Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 11

‘Aku Melantik Engkau Menjadi Penjaga’

‘Aku Melantik Engkau Menjadi Penjaga’

YEHEZKIEL 33:7

ISI UTAMA: Yehuwa melantik seorang penjaga dan menjelaskan tanggungjawabnya

1. Apakah yang dilakukan oleh para nabi Yehuwa yang diumpamakan seperti penjaga? Apakah peristiwa yang telah berlaku?

SEORANG penjaga di tembok Yerusalem mengawasi sekelilingnya seraya matahari sedang terbenam. Tiba-tiba, dia melihat angkatan tentera Babilon mara ke arahnya. Pada saat itu juga, dia segera mengangkat trompetnya lalu meniupnya dengan sekuat hati. Tetapi, sudah terlambat bagi penduduk Yerusalem untuk bertindak. Selama puluhan tahun, para nabi yang dilantik oleh Yehuwa sebagai penjaga telah mengisytiharkan amaran tentang hari penghakiman-Nya. Namun, mereka enggan mendengar. Kini, tentera Babilon sudah mengepung kota mereka. Selepas Yerusalem dikepung selama berbulan-bulan, tentera musuh akhirnya berjaya menembusi tembok kota, memusnahkan Rumah Tuhan, dan menangkap atau membunuh penduduk di sana.

2, 3. (a) Apakah peristiwa yang akan dialami dunia ini? Apakah tindakan yang harus diambil sekarang? (b) Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan?

2 Hari ini, tentera Yehuwa di syurga sedang mara ke hadapan untuk berperang melawan orang yang tidak beriman. (Why. 17:12-14) Perang itu ialah peristiwa yang paling mendebarkan kerana itulah kemuncak kesengsaraan besar. Pada masa itu, dunia ini akan mengalami kesusahan yang paling teruk dalam sejarah manusia. (Mat. 24:21) Maka, sekaranglah masanya bagi orang untuk mendengarkan amaran penjaga yang dilantik oleh Yehuwa.

3 Mengapakah Yehuwa melantik para penjaga? Apakah mesej yang disampaikan mereka? Siapakah yang dilantik sebagai penjaga, dan apakah peranan kita? Mari kita mendapatkan jawapan kepada soalan-soalan ini.

“Engkau Harus Menyampaikan Amaran-Ku”

4. Mengapakah Yehuwa melantik para penjaga? (Lihat gambar pada permulaan bab.)

4 Baca Yehezkiel 33:7. Pada zaman dahulu, seorang penjaga biasanya berdiri di atas tembok kota untuk memastikan penduduknya tidak diserang musuh. Apabila rakyat melihat para penjaga bertugas, mereka tahu bahawa pemerintah mereka prihatin terhadap mereka. Ada kalanya, tiupan trompet seorang penjaga mungkin mengejutkan penduduk yang sedang tidur nyenyak. Namun, amaran itu dapat menyelamatkan nyawa mereka. Begitu juga, Yehuwa telah melantik para penjaga, bukan untuk menakutkan umat-Nya dengan berita penghakiman, tetapi untuk menunjukkan kasih-Nya dan keinginan-Nya untuk menyelamatkan mereka.

5, 6. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan sifat keadilan?

5 Dengan melantik Yehezkiel sebagai penjaga, Yehuwa menunjukkan sifat-sifat-Nya yang melegakan hati kita. Mari kita kaji dua sifat-Nya yang berikut.

6 Keadilan: Yehuwa memperlakukan kita masing-masing tanpa berat sebelah. Sebagai contoh, biarpun kebanyakan orang Israel menolak mesej Yehezkiel, Yehuwa tidak menganggap semua orang Israel sebagai pemberontak. Sebaliknya, Dia memberi setiap orang peluang untuk menunjukkan sama ada mereka mahu menerima atau menolak mesej-Nya. Dia sering menggunakan ungkapan “seorang penjahat” dan “seseorang yang baik.” Hal ini menunjukkan bahawa Yehuwa menjatuhkan hukuman berdasarkan reaksi setiap orang terhadap mesej-Nya.​—Yeh. 33:8, 18-20.

7. Bagaimanakah Yehuwa menghakimi orang?

7 Yehuwa juga menunjukkan sifat ini melalui cara Dia menghakimi orang. Dia tidak menghakimi seseorang berdasarkan perbuatan lampaunya, tetapi berdasarkan reaksinya sekarang terhadap amaran-Nya. Yehuwa memberitahu Yehezkiel, ‘Apabila Aku berfirman kepada orang jahat, “Engkau pasti akan mati,” dan dia meninggalkan haluannya yang jahat lalu melakukan apa yang baik dan adil, dia pasti akan terus hidup.’ Yehuwa juga menambah, “Dosa-dosa lampaunya akan dilupakan.” (Yeh. 33:14-16) Tetapi, seseorang tidak patut berfikir bahawa perbuatan baiknya dahulu dapat dijadikan alasan untuk mengingkari Yehuwa sekarang. Yehuwa berkata bahawa jika seseorang “percaya bahawa kebaikannya dahulu dapat menyelamatkan nyawanya lalu dia mula berdosa, segala perbuatan baiknya akan dilupakan, dan dia akan mati kerana dia telah berdosa.”​—Yeh. 33:13.

8. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan keadilan-Nya semasa memberikan amaran?

8 Keadilan Yehuwa juga nyata kerana Dia memberikan amaran dan masa yang secukupnya sebelum Dia bertindak. Sebelum Yerusalem dimusnahkan, Yehezkiel sudah menyampaikan amaran kepada penduduk kota itu selama enam tahun. Namun, dia bukanlah orang pertama yang dilantik sebagai penjaga. Lebih daripada 100 tahun sebelum pembinasaan Yerusalem, Yehuwa telah melantik para penjaga seperti Hosea, Yesaya, Mikha, Oded, dan Yeremia. Melalui Yeremia, Yehuwa berfirman, “Aku melantik para pengawal yang berkata, ‘Dengarlah bunyi tiupan trompet!’” (Yer. 6:17) Maka, Yehuwa dan para penjaga-Nya tidak patut dipersalahkan atas kematian penduduk Yerusalem semasa Babilon menjatuhkan penghakiman-Nya.

9. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan kasih setia?

9 Kasih: Yehuwa menunjukkan kasih setia dengan memberikan amaran bukan sahaja kepada orang baik, tetapi juga orang jahat. Walaupun Dia berulang kali membantu mereka, sesetengah umat-Nya terus mencela nama-Nya dan bahkan meninggalkan-Nya lalu menyembah tuhan palsu. Untuk menggambarkan perasaan-Nya, Yehuwa menyamakan diri dengan seorang suami yang hancur hati kerana isterinya, iaitu bangsa Israel, telah berzina dan mengkhianati-Nya. (Yeh. 16:32) Meskipun demikian, Yehuwa tidak berputus asa dan berusaha berbaik semula dengan umat-Nya. Bagi Yehuwa, hukuman hanya dilaksanakan sebagai pilihan yang terakhir. Mengapa? Dia menjelaskan kepada Yehezkiel, “Aku tidak suka melihat orang jahat mati. Sebaliknya Aku ingin agar orang jahat mengubah haluannya dan terus hidup.” (Yeh. 33:11) Itulah perasaan Yehuwa sampai hari ini.​—Mal. 3:6.

10, 11. Apakah yang kita pelajari daripada cara Yehuwa memperlakukan orang Israel?

10 Apakah yang kita pelajari daripada cara Yehuwa memperlakukan orang Israel? Pertama, kita harus menginjil kepada semua orang kerana setiap individu adalah unik. Janganlah hakimi orang berdasarkan bangsa, bahasa, kedudukan, atau perbuatan lampau mereka. Petrus menulis, “Tuhan tidak berat sebelah. Orang daripada bangsa apa pun yang takut kepada-Nya dan berbuat benar diperkenankan-Nya.”​—Kis. 10:34, 35.

Adakah pandangan kita terhadap orang sama seperti Yehuwa? (Lihat perenggan 10)

11 Kedua, kita harus berhati-hati dan selalu menyelidiki diri sendiri. Seperti orang lain, kita juga ada kecenderungan untuk berdosa. Jadi, kita harus menerapkan nasihat Paulus kepada sidang Korintus. Dia menulis, “Jika sesiapa berfikir bahawa dia sedang berdiri dengan teguh, hendaklah dia berwaspada supaya dia tidak jatuh. Semua godaan yang kamu hadapi merupakan godaan yang biasa dialami oleh manusia.” (1 Kor. 10:12, 13) Selain itu, janganlah berfikir bahawa kita bebas berbuat dosa kerana kita pernah atau sedang berbuat baik. Kita tidak patut terlalu yakin pada diri sendiri dan ‘percaya bahawa kebaikan kita’ dapat melindungi kita daripada hukuman. (Yeh. 33:13) Tidak kira berapa lama kita sudah berkhidmat kepada Yehuwa, kita mesti terus mematuhi-Nya dan bersikap rendah hati.

12. Jika kita pernah melakukan dosa serius, apakah yang harus kita ingat?

12 Bagaimana pula jika kita masih berasa bersalah atas dosa serius yang pernah kita lakukan? Daripada mesej Yehezkiel, kita belajar bahawa Yehuwa akan menghukum orang jahat yang enggan bertaubat. Tetapi, Yehuwa ialah Tuhan yang pengasih. (1 Yoh. 4:8) Jika tindakan kita membuktikan bahawa kita sudah bertaubat, kita tidak patut berfikir bahawa dosa kita terlalu berat dan tidak dapat diampunkan. (Yak. 5:14, 15) Yehuwa sudi mengampuni orang Israel yang telah mengkhianati-Nya, dan Dia pasti sudi mengampuni kita juga.​—Mzm. 86:5.

“Pergilah kepada Bangsamu dan Beritahulah Mereka”

13, 14. (a) Apakah mesej yang harus disampaikan oleh para penjaga? (b) Apakah mesej yang disampaikan oleh Yesaya?

13 Baca Yehezkiel 33:2, 3. Apakah mesej yang harus disampaikan oleh para penjaga yang dilantik Yehuwa? Mereka harus menyampaikan amaran, tetapi mereka juga membawa berita baik. Perhatikan contoh-contoh berikut.

14 Yesaya berkhidmat dari sekitar 778 SM hingga 732 SM. Ketika itu, dia menyampaikan amaran bahawa orang Babilon akan menawan Yerusalem dan membawa penduduknya sebagai tawanan. (Yes. 39:5-7) Tetapi, dia juga menulis, “Dengarlah seruan para pengawalmu! Mereka bersorak bersama-sama dengan gembira. Dengan mata mereka sendiri, mereka akan melihat Yehuwa mengumpulkan semula penduduk Sion.” (Yes. 52:8) Maka, Yesaya membawa berita baik yang menunjukkan bahawa ibadat sejati akan dipulihkan.

15. Apakah mesej yang disampaikan oleh Yeremia?

15 Yeremia berkhidmat dari sekitar 647 SM hingga 580 SM. Oleh sebab dia menyampaikan berita penghakiman Yehuwa kepada orang Israel yang jahat, dia sering digelar sebagai pembawa berita buruk. * Tetapi, dia juga membawa berita baik bahawa umat Tuhan akan kembali ke tanah air mereka dan memulihkan ibadat sejati.​—Yer. 29:10-14; 33:10, 11.

16. Bagaimanakah mesej Yehezkiel membantu para tawanan di Babilon?

16 Yehezkiel dilantik sebagai penjaga pada 613 SM dan dia berkhidmat sehingga sekurang-sekurangnya 591 SM. Dalam Bab 5 dan 6 buku ini, kita belajar bahawa Yehezkiel menyampaikan penghakiman Tuhan kepada orang Israel. Oleh sebab dia menjalankan tugasnya dengan giat, dia tidak berhutang darah. Sebenarnya, dia bukan hanya mengisytiharkan bahawa Yehuwa akan menghukum orang murtad di Yerusalem, tetapi dia juga membantu para tawanan di Babilon agar tetap kuat secara rohani. Dengan demikian, mereka dapat bersiap sedia untuk kerja yang bakal dilakukan. Setelah pembuangan selama 70 tahun, Yehuwa akan membawa kembali sebilangan orang Yahudi ke tanah air mereka yang dipulihkan. (Yeh. 36:7-11) Kebanyakan orang Yahudi yang kembali ini merupakan anak cucu kepada orang yang mendengarkan mesej Yehezkiel. Seperti yang dibincangkan dalam Bahagian 3 buku ini, Yehezkiel telah menyampaikan banyak berita baik tentang ibadat sejati yang akan dipulihkan di Yerusalem.

17. Bilakah Yehuwa melantik para penjaga?

17 Adakah Yehuwa hanya melantik para penjaga sekitar 607 SM, iaitu sebelum Yerusalem dibinasakan? Tidak. Sebelum terjadinya setiap peristiwa penting yang berkaitan dengan kehendak-Nya, Yehuwa melantik para penjaga untuk menyampaikan amaran dan berita baik.

Para Penjaga pada Abad Pertama

18. Apakah tugas yang dilakukan oleh Yohanes Pembaptis?

18 Yohanes Pembaptis berkhidmat sebagai penjaga pada abad pertama. Dia menyampaikan amaran kepada bangsa Israel bahawa tidak lama lagi, Yehuwa akan menolak mereka sebagai umat-Nya. (Mat. 3:1, 2, 9-11) Selain itu, Yesus berkata bahawa Yohanes ialah utusan yang akan membuka jalan bagi Mesias. (Mal. 3:1; Mat. 11:7-10) Antara tugasnya ialah mengisytiharkan berita baik tentang ketibaan “Anak Bebiri Tuhan yang menghapuskan dosa dunia.”​—Yoh. 1:29, 30.

19, 20. Bagaimanakah Yesus dan murid-muridnya berkhidmat sebagai penjaga?

19 Antara semua penjaga yang dilantik oleh Yehuwa, Yesuslah penjaga yang paling unggul. Seperti Yehezkiel, Yehuwa mengutusnya kepada “bangsa Israel.” (Yeh. 3:17; Mat. 15:24) Yesus menyampaikan amaran bahawa bangsa Israel bakal ditolak oleh Yehuwa dan bahawa Yerusalem akan dimusnahkan. (Mat. 23:37, 38; 24:1, 2; Luk. 21:20-24) Tetapi, tugas utamanya adalah untuk mengisytiharkan berita baik.​—Luk. 4:17-21.

20 Semasa di bumi, Yesus menyuruh murid-muridnya agar ‘terus berjaga-jaga’ dan menjalankan tugas sebagai penjaga. (Mat. 24:42) Maka mereka mematuhinya dengan menyebarkan amaran bahawa Yehuwa akan menolak bangsa Israel dan Yerusalem. (Rm. 9:6-8; Gal. 4:25, 26) Tetapi, mereka juga membawa berita baik kepada orang ramai. Contohnya, mereka menyebarkan bahawa orang bukan Yahudi dapat menjadi sebahagian daripada Israel milik Tuhan dan berpeluang membantu Yesus memulihkan ibadat sejati di bumi.​—Kis. 15:14; Gal. 6:15, 16; Why. 5:9, 10.

21. Bagaimanakah Paulus menjalankan tugasnya sebagai penjaga?

21 Paulus juga menjalankan tugasnya sebagai penjaga dengan baik. Seperti Yehezkiel, dia tahu bahawa dia akan berhutang darah jika dia tidak melakukan kerjanya. (Kis. 20:26, 27) Paulus bukan hanya menyebarkan amaran tetapi dia juga membawa berita baik. (Kis. 15:35; Rm. 1:1-4) Dia diilhami untuk memetik kata-kata Yesaya ini: “Betapa indahnya kaki orang yang datang melalui gunung-gunung untuk mengkhabarkan berita baik.” Kemudian, dia mengatakan bahawa kata-kata itu menjadi kenyataan semasa pengikut Kristus menginjil tentang Kerajaan Tuhan.​—Yes. 52:7, 8; Rm. 10:13-15.

22. Apakah yang berlaku selepas kematian para rasul?

22 Selepas kematian para rasul, kemurtadan mula menular dalam sidang Kristian. (Kis. 20:29, 30; 2 Tes. 2:3-8) Untuk jangka masa yang lama, bilangan orang Kristian palsu (lalang) jauh lebih banyak daripada orang Kristian sejati (gandum). Maka, kebenaran tentang Kerajaan Tuhan juga dikelabui oleh ajaran palsu. (Mat. 13:36-43) Apabila tiba masa yang ditetapkan-Nya, Yehuwa telah bertindak. Tetapi sebelum bertindak, Dia menunjukkan kasih dan keadilan-Nya dengan melantik para penjaga untuk menyampaikan amaran dan berita baik. Siapakah mereka?

Yehuwa Melantik Para Penjaga untuk Menyampaikan Amaran-Nya

23. Apakah peranan yang dimainkan oleh Charles T. Russell dan sahabatnya?

23 Sebelum 1914, Charles T. Russell dan sahabat-sahabatnya berkhidmat sebagai utusan yang “membuka jalan” sebelum Kerajaan Mesias diasaskan. * (Mal. 3:1) Selain itu, mereka telah memainkan peranan sebagai penjaga. Dengan menggunakan majalah Zion’s Watch Tower and Herald of Christ’s Presence, mereka menyampaikan amaran tentang penghakiman Tuhan dan berita baik tentang Kerajaan Tuhan.

24. (a) Bagaimanakah hamba yang setia menjalankan tugas mereka sebagai penjaga? (b) Apakah yang anda pelajari daripada contoh para penjaga pada zaman dahulu? (Lihat kotak “Para Penjaga yang Menjadi Teladan Baik.”)

24 Selepas Kerajaan Tuhan diasaskan, Yesus melantik sekumpulan kecil saudara untuk berkhidmat sebagai hamba yang setia (atau dikenali sebagai Badan Pimpinan). (Mat. 24:45-47) Sejak itu, mereka telah melakukan kerja seorang penjaga. Mereka bukan hanya mengambil pimpinan untuk mengisytiharkan “hari pembalasan” Tuhan, tetapi mereka juga mengisytiharkan “tahun rahmat-Nya.”​—Yes. 61:2; lihat juga 2 Korintus 6:1, 2.

25, 26. (a) Apakah yang harus dilakukan oleh semua pengikut Yesus, dan bagaimanakah mereka melakukannya? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam bab yang seterusnya?

25 Selaku penjaga yang dilantik Yehuwa, hamba yang setia mempunyai tanggungjawab utama untuk membantu orang “terus berjaga-jaga.” Tetapi Yesus juga mahu “semua” pengikutnya untuk “terus berjaga-jaga.” (Mrk. 13:33-37) Kita berbuat demikian apabila kita terus peka secara rohani, menginjil, dan menyokong hamba yang setia. (2 Tim. 4:2) Apakah yang mendorong kita untuk menginjil? Kita tahu bahawa orang yang tidak mendengarkan amaran penjaga zaman moden akan dibinasakan. Maka satu sebab kita menginjil adalah untuk menyelamatkan nyawa orang. (Yeh. 3:19; 1 Tim. 4:16) Tetapi sebab utama kita menjalankan kerja ini adalah kerana kita ingin mengisytiharkan berita baik bahawa ibadat sejati telah dipulihkan. Selagi kita hidup pada “tahun rahmat [Tuhan],” orang masih berpeluang menyertai kita untuk menyembah Yehuwa, Tuhan kita yang adil dan pengasih. Tidak lama lagi, semua orang yang selamat mengharungi Armagedon akan diberkati semasa pemerintahan Anak-Nya Yesus. Sudah pasti kita mahu menyokong penjaga yang dilantik Yehuwa untuk menyebarkan berita baik ini!​—Mat. 24:14.

Kita menyokong penjaga zaman moden apabila kita menginjil dengan sukacita (Lihat perenggan 25)

26 Pada penghujung hari-hari terakhir ini, Yehuwa telah menyatupadukan umat-Nya dalam cara yang menakjubkan. Dalam bab yang seterusnya, kita akan mendalami topik ini dengan mengkaji nubuat Yehezkiel tentang dua batang kayu.

^ per. 15 Perkataan seperti “malapetaka” dan “bencana” muncul berpuluh-puluh kali dalam buku Yeremia.

^ per. 23 Untuk maklumat lanjut tentang nubuat ini, lihat bab 2 yang bertajuk “Kelahiran Kerajaan Tuhan di Syurga” dalam buku “Kerajaan Tuhan Kini Memerintah!”