Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 15

“Aku Akan Menghentikan Pelacuranmu”

“Aku Akan Menghentikan Pelacuranmu”

YEHEZKIEL 16:41

ISI UTAMA: Pengajaran daripada catatan tentang pelacur-pelacur dalam buku Yehezkiel dan Wahyu

1, 2. Mengapakah seorang wanita sengaja memilih untuk menjadi pelacur?

APAKAH perasaan kita apabila melihat seorang pelacur? Kita mungkin berasa sedih dan tertanya-tanya mengapa dia harus hidup seperti itu. Adakah kemiskinan memaksanya untuk menjual diri? Adakah dia pernah didera atau sedang melarikan diri daripada ahli keluarganya yang kejam? Sedihnya, hal-hal sebegini sudah menjadi suatu kebiasaan di dunia yang jahat ini. Maka, tidak hairanlah Yesus menunjukkan kebaikan hati kepada beberapa orang pelacur semasa dia berada di bumi. Dia juga mengajar bahawa mereka yang bertaubat dan mengubah haluan hidup akan memiliki masa depan yang cerah.​—Mat. 21:28-32; Luk. 7:36-50.

2 Namun sekarang, mari kita fikir tentang seorang pelacur yang lain. Wanita ini bukannya terpaksa hidup sebagai pelacur, sebaliknya dia sengaja memilih haluan hidup ini. Mengapa? Bagi dia, kerja ini tidak hina tetapi memberinya banyak kepuasan, keuntungan, dan kuasa! Lebih teruk lagi, bayangkan jika dia mempunyai seorang suami yang sangat baik hati dan setia. Tetapi dia sanggup mengkhianati suaminya dan melacurkan diri. Sudah pasti kita rasa muak dan jijik terhadapnya! Begitulah perasaan Yehuwa terhadap agama palsu. Maka, Dia sering menggambarkan mereka sebagai pelacur.

3. Apakah catatan yang akan kita bincang dalam bab ini?

3 Yehezkiel telah diilhami untuk menulis dua catatan tentang pelacur kiasan dalam Yehezkiel bab 16 dan 23. Pelacur-pelacur itu menggambarkan orang Israel dan Yehuda yang tidak setia. Tetapi, sebelum kita mendalami hal ini, mari kita bincang terlebih dahulu tentang pelacur yang disebutkan dalam buku Bible yang terakhir, iaitu buku Wahyu. Pelacur ini sudah wujud sebelum zaman Yehezkiel, bahkan sebelum bangsa Israel terbentuk, dan dia masih melacurkan diri sampai hari ini.

“Ibu kepada Pelacur-Pelacur”

4, 5. Apakah yang dilambangkan oleh “Babilon Besar,” dan bagaimanakah kita tahu? (Lihat gambar pada permulaan bab.)

4 Dalam suatu penglihatan di buku Wahyu, Rasul Yohanes melihat seorang wanita yang dipanggil “pelacur besar” dan “Babilon Besar, ibu kepada pelacur-pelacur.” (Why. 17:1, 5) Selama ratusan tahun, identiti pelacur ini merupakan suatu misteri bagi pemimpin agama dan pakar Bible. Ada yang mengatakan bahawa dia merujuk kepada Babilon, Roma, atau Gereja Roman Katolik. Namun, Saksi-Saksi Yehuwa sudah lama mengetahui siapa sebenarnya “pelacur besar” atau “Babilon Besar.” Dia melambangkan empayar agama palsu sedunia. Mengapakah kita berkata demikian?

5 Pelacur ini dikutuk kerana mengadakan hubungan dengan “raja-raja di bumi,” iaitu kuasa politik. Maka, dia tidak mungkin merujuk kepada kuasa politik. Bible juga menyatakan bahawa “para saudagar di bumi,” iaitu dunia perdagangan, dikatakan meratapi kematian Babilon Besar. Maka, Babilon Besar bukanlah organisasi perdagangan. Menurut buku Wahyu, pelacur ini terlibat dalam ‘amalan-amalan sihir,’ penyembahan berhala, dan tipu helah. Tidakkah semua perbuatan ini menggambarkan apa yang dilakukan oleh organisasi agama palsu? Selain itu, pelacur ini sedang menunggang seekor binatang buas yang melambangkan kuasa politik dunia. Hal ini menunjukkan bahawa dia mempunyai pengaruh atas dunia politik. Tambahan lagi, pelacur ini juga menganiaya hamba-hamba Tuhan. (Why. 17:2, 3; 18:11, 23, 24) Sememangnya, itulah yang dilakukan oleh agama palsu sejak dahulu sehingga hari ini.

Semua amalan, ajaran, dan organisasi agama palsu berasal dari Babel kuno, atau Babilon (Lihat perenggan 6)

6. Mengapakah Babilon Besar dipanggil “ibu kepada pelacur-pelacur”?

6 Mengapakah Babilon Besar bukan hanya dipanggil “pelacur besar” tetapi juga “ibu kepada pelacur-pelacur”? Agama palsu mempunyai banyak pecahan dan aliran yang berlainan. Selepas bahasa manusia dikelirukan di kota Babel kuno (atau Babilon), ajaran agama palsu tersebar ke seluruh bumi. Sebenarnya, nama “Babilon Besar” diambil daripada nama kota kuno itu. Nama ini memang sesuai kerana semua agama palsu berasal dari sana. (Kej. 11:1-9) Maka, semua agama palsu boleh digelar sebagai “anak-anak” seorang pelacur kerana mereka semua berasal daripada ibu, atau organisasi, yang sama. Syaitan selalu menggunakan agama palsu untuk menjerat orang agar terlibat dalam amalan sihir, penyembahan berhala, serta amalan dan kepercayaan lain yang menghina Tuhan. Itulah sebabnya umat Tuhan diberikan amaran berikut: “Keluarlah daripadanya, hai umat-Ku, jika kamu tidak mahu turut menanggung dosa-dosanya”!​—Baca Wahyu 18:4, 5.

7. Mengapakah kita harus mematuhi amaran untuk keluar daripada Babilon Besar?

7 Sudahkah anda mematuhi amaran itu? Ingatlah, Yehuwa telah menciptakan manusia dengan “keperluan rohani.” (Mat. 5:3) Keperluan itu hanya dapat dipenuhi melalui ibadat sejati. Maka, umat Tuhan harus memastikan bahawa mereka tidak melacurkan diri secara rohani, atau terlibat dalam penyembahan palsu. Tetapi Syaitan ingin menjerat mereka. Sayang sekali, dia sering berjaya. Pada zaman Yehezkiel, umat Tuhan sudah lama terlibat dalam pelacuran rohani. Mari kita lihat apa yang berlaku kepada mereka dan meraih pengajaran tentang piawaian, keadilan, serta belas kasihan Yehuwa.

“Engkau Menjadi Pelacur”

8-10. (a) Apakah satu syarat penting untuk ibadat sejati? (b) Apakah perasaan Yehuwa apabila umat-Nya menyembah tuhan palsu? Berikan contoh.

8 Dalam buku Yehezkiel, Yehuwa telah mengilhaminya untuk menulis dua catatan mengenai umat Israel yang tidak setia. Dia menggambarkan mereka sebagai pelacur. Hal itu menunjukkan betapa pedih hati Yehuwa semasa umat-Nya mengkhianati-Nya. Mengapakah Yehuwa menyamakan mereka dengan pelacur?

9 Untuk mendapat jawapannya, kita harus ingat tentang syarat penting untuk ibadat sejati yang dibincangkan dalam Bab 5 buku ini. Dalam Hukum-Nya kepada Israel, Yehuwa berfirman, “Jangan menyembah tuhan-tuhan lain. . . . Akulah Yehuwa, Tuhan kamu. Sembahlah Aku sahaja.” (Kel. 20:3, 5) Dia sekali lagi menegaskan hal itu dengan berfirman, “Jangan menyembah tuhan-tuhan lain. Sembahlah Aku sahaja. Ya, kamu hanya boleh menyembah Aku, Yehuwa.” (Kel. 34:14) Jelaslah, jika kita mahu ibadat kita diterima Yehuwa, kita mesti menyembah-Nya sahaja.

10 Fikirkan contoh ini: Hubungan Yehuwa dengan umat-Nya adalah seperti hubungan sepasang suami isteri. Suami isteri berhak untuk mengharapkan pasangan mereka tetap setia. Jika salah seorang daripada mereka bermain cinta dengan orang lain ataupun berzina, pasangannya pasti akan berasa cemburu dan dikhianati. (Baca Ibrani 13:4.) Begitu juga, Yehuwa pasti berasa dikhianati oleh umat-Nya apabila mereka menyembah tuhan palsu. Perasaan-Nya jelas diungkapkan dalam buku Yehezkiel bab 16.

11. Apakah yang difirmankan Yehuwa tentang Yerusalem dan asal usulnya?

11 Dalam Bible, ucapan Yehuwa yang terpanjang tercatat di Yehezkiel bab 16. Ucapan ini juga merupakan salah satu nubuat yang terpanjang dalam Kitab Ibrani. Yehuwa menggunakan kota Yerusalem untuk melambangkan orang Yehuda yang tidak setia. Kemudian, Dia menceritakan asal usul kota itu dan bagaimana mereka mengkhianati-Nya. Pada mulanya, Yerusalem adalah seperti seorang anak kecil yang lemah dan diabaikan. Ibu bapanya ialah orang Kanaan yang tidak menyembah Yehuwa. Sebenarnya, sebelum Daud menakluki Yerusalem, kota itu telah lama dikuasai oleh orang Yebus (sebuah suku orang Kanaan). Yehuwa mengasihani anak kecil itu lalu membersihkannya dan menjaganya. Seraya masa berlalu, Yerusalem digambarkan sebagai isteri Yehuwa. Sebenarnya, umat Israel yang menetap di kota itu terikat kepada Yehuwa melalui sebuah perjanjian yang dibuat pada zaman Musa. (Kel. 24:7, 8) Selepas Yerusalem menjadi sebuah ibu kota, Yehuwa memberkati, mengindahkan, dan menjadikannya kaya, sepertimana seorang suami yang kaya dan berkuasa menghadiahkan barang-barang perhiasan untuk mencantikkan isterinya.​—Yeh. 16:1-14.

Isteri-isteri Salomo yang berbangsa asing mempengaruhinya untuk mencemari Yerusalem dengan penyembahan berhala (Lihat perenggan 12)

12. Bagaimanakah ibadat palsu mula menyusup ke dalam kota Yerusalem?

12 Perhatikan apa yang berlaku seterusnya. Yehuwa berfirman, “Engkau mula bergantung pada kecantikanmu, dan engkau menjadi pelacur setelah engkau terkenal. Engkau melacurkan diri dengan sesiapa sahaja yang lalu di hadapanmu. Engkau menyerahkan dirimu kepada sesiapa sahaja yang menginginkan engkau.” (Yeh. 16:15) Pada zaman Salomo, Yehuwa memberkati dan memperkaya umat-Nya sehingga kota Yerusalem menjadi sebuah kota yang sangat makmur dan terkenal. (1 Raj. 10:23, 27) Tetapi, ibadat palsu mula menyusup ke dalam kota itu. Raja Salomo yang ingin menyenangkan isteri-isterinya yang berbangsa asing telah menyembah tuhan palsu di Yerusalem. (1 Raj. 11:1-8) Kemudian, raja-raja selepasnya bertindak dengan lebih teruk lagi. Mereka mencemari seluruh negeri itu dengan ibadat palsu. Apakah perasaan Yehuwa apabila melihat mereka melacurkan diri secara rohani dan mengkhianati-Nya? Dia berfirman, “Perkara-perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan tidak seharusnya terjadi.” (Yeh. 16:16) Sedihnya, umat yang menderhaka itu terus terjerumus ke dalam lembah kehinaan!

Sesetengah orang Israel mempersembahkan anak mereka kepada tuhan palsu seperti Molekh

13. Apakah kejahatan yang dilakukan oleh umat Tuhan di Yerusalem?

13 Bayangkan kepedihan hati Yehuwa dan perasaan jijik-Nya semasa mendedahkan kejahatan umat-Nya. Dia berfirman, “Belum cukupkah engkau melacurkan diri? Anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan yang telah engkau lahirkan bagi-Ku, engkau korbankan kepada patung-patung berhala. Engkau membunuh anak-anak lelaki-Ku, dan mempersembahkan mereka sebagai korban dengan membakar mereka di dalam api.” (Yeh. 16:20, 21) Perbuatan sekejam itu memang mencerminkan sifat Syaitan yang jahat dan keji. Dia selalu memancing umat Tuhan untuk melakukan hal-hal yang menjijikkan. Namun, Yehuwa memperhatikan segala sesuatu. Dia dapat melenyapkan semua kesan buruk perbuatan yang kejam, dan Dia pasti bertindak untuk menuntut keadilan.​—Baca Ayub 34:24.

14. Dalam perumpamaan Yehuwa, siapakah kakak dan adik Yerusalem? Antara mereka bertiga, siapakah yang paling jahat?

14 Tetapi, Yerusalem langsung tidak berasa malu akan kejahatannya. Sebaliknya, dia terus melacurkan diri. Yehuwa berkata bahawa Yerusalem adalah lebih teruk daripada pelacur lain kerana dia bahkan sanggup membayar orang lain untuk tidur bersamanya! (Yeh. 16:34) Perbuatan Yerusalem adalah sama seperti “ibunya,” iaitu suku-suku kafir yang pernah menduduki kota itu. (Yeh. 16:44, 45) Yehuwa menyambung perumpamaan itu dengan mengatakan bahawa kakak Yerusalem, iaitu Samaria, juga pernah melacurkan dirinya. Kemudian, Yehuwa menyebut tentang adik Yerusalem, iaitu Sodom, yang dibinasakan kerana kesombongan dan kejahatannya. Sebenarnya, Yehuwa mahu menegaskan bahawa Yerusalem jauh lebih jahat daripada kakaknya Samaria dan adiknya Sodom. (Yeh. 16:46-50) Malangnya, umat Tuhan tidak mengendahkan amaran-Nya, malah terus melakukan perbuatan yang menjijikkan.

15. Mengapakah Yehuwa menghukum umat-Nya?

15 Apakah yang akan dilakukan oleh Yehuwa? Dia berfirman kepada Yerusalem, “Aku akan mengumpulkan semua kekasihmu yang telah engkau puaskan” dan “Aku akan menyerahkan engkau ke dalam tangan mereka.” Bangsa-bangsa kafir yang bersahabat dengan Yerusalem akan membinasakannya dan merampas hartanya yang bernilai. Yehuwa berfirman lagi, “Engkau akan direjam dengan batu dan dibunuh dengan pedang.” Mengapakah Yehuwa menghukum umat-Nya? Adakah Dia mahu melenyapkan mereka? Tidak! Sebaliknya, inilah tujuan-Nya: “Aku akan menghentikan pelacuranmu.” Dia menyambung, “Aku akan melampiaskan kemarahan-Ku sehingga Aku puas hati dan tidak marah lagi. Kemudian barulah Aku tenang dan tidak sakit hati.” Seperti yang dibincangkan dalam Bab 9 buku ini, tujuan Yehuwa adalah untuk memulihkan umat-Nya selepas dibebaskan daripada pembuangan. Mengapa? Dia menjawab, “Aku akan ingat akan perjanjian yang telah Aku buat dengan engkau ketika engkau masih kecil.” (Yeh. 16:37-42, 60) Sememangnya, Yehuwa tidak seperti umat-Nya yang selalu berlaku curang. Dia ialah Tuhan yang setia!​—Baca Wahyu 15:4.

16, 17. (a) Mengapakah kita tidak lagi menjelaskan bahawa Ohola dan Oholiba menggambarkan agama Kristian palsu? (Lihat kotak “Adik-Beradik yang Merupakan Pelacur.”) (b) Apakah pengajaran yang kita peroleh daripada Yehezkiel bab 16 dan 23?

16 Ucapan Yehuwa dalam buku Yehezkiel bab 16 dan 23 mengajar kita banyak tentang piawaian, keadilan, dan belas kasihan-Nya yang melimpah. Daripada kata-kata Yehuwa yang terus terang mengenai pelacuran umat-Nya, kita belajar untuk mengelakkan contoh buruk Yehuda dan Yerusalem. Kita pasti tidak mahu menyakiti hati Yehuwa! Maka, kita harus menghindari semua bentuk penyembahan berhala, termasuk ketamakan dan sikap cinta akan wang. (Mat. 6:24; Kol. 3:5) Kita mahu sentiasa bersyukur kerana Yehuwa telah memulihkan ibadat sejati pada hari-hari terakhir ini. Dia telah membuat “perjanjian yang kekal” dengan Israel rohani. (Yeh. 16:60) Perjanjian itu tidak akan dibatalkan kerana mereka akan tetap setia. Mereka tidak sekali-kali akan melakukan pelacuran rohani. Ya, Yehuwa tidak akan mengizinkan ibadat-Nya dicemari lagi. Semoga kita menghargai peluang untuk menjadi sebahagian daripada umat Yehuwa yang murni.

17 Daripada ucapan Yehuwa tentang pelacur-pelacur dalam buku Yehezkiel, apakah yang kita belajar tentang “pelacur besar,” iaitu Babilon Besar? Mari kita lihat.

Dia “Tidak Akan Dijumpai Lagi”

18, 19. Apakah persamaan antara pelacur dalam buku Yehezkiel dengan “pelacur besar” dalam buku Wahyu?

18 Yehuwa tidak pernah berubah. (Yak. 1:17) Perasaan-Nya terhadap agama palsu tetap sama sehingga hari ini. Jadi, kita tidak hairan apabila melihat persamaan antara cara Yehuwa menghukum pelacur dalam buku Yehezkiel dengan cara Dia menghukum “pelacur besar” dalam buku Wahyu.

19 Contohnya, dalam nubuat Yehezkiel, Yehuwa telah menghukum umat-Nya yang melakukan pelacuran rohani. Dia melaksanakan hukuman-Nya melalui bangsa-bangsa yang berbuat cabul dengan umat-Nya. Begitu juga, empayar agama palsu sedunia akan dihukum kerana berzina dengan “raja-raja di bumi.” Siapakah yang akan menghukumnya? Bible menyatakan bahawa kuasa politik “akan membenci pelacur itu. Mereka akan membinasakannya dan membuatnya telanjang. Mereka akan memakan habis dagingnya dan memusnahkannya dengan api.” Mengapakah kerajaan di bumi akan berbuat demikian? Kerana “Tuhan sendiri menanam rancangan untuk melaksanakan tujuan-Nya dalam hati mereka.”​—Why. 17:1-3, 15-17.

20. Bagaimanakah kita tahu bahawa hukuman Babilon Besar ialah pembinasaan yang kekal?

20 Yehuwa akan menggunakan kerajaan-kerajaan untuk menghukum agama palsu, termasuk semua aliran Kristian. Tuhan tidak akan mengampuni Babilon Besar atau memberinya peluang untuk bertaubat. Buku Wahyu menyingkapkan bahawa hukumannya ialah pembinasaan yang kekal dan dia “tidak akan dijumpai lagi.” (Why. 18:21) Pada masa itu, para malaikat akan bersukacita dan berkata, “Pujilah Yah! Asap daripada api yang membakar pelacur itu terus naik buat selama-lamanya.” (Why. 19:3) Ya, kemurkaan Tuhan yang bernyala-nyala seperti api akan melenyapkan Babilon Besar dan asapnya seolah-olah akan naik tanpa henti. Akhirnya, Babilon Besar tidak lagi dapat mencemari ibadat sejati!

Bangsa-bangsa yang berbuat cabul dengan Babilon Besar akan menyerang dan membinasakannya (Lihat perenggan 19, 20)

21. Pembinasaan Babilon Besar akan menandakan bermulanya peristiwa apa, dan apakah peristiwa kemuncaknya?

21 Serangan kerajaan-kerajaan dunia ini terhadap Babilon Besar merupakan bahagian yang penting dalam pelaksanaan kehendak Tuhan. Peristiwa ini menandakan bermulanya kesengsaraan besar, atau masa yang paling susah dalam sejarah manusia. (Mat. 24:21) Kemudian, peristiwa kemuncak kesengsaraan besar, iaitu Armagedon, akan berlaku. Itulah perang Yehuwa untuk menghukum dunia jahat ini. (Why. 16:14, 16) Sebenarnya, buku Yehezkiel mengandungi banyak maklumat tentang bagaimana kesengsaraan besar akan berlaku. Bab-bab seterusnya dalam buku ini akan membincangkannya dengan lebih lanjut. Namun sekarang, kita akan melihat pengajaran yang dapat diperoleh daripada Yehezkiel bab 16 dan 23.

Kerajaan di dunia akan melaksanakan penghakiman Tuhan dengan menyerang Babilon Besar (Lihat perenggan 21)

22, 23. Setelah membincangkan catatan tentang pelacur dalam buku Yehezkiel dan Wahyu, apakah yang harus kita lakukan?

22 Syaitan ingin sekali mencemari penyembah ibadat sejati. Dia sangat gembira apabila dia dapat menyimpangkan kita daripada ibadat sejati dan membuat kita mengikut haluan pelacur yang disebut dalam buku Yehezkiel. Tetapi ingatlah, Yehuwa mahu kita menyembah-Nya sahaja dan Dia membenci perbuatan yang tidak setia! (Bil. 25:11) Ya, kita harus berwaspada agar menjauhi agama palsu dan tidak menyentuh “apa-apa yang najis.” (Yes. 52:11) Selain itu, kita mesti tetap neutral dalam hal politik dan memastikan kita tidak menjadi sebahagian daripada dunia. (Yoh. 15:19) Sepertimana Syaitan menggunakan ibadat palsu untuk menjerat kita, dia juga suka menyemarakkan semangat kebangsaan untuk menyimpangkan kita. Maka, kita mesti menghindari apa-apa sahaja yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara.

23 Yang penting sekali, kita harus menghargai penghormatan untuk menyembah Yehuwa dalam Rumah Rohani-Nya yang suci dan bersih. Semoga kita terus bertekad untuk menjauhi segala jenis pelacuran rohani dan agama yang palsu!