Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 12

“Aku Akan Menyatukan Mereka”

“Aku Akan Menyatukan Mereka”

YEHEZKIEL 37:22

ISI UTAMA: Yehuwa berjanji untuk mengumpulkan umat-Nya; nubuat tentang dua batang kayu

1, 2. (a) Mengapakah para tawanan Yahudi berasa risau? (b) Mengapakah sangkaan mereka salah? (c) Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan?

YEHEZKIEL telah diilhami untuk melakonkan beberapa nubuat bagi tawanan di Babilon. Nubuat pertama yang dilakonkan oleh Yehezkiel adalah untuk menyampaikan mesej penghakiman Tuhan. Begitu juga dengan nubuatnya yang kedua, yang ketiga, dan seterusnya. (Yeh. 3:24-26; 4:1-7; 5:1; 12:3-6) Sebenarnya, semua nubuat yang dilakonkan oleh Yehezkiel setakat ini mengandungi berita penghakiman yang berat untuk orang Yahudi.

2 Bayangkanlah perasaan para tawanan Yahudi sekarang. Mereka melihat Yehezkiel berdiri di depan mereka sekali lagi untuk melakonkan satu nubuat. Barangkali mereka berasa sangat risau. Mereka mungkin tertanya-tanya sesama sendiri, “Apa berita buruk yang akan Yehezkiel sampaikan kali ini?” Tetapi, alangkah gembiranya mereka apabila mereka sedar bahawa sangkaan mereka adalah salah! Kali ini, nubuat yang dilakonkan Yehezkiel bukanlah mesej yang kelam tetapi memberikan sinar harapan. (Yeh. 37:23) Apakah mesej itu? Apakah maksudnya? Apakah kaitannya dengan umat Tuhan hari ini? Mari kita selidiki jawapannya.

Mereka Akan “Menjadi Satu Di Dalam Tangan-Ku”

3. (a) Apakah yang dilambangkan oleh kayu “untuk Yehuda”? (b) Mengapakah ‘kayu untuk Efraim’ melambangkan kerajaan 10 suku Israel?

3 Yehuwa mengarahkan Yehezkiel untuk mengambil dua batang kayu. Dia harus menulis “untuk Yehuda” pada salah satunya, dan “untuk Yusuf, iaitu Efraim” pada kayu yang satu lagi. (Baca Yehezkiel 37:15, 16.) Apakah yang dilambangkan oleh dua batang kayu itu? Kayu untuk Yehuda melambangkan kerajaan dua suku yang terdiri daripada suku Yehuda dan Benyamin. Raja-raja Yehuda memerintah dua suku itu, dan keturunan imam dikaitkan dengan suku itu kerana mereka berkhidmat di Rumah Tuhan yang terletak di Yehuda. (2 Taw. 11:13, 14; 34:30) Maka, raja keturunan Daud dan para imam keturunan Lewi terangkum dalam kerajaan Yehuda. Kayu ‘untuk Efraim’ pula melambangkan kerajaan 10 suku Israel kerana raja pertama yang memerintah 10 suku itu, iaitu Yerobeam, berasal daripada suku Efraim. Pada kemudian hari, suku itu telah menjadi sangat berkuasa di Israel. (Ul. 33:17; 1 Raj. 11:26) Perhatikan bahawa kerajaan 10 suku Israel tidak merangkumi raja keturunan Daud dan imam keturunan Lewi.

4. Perbuatan Yehezkiel menunjukkan apa? (Lihat gambar pada permulaan bab.)

4 Seterusnya, Yehezkiel disuruh untuk menggabungkan kedua-dua batang kayu itu “supaya menjadi satu.” Para tawanan yang mengamati semua itu merayu kepadanya, “Beritahulah kami erti semua ini!” Dia mengatakan bahawa perbuatannya menunjukkan hal-hal yang akan dilakukan oleh Yehuwa. Mengenai dua batang kayu itu, Yehuwa berfirman, “Aku akan menggabungkan kedua-dua batang kayu itu supaya menjadi satu di dalam tangan-Ku.”​Yeh. 37:17-19.

5. Apakah yang dimaksudkan dengan dua batang kayu yang digabungkan itu? (Lihat juga kotak “Dua Batang Kayu yang Digabungkan.”)

5 Kemudian, Yehuwa menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan dua batang kayu yang digabungkan itu. (Baca Yehezkiel 37:21, 22.) Para tawanan daripada kerajaan 2 suku Yehuda dan 10 suku Israel (Efraim) akan dibawa kembali ke tanah air mereka, lalu Tuhan akan “menyatukan mereka” sebagai satu bangsa.​—Yer. 30:1-3; 31:2-9; 33:7.

6. Apakah dua nubuat yang saling berkaitan yang terdapat di Yehezkiel bab 37?

6 Sebenarnya, Yehezkiel bab 37 mengandungi dua nubuat menarik yang saling berkaitan. Nubuat-nubuat itu menunjukkan bahawa Yehuwa bukan hanya dapat membebaskan umat-Nya yang ditawan (ayat 1-14) tetapi juga dapat menyatukan mereka (ayat 15-28). Dua nubuat itu pasti melegakan umat Tuhan. Ya, yang ditawan dapat dibebaskan, dan yang tercerai-berai dapat disatukan semula!

Bagaimanakah Yehuwa “Mengumpulkan Mereka”?

7. Bagaimanakah 1 Tawarikh 9:2, 3 membuktikan bahawa “tidak ada apa-apa yang mustahil bagi Tuhan”?

7 Dari pandangan manusia, pembebasan dan penyatuan para tawanan nampaknya mustahil berlaku. * Namun, “tidak ada apa-apa yang mustahil bagi Tuhan.” (Mat. 19:26) Yehuwa memastikan agar nubuat-Nya menjadi kenyataan. Pada 537 SM, umat-Nya dibebaskan dari Babilon. Kemudian, sesetengah orang Yahudi daripada kerajaan Yehuda dan Israel telah kembali ke Yerusalem untuk memulihkan ibadat sejati. Bible menyatakan bahawa “sesetengah orang daripada keturunan Yehuda, Benyamin, Efraim, dan Manasye tinggal di Yerusalem.” (1 Taw. 9:2, 3; Ezr. 6:17) Seperti yang dinubuatkan Yehuwa, umat-Nya daripada kedua-dua kerajaan itu akhirnya disatukan.

8. (a) Apakah yang dinubuatkan oleh Yesaya? (b) Apakah dua aspek penting yang terdapat di Yehezkiel 37:21?

8 Kira-kira 200 tahun lalu, Yesaya telah menubuatkan apa yang akan berlaku kepada bangsa Israel dan Yehuda selepas mereka dibebaskan. Yesaya menulis bahawa “umat Israel yang tercerai-berai,” “orang Yehuda yang tersebar di keempat-empat penjuru bumi,” termasuk mereka “dari Assyria” akan dikumpulkan semula. (Yes. 11:12, 13, 16) Ya, tepat seperti yang dinubuatkan, Yehuwa telah mengumpulkan “orang Israel yang berada dalam kalangan bangsa-bangsa.” (Yeh. 37:21) Perhatikan dua aspek penting ini: Pertama, Yehuwa tidak lagi menggelar umat-Nya “Yehuda” dan “Efraim,” tetapi Dia menganggap mereka sebagai satu bangsa dan menggelar mereka “orang Israel.” Kedua, orang Israel dikatakan keluar daripada “bangsa-bangsa” dan datang “dari setiap arah,” dan bukan hanya dari Babilon.

9. Bagaimanakah Yehuwa membantu umat-Nya yang pulang untuk bersatu padu?

9 Bagaimanakah Yehuwa membantu umat-Nya yang pulang untuk bersatu padu? Dia melantik gembala rohani seperti Zerubabel, Imam Agung Yosua, Ezra, dan Nehemia. Dia juga melantik nabi-nabi seperti Hagai, Zakharia, dan Maleakhi. Mereka berusaha sedaya upaya untuk mendorong bangsa Israel mematuhi arahan Tuhan. (Neh. 8:2, 3) Selain itu, Yehuwa melindungi umat-Nya dengan menggagalkan muslihat musuh-musuh mereka.​—Est. 9:24, 25; Za. 4:6.

Yehuwa melantik gembala rohani untuk membantu umat-Nya bersatu padu (Lihat perenggan 9)

10. Syaitan berjaya untuk melakukan apa?

10 Walaupun Yehuwa begitu mengasihi umat-Nya dan melakukan banyak hal demi mereka, kebanyakan umat-Nya telah meninggalkan ibadat sejati. Perbuatan mereka dicatatkan dalam buku-buku Bible yang ditulis selepas mereka kembali daripada pembuangan. (Ezr. 9:1-3; Neh. 13:1, 2, 15) Sebenarnya, tidak sampai seratus tahun setelah mereka kembali, mereka menyimpang begitu jauh daripada Yehuwa sehingga Dia merayu, “Kembalilah kepada Aku.” (Mal. 3:7) Semasa Yesus di bumi, agama Yahudi sudah berpecah belah menjadi beberapa aliran dan dipimpin oleh gembala yang tidak setia. (Mat. 16:6; Mrk. 7:5-8) Nampaknya Syaitan berjaya merosakkan perpaduan umat Tuhan. Meskipun demikian, nubuat Yehuwa untuk menyatukan umat-Nya pasti menjadi kenyataan. Bagaimanakah hal itu akan berlaku?

“Hamba-Ku Daud Akan Menjadi Raja Mereka”

11. (a) Apakah yang disingkapkan oleh Yehuwa tentang nubuat penyatuan umat-Nya? (b) Apakah yang dilakukan Syaitan selepas dia diusir dari syurga?

11 Baca Yehezkiel 37:24. Yehuwa menyingkapkan bahawa nubuat tentang penyatuan umat-Nya hanya akan menjadi kenyataan dengan sepenuhnya pada kemudian hari. Hal itu berlaku selepas ‘hamba-Nya Daud,’ iaitu Yesus, menjadi Raja pada 1914. * (2 Sam. 7:16; Luk. 1:32) Pada masa itu, Israel jasmani telah digantikan dengan Israel rohani, iaitu kaum terurap. (Yer. 31:33; Gal. 3:29) Selepas Syaitan diusir dari syurga, dia melipatgandakan usahanya untuk memecahbelahkan umat Tuhan. (Why. 12:7-10) Contohnya, selepas kematian Saudara Russell pada 1916, Syaitan menggunakan orang murtad untuk merosakkan perpaduan kaum terurap. Tidak lama kemudian, mereka yang murtad telah meninggalkan organisasi Yehuwa. Syaitan juga berjaya menyebabkan saudara-saudara yang mengambil pimpinan dipenjarakan. Namun, umat Tuhan tidak berpecah belah. Sebaliknya, saudara-saudara terurap yang setia terus bersatu padu.

12. Mengapakah usaha Syaitan untuk memecahbelahkan Israel rohani gagal sama sekali?

12 Sememangnya, Israel rohani tidak seperti Israel jasmani yang akhirnya berpecah belah. Mengapakah usaha Syaitan gagal sama sekali? Kerana kaum terurap terus berpegang teguh pada piawaian Yehuwa. Hasilnya, mereka dilindungi oleh Raja Yesus yang sedang mara untuk menakluki Syaitan.​—Why. 6:2.

Yehuwa Akan Membuat Umat-Nya “Menjadi Satu”

13. Apakah kebenaran penting yang dipelajari melalui nubuat tentang penggabungan dua batang kayu?

13 Apakah kaitan nubuat tentang penggabungan dua batang kayu dengan umat Tuhan hari ini? Nubuat itu menunjukkan bagaimana dua kumpulan umat Tuhan disatukan, dan hal ini akan dilakukan oleh Yehuwa. Melalui nubuat itu, kita mempelajari satu kebenaran penting tentang ibadat sejati: Yehuwa sendiri akan membuat umat-Nya “menjadi satu.”​—Yeh. 37:19.

14. Sejak 1919, bagaimanakah nubuat tentang penggabungan dua batang kayu mula menjadi kenyataan dalam skala yang lebih besar?

14 Sejak 1919, umat Tuhan yang dimurnikan mula menikmati firdaus rohani, dan nubuat tentang penggabungan dua batang kayu mula menjadi kenyataan dalam skala yang lebih besar. Ketika itu, kebanyakan orang yang disatukan dalam organisasi Yehuwa mempunyai harapan untuk menjadi raja dan imam di syurga. (Why. 20:6) Mereka bagaikan kayu “untuk Yehuda,” iaitu suku yang merangkumi raja keturunan Daud dan imam keturunan Lewi. Seraya masa berlalu, orang yang mempunyai harapan untuk hidup di bumi mula bergabung dengan kaum terurap. Mereka bagaikan kayu ‘untuk Efraim,’ iaitu suku yang tidak merangkumi raja keturunan Daud dan imam keturunan Lewi. Kedua-dua kumpulan itu menyembah Yehuwa dengan bersatu padu di bawah pimpinan satu-satunya Raja mereka, Yesus Kristus.​—Yeh. 37:24.

“Mereka Akan Menjadi Umat-Ku”

15. Bagaimanakah nubuat di Yehezkiel 37:26, 27 menjadi kenyataan hari ini?

15 Nubuat Yehezkiel menunjukkan bahawa banyak orang akan tergerak untuk menyertai kaum terurap dalam ibadat sejati. Yehuwa berfirman, “Aku akan . . . melipatgandakan bilangan mereka” dan “khemah-Ku akan ada bersama mereka.” (Yeh. 37:26, 27) Kata-kata ini mengingatkan kita tentang nubuat Rasul Yohanes sekitar 700 tahun selepas zaman Yehezkiel. Nubuat itu menyatakan bahawa “Dia yang duduk di atas takhta akan membentangkan khemah-Nya” untuk melindungi “kumpulan besar manusia.” (Why. 7:9, 15) Hari ini, kaum terurap dan kumpulan besar manusia hidup bersama sebagai satu bangsa di bawah naungan khemah Tuhan.

16. Apakah yang dinubuatkan oleh Zakharia tentang penyatuan kaum terurap dengan umat Tuhan yang akan hidup di bumi?

16 Penyatuan ini juga dinubuatkan oleh Zakharia, iaitu salah seorang tawanan yang kembali ke Yerusalem. Dia menyatakan bahawa “10 orang daripada semua bangsa” akan “memegang jubah seorang Yahudi dengan erat” sambil berkata, “Kami hendak pergi bersama-samamu, kerana kami sudah mendengar bahawa Tuhan menyertai kamu.” (Za. 8:23) Ungkapan “seorang Yahudi” dan “kamu” sebenarnya merujuk kepada sekumpulan orang, iaitu kaum terurap yang masih berada di bumi (orang Yahudi rohani). (Rm. 2:28, 29) Ungkapan “10 orang” pula merujuk kepada umat Tuhan yang ada harapan untuk hidup di bumi. Sepuluh orang itu “memegang” kaum terurap “dengan erat” dan ‘pergi bersama-sama mereka.’ (Yes. 2:2, 3; Mat. 25:40) Hal ini menunjukkan bahawa kedua-dua kumpulan itu memang bersatu padu.

17. Bagaimanakah Yesus menggambarkan perpaduan yang kita nikmati hari ini?

17 Barangkali, Yesus sedang memikirkan nubuat penyatuan Yehezkiel semasa menggambarkan dirinya sebagai seorang gembala. Dia berkata bahawa dia memimpin biri-birinya (kaum terurap) dan “biri-biri lain” (mereka yang mempunyai harapan untuk hidup di bumi) untuk menjadi “satu kawanan.” (Yoh. 10:16; Yeh. 34:23; 37:24, 25) Tidak kira harapan kita adalah untuk hidup di syurga atau di bumi, kita dapat menikmati perpaduan sekarang. Hal ini tepat seperti yang dinubuatkan oleh Yesus dan para nabi. Meskipun agama palsu semakin berpecah belah, umat Tuhan tetap bersatu padu. Bukankah ini suatu mukjizat yang menakjubkan?

Hari ini, kaum terurap dan “biri-biri lain” menyembah Yehuwa dengan bersatu padu sebagai “satu kawanan” (Lihat perenggan 17)

“Rumah-Ku Ada Bersama Mereka buat Selama-Lamanya”

18. Berdasarkan Yehezkiel 37:28, mengapakah penting untuk memastikan agar kita tidak menjadi “sebahagian daripada dunia”?

18 Kata-kata penutup dalam nubuat penyatuan ini menunjukkan apa yang akan membantu umat Tuhan kekal bersatu. (Baca Yehezkiel 37:28.) Umat Tuhan bersatu padu kerana Rumah Tuhan, iaitu ibadat sejati, “ada bersama mereka.” Jika mereka sentiasa suci, atau mengasingkan diri daripada dunia Syaitan, Rumah Tuhan akan tetap berada dalam kalangan mereka. (1 Kor. 6:11; Why. 7:14) Yesus juga menegaskan pentingnya untuk mengasingkan diri daripada dunia Syaitan. Pada malam terakhir sebelum dia dibunuh, dia berdoa, ‘Bapa yang suci, jagalah mereka [pengikutnya] supaya mereka menjadi satu. Mereka bukanlah sebahagian daripada dunia. Sucikanlah mereka dengan kebenaran.’ (Yoh. 17:11, 16, 17) Jadi, Yesus mengaitkan ungkapan “menjadi satu” dengan pentingnya untuk tidak menjadi “sebahagian daripada dunia.”

19. (a) Bagaimanakah kita membuktikan bahawa kita ialah umat yang mengikut “teladan Tuhan”? (b) Apakah yang ditekankan oleh Yesus tentang perpaduan antara umat Tuhan?

19 Dalam Bible, Yesus hanya menggunakan ungkapan “Bapa yang suci” dalam doa ini. Memang, Yehuwa ialah Tuhan yang suci dan murni. Dia juga memerintahkan orang Israel, “Kamu semua mesti suci kerana Aku suci.” (Im. 11:45) Sebagai umat yang mengikut “teladan Tuhan,” kita mahu mematuhi perintah itu dalam segala tingkah laku kita. (Ef. 5:1; 1 Ptr. 1:14, 15) Semasa merujuk kepada manusia, perkataan “suci” membawa erti “dikhaskan” atau “diasingkan.” Maka, doa Yesus menekankan bahawa selagi pengikutnya mengasingkan diri daripada dunia Syaitan yang berpecah belah, mereka akan tetap bersatu padu.

“Melindungi Mereka daripada Si Jahat”

20, 21. (a) Apakah yang membantu kita lebih yakin bahawa Tuhan sedang melindungi kita? (b) Apakah seharusnya tekad kita?

20 Perpaduan Saksi-Saksi Yehuwa di seluas dunia jelas membuktikan bahawa Yehuwa telah mengabulkan doa Yesus untuk “melindungi mereka daripada Si Jahat.” (Baca Yohanes 17:14, 15.) Sememangnya, Syaitan gagal merosakkan perpaduan umat Tuhan. Hal ini membantu kita lebih yakin bahawa Tuhan sedang melindungi kita. Dalam nubuat Yehezkiel, Yehuwa menyatakan bahawa kedua-dua batang kayu itu akan menjadi satu di dalam tangan-Nya. Maka tangan Yehuwalah yang telah menyatukan umat-Nya dan melindungi mereka daripada ancaman Syaitan.

21 Apakah seharusnya tekad kita? Kita mahu terus bekerja keras untuk menyumbang kepada perpaduan kita. Bagaimanakah kita masing-masing dapat berbuat demikian? Satu cara adalah dengan menjalankan ibadat sejati di Rumah Rohani Tuhan secara tetap. Hal ini akan dibincangkan dalam bab-bab yang seterusnya.

^ per. 7 Kira-kira 200 tahun sebelum Yehezkiel menerima nubuat ini, penduduk daripada kerajaan 10 suku Israel (‘kayu untuk Efraim’) telah ditawan oleh orang Assyria.​—2 Raj. 17:23.

^ per. 11 Nubuat ini dibincangkan secara teliti dalam Bab 8 buku ini.