Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 18

“Aku Akan Melampiaskan Kemarahan-Ku yang Dahsyat”

“Aku Akan Melampiaskan Kemarahan-Ku yang Dahsyat”

YEHEZKIEL 38:18

ISI UTAMA: Serangan Gog membangkitkan kemarahan Yehuwa; Tuhan melindungi umat-Nya semasa perang Armagedon

1-3. (a) ‘Kemarahan Yehuwa yang dahsyat’ akan mengakibatkan apa? (Lihat gambar pada permulaan bab.) (b) Apakah yang akan kita kaji sekarang?

BEBERAPA ahli sidang sedang berkumpul bersama. Mereka menyanyikan lagu pujian dan berdoa memohon perlindungan Yehuwa. Mereka tahu Yehuwa akan menjaga mereka. Namun, mereka masih perlu dilegakan dan diyakinkan kerana keadaan di luar sangat menggemparkan. Ya, perang Armagedon telah bermula!​—Why. 16:14, 16.

2 Semasa perang itu, Yehuwa akan membinasakan orang dengan ‘kemarahan yang dahsyat.’ (Baca Yehezkiel 38:18.) Kemarahan-Nya tidak hanya ditujukan kepada sepasukan askar atau sebuah kerajaan. Bible menyatakan bahawa “mayat orang yang dibunuh oleh Yehuwa akan bergelimpangan dari satu hujung bumi ke hujung bumi yang lain.”​—Yer. 25:29, 33.

3 Mengapakah Tuhan kita yang pengasih, “berbelas kasihan,” dan “tidak cepat murka” bertindak dengan begitu marah? (Kel. 34:6; 1 Yoh. 4:16) Mari kita kaji hal itu kerana jawapannya akan melegakan kita, membantu kita menjadi berani, dan menggalakkan kita untuk terus menginjil.

Apakah yang Membangkitkan Kemarahan Yehuwa?

4, 5. Apakah perbezaan antara kemarahan Tuhan dengan kemarahan manusia?

4 Apabila Yehuwa murka, Dia tidak seperti manusia yang dikuasai kemarahan sehingga bertindak dengan melulu. Contohnya, Kain “berasa marah” kerana Yehuwa menerima persembahan Habel tetapi menolak pemberiannya. Apakah yang berlaku selepas itu? Kemarahannya mula membara sehingga dia membunuh adiknya. (Kej. 4:3-8; Ibr. 11:4) Daud ialah seorang lelaki yang baik di mata Tuhan. (Kis. 13:22) Tetapi, dia hampir melakukan dosa yang serius apabila Nabal menghina dia dan askar-askarnya. Kemarahan mendidih dalam hati Daud sehingga dia dan askar-askarnya ingin membunuh Nabal dan semua lelaki di rumah tangganya. Syukurlah isteri Nabal, iaitu Abigail, telah merayu kepada Daud agar tidak membalas dendam. (1 Sam. 25:9-14, 32, 33) Ya, kemarahan manusia sering membawa akibat buruk. Itulah sebabnya Yehuwa mengilhami Yakobus untuk menulis, “Seseorang yang dikuasai kemarahan tidak dapat melakukan apa yang benar di mata Tuhan.”​—Yak. 1:20.

Kemarahan Yehuwa sentiasa terkawal dan didorong oleh sebab yang munasabah

5 Yehuwa bukan hanya dapat mengawal kemarahan-Nya, tetapi Dia juga sentiasa bertindak dengan adil. Dia tidak pernah membinasakan “orang yang baik bersama-sama orang yang jahat.” (Kej. 18:22-25) Tambahan lagi, kemarahan Yehuwa selalu didorong oleh sebab yang munasabah. Kita dapat melihat dengan jelas apa yang membangkitkan kemurkaan-Nya. Sekarang, kita akan lihat dua perkara yang menyebabkan Yehuwa menjadi murka dan pengajarannya bagi kita.

6. Apakah reaksi Yehuwa apabila nama-Nya dicela?

6 Sebabnya: Nama Yehuwa dicela. Apabila orang yang mengaku diri mewakili Yehuwa berbuat jahat, mereka mengaibkan nama-Nya dan membangkitkan kemarahan-Nya. (Yeh. 36:23) Dalam bab-bab yang sebelumnya, kita belajar bahawa perbuatan dan sikap bangsa Israel telah mencela nama Yehuwa. Sudah pasti hal ini menyebabkan Yehuwa naik marah! Walaupun begitu, Dia tidak pernah hilang kawalan semasa menghukum umat-Nya. Apabila Dia mendisiplinkan mereka, Dia selalu melakukannya dengan saksama. (Yer. 30:11) Setelah hukuman-Nya mencapai tujuan-Nya, Dia tidak akan berasa marah lagi.​—Mzm. 103:9.

7, 8. Apakah yang kita pelajari melalui cara Yehuwa memperlakukan orang Israel?

7 Pengajarannya: Melalui cara Yehuwa memperlakukan orang Israel, apakah yang kita pelajari? Sebagai Saksi-Saksi Yehuwa, kita juga menyandang nama Tuhan. (Yes. 43:10) Pertuturan dan perbuatan kita dapat mempengaruhi pandangan orang terhadap Tuhan kita. Maka, kita tidak mahu sengaja berbuat dosa dan mengaibkan nama Yehuwa. Perbuatan sedemikian pasti akan membangkitkan kemarahan Tuhan dan Dia pasti akan bertindak untuk melindungi nama baik-Nya.​—Ibr. 3:13, 15; 2 Ptr. 2:1, 2.

8 Adakah hakikat bahawa Yehuwa dapat menjadi sangat murka membuat kita berasa takut dan menjauhi-Nya? Tidak. Sebaliknya, hal ini mendorong kita untuk memupuk perasaan hormat yang mendalam kepada-Nya. Kita sedar bahawa walaupun Tuhan sabar dan suka mengampuni, Dia tidak akan membiarkan perasaan-Nya mengelabui pertimbangan-Nya. (Yes. 55:7; Rm. 2:4) Jika seseorang terus berbuat dosa, Dia akan melampiaskan kemarahan-Nya dan menyingkirkan orang itu daripada kalangan umat-Nya. (1 Kor. 5:11-13) Memandangkan kita sudah tahu apa yang dibenci Yehuwa, kita dapat menghindari hal-hal yang membangkitkan kemarahan-Nya.​—Yoh. 3:36; Rm. 1:26-32; Yak. 4:8.

9, 10. Apakah yang dilakukan Yehuwa semasa umat-Nya diancam? Berikan contoh.

9 Sebabnya: Umat Yehuwa diancam. Yehuwa menjadi sangat marah semasa para musuh menyerang umat-Nya yang setia. Contohnya, selepas orang Israel meninggalkan Mesir, Firaun dan angkatan tenteranya mengubah fikiran lalu mengejar mereka. Para musuh berfikir bahawa umat Tuhan lemah dan mudah ditewaskan. Tetapi, ketika Firaun dan askarnya berada di tengah-tengah Laut Merah, Yehuwa menyebabkan roda kereta kuda mereka tercabut dan membiarkan air laut menenggelamkan mereka. Bible berkata, “Tiada seorang pun antara mereka yang terselamat.” (Kel. 14:25-28) Kerana ‘kasih-Nya yang setia’ terhadap umat-Nya, Yehuwa terdorong untuk melampiaskan kemarahan-Nya dan menghukum orang Mesir.​—Baca Keluaran 15:9-13.

Seperti pada zaman Hizkia, malaikat Yehuwa juga akan melindungi kita (Lihat perenggan 10, 23)

10 Pada zaman Raja Hizkia, Yehuwa juga menunjukkan kasih-Nya dengan menghukum orang Assyria. Askar Assyria yang kejam dan perkasa ingin mengepung kota Yerusalem. Jika hal itu berlaku, umat Tuhan pasti mengalami akhir yang sangat dahsyat. (2 Raj. 18:27) Maka, Yehuwa mengutus malaikat-Nya untuk membinasakan 185,000 orang askar Assyria dalam satu malam! (2 Raj. 19:34, 35) Bayangkanlah keadaan di perkhemahan Assyria pada keesokan pagi! Mayat askar-askar bergelimpangan di merata tempat. Tombak, perisai, dan pedang mereka pun tidak disentuh. Bunyi trompet tidak kedengaran dan seluruh kawasan itu sunyi sepi.

11. Mengapakah contoh-contoh Bible memberi kita kelegaan dan membantu kita menjadi berani?

11 Pengajarannya: Contoh-contoh itu menunjukkan bagaimana Yehuwa akan bertindak apabila umat-Nya yang setia diancam musuh. Bible menyatakan, ‘Alangkah ngerinya jika seseorang jatuh ke dalam tangan Tuhan yang hidup!’ (Ibr. 10:31) Kisah-kisah Bible itu melegakan kita dan membantu kita menjadi berani. Mengapa? Kerana kita yakin bahawa segala ancaman Syaitan pasti tidak akan berjaya, dan musuh kita itu akan dilenyapkan tidak lama lagi. (Why. 12:12) Sebenarnya, tiada individu, organisasi, atau kerajaan yang dapat menghalang kita daripada menyembah Tuhan. (Baca Mazmur 118:6-9.) Maka, kita dapat terus melakukan kehendak-Nya dengan berani dan berkata, “Jika Tuhan berpihak kepada kita, siapakah yang dapat melawan kita?”​—Rm. 8:31.

12. Apakah yang mendorong Yehuwa untuk melampiaskan kemarahan-Nya semasa kesengsaraan besar?

12 Semasa kesengsaraan besar, Yehuwa akan melindungi kita sepertimana Dia telah melindungi umat-Nya daripada askar Mesir dan Assyria. Kasih-Nya terhadap kita akan mendorong-Nya untuk melampiaskan kemarahan-Nya terhadap musuh-musuh kita. Mereka yang berani menyerang kita seolah-olah sedang menyentuh biji mata Yehuwa. Maka, Yehuwa akan bertindak dengan cepat untuk memusnahkan mereka. (Za. 2:8, 9) Pembinasaan yang menimpa musuh Tuhan pasti sangat teruk! Tetapi, mereka tidak patut berasa hairan apabila Yehuwa menjatuhkan hukuman terhadap mereka. Mengapa?

Apakah Amaran yang Telah Diberikan oleh Yehuwa?

13. Apakah amaran yang telah diberikan oleh Yehuwa?

13 Yehuwa ialah “Tuhan yang tidak cepat murka.” Dia selalu memberikan amaran sebelum memusnahkan orang yang menentang-Nya dan mengancam umat-Nya. (Kel. 34:6, 7) Misalnya, Yehuwa menggunakan Yeremia, Yehezkiel, Daniel, Yesus, Petrus, Paulus, dan Yohanes untuk menyampaikan amaran tentang perang terbesar yang bakal tiba.​—Lihat kotak “Amaran Yehuwa tentang Perang yang Terbesar.”

14, 15. Apakah yang telah dilakukan Yehuwa, dan mengapa?

14 Yehuwa telah mengilhami orang untuk menulis amaran-amaran-Nya dalam Bible. Dia memastikan agar Bible menjadi buku yang paling banyak diterjemahkan dan diedarkan. Dia telah mengumpulkan sepasukan orang untuk membantu orang lain menghampiri-Nya. (Mzm. 110:3) Dia juga menggunakan mereka untuk mengisytiharkan bahawa ‘hari besar-Nya’ sudah dekat. (Zef. 1:14; Mzm. 2:10-12) Selain itu, Dia menggerakkan mereka untuk menterjemahkan bahan bacaan Bible ke dalam ratusan bahasa. Mereka meluangkan berjuta-juta jam setiap tahun untuk menyebarkan berita baik dan amaran yang terkandung dalam Bible.

15 Mengapakah Yehuwa melakukan semua hal itu? Bible menyatakan, “Dia tidak ingin seorang pun dibinasakan. Dia ingin agar semua orang berpeluang untuk bertaubat.” (2 Ptr. 3:9) Tidakkah kita berbesar hati untuk menyampaikan perkhabaran daripada Tuhan kita yang sabar dan pengasih? Namun, peluang untuk bertaubat tidak akan terbuka buat selama-lamanya.

Bilakah Yehuwa Akan ‘Melampiaskan Kemarahan-Nya’?

16, 17. Bagaimanakah Yehuwa tahu bila umat-Nya akan diserang?

16 Yehuwa sudah menetapkan waktu untuk perang Armagedon. Dia tahu bila serangan terhadap umat-Nya akan dilancarkan. (Mat. 24:36) Bagaimanakah Yehuwa tahu akan hal ini?

17 Seperti yang dibincangkan dalam bab sebelumnya, Yehuwa berfirman kepada Gog, “Aku akan memasang cangkuk pada rahangmu.” Ya, Yehuwa akan bertindak agar bangsa-bangsa tergerak untuk melancarkan serangan yang akan mencetuskan perang Armagedon. (Yeh. 38:4) Tetapi, perang itu tidak dimulakan oleh Yehuwa. Dia juga tidak memaksa bangsa-bangsa untuk menentang-Nya. Sebaliknya, Yehuwa dapat membaca hati musuh-Nya dan mengetahui niat jahat mereka. Dia tahu bahawa mereka pasti menyerang jika peluang muncul.​—Mzm. 94:11; Yes. 46:9, 10; Yer. 17:10.

18. Mengapakah manusia yang lemah ingin mencabar Tuhan Yang Maha Kuasa?

18 Memandangkan Yehuwa tidak memulakan perang itu, dan Dia tidak memaksa bangsa-bangsa untuk menentang-Nya, mengapakah manusia yang lemah ingin mencabar Tuhan Yang Maha Kuasa? Setelah bangsa-bangsa berjaya melenyapkan agama palsu, mereka mungkin menyangka bahawa Tuhan tidak wujud atau Dia tidak akan campur tangan dalam hal ehwal manusia. Mungkin ada juga yang berfikir bahawa jika Tuhan wujud, sudah pasti Dia akan mempertahankan agama-agama itu. Tetapi, mereka tidak sedar bahawa Tuhanlah yang menanam keinginan dalam hati mereka untuk membinasakan agama-agama yang mencela nama-Nya.​—Why. 17:16, 17.

19. Apakah yang mungkin berlaku selepas agama palsu dimusnahkan?

19 Selepas agama palsu dimusnahkan, Yehuwa mungkin mengutus umat-Nya untuk menyampaikan mesej penghakiman. Buku Wahyu menggambarkan mesej itu sebagai tulah hujan batu, dan berat setiap batu kira-kira 20 kg. (Why. 16:21) Barangkali, mesej itu adalah tentang pembinasaan yang bakal menimpa dunia politik dan perdagangan. Mesej yang dahsyat itu membuat musuh Tuhan berasa terseksa sehingga mula mengutuk-Nya. Mungkin sebab itulah mereka melancarkan serangan untuk membungkam umat Tuhan buat selama-lamanya. Mereka akan menyangka bahawa mereka dapat melenyapkan kita dengan mudah kerana kita nampaknya lemah dan tidak dilindungi. Tetapi mereka akan sedar bahawa sangkaan mereka salah sama sekali.

Bagaimanakah Yehuwa Akan ‘Melampiaskan Kemarahan-Nya’?

20, 21. Siapakah Gog, dan apakah yang akan berlaku kepadanya?

20 Bab 17 dalam buku ini menjelaskan bahawa “Gog dari tanah Magog” merujuk kepada bangsa-bangsa bersekutu yang menyerang kita. (Yeh. 38:2) Walaupun mereka nampaknya bersatu padu, ikatan mereka hanyalah seperti selembar benang yang senang diputuskan. Sebenarnya, mereka angkuh dan hanya berjuang demi kepentingan diri. Maka, tidaklah susah bagi Yehuwa untuk menyebabkan mereka “melawan satu sama lain.” (Yeh. 38:21) Tetapi, Yehuwa akan memastikan bangsa-bangsa tahu bahawa pembinasaan mereka akan datang daripada-Nya.

21 Sebelum dibinasakan, mereka akan melihat tanda Anak Manusia. (Mat. 24:30) Barangkali, hal itu merujuk kepada kuasa Yehuwa dan Yesus yang ditunjukkan dalam cara yang luar biasa. Sudah tentu para musuh akan gentar melihat kejadian itu. Yesus berkata, “Apabila orang menantikan apa yang bakal melanda seluruh bumi, mereka akan pengsan ketakutan.” (Luk. 21:25-27) Pada masa itu, barulah mereka sedar bahawa serangan mereka ialah tindakan yang bodoh. Mereka harus mengakui bahawa Yehuwalah Pencipta dan ketua angkatan syurga. (Mzm. 46:6-11; Yeh. 38:23) Ya, Yehuwa pasti menggunakan askar-askar-Nya di syurga dan kuasa alam untuk melindungi umat-Nya dan melenyapkan musuh-Nya.​—Baca 2 Petrus 2:9.

Apabila umat Tuhan diancam, Yehuwa akan menggunakan angkatan tentera-Nya di syurga untuk melampiaskan kemarahan-Nya (Lihat perenggan 21)

22, 23. Siapakah yang akan melindungi umat Tuhan, dan apakah perasaan mereka?

Setelah mengetahui tentang hari besar Yehuwa, apakah yang harus kita lakukan?

22 Sebagai Raja, Yesus akan memimpin angkatan tentera di syurga. Dia akan melawan para musuh dan melindungi umat Tuhan dengan semangat yang berkobar-kobar! Sebelum Armagedon bermula, kaum terurap yang masih berada di bumi akan dibawa ke syurga. Di sana, kesemua 144,000 orang terurap akan menyertai Yesus dalam perang Armagedon. (Why. 17:12-14) Sewaktu kaum terurap masih berada di bumi, mereka pasti telah menjalin persahabatan dengan biri-biri lain. Bayangkan perasaan mereka semasa berperang demi rakan-rakan mereka. Dengan kuasa yang diberikan Yehuwa, mereka akan mempertahankan sahabat mereka yang setia itu.​—Mat. 25:31-40.

23 Para malaikat juga merupakan sebahagian daripada angkatan tentera Yesus. (2 Tes. 1:7; Why. 19:14) Sebelum ini, mereka pernah membantu Yesus mengusir Syaitan dan roh-roh jahat dari syurga. (Why. 12:7-9) Mereka juga membantu dalam kerja mengumpulkan orang yang ingin menyembah Yehuwa. (Why. 14:6, 7) Sememangnya, para malaikat sangat bersukacita untuk melindungi umat Tuhan yang setia! Lebih penting lagi, seluruh angkatan tentera di syurga pasti berbesar hati kerana berpeluang untuk menyucikan nama Tuhan dan melenyapkan musuh-Nya.​—Mat. 6:9, 10.

24. Apakah reaksi umat Tuhan semasa perang Armagedon tercetus?

24 Perlukah umat Tuhan di bumi berasa takut semasa perang itu? Tidak! Pasukan tentera Yehuwa yang perkasa tidak sabar-sabar untuk melindungi mereka. Dengan yakin, umat Tuhan akan ‘berdiri tegak dan mengangkat kepala mereka kerana pembebasan mereka sudah dekat.’ (Luk. 21:28) Sebelum hari Yehuwa tiba, marilah kita membantu seramai orang yang mungkin untuk mengenali Bapa kita yang prihatin, berbelas kasihan, dan pengasih!​—Baca Zefanya 2:2, 3.

Semasa Armagedon, umat Yehuwa tidak perlu bertempur. Para malaikat akan melindungi mereka sementara musuh “melawan satu sama lain.”​—Yeh. 38:21 (Lihat perenggan 22-24)

25. Apakah yang akan kita bincangkan seterusnya?

25 Selalunya, perang manusia membawa perpecahan dan keperitan tetapi perang Armagedon akan membawa perpaduan dan sukacita. Apakah yang akan berlaku selepas perang Armagedon berakhir dan kemurkaan Yehuwa reda? Manusia akan menikmati masa depan yang indah. Dalam bab yang seterusnya, kita akan membincangkan hal itu.