alam Semesta Yang Berdaulat, layak disembah. (Why. 4:10, 11) Kita beribadat kepada-Nya dengan menghormati kedaulatan-Nya dan nama-Nya. (Mzm. 86:9; Mat. 6:9, 10) Kedaulatan Yehuwa dan nama-Nya ialah dua tema yang sering disebutkan dalam buku Yehezkiel. Dalam buku Yehezkiel sahaja, ungkapan “Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat” muncul lebih daripada 210 kali, dan ungkapan “tahu bahawa Akulah Yehuwa” muncul lebih daripada 50 kali.​—Yeh. 2:4; 6:7.

Ibadat kita bukan sekadar perasaan di hati, tetapi juga melibatkan perbuatan. (Yak. 2:26) Semasa membaktikan diri kepada Yehuwa, kita berjanji untuk mentaati-Nya sebagai Pemerintah kita, menghormati nama-Nya, dan menggunakan seluruh hidup kita untuk menyembah-Nya. Semasa digoda oleh Syaitan buat kali ketiga, Yesus menunjukkan bahawa ibadat berkait rapat dengan “khidmat suci.” (Mat. 4:10) Sebagai penyembah Yehuwa, kita ingin berkhidmat kepada-Nya. * (Ul. 10:12) Kita rela membuat pengorbanan dan melakukan kegiatan yang berkaitan dengan ibadat kita. Apakah kegiatan yang dimaksudkan?

Terdapat pelbagai jenis khidmat suci yang boleh kita lakukan. Contohnya, menginjil, mengambil bahagian semasa perjumpaan, menjaga atau membina Dewan Perjumpaan, mengadakan penyembahan keluarga, membantu mangsa bencana, berkhidmat semasa konvensyen, atau berkhidmat di Bethel. Sememangnya, Yehuwa amat menghargai semua khidmat kita! (Ibr. 13:16; Yak. 1:27) Apabila kita mengutamakan ibadat sejati, kita akan ‘menjalankan khidmat suci kepada Tuhan siang dan malam.’ Betapa sukacitanya kita untuk menyembah Tuhan Yehuwa!​—Why. 7:15.

^ per. 5 Salah satu istilah Ibrani yang digunakan untuk perkataan “beribadat” boleh membawa erti “berkhidmat.” Maka, ibadat kita melibatkan khidmat kepada Tuhan.