Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Ringkasan Pemahaman yang Dikemaskinikan

Ringkasan Pemahaman yang Dikemaskinikan

Pemahaman tentang beberapa nubuat Yehezkiel telah dikemaskinikan dan maklumat itu ada dalam majalah Menara Pengawal. Selain itu, buku ini mengandungi maklumat tambahan tentang pemahaman yang dikemaskinikan. Dapatkah anda menjawab soalan-soalan berikut?

Apakah yang digambarkan oleh empat muka makhluk-makhluk hidup?

Pemahaman lama: Setiap muka makhluk hidup, atau kerub, melambangkan salah satu daripada empat sifat utama Yehuwa.

Pemahaman baharu: Walaupun setiap muka makhluk hidup itu melambangkan salah satu daripada empat sifat utama Yehuwa, empat muka makhluk-makhluk itu secara keseluruhan menggambarkan semua sifat yang dimiliki Yehuwa. Keempat-empat muka makhluk itu juga mengingatkan kita tentang kuasa dan kemuliaan Yehuwa yang tidak terhingga.

Sebab pemahaman ini dikemaskinikan: Dalam Bible, angka empat sering digunakan untuk menggambarkan sesuatu yang lengkap atau merangkumi semuanya. Maka, empat muka makhluk-makhluk itu secara keseluruhan tidak hanya merujuk kepada empat sifat Yehuwa, sebaliknya merupakan asas sifat-sifat Yehuwa yang mulia. Selain itu, setiap muka makhluk itu mencerminkan sifat-sifat seperti keagungan, kuasa, dan keperkasaan. Penglihatan ini juga menunjukkan bahawa empat makhluk hidup itu berada di bawah takhta Yehuwa. Jelaslah Yehuwa ialah Pemerintah Alam Semesta Yang Berdaulat dan Dia berkuasa atas semua ciptaan-Nya.

Siapakah yang digambarkan oleh lelaki yang membawa bekas alat tulis?

Pemahaman lama: Lelaki yang membawa bekas alat tulis melambangkan kaum terurap yang masih hidup di bumi. Melalui kerja penyebaran, kaum terurap seolah-olah membubuh tanda pada dahi orang yang menjadi sebahagian daripada “kumpulan besar manusia.”​—Why. 7:9.

Pemahaman baharu: Lelaki yang membawa bekas alat tulis melambangkan Yesus Kristus. Dia akan membubuh tanda pada dahi orang yang akan diselamatkan. Kumpulan besar manusia akan memiliki tanda ini apabila dihakimi sebagai biri-biri semasa “kesengsaraan besar.”​—Mat. 24:21.

Sebab pemahaman ini dikemaskinikan: Yehuwa melantik Anak-Nya sebagai hakim. (Yoh. 5:22, 23) Menurut Matius 25:31-33, Yesus akan menghakimi orang sebagai biri-biri atau kambing.

Adakah Ohola dan Oholiba, iaitu adik-beradik yang merupakan pelacur, melambangkan agama Kristian palsu, terutamanya aliran Katolik dan Protestan?

Pemahaman lama: Yang kakak bernama Ohola (Samaria, ibu kota Israel), dan dia menggambarkan aliran Katolik. Adiknya Oholiba (Yerusalem, ibu kota Yehuda) menggambarkan aliran Protestan.

Pemahaman baharu: Ohola dan Oholiba tidak melambangkan agama Kristian palsu. Kisah pelacur-pelacur ini mengajar kita tentang perasaan Yehuwa terhadap umat-Nya yang melakukan pelacuran rohani. Demikian juga perasaan-Nya terhadap semua agama palsu.

Sebab pemahaman ini dikemaskinikan: Bible tidak menunjukkan bahawa Ohola dan Oholiba melambangkan agama Kristian palsu. Bangsa Israel dan bangsa Yehuda yang setia pernah digambarkan sebagai isteri Yehuwa, tetapi agama Kristian palsu tidak pernah digambarkan sebagai isteri Yehuwa. Selain itu, Yehezkiel bab 16 dan 23 menyingkapkan harapan bahawa Yehuwa akan memulihkan umat-Nya. Tetapi agama Kristian palsu yang merupakan sebahagian daripada Babilon Besar langsung tidak mempunyai harapan.

Adakah Yerusalem kuno yang murtad melambangkan agama Kristian palsu?

Pemahaman lama: Yerusalem yang murtad menggambarkan agama Kristian palsu. Maka, pembinasaan Yerusalem menggambarkan pembinasaan agama Kristian palsu.

Pemahaman baharu: Semasa kemurtadan menular di Yerusalem, penduduknya menyembah berhala dan melakukan kejahatan. Walaupun hal ini mengingatkan kita tentang apa yang berlaku dalam agama Kristian palsu, kita sedar bahawa Yerusalem yang murtad tidak melambangkan agama Kristian palsu.

Sebab pemahaman ini dikemaskinikan: Tiada apa-apa bukti daripada Bible yang menunjukkan bahawa Yerusalem yang murtad melambangkan agama Kristian palsu. Yerusalem pernah menjalankan ibadat sejati dan pernah mendapat pengampunan Yehuwa. Tetapi agama Kristian palsu tidak pernah menjalankan ibadat sejati dan tidak akan diampuni Yehuwa.

Bagaimanakah nubuat tentang tulang-tulang kering menjadi kenyataan?

Pemahaman lama: Pada 1918, orang terurap ditawan oleh Babilon Besar. Kerja mereka tergendala dan mereka telah mati secara kiasan. Mereka dibebaskan tidak lama kemudian pada 1919. Pada masa itu, Yehuwa memulihkan mereka dan “membangkitkan” mereka untuk melakukan kerja penyebaran.

Pemahaman baharu: Umat Tuhan mati secara kiasan untuk suatu jangka masa yang sangat panjang. Hal itu bermula lama sebelum tahun 1918. Sebenarnya, mereka telah mati secara kiasan sejak abad kedua Masihi dan “hidup semula” pada 1919. Jangka waktu ini adalah sama dengan jangka waktu lalang dan gandum yang dibiarkan untuk tumbuh bersama dalam perumpamaan Yesus.

Sebab pemahaman ini dikemaskinikan: Orang Israel kuno telah ditawan untuk masa yang lama, iaitu sejak tahun 740 SM hingga 537 SM. Tulang-tulang yang dilihat Yehezkiel dikatakan “kering” atau “sangat kering.” Hal ini menunjukkan bahawa mereka sudah lama mati. Nubuat Yehezkiel juga menunjukkan bahawa tulang-tulang itu akan dipulihkan dan dihidupkan semula secara bertahap. Semua ini memerlukan masa.

Apakah maksud dua batang kayu yang digabungkan menjadi satu?

Pemahaman lama: Semasa Perang Dunia Pertama, perpecahan telah berlaku dalam kalangan kaum terurap. Pada 1919, mereka yang setia disatukan semula.

Pemahaman baharu: Nubuat ini menegaskan bahawa Yehuwa yang akan menyatukan semula umat-Nya. Kaum terurap telah disatukan dengan umat Tuhan yang mempunyai harapan untuk hidup di bumi. Hal ini telah berlaku selepas 1919. Maka, kedua-dua kumpulan ini menyembah Yehuwa sebagai satu kawanan.

Sebab pemahaman ini dikemaskinikan: Nubuat ini tidak menggambarkan sebatang kayu yang dipatahkan menjadi dua lalu digabungkan menjadi satu. Maka nubuat ini tidak bertumpu kepada bagaimana sekumpulan orang berpecah menjadi dua lalu disatukan semula. Sebaliknya, nubuat ini menggambarkan bagaimana dua kumpulan orang telah disatukan.

Siapakah Gog dari Magog?

Pemahaman lama: Gog dari Magog merujuk kepada Syaitan selepas dia dibuang dari syurga.

Pemahaman baharu: Gog dari Magog merujuk kepada bangsa-bangsa bersekutu yang akan menyerang umat Tuhan semasa kesengsaraan besar.

Sebab pemahaman ini dikemaskinikan: Bible menyingkapkan bahawa Gog dibiarkan untuk menjadi makanan bagi burung pemangsa. Dia juga akan diberi tempat perkuburan di bumi. Maka, Gog bukan suatu makhluk roh. Selain itu, serangan Gog adalah mirip dengan serangan yang dilancarkan oleh bangsa-bangsa di bumi terhadap umat Tuhan, seperti yang disebutkan dalam buku Daniel dan Wahyu.—Dan. 11:40, 44, 45; Why. 17:14; 19:19.

Adakah Yehezkiel melihat Rumah Rohani Tuhan yang disebutkan oleh Paulus?

Pemahaman lama: Rumah Tuhan dalam penglihatan Yehezkiel adalah sama dengan Rumah Rohani Tuhan yang disebutkan oleh Rasul Paulus.

Pemahaman baharu: Yehezkiel tidak melihat Rumah Rohani Tuhan yang diasaskan pada 29 M. Penglihatan Yehezkiel menunjukkan bagaimana tawanan Yahudi yang dibebaskan harus menjalankan ibadat sejati selaras dengan Hukum Musa. Catatan Paulus tentang Rumah Rohani Tuhan bertumpu kepada kerja yang dilakukan Yesus sebagai Imam Agung dari 29 M hingga 33 M. Tetapi, nubuat Yehezkiel tidak menyebut tentang imam agung, sebaliknya bertumpu kepada pemulihan rohani yang telah bermula pada 1919. Semasa mengkaji nubuat ini, kita mahu berusaha mencari pengajaran tentang piawaian Yehuwa bagi ibadat sejati dan bukannya apa yang dilambangkan oleh setiap butiran dan ukuran Rumah Tuhan.

Sebab pemahaman ini dikemaskinikan: Rumah Tuhan dalam penglihatan Yehezkiel mempunyai perbezaan yang besar dengan Rumah Rohani Tuhan. Contohnya, Yehezkiel menyebut tentang banyak korban binatang yang dipersembahkan di Rumah Tuhan. Tetapi di Rumah Rohani Tuhan, hanya satu korban yang dipersembahkan “sekali untuk selama-lamanya.” (Ibr. 9:11, 12) Yehezkiel mendapat penglihatan ini ratusan tahun sebelum Yesus datang ke bumi. Pada masa itu, belum tiba masanya bagi Yehuwa untuk menyingkapkan kebenaran tentang Rumah Rohani-Nya.