Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 10

“Kamu Dapat Hidup Semula”

“Kamu Dapat Hidup Semula”

YEHEZKIEL 37:5

ISI UTAMA: Penglihatan tentang “tulang-tulang kering” dan bagaimana nubuat ini menjadi kenyataan dalam skala yang lebih besar

1-3. Mengapakah pandangan orang Yahudi di Babilon mula berubah? (Lihat gambar pada permulaan bab.)

SUDAH kira-kira lima tahun Yehezkiel menyampaikan berita tentang penghakiman Yerusalem. Walaupun begitu, orang Yahudi di Babilon enggan mempercayai kata-katanya. Bahkan semasa Yerusalem dikepung oleh askar Babilon, mereka masih yakin bahawa kota itu tidak akan dimusnahkan dan penduduknya akan selamat. Tetapi sekarang, pandangan mereka mula berubah. Mengapa?

2 Dua tahun selepas Yerusalem dikepung, seorang penduduk Yerusalem berjaya melarikan diri ke Babilon lalu berkata, “Kota itu telah ditawan!” Betapa sedihnya orang Yahudi semasa mengetahui bahawa kota mereka, Rumah Tuhan, dan tanah air mereka sudah musnah. Segala harapan mereka hancur dan mereka diselubungi rasa kecewa.​—Yeh. 21:7; 33:21.

3 Namun pada masa itu, Yehezkiel mendapat sebuah penglihatan yang membawa sinar harapan. Apakah mesej yang ingin disampaikan oleh Yehuwa kepada para tawanan melalui penglihatan itu? Apakah kaitan penglihatan itu dengan umat Tuhan hari ini, dan apakah yang dapat kita belajar daripadanya? Untuk mendapat jawapannya, mari kita kaji penglihatan yang diberikan Yehuwa kepada Yehezkiel.

“Bernubuatlah tentang Tulang-Tulang” dan “Bernubuatlah kepada Angin”

4. Apakah dua perkara yang menonjol bagi Yehezkiel dalam penglihatan itu?

4 Baca Yehezkiel 37:1-10. Dalam penglihatannya, Yehezkiel dibawa ke sebuah dataran yang penuh dengan tulang. Untuk membantu Yehezkiel menyelami penglihatan itu, Yehuwa menyuruhnya untuk “mengelilingi dataran itu.” Terdapat dua perkara yang menonjol bagi Yehezkiel, iaitu bilangan tulang-tulang itu dan keadaannya. Dia berkata, “Aku nampak banyak sekali tulang” dan “tulang-tulang itu sangat kering.”

5. Apakah dua arahan yang diberikan oleh Yehuwa kepada Yehezkiel, dan apakah yang berlaku selepas Yehezkiel menuruti arahan itu?

5 Untuk memulihkan tulang-tulang itu, Yehuwa memberi Yehezkiel dua arahan. Arahan yang pertama berbunyi, “Bernubuatlah tentang tulang-tulang itu” agar tulang-tulang itu “hidup semula.” (Yeh. 37:4-6) Sejurus selepas Yehezkiel bernubuat, dia “mendengar bunyi derak-derik, dan tulang-tulang itu mula bersambung antara satu sama lain.” Kemudian tulang-tulang itu mula “berurat dan berdaging, serta diliputi kulit.” (Yeh. 37:7, 8) Arahan yang kedua pula berbunyi, “Bernubuatlah kepada angin,” dan suruhlah angin itu ‘bertiup’ ke arah tubuh-tubuh itu. Selepas Yehezkiel berbuat demikian, ‘nafas masuk ke dalam mereka, dan mereka mula hidup dan berdiri. Mereka seperti sebuah pasukan tentera yang sangat besar.’​—Yeh. 37:9, 10.

“Tulang-Tulang Kami Kering, dan Harapan Kami Sudah Lenyap”

6. Apakah yang dijelaskan oleh Yehuwa tentang penglihatan itu?

6 Kemudian, Yehuwa memberitahu Yehezkiel bahawa tulang-tulang itu ialah “seluruh bangsa Israel.” Ya, para tawanan yang mendengar tentang pembinasaan Yerusalem berasa tidak berdaya seperti tulang-tulang yang tidak bernyawa itu. Mereka meraung, “Tulang-tulang kami kering, dan harapan kami sudah lenyap. Kami sudah ditinggalkan.” (Yeh. 37:11; Yer. 34:20) Tetapi Yehuwa menunjukkan bahawa penglihatan itu mengandungi harapan yang cerah bagi orang Israel.

7. Berdasarkan Yehezkiel 37:12-14, apakah yang ingin disampaikan oleh Yehuwa? Apakah perasaan para tawanan selepas itu?

7 Baca Yehezkiel 37:12-14. Melalui penglihatan itu, Yehuwa meyakinkan para tawanan bahawa mereka akan “hidup semula.” Mereka akan pulang ke tanah air mereka dan menetap di sana. Selain itu, Yehuwa memanggil mereka sebagai “umat-Ku.” Sudah pasti para tawanan yang tawar hati berasa sangat digalakkan oleh kata-kata-Nya. Mengapakah mereka dapat percaya bahawa keadaan mereka akan dipulihkan? Kerana Yehuwa sendiri yang telah mengucapkan janji itu. Dia berkata, “Aku, Yehuwa, telah berfirman, dan Aku telah melaksanakannya.”

8. (a) Bagaimanakah keadaan “seluruh bangsa Israel” menjadi seperti tulang-tulang yang tidak bernyawa? (b) Berdasarkan Yehezkiel 37:9, apakah punca “kematian” bangsa Israel? (Lihat nota kaki.)

8 Bagaimanakah keadaan bangsa Israel menjadi seperti tulang-tulang yang tidak bernyawa itu? Pada 740 SM, kerajaan 10 suku Israel di utara telah ditumpaskan dan penduduknya dibuang negeri. Itulah masanya bangsa Israel mula mati secara kiasan. Kira-kira 130 tahun kemudian, orang Yehuda juga dibuang negeri. Maka pada masa itu, “seluruh bangsa Israel” telah ditawan. (Yeh. 37:11) Seperti yang dilihat Yehezkiel, keadaan mereka memang seperti tulang-tulang yang tidak bernyawa. * Ingatlah bahawa tulang-tulang yang dilihat Yehezkiel juga “sangat kering.” Hal ini menunjukkan bahawa keadaan mereka itu telah berlanjutan untuk masa yang lama. Secara keseluruhan, kerajaan Israel dan Yehuda mati secara kiasan selama lebih daripada 200 tahun, iaitu sejak tahun 740 SM hingga 537 SM.​—Yer. 50:33.

9. Apakah persamaan antara bangsa Israel kuno dengan “Israel milik Tuhan”?

9 Sebenarnya, nubuat mengenai pemulihan Israel akan menjadi kenyataan dalam skala yang lebih besar. (Kis. 3:21) Sepertimana bangsa Israel kuno telah “dibunuh” dan mati secara kiasan untuk suatu jangka masa yang lama, “Israel milik Tuhan,” iaitu sidang Kristian yang terurap, juga ditawan dan seolah-olah mati secara kiasan buat masa yang lama. (Gal. 6:16) Dalam bab yang sebelumnya, kita belajar tentang perumpamaan lalang dan gandum, dan bahawa sidang Kristian telah ditawan sejak abad kedua Masihi. (Mat. 13:24-30) Memandangkan hal itu berlanjutan selama berabad-abad, keadaan mereka memang sesuai digambarkan seperti tulang-tulang yang “sangat kering.”​—Yeh. 37:2.

Tulang-tulang yang “sangat kering” menunjukkan bahawa sidang Kristian yang terurap ditawan dan seolah-olah mati buat masa yang lama (Lihat perenggan 8, 9)

“Tulang-Tulang Itu Mula Bersambung”

10. (a) Apakah yang dinubuatkan di Yehezkiel 37:7, 8? (b) Apakah yang meneguhkan keyakinan para tawanan yang setia terhadap janji Tuhan?

10 Pada zaman Yehezkiel, Yehuwa menubuatkan bahawa umat-Nya akan dipulihkan dan dihidupkan semula secara bertahap. (Yeh. 37:7, 8) Apakah yang membantu para tawanan yang setia untuk percaya bahawa mereka akan kembali ke Israel? Salah satu perkara yang meneguhkan keyakinan mereka ialah nubuat para nabi. Contohnya, Nabi Yesaya telah bernubuat bahawa sebilangan tawanan, atau “keturunan yang suci,” akan kembali ke Yerusalem. (Yes. 6:13; Ayb. 14:7-9) Nubuat-nubuat Yehezkiel juga telah menyemarakkan harapan mereka. Bukan itu sahaja, para tawanan pasti digalakkan apabila melihat orang lain yang setia, seperti Nabi Daniel. Selain itu, kejatuhan Babilon pada 539 SM sudah tentu meneguhkan keyakinan para tawanan bahawa harapan mereka akan menjadi kenyataan.

11, 12. (a) Bagaimanakah “Israel milik Tuhan” dipulihkan secara bertahap? (Lihat juga kotak “Ibadat Sejati Dipulihkan Secara Bertahap.”) (b) Apakah soalan yang timbul setelah membaca Yehezkiel 37:10?

11 Bagaimanakah “Israel milik Tuhan,” iaitu sidang Kristian yang terurap, juga dipulihkan secara bertahap? Selepas ditawan selama berabad-abad, “bunyi derak-derik” mula kedengaran apabila orang yang berhati jujur mempertahankan ibadat sejati. Contohnya, pada abad ke-16, William Tyndale telah menterjemahkan Bible ke dalam bahasa Inggeris. Hal ini membangkitkan kemarahan pemimpin gereja Katolik kerana orang biasa kini dapat membaca Bible. Akibatnya, William Tyndale telah dibunuh. Walaupun demikian, terdapat orang lain yang dengan berani terus menterjemahkan Bible ke dalam pelbagai bahasa. Hasilnya, cahaya rohani mula bersinar.

12 Kemudian, Charles T. Russell dan sahabat-sahabatnya berusaha untuk mencari dan menerapkan kebenaran Bible, dan hal itu disamakan dengan tulang-tulang yang mula “berurat dan berdaging.” Mereka juga membantu orang lain memahami kebenaran melalui majalah Zion’s Watch Tower dan bahan bacaan lain. Hasilnya, orang yang rendah hati dapat menyertai kaum terurap untuk menyembah Yehuwa. Pada awal 1900-an, “Drama-Foto Penciptaan” ditayangkan dan buku The Finished Mystery diterbitkan. Semua ini telah menguatkan iman kaum terurap. Tidak lama selepas itu, tibalah masanya untuk Tuhan membantu umat-Nya “berdiri” semula. (Yeh. 37:10) Bilakah dan bagaimanakah hal itu berlaku? Peristiwa yang terjadi di Babilon kuno akan membantu kita menjawab soalan ini.

“Mereka Mula Hidup dan Berdiri”

13. (a) Bagaimanakah nubuat di Yehezkiel 37:10, 14 menjadi kenyataan bermula tahun 537 SM? (b) Apakah ayat-ayat Bible yang menunjukkan bahawa keturunan umat Tuhan daripada kerajaan 10 suku Israel telah kembali ke tanah air mereka?

13 Bermula tahun 537 SM, orang Yahudi di Babilon melihat nubuat Yehezkiel menjadi kenyataan. Yehuwa telah membuat mereka hidup dan “berdiri” semula dengan membebaskan mereka dan membawa mereka kembali ke Israel. Sejumlah 42,360 orang Yahudi dan sekitar 7,000 orang bukan Yahudi telah meninggalkan Babilon untuk membina semula Yerusalem dan Rumah Tuhan lalu menetap di sana. (Ezr. 1:1-4; 2:64, 65; Yeh. 37:14) Kira-kira 70 tahun kemudian, sekitar 1,750 tawanan telah kembali ke Yerusalem bersama Ezra. (Ezr. 8:1-20) Maka, lebih daripada 44,000 orang Yahudi telah kembali, dan mereka “seperti sebuah pasukan tentera yang sangat besar.” (Yeh. 37:10) Selain itu, umat Tuhan daripada kerajaan 10 suku Israel (yang nenek moyang mereka ditawan oleh Assyria pada abad kelapan Sebelum Masihi) telah kembali untuk membina semula Rumah Tuhan.​—1 Taw. 9:3; Ezr. 6:17; Yer. 33:7; Yeh. 36:10.

14. (a) Bagaimanakah Yehezkiel 37:24 membantu kita mengetahui bila nubuat pemulihan menjadi kenyataan lagi? (b) Apakah yang berlaku pada 1919? (Lihat juga kotak “‘Tulang-Tulang Kering’ dan ‘Dua Orang Saksi’​—Apakah Kaitannya?”)

14 Bagaimanakah nubuat ini menjadi kenyataan dalam skala yang lebih besar? Seperti yang ditunjukkan kepada Yehezkiel dalam nubuat yang lain, nubuat pemulihan ini akan menjadi kenyataan lagi selepas Yesus, iaitu Daud yang lebih agung, mula memerintah. * (Yeh. 37:24) Pada 1919, Yehuwa memberikan kuasa-Nya kepada umat-Nya lalu mereka “hidup semula” dan dibebaskan daripada Babilon Besar. (Yes. 66:8) Selepas itu, mereka dapat menetap di “negeri” mereka, iaitu firdaus rohani. Namun, bagaimanakah umat Tuhan pada zaman moden menjadi “seperti sebuah pasukan tentera yang sangat besar”?

15, 16. (a) Bagaimanakah umat Tuhan pada zaman moden menjadi “sebuah pasukan tentera yang sangat besar”? (b) Bagaimanakah nubuat Yehezkiel ini membantu kita menghadapi cabaran hidup? (Lihat kotak “Bantuan agar Kita Bangkit Semula.”)

15 Tidak lama selepas Yesus melantik hamba yang setia pada 1919, umat Tuhan melihat nubuat Zakharia menjadi kenyataan. Nabi Zakharia yang berkhidmat dalam kalangan tawanan yang telah kembali berkata, ‘Banyak orang dan banyak bangsa yang kuat akan datang untuk mencari Yehuwa.’ Orang yang mencari Yehuwa digambarkan sebagai “10 orang daripada semua bangsa dan bahasa.” Mereka akan memegang jubah “seorang Yahudi” (Israel rohani) dengan erat sambil berkata, “Kami hendak pergi bersama-samamu, kerana kami sudah mendengar bahawa Tuhan menyertai kamu.”​—Za. 8:20-23.

16 Sekarang, terdapat jutaan orang yang menganggotai “pasukan tentera yang sangat besar” ini. (Yeh. 37:10) Mereka terdiri daripada Israel rohani (kaum terurap yang masih ada di bumi), dan juga merangkumi “10 orang” itu (biri-biri lain). Sebagai askar Kristus, kita berkhidmat dalam pasukan tentera yang semakin membesar. Kita bertekad untuk mengikut jejak Raja Yesus seraya dia memimpin kita untuk meraih berkat yang melimpah pada masa depan.​—Mzm. 37:29; Yeh. 37:24; Flp. 2:25; 1 Tes. 4:16, 17.

17. Apakah yang akan kita bincangkan dalam bab yang seterusnya?

17 Sebenarnya, umat Tuhan mempunyai tanggungjawab yang penting dalam pemulihan ibadat sejati. Apakah tanggungjawab itu? Untuk mengetahui jawapannya, kita perlu mengkaji tugasan yang diberikan oleh Yehuwa kepada Yehezkiel sebelum Yerusalem dimusnahkan. Kita akan membincangkannya dalam bab yang seterusnya.

^ per. 8 Tulang-tulang dalam penglihatan Yehezkiel merupakan tulang “orang yang telah dibunuh,” dan bukannya orang yang mati kerana sakit atau tua. (Yeh. 37:9) “Seluruh bangsa Israel” seolah-olah “dibunuh” apabila kerajaan 10 suku Israel dan kerajaan 2 suku Yehuda ditumpaskan, dan penduduknya dibawa sebagai tawanan oleh orang Assyria dan Babilon.

^ per. 14 Nubuat Mesias ini telah dibincangkan dalam Bab 8 buku ini.