Sepucuk Surat daripada Badan Pimpinan
Saudara Saudari yang Mengasihi Yehuwa,
Pada tahun 1971, para hadirin di Perhimpunan Distrik “Nama Ilahi” telah menerima beberapa bahan bacaan. Bagi mereka, buku-buku itu “jauh lebih baik daripada apa yang dijangka.” Mengenai salah sebuah buku itu, seorang saudara berkata, “Kami sangat teruja. Buku ini menjelaskan apa yang akan berlaku pada masa depan. Kami tidak pernah mendapat buku seperti ini!” Dia sedang merujuk kepada buku “Akulah Yehuwa” (“The Nations Shall Know That I Am Jehovah”—How?). Apakah yang membuat buku itu sangat menarik? Buku itu mengandungi penjelasan yang dikemaskinikan tentang nubuat Yehezkiel yang mempengaruhi masa depan umat manusia.
Semasa buku itu dikeluarkan, jumlah Saksi ialah sekitar 1.5 juta orang. Tetapi kini terdapat lebih daripada 8 juta orang Saksi yang menuturkan lebih daripada 900 bahasa yang berbeza. (Yes. 60:22; Za. 8:23) Ramai antara mereka belum pernah mempelajari buku yang menjelaskan nubuat-nubuat Yehezkiel secara terperinci.
Selain itu, seperti cahaya yang kian lama kian terang, pemahaman kita tentang banyak kebenaran Bible juga menjadi semakin jelas sejak tahun 1971. (Ams. 4:18) Pada tahun 1985, kita lebih memahami bagaimana “biri-biri lain” juga diperkenankan Tuhan. (Yoh. 10:16; Rm. 5:18; Yak. 2:23) Kemudian pada tahun 1995, kita memahami bahawa penghakiman terakhir “biri-biri” dan “kambing” akan berlaku semasa “kesengsaraan besar.” (Mat. 24:21; 25:31, 32) Semua hal ini mempengaruhi pemahaman kita tentang nubuat-nubuat dalam buku Yehezkiel.
“Anak manusia, lihatlah dengan teliti, dengarlah baik-baik, dan perhatikanlah segala yang akan aku tunjukkan kepadamu, kerana itulah sebabnya engkau dibawa ke sini.”—YEHEZKIEL 40:4
Sejak kebelakangan ini, kita juga lebih memahami sesetengah perumpamaan Yesus. Beberapa perumpamaan yang disebut oleh Yesus merujuk kepada peristiwa-peristiwa yang akan berlaku tidak lama lagi semasa kesengsaraan besar. Begitu juga, kita lebih memahami nubuat-nubuat dalam buku Yehezkiel, contohnya nubuat tentang Gog dari Magog (bab 38 dan 39), lelaki yang membawa bekas alat tulis (bab 9), tulang-tulang kering yang bertaburan di dataran (bab 37), dan dua batang kayu yang digabungkan (bab 37). Jadi maklumat dalam buku yang dikeluarkan pada tahun 1971 harus dikemaskinikan.
Maka tidak hairanlah ramai penyembah Yehuwa bertanya, “Bilakah kita akan mendapat buku baharu yang menjelaskan nubuat dalam buku Yehezkiel?” Inilah buku yang dinanti-nantikan itu! Tajuknya Ibadat Sejati kepada Yehuwa Akhirnya Dipulihkan! Buku ini mengandungi 22 bab dan terdapat banyak gambar yang menarik. Anda pasti akan kagum dengan penyelidikan yang dilakukan untuk menyediakan buku ini. Kami telah membuat perenungan dengan mendalam dan berdoa dengan bersungguh-sungguh untuk mengetahui tujuan Yehuwa mengilhami penulisan buku Yehezkiel. Soalan-soalan berikut akan dijawab dalam buku ini: Apakah pengajaran daripada buku Yehezkiel bagi orang yang hidup pada zamannya dan juga bagi kita pada hari ini? Apakah nubuat yang akan menjadi kenyataan pada masa
depan? Adakah nubuat Yehezkiel selalunya mengandungi maksud tersirat yang melambangkan atau menggambarkan sesuatu? Jawapan kepada soalan-soalan ini akan membantu kita lebih menikmati buku Yehezkiel dan memahami nubuatnya dengan lebih mendalam.Semasa membaca buku Yehezkiel, anda pasti takjub dengan bahagian organisasi Yehuwa di syurga. Anda juga akan sedar bahawa Yehuwa menetapkan piawaian yang tinggi bagi penyembah-Nya di syurga dan di bumi. Buku Ibadat Sejati akan memperdalam penghargaan anda terhadap apa yang telah dilakukan Yehuwa bagi umat-Nya dan apa yang bakal dilakukan-Nya. Buku ini berulang kali menekankan dua tema utama. Pertama, untuk menyenangkan hati Yehuwa, kita harus mengenali dan mengakui-Nya sebagai Pemerintah Alam Semesta Yang Berdaulat. Kedua, kita harus menyembah Yehuwa dalam cara yang diterima-Nya dan menyelaraskan hidup kita menurut piawaian-Nya yang luhur.
Kami berharap agar buku ini akan menguatkan tekad anda untuk menyembah Yehuwa dan memuliakan nama-Nya yang suci. Selain itu, teruslah menantikan masanya apabila semua bangsa tahu siapa sebenarnya Yehuwa.—Yeh. 36:23; 38:23.
Semoga Yehuwa, Bapa kita yang pengasih, memberkati usaha anda untuk memahami buku Yehezkiel yang diilhami-Nya.
Saudara-saudara anda,
Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa