Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KOTAK MAKLUMAT 14A

Pengajaran daripada Penglihatan Yehezkiel tentang Rumah Tuhan

Pengajaran daripada Penglihatan Yehezkiel tentang Rumah Tuhan

Ibadat Sejati Ditinggikan dan Dilindungi

Rumah Tuhan dalam penglihatan Yehezkiel terletak “di atas sebuah gunung yang sangat tinggi” (1). Adakah kita menjunjung tinggi ibadat sejati dengan mengutamakannya dalam hidup kita?

Tembok (2) yang mengelilingi kawasan luas di sekitar Rumah Tuhan (3) mengingatkan kita agar tidak membiarkan apa-apa mencemari ibadat sejati. Yehezkiel 42:20 menyatakan bahawa terdapat sebuah tembok yang memisahkan “tempat suci” daripada “tempat umum.” Ungkapan “tempat umum” merujuk kepada hal-hal seharian yang tidak berkaitan dengan hal-hal rohani. Memandangkan hal-hal sebegini harus dijauhkan daripada ibadat sejati, apatah lagi perbuatan yang najis atau tidak bermoral.

Berkat untuk Selama-Lamanya

Air yang mengalir dari Rumah Tuhan menjadi sungai yang semakin deras, dan alirannya membawa kehidupan dan kesuburan di tanah itu (4). Berkat-berkat ini akan dibincangkan dalam Bab 19 buku ini.

Piawaian yang Sama untuk Semua

Pintu gerbang di luar (5) dan di dalam (9) adalah sangat tinggi. Hal ini mengingatkan kita bahawa Yehuwa mempunyai piawaian yang tinggi bagi ibadat sejati. Ukuran pintu gerbang di luar adalah sama dengan pintu gerbang di dalam. Hal ini menunjukkan bahawa piawaian Yehuwa adalah sama untuk semua penyembah-Nya, tidak kira apa tanggungjawab yang dipikul mereka.

Makan Bersama Yehuwa

Bilik-bilik makan (8) mengingatkan kita bahawa pada zaman kuno, umat Tuhan dapat mempersembahkan korban di Rumah Tuhan dan memakannya bersama di sana. Mereka seolah-olah sedang makan bersama Yehuwa. Hal ini berbeza daripada Rumah Rohani Tuhan kerana hanya “satu korban” diperlukan dan korban itu telah dipersembahkan. (Ibr. 10:12) Maka, kita tidak lagi mempersembahkan korban harfiah tetapi memberikan puji-pujian sebagai korban.—Ibr. 13:15.

Jaminan Tuhan

Kita mungkin berasa bingung apabila membaca semua ukuran yang disebutkan dengan begitu terperinci. Tetapi, kita dapat meraih satu pengajaran yang penting. Memandangkan ukuran Rumah Tuhan sudah ditentukan dan dinyatakan dengan terperinci, Yehuwa sedang memberi kita jaminan bahawa janji-Nya untuk memulihkan ibadat sejati tidak akan berubah dan pasti menjadi kenyataan. Dalam penglihatan Yehezkiel, dia mendengar Yehuwa memberikan teguran tegas kepada para imam, pemimpin Israel, dan rakyat. Hal ini menunjukkan bahawa semua umat Tuhan harus menjunjung tinggi piawaian Yehuwa.