Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 9

“Aku Akan Membuat Mereka Bersatu Hati”

“Aku Akan Membuat Mereka Bersatu Hati”

YEHEZKIEL 11:19

ISI UTAMA: Pemulihan ibadat sejati dan bagaimana tema ini dikembangkan dalam nubuat Yehezkiel

1-3. Bagaimanakah orang Babilon mengejek umat Yehuwa, dan mengapa?

BAYANGKAN anda ialah salah seorang tawanan Yahudi yang setia di Babilon. Anda sudah berada di sana selama kira-kira 50 tahun. Setiap hari Sabat, anda akan berkumpul bersama orang Yahudi lain untuk menyembah Yehuwa. Dalam perjalanan untuk berjumpa dengan rakan seiman, anda pasti melihat banyak kuil yang besar. Ramai orang berpusu-pusu ke sana untuk mempersembahkan korban dan menyanyikan pujian kepada dewa dewi mereka seperti Marduk.

2 Akhirnya, anda bertemu dengan rakan seiman anda. * Barangkali, anda mencari suatu tempat yang sunyi di tepi sungai untuk berdoa, menyanyikan lagu pujian, dan merenungkan Firman Tuhan bersama. Suasana di sekeliling amat tenang dan anda dapat mendengar bunyi perahu berderak-derik di tepi sungai. Anda semua pasti berharap agar orang Babilon tidak akan asyik datang untuk mengganggu ibadat anda. Mengapakah mereka suka berbuat demikian?

3 Orang Babilon pernah memenangi banyak pertempuran, dan mereka menganggap bahawa semua kemenangan itu diraih dengan bantuan dewa dewi mereka. Bagi mereka, pembinasaan Yerusalem membuktikan bahawa Marduk jauh lebih kuat daripada Yehuwa. Maka, mereka menghina Tuhan Yehuwa dan anda semua. Ada kalanya, mereka menyindir, “Nyanyikanlah lagu tentang Sion untuk kami”! (Mzm. 137:3) Kebanyakan mazmur ditulis tentang kemenangan Sion (atau Yerusalem) atas musuh Yehuwa. Mungkin orang Babilon suka menggunakan mazmur sebegitu untuk mengejek umat Tuhan. Selain itu, orang Babilon mungkin menggunakan mazmur yang ditulis tentang kemenangan Babilon untuk menyindir umat Tuhan. Salah satunya berbunyi, “Mereka telah membuat Yerusalem menjadi timbunan reruntuhan. . . . Kami ditertawakan dan dihina oleh orang di sekeliling kami.”​—Mzm. 79:1, 3, 4.

4, 5. Apakah harapan yang disebutkan dalam nubuat Yehezkiel? Apakah yang akan kita kaji dalam bab ini? (Lihat gambar pada permulaan bab.)

4 Orang Yahudi yang murtad juga mengejek anda kerana anda tetap beriman kepada Yehuwa dan para nabi-Nya. Biarpun demikian, anda tidak berputus asa. Doa dan nyanyian kepada Yehuwa membuat anda berasa tenang. Anda juga mendapat kelegaan semasa membaca Firman Tuhan. (Mzm. 94:19; Rm. 15:4) Bayangkan pada hari itu apabila anda sedang berkumpul bersama, salah seorang kawan anda menunjukkan satu gulungan yang mengandungi nubuat Yehezkiel. Alangkah gembiranya anda untuk mendengar janji bahawa Yehuwa akan membawa umat-Nya kembali ke Yerusalem. Hati anda berasa girang semasa nubuat itu dibacakan, dan anda merenungkan saatnya anda sekeluarga dapat kembali untuk memulihkan ibadat sejati!

5 Nubuat Yehezkiel sering mengulangi tema tentang pemulihan ibadat sejati. Sekarang, mari kita kaji tema itu dengan lebih lanjut. Kita akan melihat bagaimana nubuat-nubuat itu menjadi kenyataan bagi tawanan Yahudi dan umat-Nya pada zaman moden. Selain itu, kita akan melihat bagaimana sesetengah nubuat akan menjadi kenyataan pada masa depan.

“Mereka Akan Ditawan dan Dibuang Negeri”

6. Bagaimanakah Yehuwa berkali-kali memberikan amaran kepada umat-Nya yang suka memberontak?

6 Melalui Yehezkiel, Yehuwa menyatakan bagaimana Dia akan menghukum umat-Nya yang asyik memberontak. Dia berfirman, “Mereka akan ditawan dan dibuang negeri.” (Yeh. 12:11) Seperti yang dinyatakan dalam Bab 6 buku ini, Yehezkiel bahkan melakonkan hukuman itu. Tetapi, dia bukanlah orang pertama yang menyampaikan amaran sebegitu. Kira-kira 1,000 tahun sebelumnya, iaitu sejak zaman Musa, Yehuwa sudah memberikan amaran bahawa jika umat-Nya terus memberontak, mereka akan ditawan dan dibuang negeri. (Ul. 28:36, 37) Nabi-nabi seperti Yesaya dan Yeremia juga pernah menyampaikan amaran yang serupa.​—Yes. 39:5-7; Yer. 20:3-6.

7. Bagaimanakah Yehuwa menghukum umat-Nya?

7 Sedih sekali, kebanyakan orang Israel tidak mengendahkan amaran itu, dan hal itu menyebabkan Yehuwa berasa sangat kecewa. Tambahan pula, gembala-gembala Israel mempengaruhi rakyat untuk menyembah berhala, menjadi tidak setia, dan melakukan banyak dosa. Maka Yehuwa membiarkan mereka mengalami kebuluran. Hal ini ialah tamparan yang hebat bagi mereka kerana tanah yang didiami mereka itu sebenarnya ialah “tanah yang melimpah dengan susu dan madu.” (Yeh. 20:6, 7) Akhirnya seperti yang dinubuatkan, Yehuwa mengizinkan umat-Nya dihukum oleh musuh. Pada 607 SM, Nebukadnezar memusnahkan Yerusalem dan Rumah Tuhan. Ribuan orang Yahudi telah ditawan dan dibuang negeri ke Babilon. Di situ, mereka dihina dan ditentang oleh musuh, seperti yang digambarkan pada awal bab ini.

8, 9. Bagaimanakah Yehuwa memberikan amaran kepada sidang Kristian tentang orang murtad?

8 Adakah hal yang sama berlaku kepada sidang Kristian abad pertama? Ya! Seperti orang Yahudi kuno, sidang Kristian juga diberikan amaran sejak awal-awal lagi. Semasa Yesus berada di bumi, dia berkata, “Berwaspadalah terhadap nabi-nabi palsu yang datang bertopengkan biri-biri, tetapi sebenarnya mereka ialah serigala yang buas.” (Mat. 7:15) Beberapa tahun kemudian, Rasul Paulus juga diilhami untuk menulis amaran ini: “Aku tahu bahawa selepas aku pergi, serigala buas akan datang ke tengah-tengah kamu dan berlaku kejam terhadap kawanan. Ada orang dalam kalangan kamu yang akan bangkit dan memutarbelitkan kebenaran untuk menyesatkan murid-murid Yesus agar mengikut mereka.”​—Kis. 20:29, 30.

9 Orang Kristian abad pertama telah diajar cara untuk mengenal pasti dan menghindari orang murtad. Para penatua juga diarahkan untuk menyingkirkan mereka daripada sidang. (1 Tim. 1:19; 2 Tim. 2:16-19; 2 Ptr. 2:1-3; 2 Yoh. 10) Tetapi, seperti orang Israel zaman kuno, banyak orang Kristian telah mengabaikan amaran Yehuwa. Pada hujung abad pertama, kemurtadan sudah berakar dalam sidang Kristian. Pada masa itu, Yohanes ialah satu-satunya rasul yang masih hidup dan dapat menghalang kemurtadan daripada terus merebak. (2 Tes. 2:6-8; 1 Yoh. 2:18) Apakah yang berlaku selepas dia meninggal?

10, 11. Dari sekitar abad kedua Masihi, bagaimanakah nubuat Yesus tentang gandum dan lalang mula menjadi kenyataan?

10 Selepas kematian Yohanes, nubuat Yesus tentang gandum dan lalang mula menjadi kenyataan. (Baca Matius 13:24-30.) Seperti yang disebut oleh Yesus, Syaitan menabur benih “lalang,” atau orang Kristian palsu, dalam sidang. Maka, kemurtadan mula bertumbuh dengan pesat. Yehuwa pasti sangat hancur hati melihat sidang yang diasaskan oleh Anak-Nya telah dicemari penyembahan berhala, amalan dan perayaan kafir, falsafah manusia, dan ajaran agama palsu. Jadi, apakah yang dilakukan Yehuwa? Seperti yang terjadi kepada orang Israel kuno, Yehuwa membiarkan umat-Nya menjadi tawanan. Dari sekitar abad kedua Masihi, orang Kristian yang sejati (gandum) dan yang palsu (lalang) susah dibezakan. Ya, orang Kristian sejati seolah-olah ditawan oleh Babilon Besar, empayar agama palsu sedunia. Orang Kristian palsu pula menjadi sebahagian daripada empayar itu lalu terbentuklah pelbagai gereja dan aliran Kristian.

11 Meskipun kegelapan rohani menyelubungi dunia selama berabad-abad, masih terdapat segelintir orang Kristian sejati yang bagaikan “gandum.” Seperti para tawanan yang disebutkan di Yehezkiel 6:9, mereka tidak melupakan Tuhan yang benar. Ada dalam kalangan mereka yang menentang ajaran gereja. Dengan berani, mereka menghadapi ejekan dan penganiayaan. Adakah Yehuwa akan melupakan umat-Nya? Tidak! Setelah Yehuwa mendisiplinkan umat-Nya pada tahap dan jangka masa yang bersesuaian, Dia memberi mereka harapan. (Yer. 46:28) Mari kita kembali ke zaman Yehezkiel dan lihat bagaimana Yehuwa memberi umat-Nya harapan untuk dibebaskan dari Babilon.

Selama berabad-abad, orang Kristian sejati dianiaya oleh Babilon Besar (Lihat perenggan 10, 11)

“Kemurkaan-Ku terhadap Mereka Akan Reda”

12, 13. Mengapakah kemurkaan Yehuwa terhadap umat-Nya akhirnya reda?

12 Biarpun Yehuwa marah dan menghukum umat-Nya, Dia tidak akan terus murka terhadap mereka. Perhatikan apa yang difirmankan oleh Yehuwa, “Aku akan berasa puas hati dan tidak marah lagi, dan kemurkaan-Ku terhadap mereka akan reda. Setelah Aku menunjukkan kemurkaan-Ku, barulah mereka akan tahu bahawa Aku, Yehuwa, pernah berfirman dan menuntut agar mereka menyembah Aku sahaja.” (Yeh. 5:13) Mengapakah kemurkaan Yehuwa akhirnya reda?

13 Sebenarnya, masih terdapat orang Yahudi yang setia di Babilon. Antara mereka ialah Yehezkiel, Daniel, dan tiga orang sahabat Daniel. Selain itu, Yehuwa juga telah bernubuat melalui Yehezkiel bahawa sesetengah umat-Nya yang ditawan akan bertaubat. Mereka akan berasa malu semasa memikirkan perbuatan jahat mereka lalu memohon pengampunan daripada Yehuwa. (Yeh. 6:8-10; 12:16) Kita dapat melihat hal ini dengan mengkaji kata-kata Daniel yang hidup semasa orang Yahudi ditawan dan dibebaskan. Dalam Daniel bab 9, dia telah berdoa dengan tulus untuk memohon pengampunan bagi pihak bangsa Israel yang telah bertaubat. Kata-katanya itu mengungkapkan perasaan ribuan tawanan yang menginginkan pengampunan dan berkat Yehuwa. Sudah pasti mereka sangat gembira apabila membaca nubuat Yehezkiel tentang pembebasan dan pemulihan mereka!

14. Mengapakah Yehuwa membawa umat-Nya kembali ke tanah air mereka?

14 Namun, ada satu hal yang lebih penting daripada pembebasan dan pemulihan umat Tuhan. Yehuwa membawa mereka kembali bukan kerana mereka layak dibebaskan, tetapi kerana nama-Nya harus disucikan di hadapan semua bangsa. (Yeh. 36:22) Orang Babilon akan tahu bahawa dewa dewi mereka, seperti Marduk, tidak dapat menandingi Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat! Sekarang, kita akan mengkaji lima janji Yehuwa yang disampaikan melalui Yehezkiel kepada para tawanan. Mula-mula, kita akan melihat bagaimana janji-janji itu menjadi kenyataan bagi mereka. Kemudian, kita akan membincangkan bagaimana janji-janji itu menjadi kenyataan dalam skala yang lebih besar.

15. Apakah yang dinubuatkan oleh Yehuwa melalui Yehezkiel?

15 JANJI 1. Penyembahan berhala atau amalan najis yang berkaitan dengan agama palsu akan tiada lagi. (Baca Yehezkiel 11:18; 12:24.) Seperti yang dibincangkan dalam Bab 5 buku ini, Yerusalem dan Rumah Tuhan telah dicemari dengan amalan agama palsu, seperti penyembahan berhala. Oleh itu, umat Israel yang jahat menjadi terasing daripada Yehuwa. Namun, melalui Yehezkiel, Yehuwa menubuatkan bahawa pada masa depan, para tawanan dapat menyembah-Nya sekali lagi dalam cara yang diterima-Nya. Agar manusia dapat menikmati berkat yang dijanjikan oleh Tuhan, ibadat sejati harus dipulihkan.

16. Apakah yang dijanjikan oleh Yehuwa mengenai tanah air umat-Nya?

16 JANJI 2. Para tawanan akan kembali ke tanah air mereka. Yehuwa memberitahu para tawanan Israel, “Aku akan memberikan negeri Israel kepada kamu.” (Yeh. 11:17) Memandangkan orang Babilon sering menindas orang Israel, tidak mungkin orang Babilon memberi mereka harapan untuk pulang ke kampung halaman. (Yes. 14:4, 17) Maka, janji daripada Tuhan ini sangat menakjubkan bagi orang Israel! Selain itu, tanah di Israel akan tetap subur dan membuahkan hasil yang lumayan asalkan mereka tetap setia kepada Tuhan. Ya, mereka tidak akan ditimpa kebuluran lagi.​—Baca Yehezkiel 36:30.

17. Apakah yang dijanjikan oleh Yehuwa mengenai korban-korban yang dipersembahkan?

17 JANJI 3. Korban-korban dipersembahkan semula di mazbah Yehuwa. Seperti yang dibincangkan dalam Bab 2 buku ini, korban dan persembahan merupakan aspek yang penting dalam ibadat sejati. Selagi para tawanan yang kembali mematuhi Yehuwa dan bersih secara rohani, Dia akan mengampuni mereka dan menerima korban-korban mereka. Maka, mereka dapat menikmati hubungan yang baik dengan-Nya. Yehuwa berjanji, “Seluruh bangsa Israel akan menyembah Aku, dan Aku akan berkenan kepada mereka di sana. Kamu harus memberi Aku sumbangan dan pemberian kamu yang terbaik, iaitu semua persembahan kamu yang suci.” (Yeh. 20:40) Semasa ibadat sejati dipulihkan, umat Tuhan akan diberkati.

18. Apakah yang dijanjikan oleh Yehuwa mengenai para gembala Israel?

18 JANJI 4. Para gembala yang jahat akan disingkirkan. Pengaruh buruk para pemimpin Israel ialah salah satu sebab umat Tuhan menyimpang daripada haluan-Nya. Yehuwa berjanji bahawa Dia akan bertindak untuk mengubah keadaan itu. Mengenai para gembala yang jahat itu, Yehuwa berfirman, ‘Aku tidak lagi membenarkan mereka memberikan makanan kepada biri-biri-Ku. Aku akan menyelamatkan biri-biri-Ku daripada mulut mereka.’ Yehuwa juga meyakinkan umat-Nya yang setia bahawa ‘Dia akan menjaga biri-biri-Nya.’ (Yeh. 34:10, 12) Bagaimanakah Dia berbuat demikian? Dia akan melantik para gembala yang setia.

19. Apakah yang dijanjikan oleh Yehuwa mengenai perpaduan umat-Nya?

19 JANJI 5. Perpaduan dalam kalangan penyembah Yehuwa. Penyembah Yehuwa yang setia tentu berasa sedih melihat umat Tuhan berpecah belah. Di bawah pengaruh buruk nabi palsu dan para gembala yang jahat, orang Israel memberontak terhadap nabi-nabi yang mewakili Yehuwa. Mereka akhirnya tidak bersatu padu dan saling bermusuhan. Maka, melalui Yehezkiel, Yehuwa telah mengucapkan janji yang sangat melegakan hati ini: “Aku akan membuat mereka bersatu hati, dan membaharui cara pemikiran mereka.” (Yeh. 11:19) Jika orang Yahudi yang dibebaskan tetap bersatu dengan Tuhan Yehuwa dan dengan satu sama lain, tidak ada musuh yang dapat mengalahkan mereka. Maka sebagai sebuah bangsa, mereka dapat membawa kemuliaan kepada Yehuwa.

20, 21. Bagaimanakah janji-janji Tuhan menjadi kenyataan bagi orang Israel yang dibebaskan?

20 Adakah Tuhan menunaikan lima janji itu bagi orang Israel yang dibebaskan? Ya. Ingatlah kata-kata Yosua yang berikut: “Tiada satu pun antara semua perkara baik yang dijanjikan oleh Yehuwa, Tuhan kamu, kepada kamu telah gagal ditunaikan. Semuanya menjadi kenyataan bagi kamu. Tiada satu janji pun yang dimungkiri-Nya.” (Yos. 23:14) Yehuwa telah menunaikan semua janji-Nya pada zaman Yosua. Maka, Dia pasti akan menunaikan semua janji-Nya untuk para tawanan yang kembali ke tanah air mereka.

21 Akhirnya, orang Yahudi meninggalkan penyembahan berhala dan amalan-amalan agama palsu yang menyebabkan mereka terpisah daripada Yehuwa. Walaupun nampaknya mustahil, mereka telah kembali ke tanah air mereka. Kemudian, mereka membina semula mazbah Yehuwa di Yerusalem dan mempersembahkan korban yang menyenangkan hati Yehuwa. (Ezr. 3:2-6) Yehuwa memberkati mereka dengan gembala rohani yang setia, contohnya jurutulis Ezra, Imam Agung Yosua, gabenor-gabenor seperti Nehemia dan Zerubabel, serta nabi-nabi yang berani seperti Hagai, Zakharia, dan Maleakhi. Selagi umat Tuhan mengikut bimbingan dan nasihat Yehuwa, mereka akan terus diberkati dengan perpaduan dan dapat menjalani kehidupan yang bermakna di sana.​—Yes. 61:1-4; baca Yeremia 3:15.

22. Bagaimanakah kita tahu bahawa janji-janji Yehuwa akan menjadi kenyataan lagi dalam skala yang lebih besar?

22 Sememangnya, orang Yahudi pasti gembira melihat janji-janji Yehuwa menjadi kenyataan! Tetapi, nubuat-nubuat itu akan menjadi kenyataan lagi dalam skala yang lebih besar pada masa depan. Bagaimana kita tahu? Janji-janji Yehuwa akan terus ditunaikan jika orang Yahudi tetap mentaati-Nya. Sedihnya, mereka mengingkari Yehuwa dan memberontak pada kemudian hari. Maka, janji Yehuwa belum ditunaikan dengan sepenuhnya. Memandangkan Yehuwa sentiasa menunaikan janji-Nya, firman-Nya pasti menjadi kenyataan lagi dan berkat-Nya akan kekal selamanya. Mari kita kaji tentangnya.

“Aku Akan Berkenan kepada Kamu”

23, 24. Bilakah dan bagaimanakah ‘masa untuk memulihkan semua perkara’ bermula?

23 Melalui Bible, kita belajar bahawa dunia ini memasuki hari-hari terakhir pada 1914. Bagi penyembah Tuhan, ini bukanlah hal yang menyedihkan. Sebenarnya, 1914 merupakan lembaran yang baharu kerana ‘masanya untuk memulihkan semua perkara’ telah bermula. (Kis. 3:21) Mengapa kita boleh berkata demikian? Kerana Yesus telah ditabalkan sebagai raja di syurga. Bagaimanakah peristiwa itu menandakan permulaan zaman pemulihan? Ingatlah, pada 607 SM, pemerintahan raja daripada keturunan Daud telah tergendala semasa orang Babilon memusnahkan Yerusalem. Tetapi, Yehuwa berjanji bahawa raja daripada keturunan Daud akan memerintah buat selama-lamanya.​—1 Taw. 17:11-14.

24 Sebagai “Anak Manusia,” Yesus merupakan keturunan Daud dan pewaris takhta Daud yang sah. (Mat. 1:1; 16:13-16; Luk. 1:32, 33) Maka, semasa Yehuwa melantik Yesus sebagai raja di syurga pada 1914, ‘masanya untuk memulihkan semua perkara’ telah tiba. Sejak masa itu, Yehuwa menggunakan Raja yang sempurna itu untuk meneruskan kerja pemulihan.

25, 26. (a) Bilakah umat Tuhan yang ditawan akhirnya dibebaskan daripada Babilon Besar? Bagaimanakah kita mengetahuinya? (Lihat juga kotak “Mengapa 1919?”) (b) Apakah nubuat yang menjadi kenyataan bermula 1919?

25 Antara perkara pertama yang dilakukan oleh Raja Yesus adalah untuk memeriksa aturan ibadat sejati di bumi bersama Bapanya. (Mal. 3:1-5) Seperti yang dinubuatkan oleh Yesus dalam perumpamaannya tentang gandum dan lalang, orang Kristian sejati tidak dapat dibezakan daripada orang Kristian palsu buat suatu jangka waktu. * Tetapi, pada 1914, musim menuai telah tiba, dan perbezaan antara dua golongan itu dapat dilihat dengan jelas. Puluhan tahun sebelum 1914, para Pelajar Bible sudah mula mendedahkan dusta gereja-gereja dan mengasingkan diri daripada mereka. Ya, masanya bagi Yehuwa untuk memulihkan ibadat sejati dengan sepenuhnya sudah tiba. Pada awal 1919, iaitu beberapa tahun selepas “musim menuai” bermula, umat Tuhan yang ditawan akhirnya dibebaskan daripada Babilon Besar!​—Mat. 13:30.

26 Sejak masa itu, nubuat-nubuat pemulihan yang dicatatkan Yehezkiel mula menjadi kenyataan dalam skala yang lebih besar! Sekarang, mari kita lihat bagaimana lima janji yang dibincangkan sebelum ini menjadi kenyataan lagi pada zaman moden.

27. Bagaimanakah umat Tuhan mula menyingkirkan amalan penyembahan berhala?

27 JANJI 1. Penyembahan berhala atau amalan najis yang berkaitan dengan agama palsu berakhir. Pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20, orang Kristian yang setia meninggalkan amalan agama palsu dan mula berkumpul bersama untuk beribadat. Ajaran seperti Tritunggal, jiwa atau roh yang tidak dapat mati, dan neraka berapi tidak lagi diterima kerana mempunyai asal usul kafir. Mereka sedar bahawa patung atau lambang tidak patut digunakan dalam ibadat kerana semua itu merupakan penyembahan berhala. Seraya masa berlalu, mereka juga sedar bahawa penggunaan salib ialah sebahagian daripada penyembahan berhala.​—Yeh. 14:6.

28. Bagaimanakah firdaus rohani dipulihkan?

28 JANJI 2. Pemulihan firdaus rohani. Selepas umat Tuhan meninggalkan Babilon Besar, mereka menikmati firdaus rohani dan berkat-berkat yang melimpah. Umat Tuhan tidak mengalami kebuluran rohani lagi. (Baca Yehezkiel 34:13, 14.) Seperti yang akan kita pelajari dalam Bab 19 buku ini, Yehuwa telah memberkati mereka dengan makanan rohani yang berlimpah-limpah.​—Yeh. 11:17.

29. Apakah yang berlaku sejak 1919?

29 JANJI 3. Korban-korban dipersembahkan semula di mazbah Yehuwa. Pada abad pertama, orang Kristian digalakkan untuk memberikan korban kepada Tuhan. Namun, korban ini bukanlah korban binatang. Sebaliknya, mereka harus memberikan korban puji-pujian kepada Yehuwa dan menginjil tentang-Nya. (Ibr. 13:15) Semasa umat Tuhan ditawan oleh Babilon Besar selama ratusan tahun, tidak ada aturan yang tetap untuk mempersembahkan korban sebegitu. Menjelang pembebasan umat Tuhan, mereka menjalankan kerja penyebaran dan memberikan pujian kepada Tuhan semasa perjumpaan. Tetapi sejak 1919, “hamba yang setia dan bijaksana” memberikan penekanan kepada kerja penyebaran dan mula membuat aturan untuk menjalankan kerja ini dengan menyeluruh. (Mat. 24:45-47) Ya, umat Tuhan yang terus bertambah mempersembahkan puji-pujian di mazbah Yehuwa!

30. Bagaimanakah Yesus memastikan kawanannya dijaga dengan baik?

30 JANJI 4. Para gembala yang jahat akan disingkirkan. Yesus membebaskan umat Tuhan daripada para pemimpin Kristian yang palsu, tamak, dan mementingkan diri. Gembala-gembala yang bersikap sedemikian juga tidak lagi dibenarkan untuk mengambil pimpinan dalam sidang. (Yeh. 20:38) Selaku Gembala Yang Baik, Yesus memastikan kawanannya sentiasa dijaga. Pada 1919, dia telah melantik hamba yang setia dan bijaksana, iaitu sekumpulan kecil saudara yang terurap, untuk menyediakan makanan rohani. Seraya masa berlalu, para penatua juga dilatih untuk menjaga “kawanan Tuhan.” (1 Ptr. 5:1, 2) Kata-kata di Yehezkiel 34:15, 16 sering mengingatkan para gembala tentang piawaian yang ditetapkan oleh Yehuwa dan Yesus bagi mereka.

31. Bagaimanakah Yehuwa menunaikan janji-Nya di Yehezkiel 11:19?

31 JANJI 5. Perpaduan dalam kalangan penyembah Yehuwa. Selama berabad-abad, gereja Kristian telah berpecah menjadi ribuan aliran, dan persengketaan sering berlaku antara mereka. Sebaliknya, umat Tuhan menikmati perpaduan yang luar biasa. Ya, janji Yehuwa ini melalui Yehezkiel telah menjadi kenyataan: “Aku akan membuat mereka bersatu hati.” (Yeh. 11:19) Kini, Kristus mempunyai jutaan pengikut di seluruh dunia yang datang daripada pelbagai bangsa dan latar belakang. Mereka mempelajari kebenaran yang sama dan melakukan kerja yang sama dengan bersatu padu. Pada malam terakhir Yesus di bumi, dia telah berdoa agar pengikutnya terus bersatu. (Baca Yohanes 17:11, 20-23.) Hari ini, kita melihat bahawa Yehuwa telah mengabulkan doa itu dalam cara yang menakjubkan.

32. Apakah perasaan anda terhadap nubuat pemulihan yang menjadi kenyataan? (Lihat juga kotak “Nubuat-Nubuat tentang Umat Tuhan yang Ditawan dan Dipulihkan.”)

32 Tidakkah anda bersukacita untuk hidup pada zaman pemulihan ini? Kita dapat melihat nubuat Yehezkiel menjadi kenyataan dalam semua aspek ibadat kita hari ini. Maka, kita dapat berasa yakin bahawa Yehuwa senang hati dengan penyembah-Nya, seperti yang dinubuatkan oleh Yehezkiel, “Aku akan berkenan kepada kamu.” (Yeh. 20:41) Sememangnya, kita diberi penghormatan yang besar untuk menjadi sebahagian daripada umat Tuhan yang bersatu padu! Ya, umat ini telah bebas daripada cengkaman ibadat palsu dan kini melaungkan pujian kepada Yehuwa dari seluruh pelosok bumi. Tetapi, nubuat pemulihan ini akan menjadi kenyataan sekali lagi dalam skala yang tidak pernah dijangkakan.

“Seperti Taman Eden”

33-35. (a) Apakah yang difikirkan para tawanan Yahudi semasa mendengar kata-kata di Yehezkiel 36:35? (b) Bagaimanakah nubuat itu menjadi kenyataan bagi umat Tuhan hari ini? (Lihat juga kotak “Masanya Tiba untuk Memulihkan Semua Perkara.”)

33 Seperti yang sudah dibincangkan, ‘masa untuk memulihkan semua perkara’ bermula apabila Yesus ditabalkan sebagai raja pada 1914. Maka, pemerintahan raja daripada keturunan Daud telah dipulihkan. (Yeh. 37:24) Kemudian, Yehuwa memberi Yesus kuasa untuk membebaskan umat-Nya daripada cengkaman agama palsu dan memulihkan ibadat sejati. Namun, adakah tugas Kristus sudah selesai? Tidak! Kerja pemulihan akan terus dilaksanakan sehingga masa depan. Mari kita lihat butiran lain dalam nubuat Yehezkiel.

34 Sebagai contoh, perhatikan ayat Bible ini: “Orang akan berkata, ‘Tanah tandus itu sudah menjadi seperti Taman Eden.’” (Yeh. 36:35) Apakah yang difikirkan oleh Yehezkiel dan para tawanan semasa mendengar kata-kata ini? Pasti mereka tidak akan berfikir bahawa tanah air mereka akan betul-betul menjadi Taman Eden yang asal. (Kej. 2:8) Sebaliknya, hal itu bermaksud bahawa tanah air mereka akan menjadi tempat yang indah dan subur semula.

35 Bagaimana pula dengan kita? Selagi dunia ini dikuasai oleh Syaitan Si Iblis, kita tidak akan menikmati firdaus yang harfiah. Maka, kita sedar bahawa kata-kata ini memaksudkan firdaus rohani. Kita berkhidmat dengan gembira dalam firdaus ini dan mengutamakan kerja Yehuwa dalam hidup kita. Seraya masa berlalu, firdaus ini akan menjadi semakin indah. Apa lagi yang dapat kita nantikan pada masa depan?

36, 37. Apakah janji-janji yang akan menjadi kenyataan di Firdaus?

36 Selepas perang Armagedon, Yesus akan terus melakukan kerja pemulihan di seluruh bumi. Semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus, dia akan membimbing manusia untuk mengubah bumi ini menjadi sebuah firdaus seperti Taman Eden. Itulah kehendak Yehuwa dari mula lagi! (Luk. 23:43) Pada masa itu, manusia akan menikmati kedamaian sesama sendiri dan menjaga bumi dengan baik. Segala ancaman tidak akan wujud lagi. Bayangkan saatnya apabila janji ini menjadi kenyataan: “Aku akan membuat perjanjian damai dengan mereka. Aku akan mengusir semua binatang buas di negeri itu supaya mereka dapat tidur di hutan dan hidup di padang belantara dengan aman.”​—Yeh. 34:25.

37 Betapa gembiranya anda pada masa itu! Anda dapat mengembara ke seluruh bumi tanpa rasa takut. Tiada binatang yang akan mengancam keselamatan anda. Kedamaian yang melimpah wujud di mana-mana sahaja. Anda bukan hanya dapat merentasi hutan rimba dan menikmati keindahan alam, tetapi bahkan tidur nyenyak di sana! Ya, anda tidak akan menghadapi apa-apa bahaya, tidak kira di mana jua anda berada.

Bayangkan masanya anda dapat “tidur di hutan” dengan aman (Lihat perenggan 36, 37)

38. Apakah perasaan anda tentang janji-janji di Yehezkiel 28:26?

38 Selain itu, janji-janji ini akan menjadi kenyataan: “Mereka akan tinggal di sana dengan aman. Mereka akan membina rumah-rumah dan mengusahakan ladang-ladang anggur. Mereka akan hidup dengan aman apabila Aku menghakimi semua bangsa di sekeliling mereka yang telah menghina mereka. Dengan demikian, mereka pasti akan tahu bahawa Akulah Yehuwa, Tuhan mereka.” (Yeh. 28:26) Apabila semua musuh Yehuwa dilenyapkan, suasana yang aman damai akan wujud di seluruh bumi. Pada masa itu, kita akan menjaga bumi, memenuhi keperluan keluarga kita, membina rumah yang selesa, dan mengusahakan ladang-ladang anggur.

39. Mengapakah kita dapat yakin bahawa nubuat Yehezkiel tentang Firdaus pasti menjadi kenyataan?

39 Adakah janji-janji ini mimpi belaka? Tidak! Ingatlah, anda sudah melihat sesetengah nubuat pemulihan menjadi kenyataan dewasa ini. Biarpun Syaitan terus melancarkan serangan yang bertubi-tubi, Tuhan telah memberi Yesus kuasa untuk memulihkan ibadat sejati pada zaman yang gelap-gelita ini. Sememangnya, kita dapat yakin bahawa semua janji Yehuwa yang dinubuatkan Yehezkiel pasti menjadi kenyataan!

^ per. 2 Kebanyakan tawanan Yahudi tinggal jauh dari kota Babilon. Contohnya, Yehezkiel tinggal bersama orang Yahudi berdekatan Sungai Khebar. (Yeh. 3:15) Tetapi, sesetengah orang Yahudi juga tinggal di dalam kota Babilon. Antara mereka termasuk “orang yang berasal daripada keturunan raja dan bangsawan.”​—Dan. 1:3, 6; 2 Raj. 24:15.

^ per. 25 Contohnya, kita tidak tahu siapa antara anggota Reformasi Protestan pada abad ke-16 yang mungkin merupakan kaum terurap.